Friday, February 18, 2011

PR Pahang gesa kerajaan sediakan pelan proaktif naik taraf jalan

NAIK TARAF JALAN LIPIS KE GUA MUSANG: KERAJAAN PERLU SEDIAKAN PELAN PROAKTIF UNTUK PERKEMBANGAN EKONOMI PENDUDUK TEMPATAN


Pakatan Rakyat Negeri Pahang (PR Pahang) menggesa pihak kerajaan menyediakan pelan proaktif yang praktikal bagi memastikan para peniaga di sepanjang laluan Projek Menaik Taraf Jalan Laluan 8 Dari Kg Relong ke Gua Musang tidak terjejas sumber ekonomi mereka ekoran projek tersebut.

PR Pahang menerima sungutan dan aduan penduduk terutamanya di Pekan Merapoh dan Kampung Teluk Gunung yang bimbang kemungkinan punca pendapatan mereka yang membuka perniagaan di sepanjang jalan raya sedia ada akan terjejas teruk. Kebimbangan ini kerana di bawah projek tersebut, laluan sedia ada didakwa dilencongkan sepenuhnya bermula daripada jambatan Sungai Tanum berhampiran Felda Chegar Perah hingga ke sempadan Pahang – Kelantan di Kg Mentara. Lencongan tersebut merupakan laluan baru sepenuhnya yang tidak lagi melalui Perkampungan Felda Chegar Perah, Perkampungan Felcra Sungai Temau, Kampung Kubang Rusa, Kampung Teluk Gunung dan Pekan Merapoh.

Antara premis perniagaan yang bakal terjejas teruk ialah Stesen Minyak Caltex dan beberapa pusat Rawat dan Rehat (R & R) di Merapoh. Difahamkan stesen minyak tersebut baru sekitar setahun lebih beroperasi dan dimiliki oleh sebuah koperasi tempatan.

PR Pahang menggesa kerajaan negeri Pahang serta semua agensi kerajaan Persekutuan yang terbabit menyediakan pelan tindakan proaktif bagi merangsang pertumbuhan ekonomi kampung-kampung tersebut di samping merangka program alternatif segera untuk membantu para peniaga yang terkesan langsung daripada projek berkenaan.

PR Pahang juga menggesa Kerajaan Persekutuan menimbang kembali pelaksanaan Projek Lebuh Raya Laluan Tengah Utama (Central Spine Highway) berkapasiti empat lorong dari Seremban – Simpang Pelangai – Kuala Krai yang tidak diluluskan kerajaan pada pertengahan tahun 2010.

PR Pahang menggesa projek lebuh raya tersebut diluluskan dan dilaksanakan secara berperingkat serta berhemah dengan memastikan kelestarian alam sekitar dan khazanah hutan, dan lebih penting ianya bebas tol. Lebuh raya ini jika dilaksanakan bukan sahaja melancarkan kesesakan melampau trafik di musim perayaan malah mampu merangsang pembangunan kawasan Pahang Barat yang selama ini seakan terpinggir daripada pembangunan.

Rakyat Kelantan dan Pahang Barat boleh membantu supaya projek ini menjadi realiti dengan menyertai kempen berkaitan di laman komuniti Facebook “Central Spine Expressway.”

UBAH SEKARANG, SELAMATKAN MALAYSIA

ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Pahang

Merangkap Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Pahang


No comments:

Post a Comment