Wednesday, November 28, 2018

Terengganu tenteram tanpa perkauman

Kenyataan Media 
Menteri Besar Terengganu Darul Iman

TERENGGANU KEKALKAN KETENTERAMAN ANTARA KAUM

Kerajaan Negeri Terengganu menyokong penuh kenyataan rasmi Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Keharmonian dan Ketenteraman Awam Diutamakan’ berikutan insiden Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, USJ Subang Jaya baru-baru ini. 

Walaupun kejadian ini berlaku di luar Terengganu, namun ia memberi kesan emosi dan psikologi kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.

Tambahan pula, pada zaman digital dan teknologi setiap perkara boleh disebarkan dengan pantas melalui media sosial tanpa mengetahui kesahihannya. 

Saya menyeru semua rakyat Terengganu agar bertenang dan kekalkan keharmonian sedia ada. Elakkan membuat provokasi dan menulis komentar negatif di media sosial yang boleh menjejaskan ketenteraman. 

Patuhi arahan pihak keselamatan kerana saya percaya pihak Polis Diraja Malaysia dapat menangani isu ini dengan bijaksana. 

Di kesempatan ini, saya juga ingin menyeru semua rakyat Terengganu untuk bersama mendoakan mangsa yang tercedera termasuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, PB Muhammad Adib bin Mohd Kassim agar cepat sembuh.

'Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera'
'Negeri Berkat, Rakyat Sejahtera'

Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
28 November 2018

No comments:

Post a Comment