Tuesday, March 20, 2018

BELUM MENANG PUTRAJAYA PH SUDAH BERANI MENGUGUT PEGAWAI KERAJAAN

Kenyataan Media

BELUM MENANG PUTRAJAYA PH SUDAH BERANI MENGUGUT PEGAWAI KERAJAAN
(19 MAC 2018)


1. Kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa Pakatan Harapan (PH) akan memecat kesemua pegawai kerajaan yang melindungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa 30 hari selepas berjaya menawan Putrajaya adalah kenyataan angkuh, bongkak dan berbaur ugutan.


2. Kenyataan Datuk Seri Mukhriz Mahathir menunjukkan PH begitu sombong dan mahu bertindak sewenang-wenangnya jika menawan Putrajaya kelak. Beliau seolah-olah sudah hampir pasti ke Putrajaya, sedangkan Pilihan Raya Umum ke 14 belum pun berlangsung. Apakah beliau yakin PH akan menang atau sebaliknya, PH pula yang akan melingkup kali ini? Dengan dapatan daripada kajian yang dibuat oleh pelbagai pihak beluam ada petunjuk PH akan memenangi Pru ke 14 ini, mengapa beliau ‘terlebih sudu daripada kuah’ dengan kenyataan ugutan seperti itu?


3. Jika Perdana Menteri benar-benar seorang penjenayah, ambillah tindakan terhadap beliau, jangan pula dibabitkan dengan pegawai kerajaan kerana pegawai kerajaan hanya bekerja menurut arahan yang diberikan. Mana-mana pegawai kerajaan akan bekerja dengan kerajaan yang ada, dan jika PH memerintah kelak mereka akan akur dengan arahan daripada kerajaan PH. Mengapa ada sikap buruk sangka atau persepsi buruk bahawa pegawai kerajaan akan melindungi Datuk Seri Najib jika beliau kalah nanti?


4. Kenyataan beliau sama seperti pemimpin UMNO sekarang yang sombong dan angkuh serta mencengkam kuasa terhadap pegawai-pegawai kerajaan. Kerana itu, di era kepimpinan UMNO-BN sebagai kerajaan, pegawai-pegawai kerajaan begitu takut menyatakan kebenaran, tidak berani meyanggah kezaliman kerana teruk diugut dan diancam. Mana-mana pegawai yang dilihat lantang bersuara ditukarkan, disekat atau dibuang kerja. UMNO juga hanya memilih atau mengekalkan pegawai yang kuat menyokong mereka sahaja. Jika itu juga nada suara Datuk Seri Mukhriz, apa beza beliau, PH dengan UMNO-BN?


5. Jangan mengulangi kesilapan kepemimpinan UMNO selama ini. Sepatutnya PH berlembut dan memujuk pegawai kerajaan agar terus bekerja dengan etika profesionalisma yang tinggi dan berintegirit dalam menjalankan amanah. Jika benar PH mahu memenangi Putrajaya, maka hati pegawai kerajaan perlu dijaga dengan pelbagai insentif, tawaran dan sokongan. Jika kebaikan yang diberi kepada mereka, tidak ada pegawai kerajaan mahu mengkhianati kerajaan yang ada, malah pegawai kerajaan inilah yang berjuang dan sanggup mati untuk kerajaan yang sedia ada dan negara tercinta.


DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Monday, March 5, 2018

Kekalkan kemenangan Temerloh - Ustaz Idris


Oleh: MUJAHIDUL AMIN ROSLAN

TEMERLOH: Jentera PAS Kawasan Temerloh di semua peringkat diseru untuk bergerakerja semaksimum mungkin bagi mempertahankan kemenangan Parlimen Temerloh dan DUN Kuala Semantan di samping menawan DUN Mentakab dan Lanchang.

Seruan itu disampaikan oleh Naib Presiden PAS Pusat, YB Ustaz Idris Ahmad semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Temerloh kali ke tiga puluh satu semalam.

Menurut beliau, Parlimen Temerloh merupakan salah satu daripada kawasan Parlimen yang disenaraikan mesti menang seperti yang disasarkan oleh Tuan Guru Presiden dalam menjadikan PAS sebagai King Maker selepas pilihanraya umum yang akan datang.

Tambah beliau lagi, maka kerana itu, jentera PAS Temerloh mestilah sudah berada pada persiapan terbaik buat masa ini. Gerakerja perlulah sudah berfokus pada golongan sasaran terutamanya golongan muda yang pertama kali mengundi.

“Pilihanraya kali ini sangat penting buat kita (PAS). Kerana ia akan menentukan survival kuasa politik Islam dalam pentadbiran negara. Kita masuk bertanding untuk memerintah bagi mengembalikan semula kuasa politik Islam. Inilah yang tercatat dalam perlembagaan PAS”, ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang di hadapan kira-kira 350 orang perwakilan dan pemerhati.

Dalam mesyuarat yang dijalankan di Markaz Tarbiah Darul Amin Sungai Gau itu, Ustaz Idris sempat membacakan perutusan khas Tuan Guru Presiden khusus buat Jentera PAS Kawasan Temerloh yang antara lain memberi peringatan agar semua ahli di semua peringkat untuk mengukuhkan aqidah perjuangan dengan budaya ilmu dan hubungan dengan Allah agar tidak mudah goyah dengan ujian perjuangan dan juga kemengan yang akan dikecapi nanti.

Di akhir ucapannya, Ustaz Idris sempat menitipkan harapan khusus buat jentera muda PAS untuk aktif membantu gerakerja pilihanraya PAS khususnya dalam media massa dan media sosial. Menurut beliau juga jentera PAS wajib menjadikan akbar Harakah dan portal Harakahdaily sebagai rujukan utama dalam apa jua isu dan maklumat kerana ia adalah lidah rasmi parti dalam membawa suara dan keputusan pimpinan parti.