Monday, April 30, 2018

Tawaran PAS Pahang: MENAMBAH DAN MENAIK TARAF JALAN-JALAN ANTARA BANDAR DI NEGERI PAHANG

Jalan raya merupakan prasarana asas yang menjadi jaringan perhubungan terpenting untuk keperluan dan urusan harian rakyat. Jalan raya yang baik sudah tentu berpotensi menjana pembangunan lebih pesat serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

Istimewanya daerah-daerah di Pahang merupakan laluan atau gerbang masuk dari Lembah Kelang ke Pantai Timur. Begitu juga dari Pantai Timur ke Selatan tanah air.

Namun begitu beberapa jalan antara bandar di negeri ini sering kali menjadi rungutan penduduk dan pengguna justeru memerlukan pembaikan dan naik taraf segera. Umpamanya jalan Jerantut-Benta iaitu antara laluan tertua di Malaysia yang bengkang bengkok perlu dinaik taraf dan diluruskan. Begitu juga dengan jalan Jerantut- Lipis melalui jalan Ulu Tembeling yang sempit, bengkang-bengkok dan berbukit serta jalan Jerantut-Maran melalui Simpang Jengka 8 yang terbengkalai. Keadaan ini menyukarkan penduduk di sebelah Pahang Barat untuk berurusan ke ibu negeri.

Jalan Pekan Awah-Bandar Jengka pula telah banyak memakan korban kemalangan akibat terlalu sempit. Bayangkan, sebuah bandar Melayu yang mempunyai stadium bernilai RM80 juta namun laluan ke situ seperti ketinggalan 30 tahun ke belakang. Tidak kurang juga yang menjadi rungutan ialah jalan antara bandar Temerloh dan Bera lantaran jalannya yang sering rosak, sempit, projek terbengkalai dan tebing sungai pula acap kali runtuh.

Satu lagi, jalan Simpang Pelangai ke Pekan Karak sangat mendukacitakan akibat berlubang, bengkang-bengkok, gelap dan sempit. Walhal jika jalan Karak ke Triang dinaik taraf sebagai laluan alternatif, dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas dari ibu negara ke pantai Timur.

Laluan Muadzam ke Bera melalui kawasan Felda yang selama ini dianggap ‘jalan mati’ wajar dihidupkan kembali bagi memendekkan perjalanan dari selatan tanah air ke Pahang Tengah. Untuk itu mewujudkan bandar baharu boleh menjadi pemangkin zon ekonomi baru antara Pahang Tengah ke Pahang Tenggara.

Jalan-jalan yang disebutkan tadi amat perlu dibaiki dan dinaiktaraf. Sesetengah destinasi pula perlu ditambah laluannya iaitu jalan-jalan baru yang boleh mengurangkan jarak perjalanan ke jalan-jalan utama. Perlu dipulihkan semula ialah jalan keselamatan yang terbengkalai dari Ulu Sungai di Raub ke Slim River di Perak, jalan Bukit Rengit di Lanchang ke Jenderak Selatan, jalan Kerdau ke Mempateh dan jalan Lubuk Kulit di Lipis ke Felda Tersang. Semuanya sebagai keperluan rangkaian baru bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti banjir.

Malah PAS Pahang komited untuk merancang pembinaan jalan berkualiti menghubungkan Sungai Lembing ke Felda Lepar Utara, Ulu Tembeling ke Dungun,Terengganu, Felda Mengkarak ke Mentakab serta Felda Selancar ke Felda Selendang dalam Daerah Rompin sebaik sahaja diberi mandat.



No comments:

Post a Comment