Monday, April 23, 2018

Tawaran PAS Pahang: MEMBANGUNKAN SEMULA TANAH-TANAH TERBIAR UNTUK KEGUNAAN BELIA NEGERI INI


Sebagai negeri yang paling luas di semenanjung, Pahang memiliki banjaran tanah tinggi, hutan tropika, hingga ke jajaran sungai dan lembah yang subur.

Menurut perangkaan tahun 2014, Pahang memiliki 34,293.27 hektar atau hampir lapan puluh lima ribu ekar tanah terbiar di seluruh negeri ini. Walhal muka buminya begitu subur untuk aktiviti pertanian.

Selama ini kita melihat kerajaan yang ada gagal memertabatkan pertanian sebagai sumber utama. Malahan Malaysia sendiri membelanjakan RM92 juta sehari untuk mengimport makanan berasaskan pertanian, tahun lalu. Dan angka ini menjangkau RM27.93 bilion dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Ini sudah tentu amat memeranjatkan dan membuktikan kebergantungan negara kepada hasil makanan import. Secara langsung membuktikan betapa lemahnya pengurusan negara. Bayangkan jika berlaku krisis makanan dunia sudah tentu memberikan kesan yang besar kepada rakyat.

Bayangkan pula jika berlaku kenaikan harga sumber makanan ini di pasaran dunia. Tidak dapat tidak situasi ini akan lebih memeritkan rakyat.

Sementara itu Jabatan Tenaga Buruh pula menganggarkan terdapat kira-kira 400,000 belia yang menganggur ketika ini.

Justeru jika dapat dioptimumkan penggunaan tanah dan mencapai produktiviti hasil pertanian yang tinggi dan berdaya maju, pembangunan tanah-tanah terbiar tadi semestinya dapat menyelesaikan banyak masalah.

Jadi tawaran PAS yang komited untuk membangunkan tanah terbiar ini sudah tentu dapat menangani masalah belia-belia negeri ini khusus kepada yang tidak bertanah. Kedua, dapat mengurangkan masalah pengangguran. Dan ketiga, berupaya meningkatkan hasil pemakanan berasaskan pertanian komersil.

Hasil daripada itu juga berpotensi menjana ekonomi setempat sekali gus membuka peluang kepada belia-belia di negeri ini termasuk di tanah rancangan Felda mengkomersilkan hasil tanaman mereka ke peringkat dalam dan luar negara.





No comments:

Post a Comment