Tuesday, March 29, 2016

Bauksit: PAS junjung kasih titah Tengku Mahkota

KENYATAAN MEDIA

PAS Pahang menjunjung kasih di atas titah Ke bawah Duli Yang Teramat Mulia (KDYTM) Tengku Mahkota Pahang yang mahukan isu bauksit di Pahang diselesaikan dengan baik dan mewujudkan suasana menang menang kepada semua pihak.

PAS Pahang telah lama mendesak pihak.kerajaan supaya mencari satu kaedah yang baik serta berkesan bagi mengatasi masalah yang timbul akibat aktiviti perlombongan bauksit ini.

Namun pihak kerajaan gagal untuk bertindak segera sehingga masalah pencemaran sungai dan laut timbul sehingga tidak dapat untuk disembunyikan lagi, barulah satu moratorium dilaksanakan.

Malangnya sepanjang tempoh moratorium ini berjalan bermula dari 15hb Januari yang lalu, tidak ada sebarang pengumuman yang dibuat baik.oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan tentang apakah yang bakal dilakukan selepas tempoh moratorium ini tamat pada 14 April nanti.

Kebimbangan kami adalah sekiranya tidak ada langkah-langkah yang berkesan diambil dan dikuatkuasakan, segala masalah yang telah lalu akan berulang termasuklah perlombongan haram akan berleluasa semula.

Oleh itu, sekali lagi PAS Pahang menjunjung kasih ke atas keprihatinan KDYTM Tengku Mahkota Pahang di atas perkara ini serta mendesak pihak kerajaan supaya melanjutkan tempoh moratorium ini sehingga semua perkara berkaitan dengan.aktiviti.perlombongan bauksit ini benar2 terjamin selamat dan tidak.mengganggu keselesaan rakyat.

ANDANSURA RABU
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang
Adun Beserah

Friday, March 25, 2016

Hadiah kek sempena sambutan Hari Polis ke-209

PAS Pahang melalui Kawasan-Kawasannya hari ini menghadiahkan kek sempena sempena meraikan sambutan Hari Polis Ke-209 kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Hadiah tersebut sebagai simbolik penghargaan PAS kepada anggota keselamatan yang menjaga keamanan negara selama ini.

Di Kuantan, Yang Dipertua PAS (YDP) Indera Mahkota menyerahkan kek kepada Ketua Balai Polis Indera Mahkota. Di Cameron Highlands YDPnya Ustaz Karim Sidek turut menyumbangkan hadiah yang sama.

Di Maran, Naib YDP Ustaz Shahrul Nizam Abdul Halif turut berbuat demikian. Di Rompin, YDP Ustaz Nazri Ahmad juga menghadiahkan kek. Di Kuala Krau pula, Ustaz Shahril Azman mewakili PAS Kawasan menghadiahkan kek di Balai Polis Jengka.

Sementara itu dalam mesej penghargaan yang diberikan, PAS mengucap tahniah dan syabas di atas segala pencapaian yang membanggakan. Dengan itu diharapkan pasukan keselamatan itu meneruskan usaha murni serta komitmen dan integriti yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab demi mempertahankan keselamatan rakyat dan negara.


Thursday, March 24, 2016

PAS desak kerajaan tangani nasib penternak ikan sangkar

TEMERLOH: Pihak kerajaan digesa mewujudkan pelan kecemasan bagi menangani nasib kira-kira 200 penternak ikan sangkar di sini yang dianggar menanggung kerugian lebih RM2 juta akibat cuaca panas dan sungai hampir kontang.

Ini berikutan suhu panas melebihi 37 darjah selsius dan paras air Sungai Pahang hampir kering mengakibatkan lebih 2,000 sangkar terdampar di atas pasir menyebabkan sebahagian besar ikan patin dan tilapia mati berlamparan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Md Jusoh Darus yang turut melawat mangsa, meminta pihak kerajaan negeri serta Kementerian Pertanian melalui Jabatan Perikanan supaya mencari jalan pelan jangka panjang dan jangka pendek seperti memberi elaun sara hidup kepada yang terbabit.

Katanya, dalam tempoh kritikal ini kerajaan tidak sepatutnya berlepas tangan dengan keadaan yang menimpa kerana mereka merupakan juga pembayar cukai melalui TOL tapak sangkar ikan di sepanjang Sungai Pahang.

“Nelayan sungai ini sepatutnya layak menerima elaun sara hidup bulanan seperti nelayan laut dalam keadaan keperitan hidup ini kerana sebahagian besar daripada mereka bergantung sumber pendapatan seratus-peratus kepada jualan ikan sangkar,” katanya ketika melawat pengusaha ikan sangkar.

Tambahnya, kini sudah ada ada beberapa insentif diberikan kepada penoreh dan petani justeru beliau berharap nasib penternak ikan sangkar juga tidak dilupakan.

Antara yang paling terkesan dengan suasana panas dan kemarau luar biasa ini ialah seorang penternak yang mahu dikenali sebagai Pak Itam Rahim yang ditemui di Kampung Teluk Ira di sini yang memiliki 27 sangkar.

Beliau berkata keadaan panas berpanjangan sejak tiga bulan lalu ini tidak pernah dialami sejak 15 tahun mengusahakan ternakan sangkar ikan patin dan tilapia ini dan jika tiada sebarang usaha pemulihan, perusahaan ternakan iakn sangkar boleh pupus.

“Saya sendiri mengalami kerugian tak kurang RM70,000. Mula-mula ternakan saya hanyut 100 peratus ketika dilanda bah besar tahun 2015 sehinggakan tak sempat untuk tampung kos pengeluaran.

“Lepas banjir besar, Sungai Pahang mengalami fenomena luar biasa apabila pasir turun hilir dengan banyaknya sehingga menyebabkan aliran air menjadi sempit dan mengancam perusahaan ikan sangkar.

“Kemudian paling teruk sejak mula awal tahun ini apabila cuaca panas dan kemarau berlaku serentak dan akibatnya air sungai kering dan sangkar ikan tersadai di atas pasir sekarang,” keluhnya.

Rahim berkata, di kampung itu saja terdapat lebih 200 sangkar dan semuanya mengalami kerugian.

Jelasnya lagi, beliau tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak dan semuanya dengan modal sendiri memulakan perniagaan.

“Apa yang saya kesalkan ialah pihak Jabatan Perikanan ataupun kerajaan negeri tidak pernah datang menjenguk melihat nasib dan masalah penternak ikan air tawar yang sedang terancam ini.

“Satu lagi, sekarang ini orang hanya menyandarkan keadaan ini sebagai akibat fenomena El-Nino yang melanda negara ketika ini. Ini tidak cukup, gesaan saya ialah supaya pihak berkuasa agama seperti Jabatan Mufti, mengarahkan segera penduduk negeri ini mengadakan sembahyang mohon hujan,” katanya.

Sementara itu Md Jusoh yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh, berjanji akan mengerahkan Dewan Ulamak PAS bagi menjayakan Solat Istisqa’ dalam masa terdekat bagi mengadu nasib penternak ikan sangkar yang sedang terdesak kepada Allah.


Md Jusoh bersama rombongan menyaksikan sendiri ikan mati dalam sangkar



Monday, March 14, 2016

Ibu SUE PAS Pahang meninggal dunia

TEMERLOH: Ibu kepada Setiausaha Ekskutif Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang, Fadlee Hamlon, kembali ke rahmatullah kira-kira jam 7 pagi tadi.

Menurut Fadlee, ibunya Salmah Rais, 60, dimasukkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh petang Jumaat lalu
akibat diserang minor strok dan kesihatannya terus merosot.

Allahyarhamah meninggalkan suami Hamlon Mastur dan tujuh orang anak.

Jenazah disolatkan di masjid Felda Jenderak Selatan, Kuala Krau sebentar tadi, diimamkan oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Krau.

Arwah kemudiannya disemadikan di tanah perkuburan tanah rancangan berkenaan.

Turut hadir menziarah, pimpinan PAS negeri, kawasan serta saudara mara.