Tuesday, May 21, 2013

PESTA RAKYAT TUNTUT KEMBALIKAN DEMOKRASI 505 - 25 Mei 2013


Hampir 50 pertubuhan bukan kerajaan (non-government organization) telah mengambil ketetapan bagi penubuhan sebuah gabungan yang mewakili suara seluruh rakyat Malaysia yang membantah penipuan dan penyelewengan dalam pilihanraya Umum ke-13 pada 5 Mei yang lalu. Gabungan NGO-NGO ini dinamakan sebagai “Suara Rakyat 505” sebagai wadah perjuangan bagi membangkitkan segala isu yang berlaku dalam PRU13 lalu. Dipercayai lebih banyak NGO akan menyertai gabungan ini.

Rakyat telah memberi amaran sebelum bermula kempen PRU13 yang lalu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu bersikap telus dan adil dalam menguruskan pilihanraya Malaysia. Rakyat telah memberi peluang kepada SPR sebagai badan yang bertanggungjawab mengurus pilihanraya secara bersih dan berintergriti, kerana ketika itu rakyat masih yakin pilihanraya adalah saki-baki demokrasi untuk membuat perubahan (pertukaran kerajaan). Pelbagai tuntutan telah dibuat oleh rakyat termasuk melalui siri-siri himpunan bagi memastikan pilihanraya Malaysia berjalan dengan adil dan saksama tanpa ada unsur manipulasi dan penipuan. Namun akhirnya PRU13 menjadi medan penipuan paling besar yang menafikan kemenangan rakyat. Lebih malang, ia dibantu SPR.

SPR dengan jelas telah diperalat oleh pemerintah apabila bertindak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertahan kemenangan pemerintah terdahulu walaupun ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan SPR adalah sebuah badan bebas dalam keabsahan kerajaan belum lagi mengambil tempat.

Seruan SPR supaya pihak yang kalah hanya akur kepada keputusan yang telah diumumkan walaupun bukti penyelewengan PRU13 sudah semakin jelas dan semakin banyak bukti terkumpul melalui proses semakan akhir sebelum dibuat bantahan termasuk petisyen ke mahkamah. Ini menggambarkan sikap kontra dan tidak profesional SPR yang sepatutnya menerima segala aduan dan bukti daripada calon dan parti yang bertanding.

Atas faktor tersebut, kami tegaskan bahawa "Suara Rakyat 505" mengambil pendirian bersama bagi menyatakan dan menjulang hasrat rakyat terhadap perjalanan dan proses pilihanraya dalam sistem demokrasi di Malaysia yang bersih dan adil. Kami telah bersepakat untuk mengadakan sebuah pesta himpunan rakyat besar-besaran untuk merampas kembali demokrasi rakyat Malaysia yang telah dicuri dalam PRU-13, berteraskan TIGA tuntutan utama berikut;

1. SPR Letak Jawatan
Mendesak supaya Pengerusi dan ahli Jawatankuasa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) keseluruhannya meletakkan jawatan serta-merta disebabkan kegagalan dalam menguruskan pilihanraya ke-13 secara telus dan menyerahkan pemilihan SPR yang baharu kepada kuasa Parlimen melalui persetujuan rakyat secara majoriti, Pembubaran SPR yang cuma bertaraf kakitangan dibawah Jabatan Perdana menteri akan memberi ruang membentuk SPR yang lebih bebas dan berintegriti yang diletakkan dibawah parlimen malaysia dan dipilih keanggotaannya melalui proses pendengaran awam agar anggota yang dipilih benar-benar dari kalangan yang diyakini rakyat.

2. Pilihanraya Semula di kawasan yang terbukti kecurangan pilihanraya.
Mendesak supaya diadakan pilihanraya semula di kawasan yang terbukti wujudnya penipuan tanpa mengira logo parti sama ada Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat.

3. Sokong Tribunal Rakyat
Menyokong sepenuhnya penubuhan Tribunal Rakyat sepertimana yang dituntut oleh Gabungan BERSIH bagi mendedahkan segala bukti-bukti dan penyiasatan terhadap PRU13 kepada umum. Menggesa semua agensi dalam negara agar memberikan kerjasama penuh terhadap tribunal ini.

Gabungan Suara Rakyat 505 kali ini berharap agar sistem demokrasi Malaysia diserahkan kembali kepada rakyat secara keseluruhannya memandangkan berlakunya salahguna kuasa oleh badan yang bertanggungjawab sebelum ini. Justeru "Suara Rakyat 505" sebulat suara menggerakkan ‘HIMPUNAN BANTAH PENIPUAN PRU13’ secara besar-besaran bagi menyuarakan perkara ini dan memilih 25 Mei 2013 (Sabtu) sebagai tarikh himpunan. Kami menjemput rakyat seluruh negara untuk turun ke Kuala Lumpur berpakaian HITAM dengan tema; Duduk dan Bantah sehinggalah tuntutan rakyat dipenuhi.

Himpunan mega kali ini akan bermula petang dan berpusat di Padang berdepan dengan Amcorp Mall.

Pihak pemerintah telah mengatakan himpunan ini adalah berupa 'Arab Spring' dan telah menyebut ia sebagai 'Malaysian Spring', namun kami Suara Rakyat 505 tetap menegaskan tiada agenda 'Malaysia Spring' atau rampasan kerajaan akan berlaku. Sebaliknya, rakyat harus bangkit mencari kembali demokrasi yang telah digelapkan pada pilihanraya 5 Mei lalu.

Gabungan Suara Rakyat 505 menyeru pendokong-pendokong prinsip keadilan dan seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama turun bersolidariti bagi menyatakan kebersamaan terhadap tuntutan rakyat kali ini tanpa mengira perbezaan latar belakang bangsa, agama mahupun pegangan politik masing-masing. Hasrat rakyat terbesar adalah melawan segala bentuk penipuan yang telah mencemarkan sistem demokrasi di Malaysia tercinta!


Disediakan oleh ;

Gabungan #SuaraRakyat505

Yang dianggotai oleh NGO ;

1. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
2. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
3. Tindak Malaysia
4. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
5. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
6. Parti Rakyat Malaysia (PRM)
7. Gabungan Menuntut Royalti ®
8. Asalkan Bukan Umno (ABU)
9. Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)
10. Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
11. Gabungan Tanah Rakyat (TANAH)
12. Kill The Bill
13. Malaysian For Beng Hock
14. Mama Bersih
15. Kelab Bangsar Utama
16. Radio Bangsar Utama (RABU)
17. Mahasiswa Keadilan Malaysia
18. Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI)
19. Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA)
20. Indipendent Student Front (INSTEF)
21. University Malaya Association Of New Youth (UMANY)
22. Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH)
23. Gabungan NGO Pengerang
24. Angkatan Pembebasan Bangsa (APB)
25. Gabungan Mahasiswa Islam seMalaysia (GAMIS)

26. Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independent (KAMI)

27. Pro-Mahasiswa Nasional Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI)

28. Pertubuhan Kemajuan dan Kebajikan Rakyat Selangor (Pro-Rakyat)

29. Angkatan Rakyat Muda (ARM)

30. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)

31. Unit Ehsan Malaysia
32. Anwar Ibrahim Club (AIC)
33. Agent of Change (AoC)
34. Revolusi Anak Muda Malaysia (RAMM)
35. Kami Anak Muda Menenatang Umno (K.A.M.U)
36. Gagasan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT)
37. Pertubuhan Kebajikan Rakyat Perlis (PKR Perlis)

38. Kumpulan Aktivis Media Independent (KAMI)

39. Gabungan NGO Kelantan
40. Solidariti Anak Bachok Daratkan Minyak (CABAR)

41. Majlis Permuafakatan Kampung Warisan KL/Selangor (MUAFAKAT)

42. Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (ROYALTI)
43. Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT)
44. Gabungan Menuntut Royalti Terengganu (R Terengganu)
45. Selamatkan Teluk Rubiah
46. Selamatkan Pantai Port Dickson
47. Selamatkan Pasar Payang
48. Jaringan Sepadu Rakyat Malaysia (SEPADU)
49. Angkatan Warga Aman Malaysia (Warga AMAN)‪
50. Malaysian Indians Progressive Association (MIPAS)‪
51. Federation of Malaysian Indian Organisation (PRIMA)‪
52. Malaysian Indians Transformation Action Team (MITRA)
53. Angkatan Nasional India Malaysia (AGNI)

Saturday, May 11, 2013

MCA Merajuk, Beri Laluan Isu Perkauman Dibakar

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menghidu sentimen perkauman yang seolah-olah telah disusun, menyeru kepada semua agar tidak terpedaya dengan sebarang permainan politik perkauman.

Ekoran daripada tindakan parti komponen Barisan Nasional yang memperjuang nasib kaum cina, MCA yang telah menolak semua lantikan kabinet di peringkat negeri dan nasional sebenarnya telah mengkhianati pengundi. Memang benar MCA telah ditolak oleh sebilangan besar pengundi di seluruh negara, namun ia bukan alasan untuk MCA menolak perlantikan menteri dan seharusnya ia satu pengkhianatan kepada pengundi BN.

SAMM melihat situasi ini agak pelik, berkemungkinan untuk memberi tekanan kepada masyarakat cina betapa tidak ada wakil cina dalam senarai menteri kabinet berakhir PRU13 yang menyaksikan pola pengundian cina memihak kepada Pakatan Rakyat. Dari satu sudut yang lain, SAMM lihat ia satu taktik berbaur ugutan dan isu perkauman selepas ini menjadi 'makanan' kepada pihak yang rasis begitu mudah untuk dibakar.

Sebagai kumpulan anak muda, SAMM tegaskan hasrat pemerintah untuk amal 'pecah-perintah' berskala besar, meletakkan melayu itu kerajaan dan cina itu pembangkang adalah satu kemunduran yang jelas.


Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Monday, May 6, 2013

12 Adun PR ke Dewan Pahang

Pakatan Rakyat (PR) Pahang buat pertama kalinya bakal menjadi pembangkang yang kuat dan berkesan apabila berjaya menghantar 12 orang wakil ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang, iaitu kurang dua kerusi untuk menafikan 2/3 BN.



Daripada 12 kerusi tersebut tiga dari PAS, dua PKR dan tujuh DAP yang dimenangi dalam pilihan raya umum (PRU) 13 semalam.



PAS menambah satu kerusi (Dun) lagi iaitu Tanjong Lumpur di samping berjaya mengekalkan kerusi Kuala Semantan dan Beserah yang dimenangi pada PRU 2008 yang lalu.



Yang Dipertua PAS Kuantan Rosli Abdul Jabar, di Dun Tanjong Lumpur mendapat 9,090 undi mengalahkan lawannya Tengku Zulkifli Tengku Ahmad dengan majoriti 796 undi.



Di Kuala Semantan, penyandang Syed Hamid Syed Mohamad mengalahkan Mohd Anuar Mohd Yunus dengan kelebihan 2,685 undi. Syed Hamid mendapat 12,101 sementara Anuar 9,416 undi,



Aktivis antiLynas Andansura Rabu di Beserah pula berjaya mendapat 15,346 undi mengalahkan Ketua Umno Bahagian Indera Mahkota Hazmi Yusof dengan majoriti besar 3,987 undi.



PKR yang tidak menang kerusi Dun sebelum ini, menghantar wakilnya Lee Chean Chung dari Semambu yang mendapat 14, 753 undi dan Sim Chon Siang dari Teruntum yang memperolehi 12,385 undi. Majoriti masing-masing ialah 3,200 dan 4,437 undi.



DAP yang sebelum ini hanya menang di Triang dan Tras, kini menguasai Tanag Rata (Leong Ngah Ngah: 7,878 undi), Mentakab (Tengku Zulpuri Tengku Puji: 7,882), Bilut (Chow Yu Hui: 8,663), Ketari (Lee Chin Chen: 10,050), Sabai (D. Kamache: 4,439) dan Triang (Leong Yu Man: 10,076) dalam pengundian semalam.



Sementara itu Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah yang sebelum ini bertahan selama lima penggal di Triang Berjaya di Tanah Rata mengalahkan calon BN dari MCA iaitu penyandang Datuk Ho Yip Kap.



Leong mendapat 7,878 manakala Ho mendapat 4,734 undi. Setiausaha DAP pula terus unggul di Tras.



DAP yang bertanding tujuh kerusi semuanya, mencipta rekod dengan memenangi semua kerusi ditandingi.



Bagi kerusi parlimen pula PR Pahang berjaya menambah lagi dua kerusi lagi kerusi iaitu Parlimen Temerloh dan Raub. Sebelum ini PKR hanya menguasai Parlimen Kuantan dan Indera Mahkota.



Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Nasrudin Hassan Tantawi berjaya mengalahkan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah yang juga penyandang, dengan kelebihan 1,070.



Nasrudin mendapat 28,267 berbanding Saifuddin 27,197 undi,

BN menang Putrajaya, lima pegawai Najib terkubur

Dalam kegembiraan meraikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di peringkat pusat, kelima-lima pegawai Datuk Seri Najib Razak kalah di kerusi yang ditandingi mereka pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kali ini.

Langkah pembaharuan yang cuba dibawa Najib tersebut gagal, walaupun pada awalnya calon-calon tersebut dikatakan mampu memberi suntikan kemenangan kepada BN dalam cubaan mendapat majoriti dua pertiga di Parlimen.

Dua pegawai khas beliau tewas kepada calon PAS di Kedah, Datuk Shahlan Ismail dan Datuk Latt Shariman Abdullah walaupun BN berjaya merampas semula negeri yang jatuh ke tangan BN dalam Pilihan Raya 2008.

Shahlan tewas dengan majoriti 3,935 kepada calon PAS Datuk Mahfuz Omar di kerusi Parlimen Pokok Sena, manakala Latt Shariman pula tewas kepada calon PAS Mohd Nasir Mustafa dengan majoriti 1,044 di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Kubang Rotan.
Manakala cubaan Najib untuk sekurang-kurangnya mendapat tiga kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga gagal selepas Setiausaha Politiknya di Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Shafei Abdullah tewas kepada calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong dengan majoriti yang lebih besar sebanyak 5,511 berbanding keputusan yang diperoleh pada tahun 2008.

Dua lagi pegawai khas beliau yang tewas di kerusi Parlimen adalah Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh di Kota Baru dan Datuk Mohamed Suffian Awang di Kuantan.
BN sudah memenangi majoriti mudah dengan 133 kerusi Parlimen setakat ini, membolehkan mereka membentuk kerajaan persekutuan.

Pakatan Rakyat pula ketika ini memperoleh 83 kerusi.
Selepas 13 pilihan raya, BN berjaya mempertahankan kekuasaan mereka, menjadi diantara gabungan paling lama memerintah di rantau ini.


The Malaysian Insider – 7 hours ago
Email

Saturday, May 4, 2013

Abdul Hamid ‘giant killer’ Pahang?

Menjelang beberapa jam sahaja lagi hari mengundi pilihan raya umum (PRU) ke-13, calon PAS Ustaz Abdul Hamid Bahatim yang menentang Menteri Besar (MB) Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di Dewan Undangan Negeri Dun Pelangai, boleh tersenyum dan menganggap peluangnya kini 50–50.

Malah berdasarkan peningkatan sokongan mendadak pengundi muda, protes senyap pengundi di kampung-kampung tradisi akibat lambakan isu yang tidak diselesaikan serta lonjakan sokongan bukan Melayu, Yang Dipertua PAS Kawasan Bentong itu tidak menolak mampu bergelar ‘giant killer’.

“Nampaknya penduduk di Pelangai ini yang diwakili MB sudah sedar kawasan mereka jauh ketinggalan. Antaranya kira-kira 50,000 penduduk dinafikan kemudahan yang amat asas seperti hospital, bank, balai Bomba dan Penyelamat selain jalan utama sebagai perhubungan sangat teruk.

“Banyak kali terjadi apabila berlaku penduduk sakit, terpaksa dibawa ke Hospital Temerloh iaitu terpaksa memakan masa satu jam setengah kerana jarak yang jauh. Bayangkan apabila berlaku ibu-ibu sakit nak bersalin.

“Ketiadaan bank pula menyebabkan penduduk selalu kesukaran untuk urusan keluar masuk wang dan menjadi kritikal terutama bagi anak-anak mereka yang sedang belajar. Jadi mereka terpaksa pergi ke Triang dalam daerah Bera yang dikuasai DAP,” ujar.

Dun Pelangai ialah salah satu daripada empat Dun dalam Parlimen Bentong selain daripada Ketari, Bilut dan Sabai.

Kawasan tersebut meliputi tiga kawasan Felda berpeneroka iaitu Chemomoi, Sungai Kemahal dan Kemasul selain banyak ladang Felda Plantation. Terdapat juga 10 kampung tradisi selain tiga pekan kecil iaitu Telemong, Sungai Gapol dan Simpang Pelangai.

Dun Pelangai diwujudkan pada tahun 1969 hasil persempadanan semula kawasan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Dalam tempoh itu, sudah enam penggal Adnan mewakili kawasan ini termasuk menjadi Exco dan kini sebagai MB Pahang (tiga penggal) tetapi tidak banyak perubahan dan pembaharuan yang dicapai.

Menurut statistik terakhir dikeluarkan SPR, terdapat 12,037 jumlah pengundi. Dari segi peratusan pengundi, Melayu 68 peratus, China 23 peratus dan India 9 peratus.

Pada PRU 2008, Adnan menang di Pelangai mengalahkan Hamdan Ahmad (PAS) dengan majoriti 2,970 undi.

Namun begitu, terdapat suasana yang agak ‘lain’ apabila kali ini PAS menampilkan Abdul Hamid. Beliau adalah orang tempatan yang menjadi peneroka di Felda Kemasul. Beliau ialah aktivis masyarakat, imam masjid dan merupakan seorang usahawan.

Abdul Hamid optimis dapat membuat kejutan kali ini melalui senjata ‘pengundi H’. Pengundi yang dimaksudnya itu ialah golongan muda yang tinggal terutamanya di Lembah Kelang yang jumlahnya hampir dua ribu orang. Sudah tentu mereka merupakan ‘pengundi bermaklumat’.

Bercakap tentang rungutan yang sering diadukan kepadanya, Abdul Hamid menegaskan, selain daripada masalah bekalan air paip yang kerap terputus, turut menjadi rungutan ialah masalah jalan raya yang begitu menyakitkan hati.

“Kemudahan asas seperti jalan raya juga sangat perlu. Bayangkan jika penduduk mahu berurusan dengan Pejabat Tanah dan Daerah Bentong terpaksa mengambil masa dua jam berkereta dari sebelah Pelangai ini kerana jalan yang sempit, banyak selekoh, berlubang-lubang dan banyak lori balak.

“Jalan Manchis iaitu menghubungkan kawasan ini untuk ke Kuala Lumpur pula berlubang, tidak rata dan rendah. Bila hujan lebat jalan yang rendah dilimpahi air sehingga terputus hubungan,” katanya.

Abdul Hamid menambah, kemudahan-kemudahan inilah yang sangat diperlukan penduduk tetapi bila MB turun kawasan biasanya akan bawa wang sahaja barangkali untuk tunjukkan kerajaan mewah.

Manakala kemudahan-kemudahan asas yang diperlukan penduduk hanya menjadi status janji-janji manis yang diungkap setiap kali menjelang PRU.

Katanya, penduduk dapat menyaksikan jalan Simpang Durian yang tidak jauh dari Simpang Pelangai iaitu dalam daerah Jelebu, Negeri Sembilan lebih baik lagi daripada kawasan MB yang banyak cerita ladang penduduk diganggu dan dimusnahkan gajah.

Menjelang PRU ini, Abdul Hamid merayu penduduk dan pengundi di Dun Pelangai berfikir teliti demi pada masa depan dan generasi akan datang. Kerana sudah hampir 55 tahun merdeka namun kawasan diwakili MB serta parlimennya diwakili menteri, tidak banyak berubah.

“Bahkan dengan Triang kawasan pembangkang itu pun, Pelangai jauh ketinggalan,” tegasnya.

Mengenai azamnya jika diberi mandat oleh penduduk Pelangai, Abdul Hamid mempertaruhkan Manifesto Pakatan Harapan Rakyat Negeri Pahang yang meletakkan slogan ‘Pentadbiran Yang Adil, Amanah dan Bertanggungjawab’.