Tuesday, September 15, 2015

Tidak ada dua jamaah Islam

Bekas Pesuruhjaya PAS Pahang Tuan Guru Mohd Baki Osman berkata, beberapa orang pemimpin Gerakan Hbaru yang kini menubuhkan Parti Amanah peringkat Pusat dan Negeri baru-baru ini antaranya bertanyakan hukum.

“Mereka (kumpulan yang kalah dalam pemilihan PAS kemudian menubuhkan parti baru) ada datang bertemu saya dan saya beritahu sebenarnya kumpulan mereka telah tersasar jauh daripada perjuangan Islam.

“Allah berpesan jangan berpecah-belah beberapa kali, berdasarkan ini mereka telah melakukan kesilapan besar. Kalau tak betul, sepatutnya betulkan. Lihat Ucapan Saiyidina Abu bakar dan Umar bagaimana mereka meminta dibetulkan jika mereka tersalah sebaliknya bukan keluar membentuk kumpulan baru.

“Mengapa isteri baginda Saidatina Aishah mengambil keputusan menentang Saiyidina Ali apabila berlaku perbezaan pendapat atau mereka tidak bina jamaah baru untuk menentang ketua,” katanya.

Mohd Baki yang juga pengasas pondok Kampung Lanting, Chenor berkata jika ditubuhkan kumpulan Islam sekalipun ia tetap salah kerana jamaah Islam tidak boleh ada dua.

Katanya, kucar kacir yang berlaku di Afghanistan adalah hasil daripada perpecahan sesama Islam walaupun telah berjaya menghalau kuasa besar dunia iaitu Rusia.

“Dalam bab hukum ini, hanya Allah saja yang pegang, bahkan nabi tak masuk campur, malaikat pun tak masuk campur.”

Beliau berkata demikian ketika ziarah ahli jawatankuasa harian PAS negeri Pahang ke rumah beliau baru-baru ini.

Mengenai parti baru ini, Mohd baki berpendapat ia tidak mendapat sambutan khususnya di Pahang ini kerana beliau sudah pergi ke banyak tempat dan bertanya ramai orang.


Beliau turut mengingatkan kepada pimpinan negeri yang ada supaya segera mengembalikan semangat ahli-ahli PAS seperti tahun-tahun 1990-an dahulu.

“Dulu PAS bertanding untuk jangan bagi BN menang percuma saja. Jadi masa itu bertanding (masuk pilihan raya) betul-betul kerana semangat saja tetapi dapat bertahan lama.

“Tapi saya tengok semangat itu sudah tidak seperti dulu lagi. Ahli-ahli mesti difahamkan dengan ilmu perjuangan. Kurang kefahaman ini menyebabkan semangat ahli semakin menurun. Antaranya dulu markas-markas hidup dan diimarahkan.

“Jadi berbanding tahun 1990-an semangat ahli dah menurun atau paling kurang pun bertahan. Sedangkan sepatutnya makin kuat sebab sikit lagi nak menang. Jadi nak menang kena balikkan semula kekuatan ahli,” tegasnya.

Beliau juga menggesa ahli-ahli PAS supaya menghidupkan surau-surau lama yang banyak terbiar seperti dan diamarahkan semula untuk dapatkan keyakinan masyarakat. Begitu juga dengan hubungan dengan masyarakat.


Mengenai baiah ini, beliau berkata tuhan memuliakan hambanya. Dalam kitab fiqh, termasuk dalam jual beli, baiah ini untuk tidak diabaikan dimasukkan dalam sumpah.

Katanya, setiap sumpah tidak boleh dilanggar dan tujuannya bukan untuk membebankan tetapi sebagai pengukuhan. Baginya apa yang berlaku ini kerana tidak faham


Friday, September 11, 2015

Syed Hamid didesak lepas kerusi Kuala Semantan

Pengumuman Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Mohamed kelmarin yang keluar daripada PAS, mendapat reaksi keras daripada kepimpinan PAS Pahang.

Serentak dengan itu, beliau yang memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum (PRU) lalu atas tiket PAS diminta menyerahkan kembali kerusi tersebut dengan cara meletakkan jawatan.

Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, ia seiring dengan arahan PAS Pusat dan juga dari sudut moral di mana wakil rakyat PAS yang keluar parti seharusnya mengosongkan kerusi masing-masing.

“PAS Pahang mengunapakai pendirian PAS Pusat bahawa mana-mana wakil rakyat yang memenangi pilihan raya apabila keluar daripada PAS, mereka menyerahkan kembali jawatan mereka.

“Ini kerana sebelum bertanding dulu calon-calon PAS dikehendaki menandatangani borang watikah yang mengandungi tuntutan berkenaan,” katanya.

Rosli berkata demikian mengulas pengumuman Syed Hamid Syed Mohamed, 63, yang mengumumkan keluar daripada PAS dan menyertai parti pekerja (yang diasaskan oleh pimpinan PAS Pusat yang tewas pada muktamar tahun ini) dalam satu sidang media semalam sebaliknya mengekalkan kedudukannya sebagai Adun Kuala Semantan.

Media turut menyiarkan pengumuman tersebut. Turut hadir, pengerusi parti pekrja Pahang Dr Hamzah Jaafar.

Syed Hamid sebelum ini telah menunjukkan kecenderungan untuk meninggalkan PAS apabila hadir pada kebanyakan program Pasma, G 18, GHB dan kini Parti Amanah Negara yang mengambil alih Parti Pekerja Malaysia

“Dari sudut moral juga beliau wajar meletak jawatan sebab kita telah berbaiah iaitu satu ikrar kalau sekiranya kita khianat akan mendapat laknat Allah dan segala makhluk yang melaknat,” ujarnya.

Sumpah baiah tersebut secara jelas menekankan perlunya menanggung amanah dan jika mengkhianatinya secara jelas akan dilaknat Allah. Namun ia tidak meletakkan baiah isteri talak tiga sebagaimana ditambah oleh Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat bagi calon-calon PAS di Kelantan.

Dari segi moral, tindakan Syed Hamid dilihat mengkhianati pengundi-pengundi di Dun Kuala Semantan yang mahukan PAS di situ. PAS kali pertama memenangi kerusi tersebut pada PRU 1999 melalui Ustaz Idris Omar.

Pada PRU lalu PAS memenangi tiga kerusi Dun daripada 21 yang ditandingi di negeri ini.

Kerusi tersebut ialah Tanjung Lumpur (Rosli Abdul Jabar), Beserah (Andansura Rabu) dan Kuala Semantan (Syed Hamid Syed Mohamed).

Syed Hamid telah memenanginya untuk penggal kedua. Pada 2008, beliau memenangi dengan mengalahkan Khairudin Manan.

Nama Syed Hamid pada mulanya diketepikan pada PRU 13 2013 lalu atas sebab-sebab tertentu, namun keputusan tersebut telah menimbulkan ‘bantahan’ besar daripada pengikut-pengikutnya sehingga pada satu ketika Pesuruhjaya PAS Pahang pada masa itu Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, ‘diserang’ dalam satu majlis.

Kekecohan tersebut menyebabkan nama Syed Hamid dicalonkan semula dan menang mengalahkan calon BN daripada Umno Mohd Anuar Yunus.

Wednesday, September 9, 2015

Bekas Ketua Cawangan Umno, Setiausaha Pemuda sertai PAS

Meskipun PAS berhadapan dengan karenah sesetengah ahli yang tidak puas hati, namun di mata umum parti itu terus menjadi pilihan dan sandaran ramai.

Pada Rabu, bekas Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Maran dan Ketua Cawangan Umno Kampung Sekara, Chenor selama 16 tahun, Mohd Zamri Mohd Sham, 52, mengisytiharkan menyertai PAS.

Zamri, seorang usahawan, membuat perisytiharan tersebut dibuat di hadapan Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar serta ahli Dewan Harian Negeri di pejabat PAS Pahang di sini.

Dalam ucapannya di hadapan wakil media, Zamri yang diringi bapa saudaranya yang juga Ketua PAS Cawangan Kampung Sekara, berkata beliau menyertai PAS secara sukarela dan setelah mengambil masa yang lama membuat kajian.

“Saya telah membuat kajian terhadap perlembagaan tiga parti iaitu Umno, PAS dan PKR dan akhirnya saya tertarik dengan PAS melalui Fasal 5 perkara satu dan dua perlembagaan PAS iaitu asas perjuangannya adalah untuk memperjuangkan Islam, menegakkan hukum-hakamnya dan mencari keredhaan Allah.

“Saya juga mengambil keputusan ini kerana menemui Fasal 7 perkara satu iaitu hukum tertinggi kepada PAS ialah Al Quran, Hadis, Ijma' Ulama dan Qiyas yang nyata iaitu sumber hukum para Ahli al Sunnah wal Jama'ah.

“Yang kedua, saya perhatikan PAS konsisten dalam perjuangannya sejak ditubuhkan pada 1951 hingga kini. Kepimpinannya tegas dalam mempertahankan hala tuju perjuangan,” katanya.

Beliau juga memberitahu, kagum dengan akar umbi PAS yang ikhlas menyokong perjuangan parti dan mempertahankan kepimpinan ulamak mahupun diasak dengan pelbagai karenah dan mehnah termasuk pergolakan mutakhir ini sehingga menyebabkan beberapa orang ahli mengambil keputusan keluar parti.

Zamri yang menyertai Umno sejak 1990, berkata beliau dipecat daripada parti itu pada Ogos tahun lalu setelah diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri kerana kesalahan hadir dan berucap dalam satu majlis anjuran Pakatan Rakyat di bandar Maran.

Ditanya tentang perbezaan Umno dulu dan sekarang, beliau berkata ia terlalu jauh kerana pemimpin terdahulu boleh dilihat dan dirasai jasa mereka.

“Contohnya Tunku, walau apapun orang kata tentangnya tetapi jasa beliau tetap ada iaitu menuntut kemerdekaan sehingga kita merasa merdeka. Begitu juga Tun Razak, beliau menubuhkan Felda dan hampir dua juta warga Felda boleh merasai hasilnya hingga kini.

“Tetapi apa yang dibuat pemimpin Umno sekarang tidak dirasai. Saya sebagai rakyat Malaysia merasai kesukaran hidup dan semakin sukar dari hari ke hari,” katanya.

Katanya, isu 1MDB dan kes RM2.6 bilion adalah kemuncak kepada rasuah dalam negara ini.

Mengenai masa depannya, beliau ingin terus berada dalam PAS yang dianggap sebagai parti yang lengkap merangkumi dakwah dan siyasah.

“Saya ingin merubah diri sendiri agar esok lebih baik daripada hari ini, walaupun sedar kemasukan saya ke dalam PAS ini hanyalah umpama sebutir garam yang dicampakkan ke lautan luas.

“Sekurang-kurangnya saya mendapat kesedaran di penghujung usia yang ada. Inilah hikmah di sebalik pemecatan saya sebagai ahli Umno pada tahun lalu,” katanya dalam nada sebak.

Beliau selanjutnya yakin, selepas ini ramai lagi rakan-rakan dalam Umno dan atas pagar akan menurutinya kerana mempunyai cara tersendiri untuk ‘memujuk’ mereka.

CAPTION
Zamri menyerahkan borang keahlian PAS kepada Rosli, disaksikan pimpinan PAS Pahang.