Thursday, January 18, 2018

Fastaqim 2.3 H12K Sabtu ini

TEMERLOH:
Seluruh ahli dan penyokong PAS serta orang ramai yang mahukan penjelasan secara langsung isu semasa tanahair, diseru hadir ke program Fastaqim 2.3 pada Sabtu ini bertempat di Kompleks Al-Makmur, Kerdau.

Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Rosli Abdul Jabar berkata, program ini penting bagi mempertegaskan bahawa PAS sentiasa serius dan bersedia untuk menerajui Pahang.

“Pada program ini akan dirangsang dan digerakkan jentera dan petugas pilihan raya PAS di semua peringkat membuat pecutan terakhir ke arah kemenangan menjelang pilihan raya umum ke 14 dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Kerana PAS Pahang bersama Gagasan Sejatera yang akan bertanding hampir semua kerusi Dun dan parlimen menyedari akan menempuh rintangan yang tidak sedikit.

“Program ini bermula dengan pelancaran pra-Fastaqim yang bermula dari Cameron Highland Sabtu lalu dan merentasi seluruh 14 parlimen di Pahang dan Sabtu ini merupakan kemuncaknya,” ujarnya.

Sementara itu program fastaqim yang dijangka akan dihadiri lebih 12,000 orang bermula jam tiga petang hingga tengah malam dan diisi dengan pelbagai acara menarik pada sebelah petang seperti konvoi PAS Teraju Pahang 300 buah motor, bicara santai bersama tokoh ilmuwan dan asatizah serta persembahan kebudayaan Pahang oleh Anak Kayan dan persembahan nasyid dari Shoutul Amal.

Selepas solat Maghrib akan disusuli dengan munajat perdana, pemasyhuran kompleks Al-Makmur. promosi Tawaran PAS Pahang, ucapan pimpinan NGO, deklarasi H12K dan acara kemuncaknya pidato daripada Mursyidul Am, presiden dan timbalan presiden.




Thursday, January 11, 2018

Felda Jalan Semarak: Siapa yang menipu?

Semalam timbul satu dakwaan baru mengenai penjualan tanah Felda di Jalan Semarak oleh laman The Mole yang mendakwa bahawa penjualan tanah itu dipersetujui kesemua ahli lembaga pengarah Felda yang lembaga pengarah FIC dalam tiga perjumpaan sekitar 2014 dan 2015.

Dakwaan ini amat berbeza dengan laporan Beri Harian bulan lalu yang mendakwa ahli lembaga pengarah Felda tidak mengetahui mengenai perjanjian itu yang dibuat pada Jun 2014 sehinggalah diberitahu pada bulan September pada tahun yang sama.

Sumber The Mole menyatakan bahawa ahli lembaga pengarah Felda ketika itu: Datuk Dr. Omar Salim, Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi Yusoff, Datuk Norzirah Bahari, Datuk Mohd. Suhaili Said, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid, Datuk Abu Bakar Harun, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib, Datuk Mohd. Isa Abu Kasim, Datuk Mohd. Emir Mavani Abdullah and Shamsudin Othman – telah diberitahu mengenai penjualan itu pada hari yang sama dan mereka memberikan kelulusan semula pada 3 Jun 2015.

Menurut The Mole, perjanjian antara FIC dan Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) memang didraf sebegitu rupa di mana FIC akan diberi jaminan pulangan minima sebanyak RM500 juta atau 10% daripada kos kasar pembangunan, berdasarkan mana yang lebih tinggi.

Sejak laporan Berita Harian, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad telah memberikan bayangan bahawa seolah-olah seluruh ahli lembaga pengarah telah ditipu sehingga tanah Felda kehilangan kepada tangan SPSB manakala The Mole mendakwa perjanjian itu mendapat kelulusan lembaga pengarah Felda dan FIC.

Ekoran timbul dakwaan berbeza, PAS menuntut Tan Sri Shahrir tampil untuk mendedahkan perjanjian antara FIC dan SPSB untuk tatapan umum.

PAS berpendapat mustahil bekas Pengerusi Felda Tan Sri Isa berani melakukan transaksi ini tanpa pengetahuan PM. PAS turut menuntut agar Perdana Menteri tampil memberitahu rakyat apakah beliau tahu mengenai perjanjian ini jauh lebih awal? Jika ya, maka segala aksi memanggil audit dan siasatan hanyalah wayang agar peneroka Felda dapat ditipu kononnya tanah Felda itu masih dapat diselamatkan untuk BN melepasi PRU14 sedangkan perjanjian itu satu urus niaga yang sah yang tidak dapat dilakukan apa-apa lagi.

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
11 Januari 2018

Thursday, January 4, 2018

Pendidikan rendah berorientasikan Islam: SRITI menjadi produk hebat pendidikan

Oleh : DR RIDUAN MOHAMAD NOR

Sesi baru persekolahan 2018 kini muncul dengan kesuraman ekonomi negara dan pelbagai masalah yang menyelimuti sosio politik tanahair ini. Apa sahaja isu yang melanda negara, namun pendidikan adalah wahana penting untuk menjadi agen perubahan dan agen transformasi sosial. Pendidikanlah yang akan membentuk karektor sesebuah bangsa dan negara. Kesilapan dalam sektor pendidikan akan menjadikan bangsa dan negara menerima implikasi jangkapanjang yang fatal. Ibubapa yang mencari sistem pendidikan alternatif telah memilih SRITI, yang merupakan kesinambungan daripada pendidikan prasekolah PASTI yang sangat cemerlang mendidik pelajar.

PAS telah melangkah setapak lagi dalam menggerakkan institusi pendidikan apabila jentera partinya telah menubuhkan Sekolah Rendah Islam (SRI). Kesedaran untuk menubuhkan sekolah-sekolah rendah Islam ini adalah kerana permintaan ibu bapa untuk menampung keperluan pendidikan anak-anak selepas melalui pendidikan pra sekolah di PASTI. Walau bagaimanapun tidak semua pelajar PASTI meneruskan pendidikan di SRI kerana faktor keterbatasan peluang dan juga keinginan ibu bapa untuk menghantar anak ke sekolah kerajaan.

PAS juga disaingi oleh beberapa pertubuhan Islam lain di negara ini, yang turut menubuhkan Sekolah Rendah Islam bagi menampung keperluan pendidikan Islam di negara ini dan juga dengan matlamat menyemai kecintaan kepada Islam semenjak usia yang awal. Begitu juga Sekolah-sekolah Rendah Islam ini turut ditubuhkan oleh ahli-ahli PAS di seluruh negara.

Menurut Ustaz Fauzi Husain, penubuhan Sekolah Rendah Islam seperti yang diwujudkan di Kedah mempunyai pertalian dengan kewujudan PASTI, contohnya penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Ulum yang diinspirasikan daripada nama Darul Ulum di Mekah. Penubuhan sekolah-sekolah ini juga berkait rapat dengan usul-usul muktamar Dewan Pemuda PAS yang mendesak kepimpinan PAS untuk mewujudkan sekolah-sekolah mereka sendiri sebagai alternatif kepada sekolah aliran kebangsaan yang tidak menekankan pendidikan Islam dan syakhsiah pelajar.

PAS di semua peringkat telah berusaha untuk menubuhkan Sekolah Rendah Islam bagi mengembangkan sistem pendidikan Islam di negara ini dan mendapatkan sambutan yang menggalakkan daripada ahli-ahli mereka sendiri. PAS juga telah menubuhkan Majlis Pendidikan PAS bagi menyelaraskan kurikulum dan pemantauan yang berterusan terhadap sekolah-sekolah yang ditubuhkan oleh PAS di semua peringkat atau ahli mereka secara individu.

Di antara Sekolah Rendah Islam yang ditubuhkan oleh PAS ialah Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU), Sekolah Rendah Madinatul Ilmi (Kelantan), Sekolah Rendah Islam Al-Ummah (Wilayah Persekutuan), Sekolah Rendah Islam at-Taqwa, Sekolah Rendah Islam al-Islah, Sekolah Rendah Islam Ehsan, Sekolah Rendah Islam Darul Mujahidin, Sekolah Rendah Islam Darul Bayan dan sebagainya.

Menurut Dr Abu Bakar Abdullah, Dewan Ulama PAS Terengganu telah menyelaraskan sekolah rendah Islam milik PAS Terengganu yang dikenali sebagai ‘DAR’. Setiap PAS kawasan di Terengganu diarahkan untuk membangunkan sekolah rendah Islam di kawasan mereka sebagai kesinambungan kepada pendidikan prasekolah milik PAS yang telah aktif berfungsi di negeri tersebut.

Di antara sekolah rendah terawal yang didirikan oleh PAS ialah Madrasah Islahiah di Kampung Memali, Baling Kedah. Institusi pendidikan Islam ini telah diasaskan oleh Ustaz Ibrahim Mahmud yang juga dikenali sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau dan rakan-rakannya yang terdiri daripada aktivis pemuda PAS telah membangunkan sebuah pusat pendidikan umum untuk masyarakat dewasa dan pendidikan formal untuk kanak-kanak. Pendidikan prasekolah yang ditubuhkan, manakala pendidikan rendah pula bermula pada tahun 1985.

Madrasah Islahiah ini telah menjadi pusat kegiatan PAS di Baling pada tahun 1980-an dan namanya menjadi masyhur selepas berlaku tragedi berdarah di Memali pada 19 November tahun 1985. Sekolah ini akhirnya berkembang menjadi Sekolah Menengah Islam dan telah megeluarkan ribuan pelajar, ramai pelajarnya telah melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti di Pakistan dan Mesir.

Di Pulau pinang, Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang telah meluluskan usul untuk menubuhkan sebuah Sekolah Rendah Islam bagi menampung anak-anak ahli PAS yang tamat belajar di PASTI. Usaha-usaha untuk menubuhkan Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum telah dibuat dengan bersungguh-sungguh termasuk kempen kepada ahli-ahli PAS di Pulau Pinang pada tahun 2004.

Pimpinan Dewan Pemuda PAS yang dipimpin oleh Dato’ Abu Bakar Chik juga telah menguasahakan penubuhan sekolah rendah Islam Pintar (SRIP), iaitu sebuah sekolah rendah yang bersifat cemerlang. Penubuhan SRIP ini telah diusahakan dengan menggunakan sebuah syarikat iaitu Ilmu, Iman, Amal Sdn. Bhd. SRIP yang pertama telah ditubuhkan di Melawati, seterusnya berkembang ke Shah Alam, Kuala Terengganu.

Kepimpinan pemuda PAS Malaysia di bawah Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz serta penggantinya Ustaz Khalil Abdul Hadi telah menggerakkan dengan lebih terarah perkembangan sekolah rendah Islam di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia, iaitu dengan penubuhan Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah. Jabatan Pembangunan Sekolah Rendah dipertanggungjawabkan untuk menyelaraskan sistem serta merangka sistem pengajian dan menggerakkan pengoperasian setiap SRITI di seluruh negara, di mana pada awal Januari ini sebanyak 102 buah SRITI ditubuhkan di seluruh negara. PAS mempunyai sejarah yang cemerlang dalam menggerakkan pendidikan di negara ini dengan mempunyai jaringan daripada prasekolah sehinggalah kolej universiti. Semoga harakatul ummah ini terus menjadi pilihan kepada rakyat negara ini mendapatkan perkhidmatan pendidikan berorientasikan Islam dan terus memacu kegemilangan pendidikan alternatif buat rakyat dalam carut marut kehidupan berbahana sekular pragmatis.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, AJK Lujnah Tarbiah Pusat)

Wednesday, January 3, 2018

2018 Tahun Penting Rakyat Malaysia

Selamat Tahun Baru 2018 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya warga DUN Beserah di mana juga anda berada.

Didoakan semoga anda dan seisi keluarga dikurniakan kesihatan yg baik, dipelihara dari sebarang musibah serta beroleh kebaikan dalam tahun baru masihi ini.

Insya Allah, 2018 bakal menjadi tahun penting bagi sekelian rakyat Malaysia untuk menentukan kepimpinan negeri dan negara untuk tempoh lima tahun yang mendatang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang perlu diadakan selewat-lewatnya dalam bulan Julai 2018.

Tunaikan hak dan tanggungjawab anda dengan sebaiknya. Pilihlah calon atau parti yg diyakini mampu memelihara kesucian agama serta kesejahteraan rakyat dan negara.

Tolak calon dan parti yang telah terbukti gagal menjunjung amanah yang diberikan rakyat untuk mengurus negeri dan negara dengan bertanggungjawab, malah mempertaruhkan nasib rakyat dengan dasar serta urustadbir yg lemah dan pincang.

Selain itu, kekalkanlah persaudaraan dan perpaduan sesama kita, saling hormat-menghormati serta saling cakna kpd ahli masyarakat yg memerlukan keprihatinan kita.

Berlabuhnya tirai 2017 diharapkan dapat menguatkan azam dan tekad kita untuk berbuat kebaikan kepada diri sendiri, ahli keluarga dan kenalan, malah kepada sekelian saudara seagama, setempat, juga senegara.

Salam ingatan tulus ikhlas daripada kami warga kerja Pusat Khidmat DUN Beserah dan seluruh ahli PAS Kawasan Indera Mahkota.

Cakna, Mesra, Berkebajikan
Pahang Sejahtera Bersama Islam

YB ANDANSURA RABU
ADUN Beserah
YDP PAS Kawasan Indera Mahkota
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang