Tuesday, October 12, 2010

"PAS menang di Galas"

Tidak dapat dinafikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas bakal menjanjikan ‘pertempuran’ yang sengit dan getir bagi PAS dalam misi mempertahankan kerusi berkenaan.

Ini disebabkan ia merupakan kerusi tradisi BN sehinggalah buat pertama kalinya dimenangi PAS iaitu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Manakala kemenangan pada PRU 1990 dan 1995 pula dimenangi Semangat 46 ketika berada dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

Pada PRU lepas Che Hashim Sulaima dari PAS merampas kerusi tersebut daripada calon Umno/BN yang juga penyandang Mohamad Saufi Deraman dengan kelebihan undi sebanyak 646.

Ukuran kedua yang sedang diperkatakan umum, dilihat daripada keputusan PAS menang tipis dalam PRK Manek Urai tahun lalu iaitu hanya 65 undi sedangkan calon PAS pada PRU 2008 menang besar di situ dengan majoriti 1,352 undi.

Ini mungkin menggambarkan trend pengundi Kelantan yang lebih cenderung memilih ‘pembangunan’ (BN) dalam PRK berbanding PRU .

Ditambah lagi dengan keghairahan di pihak Umno sendiri yang seolah-olah begitu terdesak untuk menang sehingga mencanangkan untuk menurunkan ‘gergasi politik’ mereka bertanding di situ iaitu Tengku Razaleigh Hamzah.

Namun itu semua tidak pernah mencemaskan kem PAS, malah berkeyakinan parti itu mampu meraih kemenangan yang lebih besar lagi.

“Ada beberapa faktor yang menjadi petanda PAS boleh menang selain strategi tersusun yang kita akan atur,” kata Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Siasah ketika ditemuramah baru-baru ini sekembalinya daripada mesyuarat PAS Pusat.

Pada PRK Galas ini Tuan Ibrahim telah digalaskan dengan amanah penting iaitu dilantik sebagai penasihat jentera pilihan raya PAS.

“Memang ada yang membandingkan Galas dengan keupayaan BN mengecilkan undi PAS di Manek Urai dulu, tetapi saya tegaskan senario dua tempat itu berbeza dari segi komposisi kaum dan geografi pengundinya.

“Galas ini kawasan bandar, iaitu bandar Gua Musang itu sendiri. Daripada pemilih berjumlah 10,330, 22 % Cina, 10 % Orang Asli dan selebihnya berbangsa Melayu.

“Yang menariknya kita ada cawangan PAS di perkampungan Orang Asli selain ada 22 cawangan semuanya dalam Dun Galas. Jadi dari segi peluang kita jangka masih berupaya mengekalkan kemenangan berdasarkan senario semasa.

Jumlah 22 % atau 2,000 lebih pengundi Cina di bandar Gua Musang dijangka memberi kesan kepada keputusan pengundian. Berdasarkan pendekatan politik perkauman yang dimainkan Umno akhir-akhir ini, majoriti Cina dijangka akan mengundi PAS sebagai protes. Ia juga kelangsungan trend pengundi bukan Melayu di seluruh negara.

Modal yang biasa dimainkan Umno/BN bagi menarik perhatian pada setiap kali PRK ialah menaburkan gugusan janji-janji kepada pengundi bagi meraih undi. Umpamanya dalam PRK Manek Urai dulu Umno turun dengan begitu banyak janji projek dan pembangunan tetapi banyak di antaranya yang hanya tinggal janji sahaja. Kali ini sanggupkah mereka turun dengan taburan janji lagi?

“Sebagai parti pemerintah pusat memang Umno/BN boleh menaburkan janji dan melaksanakan janji itulah yang akan diperhatikan rakyat. Yang menariknya Dun Galas ini bersebelahan dengan Manek Urai jadi pengundi-pengundi boleh menilai dan membuat perbandingan sejauh mana Umno mengotakan janji-janji mereka.

“Bayangkan mereka berjanji: hari ini keputusan (pilihan raya) besok terus akan buat jambatan baru di Manik Urai. Walhal sampai hari ini pun jambatan tersebut tak dibuat lagi,” ujar Tuan Ibrahim.

Pada PRK tersebut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan BN akan membina jambatan baru merentangi Sungai Lebir bernilai RM7 juta yang menghubungkan Manek Urai lama dan baru, selain menjadikan Manek Urai sebagai kawasan anak emas kerajaan pusat.

Projek jambatan tersebut kemudiannya terus didiamkan, tetapi menimbulkan keriuhan tidak berkesudahan kepada penduduk-penduduk di Dun berkenaan. Cerita ‘kawasan emas’ juga sudah dipendamkan seumpama besi buruk.

Lalu apa lagi isunya kali ini yang akan dimainkan kerana kawasan Galas ini pesat pembangunannya.

“Kalau kita lihat di situ juga ada ladang rakyat. Kemudian banyak projek dan pembangunan termasuklah daerah baru di Lojing. Tujuh kawasan Orang Asli di situ terlibat dan dapat manfaat daripada perisytiharan Bandar Baru Lojing. Menariknya, masyarakat Orang asli di situ terbuka dan maju. Mereka celik internet dan tidak mudah diperdaya,” kata Tuan Ibrahim.

Umno nampaknya menyedari kekuatan dan kelemahan parti masing-masing justeru pada ‘perang awal’ berbentuk psikologi ini mereka menguar-uarkan untuk meletak Ahli Parlimen Gua Musang yang juga Ketua Bahagian itu, Tengku Razaleigh (Ku Li) sebagai calon mereka.

Memang sehingga kini belum ada satu keputusan muktamad daripada Ku Li sendiri mengenai perkara tersebut. Namun propaganda itu sudah tentu untuk menggertak atau cuba menakut-nakutkan PAS. Sekurang-kurangnya mereka cuba untuk memintas isu yang royalti Kelantan yang mereka jangka akan dibangkitkan dalam kempen nanti. Kerana mereka amat sedar bahawa Kerajaan Kelantan dan bekas Menteri Kewangan itu mempunyai pandangan yang sama dalam isu royalti.

Dalam hal ini Tuan Ibrahim mempunyai pandangan tersendiri mengenai ahli parlimen 9 penggal yang bertaraf negarawan itu.

“Mahukah beliau bertanding dan jika menang hanya bertaraf sebagai Adun biasa parti pembangkang? Saya tidak fikir beliau yang merupakan tokoh sebesar itu, pernah merebut jawatan Presiden Umno mahu melayan suara-suara terdesak daripada parti itu. Jadi saya nampak percubaan Umno ini boleh dianggap sebagai cuba mengaibkan tokoh itu sendiri.”

Mengenai isu-isu yang bakal dibangkitkan kedua pihak dalam kempen, Tuan Ibrahim beranggapan isu tempatan yang akan lebih mempengaruhi berbanding isu nasional.

Katanya, faktor calon juga bakal menjadi kriteria penting kerana kawasan tersebut nampak lebih memerlukan wakil rakyat yang dekat, prihatin dan dapat bersama dengan mereka sepanjang masa.

“Arwah Che Hashim ini memang terkenal bergaul baik dan amat mesra dengan masyarakat setempat. Kerjanya pun berniaga membeli rotan daripada Orang Asli. Sama seperti Abang Uji Adun Manek Urai sekarang.

“Nampaknya budaya seperti wakil rakyat Umno misalnya kelihatan elit, bossy dan datang sekali-sekala menjenguk rakyat sudah tidak terpakai lagi. Mereka mahukan wakil rakyat yang boleh bergelumang sama menghayati kehidupan rakyat dan tidak lokek dalam semua segi.”

Mengenai calon, menurut Tuan Ibrahim, PAS sendiri sudah ada beberapa nama yang berlatarbelakangkan tokoh di kalangan anak tempatan.

Apa-apapun, PAS tidak mengambil mudah cabaran yang akan dihadapi kerana pada PRU lepas daripada 24 peti undi, PAS kalah 7 termasuk di pos Orang Asli.

PAS Pahang sendiri, kata Tuan Ibrahim, akan dikerahkan menjaga peti undi Lepan Tupai iaitu bersempadan dengan Merapoh (Lipis) dalam negeri Pahang. Di sana terdapat 567 pengundi dan pada PRU lepas PAS menang 11 undi di situ.

Akhirnya sudah pasti PAS ‘mempertaruhkan’ prestasi dan reputasi Kerajaan Kelantan sendiri yang selama dua dekad ini telah banyak meningkatkan taraf kehidupan, kemudahan dan paling penting keharmonian rakyat, meskipun terpaksa berhadapan dengan pelbagai sekatan dan provokasi daripada kerajaan BN pusat.


FAKTA N45 GALAS

Jumlah Pengundi: 10,330
Peratusan Kaum: M:65.81% C:22.03% I:1.81% L:10.32%
1. Che Hashim Sulaima (Pas) (4,399)
2. Mohamad Saufi Deraman (BN) (3,753)
Majoriti: 646
Jumlah undi: 8,323
Peratus mengundi: 80.57%
Undi rosak: 171
Penyandang: Mohamad Saufi Deraman (BN)
(Majoriti: 1,729 undi)




No comments:

Post a Comment