KUANTAN: Pejabat Pengerusi Perhubungan PKR Pahang, Datuk Fauzi Rahman di Jalan Bukit Sekilau dekat sini diceroboh dipercayai dilakukan lewat malam kelmarin atau awal pagi tadi.
Fauzi berkata, kejadian itu disedari anak perempuannya, Farahanim, 29, dan seorang lagi pekerja syarikatnya yang datang ke pejabatnya itu pagi semalam.
Menurutnya, Farahanim memaklumkan hal itu kepadanya dan seorang lagi anak lelakinya.
“Anak perempuan saya kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kuantan dan pihak polis sudah pun datang untuk melakukan siasatan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini semalam.
Fauzi berkata, penjenayah dipercayai masuk ke pejabat mereka melalui bumbung berdasarkan siling yang pecah dan bumbung yang ditanggalkan.
Menurutnya, hampir kesemua bilik di pejabatnya diselongkar penjenayah bagaimanapun tidak ada wang tunai yang dilarikan.
“Saya pasti penjenayah itu kecewa kerana kami tidak menyimpan wang tunai di pejabat,” katanya.
Beliau berkata, kejadian itu kali ketiga berlaku di mana kali pertama pejabatnya itu dipecah masuk adalah kira-kira dua tahun yang lalu, manakala kali kedua pada April lalu.
Katanya, dalam kejadian pertama dan kedua, tiada barang berharga yang hilang tetapi dalam kejadian terbaru ini dua komputer hilang dan keadaan pejabat berselerak.
Ditanya sama ada kejadian ini ada kaitan soal politik, Fauzi menafikannya kerana pejabatnya itu adalah pejabat syarikat dan bukannya pejabat politik.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
~ Sinar Harian
No comments:
Post a Comment