Apabila Menteri Perpaduan Bertukar Menjadi Menteri
Perpecahan
1. Suhu atmosfera politik tanah air luar biasa panas
kebelakangan ini walaupun musim tengkujuh sudah mula melanda. Ia berikutan
daripada isu ICERD yang ditentang keras oleh masyarakat Melayu-Muslim dan
golongan bumiputera.
Umum mengetahui, Kerajaan PH hari ini didominasi oleh
kelompok bukan Muslim kerana bilangan Ahli Parlimen Muslim dalam PH hanyalah 58
orang berbanding Ahli Parlimen Bukan Muslim seramai 66 orang.
2. Antara kesilapan besar dalam pembentukan Kabinet PH
ialah apabila Perdana Menteri melantik Senator P. Waytha Moorthy sebagai
Menteri melalui pintu belakang.
Dia tidak pun dipilih oleh rakyat pada PRU 14 yang
lalu.
P. Waytha Moorthy merupakan pengasas dan pemimpin utama
Hindu Rights Action Force (HINDRAF), kumpulan ekstrem menuntut hak penganut
Hindu yang kononnya ditindas oleh kelompok Muslim di Malaysia.
Sebagai penghargaan kepada HINDRAF kerana membantu PH
memperoleh sokongan undi masyarakat India maka P. Waytha Moorthy dianugerahkan
jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan
Sosial).
3. Pemimpin HINDRAF yang kerjanya menghasut perpecahan
rakyat dilantik sebagai Menteri untuk agenda perpaduan, sungguh melucukan bukan
Kabinet PH ini.?
Sepertimana PH melantik Teresa Kok, Ahli Parlimen DAP
Seputeh Wilayah KL sebagai Menteri Industri Utama untuk menjaga hal ehwal
penoreh getah, pekebun dan peladang sawit. Ibarat
4. Pada 23 Oktober 2018, Senator P. Waytha Moorthy
berucap dalam perasmian penutup Persidangan Kebangsaan Non-Diskriminasi ke-8:
" Malaysia Lebih Dekat untuk Meratifikasi ICERD" anjuran Pusat
Komunikasi Masyarakat (KOMAS).
Beliau menyatakan bahawa “Kerajaan Malaysia komited
untuk meratifikasi enam perjanjian antarabangsa termasuk Konvensyen
Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada
suku pertama tahun hadapan”.
5. Sebelum daripada itu, Ahli Parlimen DAP Batu Kawan,
Kasthuriraani a/p Patto ketika berucap di Parlimen pada 15 Oktober 2018 turut
menggesa Kerajaan PH agar mematuhi janji ke-26 dalam Manifesto Pakatan Harapan
iaitu meratifikasi kesemua konvensyen antarabangsa termasuk ICERD ini.
Antara kenyataan pertama Menteri Luar Negeri, Datuk
Saifuddin Abdullah setelah dilantik sebagai Menteri ialah pada 02 Julai 2018 ,
beliau menyatakan hasrat Kerajaan PH mahu meratifikasikan kesemua baki 6
konvensyen antarabangsa yang masih belum ditandatangani.
6. Jadi, tuduhan Anwar dan pemimpin PH kononnya PAS dan
UMNO memanipulasi isu ini bagi kepentingan politik adalah tidak benar kerana
yang mula menuntut dan berjanji ICERD ini diratifikasikan ialah pemimpin PH
sendiri.
Usahlah hanya pandai membaling batu tetapi sembunyi
tangan pula dalam ketakutan.
7. PH juga kelihatan tidak seiring sekata dalam icu
ICERD ini.
PPBM antara yang paling awal menolak ICERD.
PKR kata ICERD ini bagus tapi perlu tangguh dulu.
PAN pula tengah pening lalat, Presiden senyap sepi,
Timbalan Presiden menolak, Mujahid dan Khalid Samad pula perlekeh orang yang
menentang ICERD.
DAP antara pendokong tegar ICERD ini, lihat sahaja
kenyataan rasmi di portal Roketkini yang bertajuk "DAP harus sokong
ICERD" sepertimana yang terkandung dalam Deklarasi Setapak 1967 bahawa
warganegara Malaysia tidak harus diasingkan dengan label “bumiputera” dan
“bukan bumiputera”.
8. Di Parlimen pada hari ini, suasana Dewan menjadi
kecoh apabila tiba giliran Senator P. Waytha Moorthy menyampaikan ucapan
penggulungan belanjawan 2019 bagi portfolionya iaitu perpaduan.
Dia ditekan hebat oleh barisan Ahli Parlimen
Pembangkang yang meminta dia bercakap benar berkenaan hasrat meratifikasi
ICERD.
P. Waytha Moorthy mengubah pula kenyataan yang
dahulunya dia berkata Kerajaan akan meratifikasi ICERD pada suku pertama tahun
hadapan kepada sesi konsultasi akan bermula pada tempoh tersebut.
Dia juga didesak memperjelas berkenaan kononnya Artikel
153 Perlembagaan tidak terjejas apabila ICERD diratifikasi sedangkan Artikel 1.
4 Konvensyen ICERD secara jelas menyatakan pengecualian (reservation) perlu ada
had tempoh masa bukannya boleh kekal untuk selamanya.
"4. Special measures taken for the sole purpose of
securing adequate advancement of certain racial or ethnic groups or individuals
requiring such protection as may be necessary in order to ensure such groups or
individuals equal enjoyment or exercise of human rights and fundamental
freedoms shall not
be deemed racial discrimination, provided, however,
that such measures do not, as a consequence, lead to the maintenance of
separate rights for different racial groups and that they shall not be
continued after the objectives for which they were taken have been
achieved."
9. Apa jaminan Kerajaan PH tidak akan mengusik Artikel
153 Perlembagaan Persekutuan suatu hari nanti kerana pihak antarabangsa pasti
mendesak ianya dihapuskan seiring dengan matlamat utama ICERD ini diwujudkan iaitu
menyamaratakan hak kesemua kaum tanpa ada diskriminasi.?
Kelihatannya P. Waytha Moorthy gagal menjawab persoalan
asas ini sehingga dia sendiri tidak dapat meneruskan sesi penggulungan akibat
asakan kuat daripada sekalian Ahli Parlimen Pembangkang.
Yang anehnya, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen
Kerajaan PH yang berani bangun membela P. Waytha Moorthy yang terkapai-kapai
keseorangan menghadapi serangan demi serangan Pembangkang.
Benar apa yang dikata Ahli Parlimen Kubang Kerian, YB
Ustaz Dato' Tuan Ibrahim bahawa Menteri Perpaduan ini sudah hilang kelayakan
untuk menjawab di dalam Dewan. Tugas ini perlu digalas oleh Perdana Menteri
sendiri.
10. Tekanan demi tekanan perlu diteruskan terhadap
Menteri PH ini agar dia sedar dan insaf bahawa apa yang dia pernah sebut dalam
rakaman video yang sedang hangat tersebar itu adalah suatu fitnah jahat dan
pengkhianatan kepada negara Malaysia yang menganugerahkan kewarganegaraan
kepadanya.
Tidaklah mustahil P. Waytha Moorthy ini akan berundur
sepertimana yang dia pernah lakukan ketika bergelar Timbalan Menteri pada zaman
BN dahulu. Dia meletakkan jawatan pada 10 Februari 2014.
Seandainya PM sedar akan kemarahan rakyat yang sedang
meluap sekarang, sepatutnya sudah tiba masanya P. Waytha Moorthy ini digugurkan
terus daripada jawatan menteri.
Lagipun dia bukannya dipilih oleh rakyat pada PRU 14
lepas.
Catatan oleh;
SYED AHMAD FADHLI
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
19 November 2018
No comments:
Post a Comment