Isu kebejatan terhadap alam sekitar menjadi semakin
kritikal dan tambah meruncing dari hari ke hari. Penodaan terhadap hutan
belantara, dara atau tua, penjarah tanah simpan kekal yang rakus hinggalah
kepada pelombong mineral yang haloba membarisi senarai panjang kelaku sumbang
dan durjana sebahagian dari ‘kita’ terhadap alam sekitar.
Negeri Pahang turut sama terseret dalam ‘lingkungan
kebinasaan’ yang semakin membarah ini yang terhasil tidak lain tidak bukan
adalah berpunca dari kelaku tamak dan haloba yang melangkaui premis ketamadunan
dan hormat terhadap alam sekitar dan sesama makhluk.
Kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier
Jayakumar yang mengisytiharkan tempoh Moratorium Ke Atas Bauksit akan berakhir
pada 31hb Mac 2019 kembali menghantui penduduk Kuantan akan kemungkinan besar
berulangnya krisis pencemaran alam sekitar yang dahysat sepanjang tempoh
perlombongan Bauksit menggila lingkungan tempoh 2014-2016.
Sepanjang tempoh tersebut penduduk Kuantan
‘bersendirian’, hari demi hari berdepan dengan debu dan lumpur yang di
muntahkan oleh pelombong dan pedagang rakus Bauksit serta berhadapan dengan
kerosakan harta benda dan kemerosotan kualiti kesihatan dan kehidupan.
Kuantan umpama negeri ‘koboi’ tanpa penguatkuasaan yang
seakan ‘lumpuh’ dan tidak bermaya berhadapan umpanan wang ringgit dan kemewahan
berkemilau di sebalik debu Marikh yang merah membara.
Satu demi satu agensi berkuasa rebah di sebalik
timbunan kertas berwajah Agong yang ‘berterbangan’ menjenguk poket dan saku
yang kelaparan. Hanya agensi SPAD yang kekal di lihat gagah menguatkuasakan
amanah Yang Di Pertuan Agong, menahan dan menyita lori-lori hantu yang
berleluasa di jalanraya melebihi had muatan dan tanpa permit menderu laju
menghimpit van dan bas sekolah serta para ibu yang mengambil anak pulang
sekolah.
Penguatkuasaan terhadap operasi bauksit ternyata lemah
dan longgar. Kerajaan mesti menjelaskan apakah peruntukkan undang-undang yang
akan di guna pakai dan agensi mana yang bertanggungjawab ke atas:
1.
Perlanggaran
undang-undang jalan raya: lebih muatan, lebih had laju, memandu secara
merbahaya dan lain-lain;
2.
Pencemaran alam
sekitar – sungai, longkang dan jalan raya yang tercemar: Siapakah yang akan
membersihkan debu merah di jalanraya?
Adakah Bomba dan JPAM sekali lagi akan di kerah secara
percuma demi melindungi poket dan tembolok para pedagang rakus?
Perlombongan haram samada tanpa permit ataupun
melangkaui tempoh masa dan kawasan. Cukupkah bilangan pegawai dan kakitangan
bawahan Pejabat Tanah dan Galian seramai 5 orang di Kuantan untuk pergerakan
melebihi 500 lori sehari selama 24 jam? Berdayakah mereka dengan tekanan kerja
melampau dan umpanan habuan yang sering melayang?
Syarat operasi yang ketat serta penguatkuasaan
undang-undang dengan tegas merupakan pra-syarat utama bagi memastikan tragedi
yang lalu tidak berulang lagi._
Oleh itu GERAM mencadangkan, Kerajaan Persekutuan
(KeATSA) dan kerajaan negeri membentangkan kepada awam melalui semua saluran
media utama berkenaan langkah-langkah utama yang akan di ambil bagi memastikan
kesilapan lalu tidak berulang kembali dan terbuka kepada kritikan dan
penambahbaikan atau pengubahsuaian, jika perlu.
Kedua, penubuhan satu badan pemantau bebas yang di
iktiraf kerajaan bagi membantu penguatkuasaan undang-undang berkaitan Bauksit /
alam sekitar.
Ketiga, penglibatan orang awam sebagai pendokong kepada
agensi kerajaan yang berdepan dengan kekurangan anggota penguatkuasa sebagai
salah satu cara melibatkan secara langsung dalam perihal penjagaan kelestarian
alam sekitar. Peranannya seumpama SRS (Skim Rondaan Sukarela) yang di tubuhkan
dan di gazetkan di bawah Jabatan Perpaduan Dan Integriti Nasional.
Keanggotannya mestilah di perakui oleh kerajaan dan di
peruntukkan bidang kuasa yang bersesuaian untuk menangani isu-isu berkaitan
alam sekitar seperti melaporkan perlanggaran had operasi atau permit, memberi
maklumat kepada agensi penguatkuasa serta menyertai pemeriksaan atau operasi ke
atas salah laku yang di laporkan berkaitan alam sekitar.
Penulis ialah Pengerusi GERAM
(Gerakan Hentikan Pencemaran Bauksit)
No comments:
Post a Comment