ROMPIN: Penduduk Kampung Tekek di Pulau Tioman, dekat sini merayu kerajaan mempercepatkan pembinaan rumah kos rendah di kampung itu seperti yang dijanjikan kepada mereka sejak empat tahun lalu.
Permintaan itu dibuat berikutan rumah sedia ada yang diduduki sejak turun temurun sudah tidak sesuai dan kelihatan uzur malah ada di antaranya didiami lebih daripada satu keluarga kerana kesukaran mendapat tapak baru.
Keadaan bertambah buruk apabila ada kalangan generasi kedua yang nekad membina rumah berhampiran pantai di atas tanah milik kerajaan kerana terdesak dan tidak mempunyai pilihan selepas mendakwa, sebahagian daripada tanah mereka sudah diambil kerajaan untuk membina sekolah dan kawasan pelancongan.
Difahamkan, kerajaan negeri sudah membuat bayaran RM1.4 juta kepada pemilik tanah terbabit dan hanya menunggu peruntukan bagi memulakan projek perumahan berkenaan di atas tanah seluas 3.2 hektar.
Bagaimanapun, tinjauan ke kawasan tapak perumahan itu baru-baru ini mendapati keadaan sekeliling tidak berubah dan masih dipenuhi semak samun malah tiada sebarang papan tanda menunjukkan kawasan itu bakal dibangunkan projek perumahan.
Ketua Kampung, Kamarolzaman Ismail, 60, berkata kerajaan perlu melakukan sesuatu dan menggesa pihak berkaitan melihat sendiri kawasan perumahan yang hendak dibangunkan.
Katanya, kira-kira 4,000 penduduk di pulau itu memerlukan rumah kos rendah terutama generasi kedua dan ketiga yang kebanyakannya masih menumpang di rumah orang tua masing-masing.
“Projek ini tidak boleh ditangguh lagi kerana kehidupan kami semakin terhimpit malah ada di antara penduduk di sini yang berkongsi rumah bersama ibu bapa dan adik beradik lain yang sudah berkeluarga,” katanya ketika ditemui di Kampung Tekek di sini, baru-baru ini.
Seorang penduduk, Zulfakar Othman, 45, meminta pihak berkaitan mempercepatkan pembinaan rumah kos rendah itu bagi memberinya peluang tinggal dalam suasana yang lebih selesa.
“Kami akur dengan permintaan kerajaan untuk mengambil alih tanah milik keluarga dan diberi bayaran pampasan bagi tujuan meningkatkan taraf hidup kami tetapi tidak sepatutnya kami dibiarkan hidup bersesak dan berhimpit seperti ‘ikan sardin’ di sini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Mohd Johari Hussein, berkata beliau akan bertemu dengan semua pihak berkaitan bagi berbincang dan mencari jalan penyelesaian berhubung perkara itu.
“Saya sudah memohon kepada kerajaan mempercepatkan pembinaan 94 unit rumah murah bagi memberi kemudahan tempat tinggal yang lebih selesa terutama kepada generasi kedua dan ketiga penduduk pulau ini.
“Ketika ini ramai di kalangan penduduk ini terpaksa membina rumah di atas tanah kerajaan berhampiran kawasan pantai yang secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada industri pelancongan di pulau ini,” katanya.
cara yg paling mudah sembahyang hajat minta adakan pilihanraya kecil di dun atau parlimen tersebut.. kalau tidak kena tunggu pilihan raya umum ke 13, baru akan ada janji baru untuk projek itu dan depa kata kontraktor telah dilantik dan sebagainya spt difelda sg.buaya ulu selangor.
ReplyDelete