Operasi medan selera dan pasar malam di Terengganu akan
dihentikan 15 minit semasa solat Maghrib secara berperingkat mulai tahun depan,
kata Exco Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd
Nurkhuzaini A Rahman.
Menurut laman FMT, cadangan itu bagaimanapun hanya akan
dilaksanakan oleh kerajaan negeri apabila medan selera atau pasar malam
tersebut mempunyai kemudahan tertentu seperti surau, tandas dan tempat mengambil
wuduk.
“Ini memerlukan kerjasama dengan pihak berkuasa
tempatan dan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) untuk melengkapkan
kemudahan itu di lokasi tersebut.
“Setakat ini, medan selera di Jerteh dekat Besut
telahpun melaksanakan kempen itu bermula 15 Syawal lalu,” katanya kepada
pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018
hari ini.
Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam
Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.
Mohd Nurkhuzaini berkata, melalui kempen yang
melibatkan 17 peniaga di medan selera Jerteh itu, mereka menutup kedai 15 minit
sebelum azan Maghrib dan kembali beroperasi selepas menunaikan solat 10 minit
kemudian.
“Peniaga hanya perlu menutup kedai mereka selama 15
minit sahaja dan maklum balas daripada peniaga medan selera itu adalah positif
dan pelanggan juga memahami dan menghormati waktu solat tersebut,” katanya.
Mohd Nurkhuzaini mengakui pada mulanya, ada bantahan
daripada peniaga memandangkan tempoh itu adalah antara waktu puncak, namun akur
perniagaan yang berkat adalah yang patuh syariah dan mengutamakan kewajipan
diperintahkan Allah.
“Kita juga akan ada satu mesyuarat bersama penjaja
kecil dalam masa terdekat yang antara lainnya membincangkan mengenai kempen ini
agar mereka juga melaksanakannya di tempat masing-masing,” katanya.
No comments:
Post a Comment