Pada siri yang lepas Tuan Haji Mohd Saludin Omar telah
menceritakan kisah beliau membantu Allahyarham Tun Razak memenangi PRU pertama
di Temerloh menentang calon PAS Allahyarham Mohd Yasin Salleh (
https://selamatkanpahang.blogspot.com/2018/10/bah-2-bantu-tun-razak-menang-di-pru.html )
https://selamatkanpahang.blogspot.com/2018/10/bah-2-bantu-tun-razak-menang-di-pru.html )
Selepas berakhir
pilihan raya perhubungan beliau dengan dengan Tun terus akrab dan saling
berhubung juga sering berkunjung ke rumah Tun di Kuala Lumpur khususnya apabila
dipanggil. Tun telah berpindah bertanding di Parlimen Pekan pada PRU kedua
1959. Namun Tun telah mengarahkan beliau dalam tugasan-tugasan yang lain pula.
MEMERANGI KOMUNIS
Pada Jun tahun 1958 saya ditukarkan semula ke Lipis. Sebagai
Menteri Pertahanan, pada tahun itu juga Tun Razak telah melantik saya menganggotai
kumpulan Psycological Warfare juga jawatankuasa perang saraf negeri khas untuk
memerangi komunis yang mula masuk ke negeri Pahang. Pada masa itu ia dinamakan
Gerakan Apollo (1954) dan kemudiannya ditukarkan nama Gerakan Setia.
Saya masuk hutan di sekitar Kerdau, Triang, Mengkarak
dan Kemayan diescort oleh polis hutan satu platun (25 orang). Dalam satu hari
kami berjalan sejauh enam batu dengan bertugas memasang speaker iaitu pada
pukul lima pagi (waktu mereka bangun tidur) dan 10 malam (waktu mereka nak
tidur) meminta para anggota komunis di hutan itu menyerah diri. Biasanya yang
bercakap ialah bekas komunis Cina yang ditangkap atau menyerah diri.
BANTU GHAZALI SHAFIE DALAM PRK 1962
Pada tahun 1962 berlaku pilihan raya kecil (PRK) Lipis
disebabkan Tun Razak tidak mahu senator (Tan Sri) Ghazali Shafie menjadi
Menteri Penerangan. Dalam PRK tersebut Ghazali ditentang oleh calon PAS Tengku
Kamaruzaman Tengku Hamid dari Raub yang juga bekas pelajar Clifford.
Ahli Parlimen Lipis pada masa itu ialah Datuk
Setiawangsa (Tan Sri) Abdul Razak Husein Orang Besar Berlapan negeri Pahang.
Beliau letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Lipis bagi membolehkan Ghazali Shafie
bertanding. Abdul Razak (ayah kepada Exco Pahang Dato’ Sofi) kemudiannya
dilantik sebagai senator.
Masa itu saya Pegawai Penerangan Daerah Lipis
(ditukarkan ke Lipis tahun 1958 dari Temerloh).
Tun Razak yang menjawat sebagai Menteri Pembangunan Luar
Bandar berhajat untuk melawat kawasan di Lipis. Ketika itu mesyuarat
pembangunan daerah Kuala Lipis dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Yaakob Abd
Hamid, berbincang siapa akan bawa Tun Razak untuk round (meronda kawasan).
Semua jabatan yang ada kenderaan tidak sanggup nak membawa Tun untuk melawat
projek jalan baharu dari Kuala Lipis ke Relong. Maka saya sebagai ahli JK
mesyuarat pada masa itu menawarkan diri dan sanggup untuk membawa Tun untuk
melawat jalan di Lipis. Masa itu musim hujan jalan pula baharu disodok.
Untuk itu saya bersama pemandu Jabatan Penerangan pergi
segera ke ibu pejabat Jabatan Penerangan di Batu Road (seberang Dataran
Merdeka) berunding minta kenderaan baru untuk saya bawa Tun Razak melawat.
Sebelum jumpa Ketua Pengarah saya lihat banyak Land
Rover jabatan yang baru sampai. Saya pun terus minta sebuah untuk digunakan
sebagai kenaikan Tun untuk melawat projek jalan baru Lipis - Relong kerana
kereta yang ada buruk. Dulu tiada escort macam sekarang.
Antara peristiwa yang saya masih ingat ketika bersama
Tun dalam Land Rover itu ialah saya beritahu saya ini pegawai divisyen 3
sepatutnya pegawai divisyen 1 yang bertugas. Kerja dan tugas saya pula berat
tapi gaji kecil.
Untuk itu Tun nasihatkan saya supaya tubuhkan persatuan pegawai-pegawai
luar Jabatan Penerangan. Balik sahaja
saya terus tulis surat kepada pegawai-pegawai Penerangan Daerah supaya
tubuhkan persatuan dengan gunakan surat rasmi Jabatan Penerangan. Hasilnya
setahun kemudian tertubuhlah persatuan pegawai-pegawai luar Penerangan. Masa
itu gaji saya RM256 sebulan.
Balik itu kami makan malam di Rest House Lipis dan
berbincang. Tun kata: “Mat boleh tolong saya tak?” Saya jawap, saya boleh
tolong tapi saya pegawai kecil kerajaan. Dia balas, “Mat manusia ni bukan
semuanya cerdik bukan semua pandai, bukan semua tahu. Saya minta kelemahan ini
(dibantu). Saya minta tolong awak buat pemantauan berkenaan Felda dengan buat
laporan tiap-tiap bulan.”
Satu hal yang saya nak sebutkan, dalam PRK tersebut
saya ditangkap polis ketika berkempen di Budu, Benta. Kisahnya PAS buat ceramah
di pekas sari, kami pula berceramah berhampiran masjid. Kawasan agak
berdekatan. Disebabkan itu orang PAS telah membuat laporan polis dakwa saya
ganggu ceramah PAS. Ketika itu ceramah Umno ada wayang gambar dan ramai orang
datang. Di balai polis, saya pun menelefon Tun dan Tun kemudiannya mengarahkan
Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato’ Mohamad Yaakob (juga bekas Menteri Besar
Kelantan) turun dari Kuala Lumpur dan datang membebaskan saya.
PEGAWAI KHAS MENGENAI FELDA KEPADA TUN
Tanah rancangan Felda merupakan dasar penempatan yang
dirancang oleh Allahyarham Tun Razak yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar
pada tahun 1956 bagi membasmi kemiskinan khususnya orang Melayu yang berada di
kampung dan pedalaman sebagai satu pembangunan nasional untuk membetulkan
ketidakseimbangan kaum.
Ia juga bertujuan mengekang pergerakan komunis yang
mula masuk pada tahun 1954.
Sehubungan dengan itu, tanah rancangan pertama yang
dibuka ialah Lurah Bilut yang ditanam dengan getah iaitu pada tahun 1958
manakala seramai 30 orang peneroka yang terdiri daripada orang Melayu, Cina dan
India bersama keluarga dibawa masuk pada 2 Ogos 1959. Kebanyakan mereka terdiri
daripada ahli-ahli parti pembangkang dan samseng dari beberapa negeri. Kontraktor
menebang hutan manakala peneroka pula membakar kesan tebangan dan menanam.
Mereka mengusahakan sendiri ladang dan penanamannya serta membina rumah
sendiri.
Ketika itu belantara di Lurah Bilut itu dihuni oleh
anggota komunis termasuk pemimpin tertinggi PKM Chin Peng, Abdullah CD,
Shamsiah Fakeh dan lain-lain yang berundur selepas bertempur dengan pasukan
keselamatan.
Saya berpindah kerja ke Bentong (dari Kuala Lipis) dan
duduk di Jalan Tras pada tahun 1962 itu betul-betul untuk membantu Tun dengan
membuat laporan berkaitan peneroka dan Felda. Setiap bulan saya pergi ke rumah
Tun menghantar laporan.
Pada tahun 1963 semasa menghantar laporan saya bertemu
Tun di rumahnya di Kuala Lumpur saya cadangkan supaya kerja-kerja membakar,
buat rumah dan tanam pokok yang sebelum itu dibuat oleh peneroka (seperti
peringkat awal di Lurah Bilut) diambil alih oleh Felda.
Dalam laporan itu saya mencadangkan tiga perkara
kepadanya iaitu yang pertama ubah dasar (daripada halau komunis kepada
pembukaan tanah rancangan seluruh negara), kedua ubah corak pembangunan
(daripada diusahakan sendiri membuka hutan oleh peneroka kepada seperti
sekarang) dan ketiga diberi kepada orang Melayu (pada asalnya terbuka seluruh
rakyat Malaya).
Maknanya peneroka masuk ke tanah rancangan hanya mengusahakan
tanaman komoditi itu sahaja. Dan idea saya Tun pakai setelah Felda mendapat
pinjaman daripada bank luar negara dan kos pembangunan tersebut dibayar balik
oleh peneroka dalam tempoh 15 tahun.
Saya dilantik menjadi anggota panel pemilihan kemasukan
peneroka Felda dari tahun 1974 hingga 1982.
MASJID GUNA DUIT LOTERI: TUN PAKAI IDEA SAYA
Selepas PRU 1959, banyak masjid-masjid baru mulai
dibina. Malangnya sesetengahnya menggunakan wang Loteri Kebajikan Masyarakat
yang terang-terang merupakan satu hasil perjudian. Pada tahun 1963 ketika saya
berkhidmat sebagai Pegawai Penerangan di Bentong, pada satu ketika dalam satu
program saya berjumpa dengan Kadi Haji Lutfi. Seingat saya ia melibatkan masjid
baru Kampung Bukit Gajah di jalan Manchis. Masjid itu dibina menggunakan duit Loteri Kebajikan Masyarakat
secara terus (direct). Saya nyatakan rasa tidak setuju kepada beliau dan
mengajaknya untuk bertemu Tun Razak supaya wang loteri tidak digunakan secara
direct begitu.
Pada satu masa saya mengikuti rombongan lawatan sambil
belajar melibatkan pegawai-pegawai masjid Daerah Bentong buat lawatan dengan
menaiki bas ke Kuala Lumpur. Kami ambil kesempatan pergi ke rumah Tun Razak.
Pada masa dialog itu saya utarakan pendapat supaya duit Loteri Kebajikan Masyarakat
tidak seharusnya digunakan secara direct untuk bina masjid sebaliknya hendaklah
diasingkan dulu kemudian dimasukkan ke akaun kerajaan. Setelah itu barulah
dikeluarkan peruntukan pembinaan masjid.
Tun kemudian menjawap, “...baiklah saya akan tengok dulu
(cadangan ini) dan saya akan bawa kepada orang-orang yang lebih arif dalam hal
ehwal agama.”
Saya dengar akhirnya idea saya dipakai dan dilaksanakan
pada tahun-tahun 1970an.
No comments:
Post a Comment