Salah sebuah gua Kota Gelanggi |
Gua Kota Gelanggi yang terletak di daerah Jerantut,
Pahang menyimpan pelbagai cerita ganjil dan misteri. Di dalam gua ini, terdapat
tujuh buah gua yang dipanggil kota iaitu Kota Tongkat, Kota Gelap, Kota Angin,
Kota Balai, Kota Rehut, Kota Jin dan Kota Kepayang. Gua-gua ini dipanggil kota
yang membawa maksud negeri-negeri yang berada di bawah Kota Gelanggi pada zaman
dahulu.
Ada yang mengatakan gua itu wujud berikutan pergaduhan
antara Raja Muda Mambang dan putera Raja Rembau bernama Rusul kerana berebutkan
puteri Datuk Indera Raja Laut. Raja Muda Mambang mencabar Rusul untuk bertarung
dengannya. Rusul menyahut cabaran itu lalu menyuruh Raja Muda Mambang menikamnya,
tetapi tidak berjaya.
Apabila tiba giliran Rusul, dia melepaskan keris
terbangnya, lalu keris berkenaan menikam dada Raja Muda Mambang yang
serta-merta membunuhnya. Darahnya dikatakan sentiasa mengalir sehingga ke hari
ini melalui aliran cecair yang kelihatan di dinding Gua Kota Gelanggi
berhampiran struktur batu yang menyerupai manusia terbaring.
Kebetulan pula pada masa itu, Sang Kelembai sampai di
Kota Gelanggi lalu menegur pergaduhan itu. Teguran itu menyebabkan semua benda
dan makhluk di situ menjadi batu. Maka terjadinya gua-gua batu dengan pelbagai
bentuk struktur yang menyerupai kota, bilik, manusia, binatang, peralatan
perang, peralatan kenduri serta peralatan dan perhiasan perkahwinan.
Terdapat pula versi yang menyatakan pada masa dahulu,
mukim Pulau Tawar di daerah Jerantut adalah sebuah pulau yang besar. Rajanya,
Raja Gelanggi mempunyai seorang puteri yang cantik dan ditunangkan dengan
seorang anak raja di Rembau bernama Raja Usul.
Puteri
Kecantikan dan kebaikan puteri itu turut diketahui oleh
Raja Mambang di kayangan. Raja Mambang ingin memperisterikan puteri Raja
Gelanggi, lalu meminangnya. Oleh kerana takut, Raja Gelanggi terpaksa menerima
pinangan itu.
Apabila tiba hari perkahwinan, Raja Usul sampai di Kota
Gelanggi dengan tujuan untuk menghantar hadiah kepada tunangnya. Kapalnya
ditinggalkan di suatu tempat yang sekarang ini digelar Lanchang, dekat Kampung
Masjid, Pulau Tawar. Dia naik ke darat dengan perahu lalu ke kota.
Alangkah terkejutnya bila majlis pernikahan sedang
dijalankan lantas berlaku peperangan antara angkatan Raja Usul dan Raja
Mambang.
Ketika inilah, Sang Kelembai muncul dan menegur tentang
perangai mereka yang sanggup berperang kerana seorang perempuan. Akhirnya semua
yang ada di situ menjadi batu, kapal menjadi tanah, laut menjadi padang dan
sungai menjadi lembah.
Mengikut versi seorang penyelidik bernama Cameron pula,
seorang raja bernama Raja Gelanggi mempunyai seorang anak perempuan cantik dan
menjadi idaman putera Raja Mambang di Lipis. Putera itu meminta ayahandanya
menyunting puteri itu tetapi puteri berkenaan menolaknya.
Pada ketika yang lain, seorang putera raja kepada Raja
Usul dari Bera telah keluar berburu bersama orang-orangnya berdekatan dengan
Gelanggi. Putera itu telah terpandang kepada puteri Raja Gelanggi lalu
menculiknya dan membawa puteri itu pulang ke Bera. Puteri Gelanggi tidak
membantah kerana bencikan tunangnya, lalu bersetuju mengahwini putera Raja
Usul.
Culik
Hal penculikan itu diketahui oleh Raja Mambang.
Walaupun pada mulanya Raja Gelanggi terlibat dalam peperangan dengan Raja Usul
bagi mendapatkan kembali puterinya, baginda kemudian menyerahkan hal itu kepada
Raja Mambang kerana puterinya hidup bahagia.
Raja Mambang turun ke Bera dan berperang dengan Raja
Usul tetapi malangnya baginda sendiri yang terbunuh. Menurut Perunding
Penyelidikan dan Pembangunan Budaya Melayu Antarabangsa, Datuk Aripin Said,
berdasarkan kajian yang dilakukan, berlaku pergaduhan antara Raja Kota Gelanggi
iaitu Raja Mambang dan Raja Tasik Bera yang mahu menakluk antara satu sama lain
tetapi keadaan menjadi reda apabila Raja Mambang berkahwin dengan Puteri Tasik
Bera.
“Semasa persandingan, Sang Kelembai telah datang dan
menegur menyebabkan kesemuanya bertukar menjadi batu. “Oleh sebab itu, ada batu
yang seakan-akan menyerupai orang sedang bersanding, gajah dan singa terdapat
dalam gua misteri ini.
“Dikhabarkan juga terdapat sebuah kota yang tidak
ditemui tetapi hanya mereka yang bernasib baik akan terjumpa kota yang
dipercayai tempat raja bersemayam.
“Keadaan di dalam tujuh kota ini juga gelap dan tidak
semua pelancong yang datang akan menjelajah kesemua kota disebabkan faktor
keselamatan,” jelasnya. Tambahnya, kisah misteri gua tersebut juga ada
diceritakan di dalam buku Cerita-Cerita Rakyat Pahang. Seorang profesor dari
Jerman juga pernah merakamkan cerita di sebalik gua ini kira-kira dua tahun
lalu.
“Mengikut kajian arkeologi juga mendapati sebuah negeri
pernah wujud di gua ini berdasarkan kepada beberapa penemuan. “Namun, mitos
kononnya gua ini boleh dihubungkan terus ke negeri Kelantan juga tidak dapat
dibuktikan lagi buat masa ini,”
#SUMBERBLOG #kaklong
No comments:
Post a Comment