Saturday, October 16, 2010

Bajet seluar dalam

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Belanjawan 2011 merupakan bajet retorik dan hanya mementingkan Pilihan Raya Umum yang akan diadakan seawal tahun depan.

Beliau berkata melalui bacaan awalnya sepatutnya PRU-13 akan diadakan pada bulan Mac atau Jun, tetapi melihat kepada bajet yang dibentangkan, ianya akan diadakan lebih awal daripada yang dijangkakan.

"Berdasarkan bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau tidak boleh menunggu lebih lama dari itu dan jika tidak ianya pasti memberikan tamparan hebat khususnya Umno-Barisan Nasional.

"Jadi, nampaknya tidak apa yang menarik daripada pembentangan tersebut dan lebih bersifatkan retorik. Saya sifatkan sebagai bajet 'seluar dalam' di mana ianya memainkan yang penting untuk kerajaan mencapai matlamat Pelan Tranformasi Ekonomi (ETP) dan pertumbuhan 7 peratus yang bergantung kepada 'seluar dalam' dan juga 'kelambu'," kata Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS.

Tambahnya, perkara itu dianggap sebagai perkara yang amat menarik pada sesi pembentangan belanjawan pada kali ini.

Apa yang dikesalkan kata beliau, di sebalik kerajaan memberikan jaminan untuk tidak menaikkan bayaran tol selama 5 tahun, kerajaan juga sepatutnya turut memberikan jaminan bahawa semua jenis subsidi khususnya petrol, barang makanan dan keperluan asas juga tidak akan dinaikkan.

Sementara itu, ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyifatkan isu Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang tidak sekalipun disentuh di dalam Belanjawan 2011 membuktikan ketakutan Umno-Barisan nasional untuk bersikap telus dengan rakyat berhubung kedudukan sebenar ekonomi negara.

"Umno-BN dibelenggu ketakutan jika mereka cuba membuat unjuran mengenai kemasukan FDI kerana rakyat tahu laporan antarabangsa menunjukkan betapa Malaysia sudah hilang daya saing dan mendapat FDI paling corot di kalangan negara rantau Asia.

"Perdana Menteri tidak menyentuh langsung mengenai aspek-aspek bukan ekonomi seperti ketelusan, usaha melawan rasuah, kehakiman bebas dan sebagainya yang memberi kesan kepada ekonomi serta menjadi pertimbangan penting kepada pelabur asing," komen Khalid kepada Suara Keadilan di lobi Parlimen.

Tambah beliau belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya menonjolkan imej berbelanja tanpa memberitahu rakyat bagaimana kerajaan akan memperolehi atau meningkatkan pendapatan.

- SK Online


No comments:

Post a Comment