Thursday, February 10, 2011

Jengka: Bandar terbesar Melayu yang perlu daerah sendiri

Lazimnya sesebuah bandar dikaitkan dengan Cina kerana tradisi komuniti bangsa tersebut mengusahakan perniagaan.

Berdasarkan ukuran itu, di sinilah terletaknya keistimewaan Bandar Pusat Jengka, Pahang kerana ia sebuah bandar baru yang dikuasai oleh masyarakat Melayu 100 peratus.

Dengan nama rasminya Bandar Tun Razak Jengka, ia terletak di tengah-tengah gugusan tanah rancangan Felda yang terbesar di Malaysia yang dulunya dikenali sebagai Jengka Tiga Segi kerana meliputi tiga daerah iaitu Maran, Temerloh dan Jerantut.

Bandar tersebut pada mulanya merupakan sebuah penempatan pekerja-pekerja Kilang Syarikat Jengka Sdn Bhd. (SJSB) anak syarikat kerajaan Pahang sekitar tahun 1969. Namun beransur-ansur menjadi penting sebagi pusat perniagaan bagi menampung keperluan puluhan ribu warga peneroka pada ketika itu.

‘Bandar Felda’ ini terletak di bawah pentadbiran Daerah Maran tetapi berada di bawah Parlimen Kuala Krau.

Bermula pada tahun 1983 pembangunan Bandar Jengka telah diurustadbir oleh sebuah agensi kerajaan pusat iaitu Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ). Pada ketika itulah Bandar Jengka membangun dengan pesat menyamai sebuah daerah. Di situlah terletaknya Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang iaitu universiti pertama di negeri ini. Terdapat dua buah kolej, empat buah sekolah menengah, tiga buah sekolah rendah dan maahad tahfiz.

Kemudahan lain ialah hospital Jengka, Masjid Sultan Ahmad Shah, lima buah bank perdagangan, Tabung Haji serta agensi kerajaan yang lain seperti Jabatan Agama Islam, balai polis, bomba, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan Raya dan pejabat Bekalan Air Pahang.

Namun setelah LKWJ dibubarkan pada Oktober 2000, Bandar Jengka yang diserahkan kepada Majlis Daerah Maran (MDM) kelihatan tidak terurus dan sudah tentu memberikan imej negatif kepada bandar Melayu terbesar ini di mata umum. Semak samun di kebanyakan tempat, longkang yang tersumbat dan dipenuhi semak, bangunan rumah pangsa yang menakutkan serta perumahan terbengkalai semua itu menyakitkan mata dan tidak menggambarkan ia bandar Felda, sebuah agensi yang kaya.

Jengka dihuni 300 ribu penduduk

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan berkenaan (1999 – 2004) telah acap kali mendesak kerajaan agar Jengka yang kini dihuni penduduk hampir 300,000 diwujudkan daerahnya sendiri bagi menjaga kebajikan penghuninya.

“Dengan penduduk yang menjangkau 300,000 dan hasilnya yang tinggi kita mahu Jengka ini menjadi satu daerah baru bagi menjana ekonomi penduduk dan supaya perkhidmatan perbandaran dapat ditumpukan secara berkesan.”

“Pada masa ini bandar dan tanah rancangan dengan hampir seratus peratus penduduk Melayu itu berada dalam kawasan Majlis Daerah Maran. Namun rata-rata merungut kerana perkhidmatan perbandarannya seperti pembersihan sampah, semak samun dan longkang jauh daripada memuaskan,” katanya.



Sebenarnya kedudukan strategik Bandar Jengka sememangnya layak dinaikkan taraf menjadi daerah sendiri kerana terdapat dua buah bandar kecil berhampirannya iaitu pekan Sungai Jerik dan Pekan Kuala Krau. Lagipun selama ini penduduk persekitaran sememangnya berurusan di Bandar Jengka yang sudah lengkap dengan pra-sarana dan keperluan sebuah daerah.

Dengan siapnya jambatan baru Kuala Krau merentasi Sungai Pahang, Bandar Jengka menjadi semakin penting.

Sementara itu bekas jurutera Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) Musaniff Abdul Rahman, yang menetap di Bandar Jengka berkata kawasan berkenaan memang layak dinaiktaraf sebagai sebuah daerah kerana penduduk dan hasil yang diperolehi sudha mencukupi.

“Dulu ada LKWJ yang mentadbir dan membangunkan ekonomi orang Melayu di wilayah ini. Ketika itu keadaan tidak seperti sekarang. Namun setelah agensi Persekutuan tersebut dibubarkan pada Oktober 2000, suasana sudah banyak berbeza dan seakan-akan Bandar Jengka terpinggir . Inilah kesan penutupan LKWJ”.

“Satu lagi kalau kita tengok jalan-jalan utama yang menghala ke Bandar Jengka semuanya sempit kerana dibina pada tahun 60-an sedangkan penggunaannya sibuk sehingga hampir setiap hari berlaku kemalangan. Jika wujud sebuah daerah baru akan ada peruntukan daripada kerajaan”, katanya.



Jalan-jalan utama Jengka menjadi semakin sibuk apabila tiba musim perayaan dan cuti umum kerana kebanyakan generasi kedua Felda yang berjaya pulang dari ibu kota dan bandar-bandar besar seluruh negara.

Seorang generasi kedua Felda, Aris Fezul Ismail, 39, berkata kerajaan perlu memberi peluang kepada Jengka dinaiktaraf sebagai daerahnya sendiri bagi memberi peluang kepada penduduk setempat.

“Oleh kerana Jengka ini bandar Melayu, sepatutnya pihak kerajaan bersikap kreatif dan proaktif membina pra-sarana secukupnya. Apatah ia kawasan Felda yang dikenali sebagai agensi yang kaya. Dengan kedudukan strategik, sepatutnya di sini boleh dibina Muzium Felda bagi mendedahkan golongan muda mengenali sejarah perit jerih perjuangan para peneroka membuka tanah sehingga menjadi estet terbesar di dunia”.

Jengka berpotensi jadi tarikan pelancong



“Bandar ini juga boleh dijadikan tarikan pelancong ke negeri ini. Kerana kawasan sekitar memiliki produk pelancongan berkualiti. Semua ini hanya boleh dicapai jika dinaiktaraf sebagais ebuah daerah baru”, ujar Aris.

Tidak jauh dari Bandar jengka terdapat tempat-tempat destinasi menarik kunjungan ramai. Antaranya ialah Gunung Senyum, Gunung Jebak Puyuh, Bukit Nyamuk, dan Gua Kota Gelanggi yang kaya dengan khazanah alam flora dan fauna. Kawasan rekreasi utama yang terkenal pula ialah Air Terjun Teladas, Lubuk Yu dan Lubuk Jid.

“Semua destinasi tarikan pelancong itu terbahagi kepada daerah Temerloh, Maran dan Jerantut. Jika diwujudkan daerah baru Jengka saya rasa pengurusannya lebih praktikal,” tambah Aris.

Seorang penduduk Bandar Jengka, Engku Nor Zaman Engku Mohamed, 40, berpendapat sejak bandar tersebut berada di bawah MDM, persoalan kebersihan dan pemandangan sering menjadi rungutan.

“Dulu, pihak Majlis Daerah Maran ada membuat pemotongan rumput secara berjadual pada setiap bulan. Malangnya sekarang tiada lagi. Rumput serta lalang di kiri kanan jalan melebihi ketinggian orang dewasa kerana tidak dipotong. Bayangkanlah kami penduduk di sini yang menggunakan jalan di persekitaran kawasan perumahan terpaksa lebih berwaspada setiap kali hendak keluar masuk simpang”.

”Selain kemalangan, semak samun juga boleh mendatangkan risiko dan bahaya serangan binatang bisa terutama kepada kanak-kanak. Perkara ini telah kami adukan kepada pihak Majlis Daerah Maran tetapi sampai sekarang keadaan masih lagi tidak berubah.”
Engku Nor Zaman memberi contoh rumah pangsa di Rantau Perintis, di bandar ini yang dilitupi semak samun. Begitu juga dengan banyak longkang yang tersumbat sehinggakan bila hujan, acap kali berlaku limpahan air ke jalan raya. Justeru beliau berpendapat Jengka perlu memiliki majlis daerahnya sendiri.

“Ada kemungkinan tidak cukup peruntukan kewangan. Justeru itu saya mencadangkan diwujudkan Majlis Bandaran sendiri bagi Bandar Jengka kerana pada fikiran saya hasil yang ada sudah mencukupi” , ujarnya.


GAMBAR:
1. Tuan Ibrahim
2. Musaniff
3. Aris Fezul
4. Engku Norzaman
5. Beginilah keadaan sebuah rumah pangsa di Bandar Jengka yang terbiar


Artikel disiarkan dengan ihsan Akhbar KABAR






No comments:

Post a Comment