Monday, November 5, 2018

Mufti Perlis anggap pemimpin PKR tiada kualiti

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menganggap insiden pergaduhan sewaktu pemilihan pemimpin PKR yang berlaku di Keningau, Sabah kelmarin disifatkan sebagai insiden yang memalukan dan merosakkan nilai murni masyarakat Malaysia.

Beliau berkata, perkara tersebut nyata membimbangkan selepas pihaknya melihat rakaman pergaduhan terbabit di negeri ini.


“Biasanya, aksi dan cara sebegitu hanya kita lihat dalam masyarakat yang rendah peradaban dan tamadunnya.

“Malangnya, dalam negara Malaysia yang terkenal dengan kesantunan terjadi hal seperti itu,” katanya menerusi satu status yang dimuat naik di Facebooknya yang turut dipetik oleh media hari ini.

PKR, parti komponen kerajaan PH yang paling banyak kerusi parlimen itu, sedang mengadakan pemilihan kepimpinan dan pertembungan terarah kepada pemilihan Timbalan Presiden di mana penyandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dicabar oleh naibnya Rafizi Ramli.

Pergaduhan dan kekasaran berlaku di beberapa cabang.

Mohd Asri berkata, atas faktor kuasa manusia sudah hilang nilai murni dan akal yang waras.

“Apakah kualiti pemimpin yang hendak mereka pilih jika demikian keadaannya?” soalnya.

Semalam, pemilihan Cabang PKR Keningau kecoh apabila penyokong seorang calon yang bertanding jawatan Ketua Cabang itu bertindak menceroboh pusat pemilihan selepas pusat berkenaan ditutup pada 4 petang.

Difahamkan, kumpulan berkenaan tidak berpuas hati apabila proses pengundian di Balai Raya Kampung Marampong itu ditutup walaupun masih ramai anggota parti yang belum mengundi.

Anggota FRU terpaksa bertindak meleraikan kekecohan tersebut.

No comments:

Post a Comment