Thursday, October 25, 2018

BAH 2: Bantu Tun Razak menang PRU di Temerloh

Pada Bahagian 1 ( https://selamatkanpahang.blogspot.com/2018/08/bahagian-1-istimewanya-orang-tua-ini.html ) yang disiarkan di sini tempoh hari, mengisahkan perkenalan dengan penulis Tuan Haji Mohd Saludin Omar mengenai keakrabannya dengan Almarhum Tuan Haji Abdul Razak Hussein. Beliau secara pintas lalu menceritakan zaman persekolahan beliau.

Untuk bahagian dua ini, penulis menceritakan era awal memasuki alam pekerjaan seterusnya dipilih membantu Perdana Menteri Malaysia kedua itu menjejakkan kaki ke Dewan Rakyat waktu itu.


DARI PELAJAR KE ALAM PEKERJAAN

Saya memasuki alam pekerjaan pada tahun 1954 di Kuala Lipis sebagai Pegawai Luar Jabatan Penerangan Daerah. Ketika itu saya baru sahaja melepasi Darjah 8 di Clifford School, iaitu belum sempat mengambil peperiksaan Senior Cambridge. Pada masa itu Kuala Lipis merupakan ibu negeri Pahang.

Pada bulan Januari 1955 pindah bekerja ke Temerloh dalam unit loop area di sepanjang Sungai Pahang dari Kuala Krau hingga ke sempadan Paya Pasir di Maran.


Tugasan saya ialah bertemu rakyat dan menerangkan kepada mereka bahawa Inggeris berjanji untuk memerdekakan Malaya. Pejabat Jabatan Penerangan Daerah pada masa itu ialah di Bukit Angin. Saya tinggal di  kuarters Hospital Mentakab dan berulang-alik, kerana isteri saya bekerja sebagai nurse di situ.


MEMBANTU TUN RAZAK MEMENANGI PARLIMEN TEMERLOH DALAM PRU 1955

Malaya mengadakan pilihan raya umum (PRU) yang pertama pada pertama 27 Julai 1955. Pada masa itu negeri Pahang hanya ada tiga parlimen iaitu Pahang Barat, Pahang Timur dan Pahang Selatan. Umno meletakkan Sulong Ali sebagai calon di Pahang Barat, Abdul Rahman Talib di Pahang Timur dan Abdul Razak Hussein di Pahang Selatan.

Sebelum PRU saya sebagai pegawai penerangan kerajaan berjumpa dengan Tun Razak. Penamaan calon dan keputusan PRU dibuat di Pejabat Daerah Temerloh. Masa itu Tun Razak mewakili Perikatan lawan calon PAS Mohd Yasin Saleh (berasal Kerdau, pangkat pak saudara dua pupu saya).

Markas Umno masa itu ialah di bangunan deretan Masjid Abu bakar iaitu di atas kedai buku Hassan Omar.

Sebagai pegawai penerangan, saya mengajar orang kampung cara-cara mengundi. Ketika itulah saya tunjuk kepada mereka supaya memangkah sebelah gambar Tun Razak.

Masa itu kempen pilihan raya memakan masa selama sebulan. Kebanyakan perhubungan ke kampung-kampung tradisi menggunakan laluan sungai. Suasana kempen memang agak mencabar juga kerana di kampung-kampung masih ada kesan kempen komunis, Api Awas dan PKMM. Saya masih ingat ketika di kampung Teluk Ira, sesudah berkempen saya dimaklumkan oleh Tok Empat supaya balik dan tidak bermalam di situ kerana khuatir dengan keselamatan rombongan kami.

Tun Razak juga berkempen ke sekeliling kampung.
Pada satu kesempatan saya memberitahu Tun: “Dato’ jangan bimbang kita mesti menang punya.” Saya bercakap dengannya itu di markas Umno. Saya nampak dia seronok sangat apabila saya laporkan begitu.

Lepas menang itulah Tun Razak dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Menteri Malaya.


Pada tahun 1958 saya ditukarkan semula ke Lipis. Pada tahun itu juga saya dilantik menganggotai kumpulan Psycological warfare juga jawatankuasa perang saraf negeri khas untuk memerangi komunis yang mula masuk ke negeri Pahang. Masa itu dinamakan Gerakan Apollo dan kemudiannya ditukarkan nama Gerakan Setia. Saya masuk hutan di sekitar Kerdau, Triang, Mengkarak dan Kemayan diescort oleh polis hutan satu platun (25 orang). Dalam satu hari kami berjalan sejauh enam batu dengan bertugas memasang speaker iaitu pada pukul lima pagi (waktu mereka bangun tidur) dan 10 malam (waktu mereka nak tidur) meminta para anggota komunis di hutan itu menyerah diri. Biasanya yang bercakap ialah bekas komunis Cina yang ditangkap atau menyerah diri.

Tugas dalam psycological warfare ialah bertemu rakyat untuk ‘mental torture’. Bidang tugasnya menyerupai unit Cawangan Khas PDRM.

Tugas saya juga membuat laporan politik negeri Pahang secara terus kepada Tun Razak khususnya berkaitan tugasan wakil-wakil rakyat Pahang.


TUN KATA KITA TERLALU AWAL TERIMA MERDEKA

Pada satu hari menjelang PRU tahun 1959, saya sekali lagi bertandang ke rumah Tun Razak. Saya ingat lagi mengenai kemerdekaan negara 31 Ogos 1957 beliau berkata: “Sebenarnya tak patut kita terima kemerdekaan kerana terlalu awal, sebab Inggeris asalnya janji nak ajar kita bernegara demokrasi jadi sepatutnya kena cukupkan dulu sepenggal pilihan raya (lima tahun). Dulu bersekolah Melayu lima tahun dah boleh jadi guru. Ini (kita merdeka) baru dua tahun satu bulan tiga hari, kalau bersekolah baru darjah dua (PRU pertama 27 Julai 1955). Maknanya terlampau singkat sangat masa,” kata Tun.


No comments:

Post a Comment