Akhirnya Jumaat lalu sekumpulan 40 ulama muda bertindak menyertai Umno. Mereka menyerahkan borang penyertaan ahli Umno kepada Presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak di tingkat empat Menara Dato' Onn sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.
Kumpulan itu diketuai oleh Fadlan Mohd Othman, pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia. Alasan yang diberi untuk menyertai Umno ialah untuk menyemarakkan lagi usaha berdakwah menerusi Umno menyediakan ruang yang lebih besar, bukan untuk berpolitik, kata beliau.
Ketika ditanya mengapa tidak memilih PAS sebagai parti politik, Fadlan berkata dalam parti komponen Pakatan Rakyat itu sudah ada ramai ulama.
Seorang yang menamakan dirinya Abu Anis, yang mengaku kenal dengan Fadlan dan kumpulan ulamak muda berkenaan, mengulas dalam laman Malaysian Insider bahawa kumpulan tersebut masuk Umno kerana terpaksa.
“Mereka telah disiasat berkenaan dakwaan JI, Wahabi. Sebab tu masuk Umno.ternyata mereka ini lemah tak tahan diuji. Bercakap saja ikut sunnah dan aqidah yang sahih tapi tuan-tuan tengok sendirilah..., “ tulisnya.
Ada pula yang berkata, mereka ini, dengan kefahaman yang ada, tidak mendapat tauliah untuk mengajar di surau masjid, terutama di negeri Selangor. Jadi dengan menyertai Umno, konon ceritanya, dapat memudahkan mereka memperolehi permit mengajar dan berceramah selepas ini.
Apa-apapun alasannya, mereka sudah menyertai Umno. Sebagai warga dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, kita tidak boleh mempertikaikan mereka. Sebab, itu hak mereka.
Namun bagi PAS, perkara ini tidak boleh diterima sebagai enteng dan remeh sahaja. Saya katakan demikian kerana terdapat pandangan sinikal dan bersikap tidak kisah dengan kemasukan tersebut. Pada hal ia sepatutnya dijadikan cabaran.
Pada saya, sikap ini silap... jika PAS bertekad menggantikan Umno menjadi parti pilihan orang Melayu, sebagai wadah untuk ke Putrajaya selepas PRU ke-13 nanti.
Ya, kita mengaku, setakat mana sangatlah 40 orang ulamak masuk Umno, berbanding mungkin lebih 40,000 ulamak muda yang telah sedia ada dalam PAS sekarang.
Kita pun boleh berhujah, Imam Besar Masjid Negara Ustaz Pirdaus Al-Hafiz pun entah ke mana setelah bergelumang dalam selut Umno!
Namun begitu kita kena ingat, kemasukan mereka ke dalam Umno luar biasa. Mereka masuk Umno dengan disaksikan oleh mungkin lebih 15 juta rakyat Malaysia melalui kaca televisyen di rumah masing-masing dan diulang-ulang.
Dan selepas ini mereka akan dipergunakan Umno untuk menggambarkan bahawa parti itulah yang mahu mendaulatkan Islam di bumi ini. Mereka akan ditaja untuk bergerak ke serata ceruk dan pelusuk penempatan orang Melayu untuk ‘berdakwah’ tentang betapa islamiknya Umno dan betapa perlunya diundi.
Bayangkan bagaimana perasaan dan sikap orang Melayu di kampung-kampung apabila tok-tok guru muda dari Umno berkempen kepada mereka.
Sedangkan cabaran PAS pada PRU akan datang ialah untuk mengembalikan undi orang Melayu, sekurang-kurangnya seperti pada PRU 1999. Ini sahaja jalan untuk ke Putrajaya. Sebab, kita berpendapat undi bukan Melayu terutamanya Cina, kekal bahkan terus meningkat berbanding PRU pada 2008.
Justeru apa yang kita mahu, Dewan Ulamak dalam PAS mestilah berperanan menarik seberapa ramai ulamak yang masih ada di luar. Dewan Pemuda mesti bekerja membawa masuk seberapa ramai pemuda yang masih bergentayangan di luar. Dewan Muslimat lebih-lebih lagi mesti berperanan besar membawa masuk seberapa ramai wanita yang dapat. Kerana undi golongan wanita sangat penting. Nisa’ pun begitu juga, mesti bekerja dua kali ganda memperhebat program. Ahli-ahli Dewan Himpunan Penyokong juga perlu berkerja keras menarik lebih ramai ahli.
Pendek kata semuanya mesti bekerja keras dan jadikanlah 40 ulamak sertai Umno itu sebagai cabaran.
Pada hemat Aki bahawa membawa masuk ulama' kedalam UMNO [ada yang memang dah di dalam pun] secara besaran2 adalah usaha untuk memikat hati orang melayu yang dah jauh dari UMNO mentelahan kerajaan di bawah UMNO sudah terperangkap dengan isu lesen judi bola sepak dimana sebahagian orang UMNO sendiri menentang UMNO dalam isu ini. Maka pengumuman tidak mengeluarkan lesen judi bola sepak telah dibuat serentak dengan kemasukan ulama'muda ke dalam UMNO. seperti kata orang ' sekali menarik pancing, terlepas sangkut dan mendapat ikan besar'- t.k (akeynet.blogspot.com)
ReplyDeletePandangan saya sama seperti pandangan aki net. Saya setuju...
ReplyDelete