Tuesday, November 27, 2018

Isu gaduh di kuil: Exco DAP keterlaluan!

Isu pertempuran dan pergaduhan antara kumpulan di Kuil Sri Mariammam, USJ 25, Putra Heights yang diulas begitu agak rasis oleh oleh seorang Exco berbangsa India dari DAP, dibantah oleh Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Selangor.

Exco Kerajaan Selangor, Ganabatirau sebelum itu memuat naik dalam facebooknya berkenaan pertelingkahan berkenaan, cuba menyemarakan sentimen perkauman melampau dengan melempar tuduhan bahawa kumpulan muslim telah menyerang kuil. Sedangkan polis mengklafikasikannya sebagai melibatkan "dua kumpulan bangsa India" atau kumpulan pemaju dan penganut kuil, tanpa menyebut bangsa terlibat.


Ketua DHPP Selangor, Dato' K Deepakaran merasa amat kesal dengan status yang telah dinaikmuat dalam akaun milik Ganabatirau yang merupakan ahli DAP.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian dan kerukunan hidup bersama pelbagai bangsa dan agama, tuduhan Ganabatirau itu adalah keterlaluan, lebih-lebih lagi beliau menaikmuat status yang boleh dianggap sebagai provokasi tanpa mendapatkan maklumat dan pandangan pihak ketiga terlebih dahulu.

“Saya amat yakin, status beliau itu dimuatnaik berdasarkan emosi tanpa sandaran kajian dan konsultasi dengan pihak berwajib lain. 

“Sejak memegang jawatan Exco, sikap yang ditunjukkan oleh beliau kepada umum, banyak menimbulkan tanda tanya dan keresahan termasuk juga berkaitan dengan isu pemberian tanah di Ijok sedikit masa lalu.

“Saya menuntut agar YB Ganabatirau memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat khususnya kepada masyarakat Islam, Melayu atas keterlanjuran beliau. Beliau mesti berjanji bahawa tidak akan mengulangi kesilapan dan tidak berlagak sombong terhadap rakyat berbilang bangsa dan agama,” ujarnya.

Tambahnya, sebagai salah seorang pemimpin kerajaan, Ganabatirau mesti bijak "menempatkan" dirinya untuk tidak dilihat berpihak.

“Dalam masa yang sama saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar kukuhkan toleransi dan saling menghormati adat budaya, agama, kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan negara.”

Pada masa yang sama, PAS Selangor turut mengeluarkan kenyataan media berhubung kenyataan YB Ganabatirau tentang pengkibatan "Muslim Group" dalam insiden Kuil Sri Mariamman USJ.

Setiausaha Perhubungan PAS Selangor Haji Abdul Halim Omar, dalam kenyataannya turut dukacita dan sedih atas kejadian pergaduhan yang melibatkan antara 2 kumpulan di kuil Seafield Sri Maha Mariamman di USJ 25 Subang Jaya awal pagi.

Serentak dengan itu, PAS Selangor menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mana mana pihak yang terlibat.

“Dalam masa yang sama PAS Selangor menyelar sikap biadap Exco Kerajaan Selangor dari DAP yang cuba menyemarakkan sentimen perkauman melampau dengan melempar tuduhan kumpulan muslim telah menyerang kuil.

“PAS Selangor menggesa satu siasatan terpeinci dijalankan dengan memangggil mereka yang berkepentingan dalam perebutan tapak kuil ini serta memanggil Exco Kerajaan Selangor V Ganabathirau untuk membantu siasatan dengan membuktikan tuduhan liar, jahat dan merbahaya yang dimuat naikkan dalam facebook beliau.

“PAS sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu-isu yang melibatkan pencerobohan rumah ibadat orang bukan Islam dan serangan ke atas penganut agama lain atas semangat perkauman yang sempit. Semoga rakyat Malaysia akan terus hidup harmoni dan menolak mereka yang cuba bermain dengan api perkauman yang sempit,” kenyataan tersebut dipetik.

No comments:

Post a Comment