ARAU: Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
menyifatkan realiti politik pada masa ini yang membiarkan umat Islam dibuli
telah menyebabkan rakyat akur bahawa agama Islam berada dalam keadaan tidak
begitu selamat di bawah pentadbiran kerajaan hari ini.
Luahan kekecewaan Mohd. Asri itu susulan selepas
rakannya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia negeri, Muhammad
Zamri Vinoth ditahan serta direman kerana didakwa menghina agama Hindu.
Katanya, jika dilihat, pelbagai kenyataan yang dibuat
oleh individu-individu di dalam kerajaan yang menghina umat Islam dan
menimbulkan ketegangan kaum namun mereka hanya dipanggil untuk beri keterangan.
Malah kata beliau, betapa ramai lagi yang menghina Nabi
Muhamad SAW dan mempersendakan ajaran Islam juga hanya melalui proses sama.
“Tapi, ceramah dalam masjid untuk umat Islam sahaja di
Kelantan oleh seorang individu yang menceritakan pengalaman peribadi menukar
agama dan memilih agama Islam (Muhammad Zamri) telah menyebabkan beliau
ditangkap.
“Apakah fakta beliau (Muhammad Zamri) palsu?, apakah
beliau menghina atau sekadar menceritakan tentang kisah dirinya sendiri?
“Apakah beliau bertujuan untuk menimbulkan ketegangan
seperti mana kenyataan pemimpin-pemimpin yang telah menyebabkan tragedi antara
kuil dan pihak bomba (Subang Jaya). Tidak pula mereka ini ditangkap.
“Bagaimana pula dengan ucapan pemimpin-pemimpin politik
dari agama lain yang sering menimbulkan permusuhan dengan masyarakat Islam?,”
katanya dalam status Facebooknya di sini semalam.
Semalam, Muhammad Zamri yang juga pembantu pendakwah
Islam terkenal, Dr. Zakir Naik ditahan anggota polis dari Bahagian Siasatan
Jenayah Berat (D9) di hadapan sebuah restoran di sini berikutan beberapa
laporan polis dibuat terhadapnya kerana didakwa menghina agama Hindu.
Muhammad Zamri didakwa membuat kenyataan yang berbaur
penghinaan terhadap agama Hindu dalam satu video tular di laman sosial.
Tambah Mohd. Asri, Muhammad Zamri selama ini telah
membuat banyak program membantu membina hubungan baik antara agama termasuk
menziarahi gereja, tokong dan pelbagai dialog harmoni dianjurkannya di bawah
One Centre Malaysia negeri.
“Ucapan beliau itu hanyalah sedikit daripada pengalaman
dirinya sahaja sebelum menganut Islam (jika) dibandingkan usaha beliau untuk
membina hubungan antara agama.
“Saya tidak menyalahkan pihak polis, tetapi ini berlaku
kerana realiti politik yang membiarkan umat Islam dibuli. Suara-suara
mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan yang memimpin pentadbiran
hari ini melainkan sejumlah kecil. Apakah ini suatu keadilan? .
“Realiti ini menjadikan rakyat makin akur bahawa Islam
berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran hari ini,”
katanya.
No comments:
Post a Comment