Wednesday, June 2, 2010

Penduduk menderita air bau tahi dari hospital banjiri kampung

TEMERLOH: Sesuatu kemajuan memanglah baik sekiranya ia boleh dimanfaatkan oleh semua. Namun jika kemajuan itu membawa mala petaka dan kesusahan kepada sesetengah orang, sudah tentu ia menjadi mimpi ngeri.

Inilah yang dialami oleh lebih 1000 penduduk Kampung Paya Luas, dekat sini, yang berbangga dengan kewujudan hospital besar di kampung mereka namun pada masa yang sama terpaksa menderita kerana menghidu bau busuk air najis kumbahan dari hospital berkenaan.

Air kumbahan dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah yang dipercayai tidak dirawat dengan sempurna itu, dialirkan ke longkang dalam kampung berkenaan yang dibina pemaju sebagai sebahagian daripada sistem kumbahan, hingga menyebabkan penduduk terpaksa menghidu bau busuk sepanjang masa.

Selain daripada tidak diselenggara dengan baik sehingga dipenuhi kelodak hitam berbau busuk, longkang terbabit juga terhenti berhampiran rumah penduduk kampung tanpa disalurkan ke dalam paya sebagaimana dijanjikan pada peringkat awal.

Keadaan ini sudah tentu menimbulkan masalah besar bila waktu hujan kerana banjir air najis melimpah dari longkang memasuki kawasan rumah penduduk. Bau tersebut dapat dihidu penduduk kampung yang keluar masuk kerana hospital berkenaan berada di jalan masuk kampung.

Tinjauan Selamatkan Pahang mendapati, paling teruk ialah 30 rumah yang terletak berhampiran hospital. Jelas, bau busuk menusuk hidung ketika berada di kawasan rumah-rumah berkenaan sehingga meloyakan tekak. Menurut penduduk, mereka seakan-akan sudah lali menghidu bau busuk begitu yang berterusan sepanjang masa sejak hospital berkenaan beroperasi dua tahun lalu.

Air bau tahi banjiri rumah

Menurut Rohana Abdullah, 43, yang mana rumahnya paling teruk menerima kesan kerana hanya berada kurang empat meter dari longkang hospital, air berbau najis manusia sering kali membanjiri sehingga ke dalam rumahnya terutama pada musim hujan.

Katanya selain terpaksa menghidu bau busuk sehingga menutup hidung, keadaan ini juga menyebabkan anak-anaknya selalu mengalami gatal-gatal dan kudis pada badan kerana terkena air kumbahan tersebut.

“Dulu mula-mula ada orang kontrak buat longkang hospital datang beritahu longkang yang dimatikan berhampiran rumah saya ini sementara saja di situ dan akan disambung semula salurannya ke paya luar kampung. Tapi sekarang dah dua tahun, tak berubah pun... macam itulah juga”.

"Longkang sedalam enam kaki itu pula terbiar tanpa dipelihara sehingga banyak penutupnya yang sudah rosak. Ini sudah tentu membahayakan anak kecil saya yang tidak ada tempat bermain lain”.

Rohana yang mengadu sebagai orang susah, mengharapkan pihak Kementerian Kesihatan, hospital atau wakil rakyat datang menjenguk rumah mereka.

Hospital Sultan Haji Ahmad Shah terletak di Kampung Paya Luas, kira-kira empat kilometer dari pusat bandar Temerloh. Mula dibina pada 2002 bagi menggantikan Hospital Mentakab yang berusia lebih 80 tahun dengan kos sebanyak RM490 juta. Hospital ini mula beroperasi secara berperingkat dari Mac 2005 dan sepenuhnya pada 16 April 2005.

Hospital ini merupakan kedua terbesar di negeri Pahang selepas Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan menjadi hospital rujukan bagi daerah Kuala Lipis, Raub, Maran, Bentong, Jerantut dan Bera.

Terdapat sebuah stesen loji rawatan memproses kumbahan di belakang hospital yang dikendalikan oleh Jabatan Pembetongan Negara atau IWK. Penduduk percaya air kumbahan dari hospital berkenaan tidak dirawat dengan sempurna sehingga air yang dilepaskan ke dalam longkang merentasi kampung berbau busuk.

Penduduk mendakwa, ada kemungkinan berlaku kerosakan mekanikal pada sistem kumbahan atau bahan kemikal yang digunakan tidak mencapai standard. Kerana kata mereka, kebanyakan tempat yang terdapat kolam kumbahan tidak berbau busuk malah boleh dijadikan kawasan rekreasi.

Seorang penduduk yang rumahnya terletak hanya 15 meter dari loji rawatan kumbahan, Said Mat, 75, berkata mereka sekeluarga serta jiran-jiran terpaksa menghidu bau busuk najis manusia yang menyeksakan itu secara berterusan setiap hari sejak hospital tersebut mula beroperasi.

“Bau busuk bertambah kuat bila lepas hujan, waktu malam dan bila angin bertiup sehingga meloyakan tekak”.

“Sepatutnya air kumbahan hospital di salurkan ke Charok Bengawan (paya sebelah hujung kampung yang tidak berpenghuni) tapi kenapa hala ke kampung pulak.”

“Waktu hujan air melimpah ke belakang rumah dan banyak tanaman mati. Kami yang terlibat dah saman pihak kontraktor tapi setakat ini belum ada apa-apa perkembangan”, katanya.

Sementara itu, penduduk mendakwa air kumbahan yang dilepaskan ke longkang kampung mungkin bercampur bahan kimia kerana apabila air melimpah membanjiri kawasan rumah, banyak pokok yang mati atau bantut dan tanaman baru sukar untuk hidup.

Tanaman jadi bantut

Pasangan suami isteri Kasim Ismail, 77, dan Mariam Zakaria, 66, mendakwa bukan saja rumah mereka menjadi mangsa banjir najis setiap kali musim hujan, tetapi juga tanaman juga tak menjadi.

“Bila hujan bau tahi terlalu kuat. Saya syak air ini bercampur kimia menyebabkan tanaman tak boleh hidup atau bantut. Kalau kena kaki, biasanya akan cepat jadi gatal atau melecur”.

“Kami bimbang keadaan berkenaan boleh membawa pelbagai penyakit lain“.

“Saya fikir sebab utama ialah longkang kumbahan hospital dimatikan begitu saja tanpa saliran keluar. Sebab itu saya desak pihak-pihak yang berkaitan kena tengok-tengok sikit sikit, sama ada rawat air kumbahan supaya jadi bersih tanpa bau atau salurkan air najis ini ke paya” , katanya yang juga pesara tentera.

Mariam pula berkata keadaan persekitaran yang berbau busuk dan banjir air najis memang menjejaskan keselesaan menyebabkan penduduk kawasan sekitar merasa tertekan tambahan bila hujan turun.

“Bau air najis meloyakan sehingga kebanyakan kami terpaksa menutup tingkap dan pintu kediaman pada sepanjang masa”, katanya.

"Sistem perparitan dan kumbahan yang tidak sempurna juga menyebabkan air kotor dan najis haiwan ternakan itu mengalir ke kawasan perumahan di situ," katanya.

Dalam pada itu Mohd Rosdi Said, 30, berkata penduduk kampung telah banyak berkorban semasa pembinaan hospital termasuk selalu terputus bekalan air paip dan jalan berdebu. Dengan demikian beliau berharap pihak berkuasa tidak mengabaikan penduduk setempat.

"Saya memang tidak mahu komen banyak... cuma saya harap pihak terbabit datang dan tengok sendiri keadaan di sini. Sudahlah tidak ada klinik pesakit luar untuk kemudahan penduduk kampung berdekatan yang sakit, kini dapat dapat bau tahi pulak”.

“Pihak berkuasa datang dan tengok-tengoklah kami di sini”, keluhnya.

Gambar;
Hospital Sultan Haji Ahmad Shah berdiri megah, namun penduduk sekelilingnya tersiksa dengau bau tahi







No comments:

Post a Comment