Tuesday, July 31, 2018

Cuti hari Jumaat dipertimbang -- Pemangku Raja

Cuti pada hari Jumaat yang diusulkan oleh Adun Tanjung Lumpur yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) minggu lalu, mendapat respon daripada Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah.  

Dalam satu majlis di Jerantut kelmarin, baginda bertitah cadangan menukar cuti hujung minggu kepada Jumaat bukan sesuatu yang mudah dilaksanakan kerana ia memerlukan kajian menyeluruh sebelum dapat dipertimbangkan.

Baginda bertitah kajian dan tinjauan itu perlu melibatkan pelbagai pihak termasuk pelajar sekolah serta meliputi pelbagai agama yang akan tertakluk kepada perubahan itu.

Monday, July 30, 2018

MTIS rayu sumbangan bina asrama

Maahad Tahfiz Al Istiqamah (MTIS) merayu sumbangan orang ramai bagi pembinaan asrama pelajar di maahad tersebut.

Terletak di Kampung Padang Lalang, Jalan Maran, maahad itu memerlukan kos kira-kira RM190,000 untuk menampung pembinaan asrama tersebut.

Mudirnya, Zarimi Abu Zih memberitahu, pihaknya menjangkakan asrama terbabit dapat disiapkan pada tahun depan.

Menurutnya, kewujudan asrama itu dapat menampung hingga 60 pelajar dan ia melibatkan fasa satu.

"Apabila asrama ini siap, kita boleh menambahkan jumlah pelajar kerana buat masa ini kita hanya boleh menerima 28 pelajar sahaja.

"Kita turut merancang untuk penambahan jumlah pelajar antara 30 atau 40 orang bagi sesi pembelajaran 2020 nanti," katanya lagi.

Maahad yang mula beroperasi pada tahun lalu terdiri 18 pelajar lelaki dan 10 perempuan berusia 14 tahun dan memiliki 15 tenaga pengajar iaitu enam guru tetap dan sembilan separuh masa.

Sementara itu, Zarimi turut memberitahu dua pelajar MTIS berjaya menjadi juara Majlis Ujian Kelayakan Tilawah dan Hafazan Al Quran Tenaga Nasional Berhad (TNB) Peringkat Negeri Pahang 2018 di Uniten, Muadzam Shah, kelmarin.

Dengan kemenangan tersebut, Muhammad Aqasya Zulkelfe dan Hafsah Mohd Saiful, masing-masing berusia 14 tahun bakal mewakili Pahang pada Majlis Ujian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Zon Pantai Timur di Terengganu pada Ogos ini.
Menurutnya, sejuta penghargaan dan tahniah kepada semua tenaga pengajar, ibu bapa dan semua yang telah banyak menyokong maahad tersebut.

Orang ramai dan mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan terus ke dalam akaun Maybank (556057511595) ataupun CIMB (8602558450) di bawah nama Akademi Al Istiqamah ataupun hubungi talian 0199610849 untuk sebarang pertanyaan lanjut.RM190,000 kos diperlukan bina asrama.

Sunday, July 29, 2018

PAKR Taman Jaya Diri terbengkalai 12 tahun bakal disiapkan



Bagi pemohon Projek Perumahan Awam Kos Rendah Kerajaan (PAKR) di Taman Jaya Diri 2 yang terbengkalai hampir 12 tahun, boleh menarik nafas lega kerana projek tersebut akan disambung sehingga selesai.

Ketika menjawab pertanyaan daripada Adun  Chenor Ustaz Mujibur Rahman Ishak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang, yang bertanyakan apakah status projek PAKR Taman Jaya Diri 2 yang telah terbengkalai dan apakah tindakan pihak Kerajaan bagi menyempurnakan projek yang telah sejak 12 tahun tergendala itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan tempatan dan Perumahan Abd Rahim Muda, berkata projek tersebut adalah salah satu program projek subsidi bersilang yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pahang.

Katanya, mesyuarat Penyelarasan Tanah Kerajaan yang digantikan  di bawah program Subsidi bersilang bagi PAKR Negeri Pahang pada 05 Mac 2018, pihak pemaju iaitu J&J Holding telah memaklumkan kemajuan projek ialah 68 hingga 79 peratus dan akan menyiapkan keseluruhan projek tersebut bermula Januari 2019 yang melibatkan 186 unit rumah.

Tambahnya, Bahagian Perumahan akan memantau projek ini seperti mana termaktub dalam jadual pelaksanaan yang telah dipersetujui bersama.

Sebelum ini 'projek sakit' berkenaan telah acap kali disiarkan dalam media.

Ustaz Mujib ketika meninjau projek PAKR Taman Jaya Diri 2 yang terbengkalai selama 12 tahun



Thursday, July 26, 2018

Sedar kepentingan pelancongan setelah BN jadi pembangkang

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dalam akhbar semalam menjelaskan akan memajukan pekan Kuala Tembeling yang telah sekian lama terbengkalai, sebagai hub pelancongan.

Beliau berkata demikian menjawap pertanyaan Mohd Zakhwan Ahmad Badardin (PAS Tahan) berkaitan status pekan tersebut dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang yang sedang berlangsung sekarang.

Wednesday, July 25, 2018

Polis serbu tiap kali, premis judi terus operasi

Polis telah menjalankan beberapa siri serbuan di kawasan perjudian di Beserah di sini sejak dua bulan lalu namun gagal menghalang premis berkenaan daripada daripada terus beroperasi.

Adun Beserah Andansura Rabu memberitahu Dewan Undangan Negeri Pahang semalam bahawa pihak berkuasa telah melakukan tujuh serbuan sejak akhir Mei dan menahan beberapa orang termasuk warga asing dan merampas mesin perjudian.

Beliau berkata anggota polis dari balai polis Cherating sering melakukan serbuan namun yang menghairankan mereka menyerbu premis yang sama yang telah diserbu mereka beberapa hari sebelum itu.

Adun Jengka bangkitkan isu harga sawit, getah rendah

Adun Jengka Ustaz Shahril Azman Abdul Halim menggesa Kerajaan Negeri Pahang berusaha setidak-tidaknya di peringkat kerajaan negeri menyumbang bagaimana untuk memulihkan harga sawit dan getah ke tahap yang selesa kepada peneroka Felda.

Berucap dalam perbahasan menyokong Titah Diraja di sidang Dewan Undangan Negeri semalam, beliau berkata kedudukan harga semasa sawit dan getah yang rendah pada masa ini, sangat terkesan kepada kehidupan harian mereka dengan kos hidup yang telah sedia tinggi.

Tuesday, July 24, 2018

Isu khutbah Adun Jengka: Sengaja cari populariti?



Saya lebih cenderung mengatakan kumpulan yang membuat laporan polis berkaitan isu khutbah Adun Jengka Ustaz Shahril Azman kononnya memfitnah yang tiba-tiba diviralkan, hanyalah untuk mencari populariti.

Manalah tahu, setelah berjuang sekian lama dan bertanding dalam PRU kemudiannya sentiasa kalah, tiba-tiba kumpulannya menang memerintah, apakah tidak ‘giler’ jadinya? Maka daripada diam sehingga terus dilupakan orang, baiklah berkokok sekali-sekala untuk tarik perhatian. Kononnya masih berbisa.

Apakah hanya mendengar daripada status yang dimuatnaik daripada facebook, tanpa hadir sendiri mendengar khutbah berkenaan maka baginya bukti kesalahan itu menjadi terlalu besar dalam sejarah?

Monday, July 23, 2018

8 Adun PAS hadir pembukaan sidang hari ini


Lapan orang Adun PAS yang terpilih dalam PRU 9 Mei lepas menyertai majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Mereka ialah Ustaz Rosli Abdul Jabar (Tanjung Lumpur),  Andansura Rabu (Beserah), Ustaz Shahril Azman Abd Halim (Jengka),  Ustaz Zakhwan Ahmad Badarddin (Tahan), Ustaz Zuridan Mohd Daud (Damak), Ustaz Mujibur Rahman Ishak (Chenor), Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya (Panching) dan Mohd Sofian Abd Jalil (Luit).

Untuk penggal pertama ini mereka akan berbahas selama tiga hari sepanjang minggu ini.

Friday, July 20, 2018

Adun Jengka minta kilang kawal habuk tercemar


Adun Jengka Ustaz Shahril Azman Abdul Halim telah menggesa kilang-kilang di Bandar Tun Razak itu yang memproses kayu agar melakukan langkah langkah penjagaan dan pengawalan yang terbaik sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Beliau menegur pihak kilang sejurus selepas melawat dan bertemu pihak pengurusan. Gesaan tersebut berikutan pejabatnya yang telah menerima aduan dari penduduk sekitar Rantau Printis, Jengka berkaitan pencemaran habuk kayu yang datang dari kilang berdekatan dengan penempatan penduduk di situ.

Wednesday, July 18, 2018

Pemuda Pahang lapor polis gesa Ramasamy disiasat


Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) akan membuat laporan polis ke atas YB Dr Ramasamy A/L Palanisamy jam tiga petang esok (Khamis 19 Julai), bertempat di Balai Polis (IPD) Kuantan.

Ini berikutan kaitan Adun Dap yang merupakan Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang itu yang didakwa terlibat dengan kumpulan pemisah Tamil di Sri Langka iaitu Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE), yang disenaraikan sebagai salah satu pertubuhan pengganas.

Menurut kenyataan media oleh Ketua Penerangan Pemuda Negeri yang diedarkan, jika benar dakwaan ini, ia adalah ancaman berbahaya kepada negara. Maka, pihak polis wajar menyiasat dakwaan tersebut berpaksikan undang-undang sedia ada.

Tuesday, July 17, 2018

Selamat menunaikan ibadah haji - Adun Jengka


Oleh SHAHRIL AZMAN ABDUL HALIM

Alhamdulillah bermula 14 Julai 2018 yang lalu penerbangan pertama yang membawa seramai 438 jamaah haji  telah selamat sampai di Madinah.

Insyaallah seramai 30,200 orang jamaah haji Malaysia akan menunaikan haji pada tahun ini dan mereka akan berangkat ke sana secara berperingkat.

Sesungguhnya setiap orang Islam pasti menginginkan untuk mengunjungi Ka'bah bagi menunaikan rukun Islam terakhir iaitu Ibadah Haji. Namun, bukan semua dipilih dan diberikan kesempatan, kerana terlalu ramai yang telah mendaftar untuk ke sana.

Oleh karena itu, bagi mereka yang dipilih dan dikurniakan rezeki dapat menunaikan ibadah haji adalah merupakan sebuah kehormatan besar bagi seorang muslim.

Maka dari itu, saya mendoakan agar semua jamaah haji Malaysia sihat dan dipermudahkan segala urusan sepanjang berada di sana. Semoga segala ibadah yang dilakukan diterima oleh Allah dan semoga mendapat haji yang mabrur.

Ustaz Shahril Azman Al-Hafiz ialah
Adun Jengka

Thursday, July 12, 2018

Tangki air sekolah pecah, Adun mahu siasatan menyeluruh



Sebuah tangki air yang tidak lagi digunakan di Sekolah Menengah Agama Chenor, Maran tiba-tiba pecah lalu menimpa garaj. Berikutan kemalangan jam 6.15 pagi semalam itu mengakibatkan dua buah kenderaan milik dua orang guru termasuk warden dan van sekolah sekolah rosak teruk.  

Adun Chenor, Ustaz Mubijurrahman Ishak yang ditemui berkata, beliau yang menerima panggilan sejuruh selepas kejadian terus bergegas ke tempat kejadian dan menyaksikan sendiri bala bencana berkenaan.

Wednesday, July 11, 2018

Apa itu PAS?

Oleh ROSLI ABDUL JABAR

Tetamu yang diberkati, datangnya membawa kebaikan pulangnya meninggalkan kekuatan.

Saya menerima kunjungan seorang pegawai kerajaan berjawatan sebagai penolong pengarah yang berhasrat untuk menyertai PAS minggu lepas. Sambil mencicip isian cawan sebagai menghormati tetamu dengan seadanya kami memulakan perbualan.

Lidahnya petah mencadangkan beberapa perkara untuk dilaksanakan oleh PAS Pahang dan Tanjung Lumpur, menarik cadangannya seindah bahasanya yang teratur. Namun apa yang lebih indah ialah isi hatinya iaitu hasratnya untuk menyertai PAS.

Tuesday, July 10, 2018

Buktikan lima tahun ini kerajaan bersih dari rasuah


Oleh  DR RIDUAN MOHAMAD NOR 

    Pengisytiharan Perdana Menteri bahawa Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri kabinet dan semua ahli parlimen sebagai penjawat awam adalah defiinsi yang perlu difahami dan dihayati oleh semua pemimpin negara. Ia bererti bahawa mereka juga adalah penjawat awam yang tertakluk dengan undang-undang negara dan tidak boleh melakukan sewenang-wenang sebarang usaha meraih laba daripada kedudukan politik mereka. Pelantikan mereka adalah suatu tanggungjawab yang berat digalas yang akan dihitung bukan sekadar di dunia, ianya bukan kesempatan untuk direbut dan diwarisi.

Monday, July 9, 2018

Tanah terbiar di Chenor sebagai solusi tambah pendapatan

Sekitar Chenor terutama di sebelah seberangnya dikenali antara kawasan pedalaman paling miskin  yang memiliki penduduk daif dan kesempitan hidup.

Sesetengah mereka tidak mempunyai tanah atau rumah, bagi yang bertanah pula kebanyakan mereka bergantung hidup dengan menoreh getah. Kini apabila harga getah telah bertahun-tahun berada di paras rendah terlampau,  membuatkan sesetengah anak watan makin miskin dan terus melarat.

Dari segi politik, kawasan ini telah dimenangi Umno/BN sejak bermulanya pilihan raya dan merdeka malah dikatakan ‘kubu Umno’. Wakil rakyat silih berganti dan generasi demi generasi di kawasan disebutkan tadi terus terpinggir melainkan mereka yang berhijrah keluar mencari rezeki.

Thursday, July 5, 2018

Jumaat, Sabtu, Ahad yang padat dengan majlis eidul fitri

Berkejar menuju ke penghujung Syawal ini, beberapa Kawasan PAS dan Adun lagi akan mengadakan jamuan terbuka eidulfitri bagi memeriahkan perayaan untuk tahun ini.

Besok Jumaat 6 Julai, Adun Luit Mohd Sufian Abdul Jalil akan menganjurkan majlis tersebut bersama PAS Kawasan Maran di Dewan Komuniti Bnadar Maran bermula jam 2.30 sehingga 4.30 petang.

Pada Sabtu pula sebanyak lima lagi majlis jamuan seumpama diadakan.

Pendakwaan oleh Tommy Thomas terhadap Najib Razak: Langkah mula yang tempang

Oleh DR RIDUAN MOHD NOR


Dalam mengikuti laporan berkenaan prosiding pendakwaan terhadap Najib Razak di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, saya tertarik dengan satu insiden yang berlaku.

Harian Metro melaporkan seperti berikut: “Terdahulu Peguam Negara Tommy Thomas memohon prosiding dijalankan dalam bahasa Inggeris dan mengemukakan keizinan mendakwa mengikut Seksyen 58 Akta SPRM. Kesemua tuduhan BAGAIMANAPUN dibacakan dalam bahasa Malaysia (sic).” [1]

Persoalan yang timbul di benak saya ialah sama ada permohonan untuk menjalankan prosiding dalam bahasa Inggeris oleh Tommy Thomas itu telah ditolak oleh Mahkamah? Kerana walaupun dipohon, tetapi kertas pertuduhan tetap dibacakan dalam bahasa Melayu. Saya tidak pasti dan saya tidak ada jawapannya, kerana saya hanya mengikuti prosiding mengikut apa yang dilaporkan sahaja. Tetapi apa yang ingin saya bangkitkan di sini ialah perkara ini sebenarnya boleh dijadikan sebagai senjata oleh barisan peguambela yang mewakili Najib Razak, untuk berhadapan dengan Peguam Negara Tommy Thomas.

Tuesday, July 3, 2018

Pengurusan kes petisyen Dun Tahan 16 Julai



TEMERLOH: Tarikh pengurusan kes petisyen Umno terhadap PAS dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan diadakan pada 16 Julai ini di Mahkamah Tinggi Temerloh.

Pengarah Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pahang, Mohd Haris Abdullah berkata, pendaftar Mahkamah Tinggi Temerloh menetapkan tarikh pengurusan kes berkenaan.

Kecoh tak henti Dap-PKR di Perak

Nampaknya hubungan antara parti dalam gabungan Pakatan Harapan seperti retak menanti belah. Apa yang dipertikaikan antara mereka ialah mengenai kedudukan dan jawatan iaitu ‘ghanimah’ baru yang mereka nikmati selepas menang besar memerintah negera dan kebanyakan negeri. Terbaharu ialah kenyataan berterus terang Pengerusi Srikandi Siti Aishah Shaik Ismail yang memperlihatkan ‘kebosanannya’ mengenai tindak-tanduk Dap dalam isu speaker. Beliau sepatutnya dilantik speaker Dewan Undangan Negeri Perak (Yang Dipertua Dewan Negeri) tetapi terpaksa mengalah dengan ‘mainan kotor’ Dap. Berikut disiarkan sepenuhnya catatan yang dibuat melalui facebooknya yang mencurahkan isi hatinya, tanpa mengubah ejaan dan ayat asal yang ditulisnya. - Editor

Dengan lafaz bismillah...

Saya dengan ini menarik diri dari pencalonan sebagi Tuan Yang Dipertua Dewan Negeri Perak  pagi  ini.Saya menerima amanah parti untuk menjadi calon pada hari akhir sebelum pencalonan ditutup iaitu ada 26/6/2018 jam 4 petang.

Monday, July 2, 2018

8 Adun PAS Pahang angkat sumpah hari ini


KUANTAN: Semua 42 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pahang termasuk 8 daripada PAS, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Speaker DUN Pahang Datuk Seri Ishak Muhammad di Wisma Seri Pahang di Kuantan, hari ini.Majlis angkat sumpah itu dimulai oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga ADUN Jelai diikuti 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) serta ADUN lain.

Persidangan DUN Pahang bagi penggal ke-14 dijadualkan akan dirasmikan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 23 Julai ini sebelum bersidang selama lima hari.

Isteri Pesuruhjaya PAS Pahang keempat meninggal dunia


TEMERLOH: Isteri Pesuruhjaya PAS Pahang keempat Allahyarham Datuk Abu Samah Hj Ali, Jamilah Kilau, 80an, meninggal dunia di rumahnya di Kubang Gajah, di sini kira-kira jam lima pagi tadi (Isnin).

Menurut waris, arwah kemudiannya dihantar ke hospital dan diuruskan jenazahnya sebelum disemadikan di tanah perkuburan Buntut Pulau.

Jamilah yang berasal dari Kampung Lebak, merupakan isteri kedua kepada Abu Samah iaitu ibu tiri kepada bekas menteri Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah.

Sunday, July 1, 2018

Bekas Adun PAS Penor meninggal dunia

KUANTAN: Bekas Adun Penor (kini Inderapura) Hj Abdul Aziz Long, 83, yang mewakili PAS pada 1999-2004 kembali ke rahmatullah pada Sabtu di Pusat Perubatan UIA di sini di sisi isterinya Cikgu Norehan Ahmad serta anak-anak.

Menurut sahabatnya Hj Alang Ahmad, arwah yang juga bekas Pengerusi Majlis Guru-Guru Besar Negeri Pahang menderita pelbagai penyakit dan keuzuran sejak beberapa tahun lalu.

Jenazah dibawa ke masjid Taman Guru iaitu kariah arwah tinggal untuk dimandi dan disembahyangkan dan kemudiannya disemadikan di tanah perkuburan Kampung AC.

Abdul Aziz yang berasal dari Kampung Bangau Tanjung, Temerloh menang pertama kali dalam PRU tahun 1999 mewakili PAS mengalahkan penyandang Datuk Zainuddin Jumaat dari BN dengan majoriti terbesar iaitu 1,964 undi.

Sambutan rumah terbuka Eidulfitri PAS Temerloh meriah


Sambutan yang diadakan pada hari ini di tapak pasar malam Taman Sri Kerinau itu tetap meriah dan tidak kurang ramainya dikunjungi oleh tetamu berbanding tahun-tahun lepas meskipun di kebanyakan tempat mengadakan kenduri dan selepas berakhirnya PRU 14 hampir dua bulan lalu.

Antara tetamu kehormat yang hadir pada majlis yang bermula jam 10 pagi itu ialah Adun Luit Mohd Sufian Abd Jalil, Adun Chenor Ustaz Mujiburrahman Ishak serta Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Ir Khiril Nizam Khairudin. Turut memeriahkan pimpinan segenap peringkat serta ahli dan penyokng PAS dari cawangan.

Para pengunjung dihidangkan.dengan pelbagai sajian seperti lemang dan rendang, laksa penang, nasi himpit, mi hon goreng, pulut kuning, bubur kacang, ais krim serta kueh-kueh raya.

Yang Dipertua PAS Temerloh Hj Md Jusoh Darus pula sibuk melayani kanak-kanak dengan mengagihkan duit raya.

Gambar: Md Jusoh serta Naib YDP PAS Temerloh Hassan Omar meraikan kehadiran Nizam (tengah).