Friday, November 2, 2018

Anti- Lynas kecewa dengan kerajaan PH

Isu Lynas yang sepi sebelum ini, kembali bergema apabila sebuah kumpulan Anti- Lynas, Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) melahirkan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana masih melanjutkan lesen simpanan sementara buangan Lynas sehingga Februari tahun hadapan.

Dalam sidang yang diadakan di pejabat Adun Semambu hari ini, Presiden SMSL, Tan Bun Teet berkata, lesen terbabit sepatutnya tamat pada hari ini, namun tidak menjangka kerajaan membuat keputusan sedemikian.


Menurutnya, pihaknya bimbang dengan jumlah sisa buangan yang dijana setakat  ini lebih 450,000 tan, ia dilihat boleh mengundang pelbagai masalah kepada warga Kuantan terutamanya pencemaran alam sekitar.

“Jumlah buangan itu cukup banyak dan telah ditinggalkan berhampiran Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Gebeng yang gagal diselia oleh pihak berkenaan.

"Jadi dalam hal ini, kerajaan perlu  bertanggungjawab kerana kilang itu tidak akan mengeluarkan sebarang lesen untuk membina kilang, apatah lagi membiarkan sisa buangan tercemar dengan thorium yang mengandungi bahan radioaktif, logam berat, toksik, bahan kimia dalam sebatian Lynas dibiarkan di simpan di LAMP,” katanya seperti dipetik portal Sinar Harian.

Bun Teet menjelaskan, piawaian negara China alam menguruskan sisa buangan lebih baik kerana ia mempunyai garis panduan jelas untuk pelepasan efluen dan sisa pepejal yang diukur dalam istilah molekul.

Jelasnya, walaupun bahan buangan mengandungi bahan kimia tetapi negara China dapat menyenaraikan secara sistematik dan dikelaskan mengikut toksin yang terdapat dalam sesuatu buangan itu.

“Kita lihat China mempunyai piawaian yang lebih baik sejak tahun 2010 daripada Malaysia dalam mengurus dan mengawal selia industri nadir bumi.

“Tapi perkara ini tidak berlaku di Kuantan..Jadi kami mahu satu garis panduan yang baik mengurus bahan buangan Lynas dengan tempat penyimpanan yang lebih selamat,” katanya.

Menyentuh mengenai keputusan kerajaan, Bun Teet berkata, kerajaan PH perlu sedar bahawa mereka dipilih adalah untuk menjaga kepentingan rakyat.

Justeru, tindakan kerajaan melanjutkan tempoh lesen itu seolah-olah mengikuti apa yang telah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

“Jika kerajaan PH gagal, maka ia akan tinggalkan kesan atau kepercayaan kepada rakyat bahwa kerajaan sekarang tidak banyak beza dengan kerajaan BN.

“Rakyat akan berasa tertipu  kerana telah memilih kerajaan PH,” katanya.

Isu Lynas ini pernah menggegarkan negara pada era pemerintahan BN sehingga memberi impak kepada kemenangan pembangkang pada ketika itu. Salah seorang daripada aktivis anti-Lynas iaitu Wong Tuck telah menang dalam PRU yang baru lalu di Parlimen Bentong mengalahkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Teong Lai yang juga Presiden MCA.

1 comment:

  1. It’s onerous to search out knowledgeable folks on this matter, however you sound like you already know what you’re talking about! Thanks casino real money

    ReplyDelete