Rakyat sudah penat. Mungkin bukan yang berada jauh di ceruk dan disuap dengan gula-gula, tetapi yang celik dan dahagakan perubahan.
Banyak ‘rahsia’ sudah didedahkan, pelbagai persoalan sudah ditanyakan, yang belum ada hanya jawapan.
Rakyat bukan minta penjelasan panjang berjela macam cerita dongeng. Apa yang mereka mahukan jawapan disusuli tindakan.
Satu negara sudah bercanang tentang ketirisan yang melampau, satu dunia dah bercakap tentang ketidak cekapan mentadbir harta. Tidakkah yang berkenaan terpanggil untuk menjawab.
Bila buka mulut, yang keluar hanya kenyataan-kenyataan sumbang yang langsung tidak menjanjikan penyelesaian.
Malah tidak langsung menyentuh gajah besar yang berada ditengah-tengah bilik yang semakin sempit dek kerana terlalu banyak alasan dan omong kosong.
Bila hendak turun dari kerusi empuk yang menjadi tempat bersemayam mencipta mimpi untuk susur galur darah Bugis?
Berapa banyak lagi angka sifar yang perlu ditambah dalam gerobok harta karun? Tidak cukup lagikah dengan apa yang ada?
Sedarkah tatkala penjaga kira-kira menambah satu lagi angka sifar dalam senarai harta, rakyat sedang bertarung untuk hidup.
Perjuangan demi rakyat? Jangan berbicara tentang perjuangan untuk rakyat bila yang terpancar dalam mata hanya perjuangan untuk melepas tengkuk sendiri dari terjerut.
Biar beribu pahlawan kiri kanan yang mengusung tandu berteriak dan menyalak. Rakyat sudah penat. Atas alasan apa, keperluan apa mahu rakyat berperang jika yang diatas hanya saling menepuk bahu, berbangga kerana rakyat menurut.
Kalau benar katanya jantan, turun dan rasa sendiri kepayahan rakyat. Jangan berselindung di sebalik bayang-bayang rendang.
Berhenti mendabik dada, lupa diri dengan pencapaian yang tidak seberapa.
Barangkali tiada rasa malu dalam diri. Atau mungkin akal pemberian Tuhan tidak diguna sebaiknya. Untuk apa lagi cuba bertahan menahan serangan yang kononnya boleh merosak perpaduan bila hantu jembalang yang jadi penyebab kepada semua ini berdiri di dalam cermin.
Rakyat dah penat dan bosan, waima gula-gula dari Arab sekali pun sudah tidak mampu membangkit tenaga.
Turunlah sebelum diturunkan, kerana apabila bangkit rakyat menentang, panglima-panglima yang teriaknya bak gempita sekalipun tidak akan dapat melawan.
Namun jika itu kehendak badan, maka rakyat sedia.
~ petikan dari FMT
No comments:
Post a Comment