Sunday, October 3, 2010

Tuan Ibrahim Pengarah PRK Dun Galas

Pahang Selamat difahamkan Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang Al-Fadhil Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah diamanahkan menjadi Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas. Dengan demikian ini merupakan satu penghormatan kepada tokoh kami dan juga negeri Pahang sendiri.

Berikut disiarkan tulisan beliau mengenai PRK berkenaan, yang menggambarkan kesediaan beliau memegang amanah perjuangan Islam ini.


Isu samada Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya BN bagi PRK DUN Galas atau tidak, PAS mesti bersedia menghadapi sesiapa sahaja dalam PRK ini, dengan kekuatan sendiri. Isu Ku Li menjadi topik utama media kini, hanyalah satu percaturan peribadi beliau, berdasarkan beberapa tindakan beliau mutakhir yang dilihat tidak lagi menjadi pengikut setia BN. Terutama isu melibatkan royalti minyak Kelantan, isu rasuah, perancangan ekonomi negara dan keyakinan terhadap pentadbiran Najib.

Walaubagaimanapun bertolak di atas beberapa kenyataan Ku Li bahawa dia tetap bersama UMNO dan akan kekal bersama UMNO, PAS mestilah berusaha menyusun kekuatan parti bersama PR dalam menghadapi PRK kali ini. Menyedari pengaruh dan kekuatan Ku Li dalam kawasan Gua Musang, bukan bermakna beliau terlalu kebal untuk ditewaskan. Pengalaman PRU 12, dengan kejayaan menawan DUN Galas daripada BN adalah petanda bahawa pengaruh beliau semakin berkurangan, dan pengundi bertambah matang dalam membuat pilihan.

Dalam PRK kali ini, PAS memerlukan satu pendekatan baru dalam gerak. Oleh kerana kemenangan tipis 636 dalam PRU lalu, maka tumpuan semua parti politik ialah bagi menarik pengundi atas pagar yang menjadi penentu. Dengan status pengundi bercampur, di mana pengundi dari kalangan masyarakat asli dan Cina dilihat penting, maka tumpuan tentulah diberi kepada golongan ini; dan pengalaman PAS memerintah Kelantan selama 20 tahun mampu dijadikan daya penarik bagi mendapatkan sokongan mereka.

Faktor calon mengatasi parti yang berlaku di DUN Manik Urai serta kegagalan tokoh luar mencorakkan mod pengundi dilihat masih menjadi fokus gerak kerja parti yang bertanding. Lantaran itu pemilihan calon amat penting kerana pengundi di kawasan Galas akan merasai kehadiran wakil rakyat selepas berakhirnya PRK. Mereka tentulah tidak ingin kalau wakil rakyat hanya menunjukkan muka bila perlukan undi, tetapi ghaib selepas diumumkan sebagai pemenang. Budaya masyarakat Kelantan yang bergelumang dengan pimpinan dilihat antara elemen penting kenapa mereka memilik Allahyarham Che Hashim dalam PRU lalu.

Apa yang menarik juga ialah kepesatan pembangunan bandar Gua Musang dilihat antara kejayaan kerajaan negeri membangunkan kawasan tersebut. Keghairahan untuk membangunkan kawasan ini antara kerajaan negeri di bawah PAS dan KESEDAR diterajui kerajaan Pusat, akan menceriakan lagi PRK kali ini. Apapun PAS dengan seluruh jentera parti di seluruh negara telah bersedia membantu bagi mengekalkan kemenangan di DUN Galas, bagi mengalas kemenangan di sana.


No comments:

Post a Comment