Sunday, November 4, 2018

Jangan kecewakan amanah rakyat - Sultan Nazrin

Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sepatutnya diambil iktibar oleh kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah sekarang kerana umum melihat kerajaan yang ada lebih cenderung untuk lebih ‘bermain politik’ daripada melunaskan janji yang dibuat sebelum PRU yang lalu.

Meskipun baginda bertitah dalam konteks negeri Perak, namun ia juga sepatutnya turut dijadikan satu nasihat bagi kerajaan Pusat yang ditadbir oleh parti kerajaan yang sama.


Dalam majlis berkenaan, baginda menitahkan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya tidak mengecewakan amanah baginda dan kepercayaan yang sudah diberikan rakyat.

Titah baginda, harapan rakyat yang mahukan pemerintahan yang adil dan saksama berlandaskan undang-undang, harus direalisasikan secara bersama oleh semua pihak berkenaan.

“Rakyat jangan terus dibiarkan menampi nyiru harapan, sedangkan janji tidak berisi.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), hakim, ulama, umara, angkatan tentera, polis, badan beruniform, yang masing-masing turut diberikan amanah untuk membantu, supaya negeri ini terus dibangunkan dalam suasana aman dan warga berada dalam sejahtera.

“Demikian jua seruan Beta kepada pihak swasta, badan sukarela, badan kebajikan, pertubuhan belia, badan sukan serta rakyat keseluruhannya, agar saling bekerjasama memperlengkap usaha pembangunan yang dirintis oleh kerajaan Beta,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-62, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah serta Raja Puan Muda, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohamed Radzi.

Sultan Nazrin bertitah, demi menjamin rakyat dapat hidup dalam suasana rukun, harmoni dan membina sebuah negara yang stabil serts aman, pemimpin politik perlu membaca mesej rakyat secara tepat.

Sebelum ini kerajaan PH apabila diajukan dengan kegagalan memenuhi 'Janji 100 hari'nya, lebih suku menyalahkan Najib dan kerajaan terdahulu yang dikaitkan dengan 'kehabisan  wang negara' dan hutang yang tinggi seolah-oleh kerajaan sekarang tidak dapat berbuat apa-apa lagi.

Sedangkan majoriti rakyat memilih PH menggantikan BN dahulu, adalah sebagai undi protes setelah rakyat dikatakan terhimpit dengan kos hidup yang tinggi sedangkan pada masa yang kerajaan (BN) pula mengenakan cukai GST di samping pemimpin dilihat bermewah-mewah.

Dalam majlis berkenaan Sultan Nazrin yang kini menjalankan tugas-tugas Yang Dipertuan Agong bertitah, budaya politik pasca 61 tahun merdeka, menuntut kepada menu baharu dan resipi baharu, dalam persekitaran politik yang baharu.

“Rakyat mahukan pemimpin yang menunjukkan sikap lebih sedia mendengar daripada sikap hanya mahu didengar,” titah baginda.

Titah baginda lagi, rakyat bersedia mendedahkan dan menolak pemimpin yang menggunakan jawatan untuk kepentingan diri, mengumpul kekayaan untuk ahli keluarga, atau menjadi instrumen kepada ahli perniagaan, sebaliknya belajar daripada kesilapan mereka yang terdahulu.

Baginda bertitah, menjadi satu kehampaan bagi rakyat jika pilihan yang baharu, turut mengulangi kesilapan yang sama, apatah lagi jika melakukannya secara lebih buruk.

Pada istiadat itu, Sultan Nazrin turut berkenan menerima pengurniaan gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan), kepada Datuk Dr Afifi Al-Akiti mengikut Fasal 38 dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Bahagian Kedua dengan nasihat Dewan Negara Perak.

Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan darjah kebesaran negeri kepada 18 penerima yang membawa gelaran Datuk Seri, Datuk dan Datuk Pahlawan.

Ahmad Faizal mengetuai senarai penerima darjah kebesaran yang menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Dipetik daripada Bharian online

No comments:

Post a Comment