Monday, December 19, 2016

‘Stockpile’ bauksit: Andan desak kerajaan lanjut tempoh moratorium

KUANTAN - Biarpun pelaksanaan moratorium terhadap perlombongan bauksit masih berbaki dua minggu lagi, namun masih terdapat banyak lagi longgokan bahan mineral tersebut di kawasan penyimpanan.

Adun Beserah, Andansura Rabu berkata, melihat longgokan atau ‘stockpile’ yang masih banyak, agak mustahil untuk pihak berkaitan mengosongkan baki bauksit dalam tempoh singkat.

“Saya nampak macam tiada pengurangan bauksit di pusat penyimpanan setakat ini. Saya sendiri tak faham kenapa bahan mineral itu masih tak kurang walaupun sudah tiga kali tempoh moratorium dilanjutkan.

“Melihat situasi seperti ini, saya percaya kerajaan persekutuan akan melanjutkan tempoh itu sehingga tiga bulan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program khatan secara beramai-ramai di Balok Makmur, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, selain masalah pengosongan pusat penyimpanan yang gagal diselesaikan, kerajaan negeri juga didakwa gagal mendedahkan prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung aktiviti bauksit.

“Di samping ini laluan baharu yang akan digunakan bagi tujuan mengangkut bauksit juga masih belum diumumkan secara jelas sehingga kini.
“Kita masih tertanya-tanya apakah langkah kerajaan negeri dalam menangani isu bauksit. Apa yang saya lihat kerajaan negeri hanya mengambil sikap berdiam diri dalam perkara ini.

“Jika tindakan berdiam diri menjadi pilihan kerajaan negeri masalah berhubung aktiviti bauksit tak akan dapat ditangani secara bijak,” katanya.

Andansura bagaimanapun mendesak kerajaan persekutuan melanjutkan tempoh moratorium sekiranya tiada langkah diambil oleh kerajaan negeri.
Katanya, itu adalah langkah terbaik dan selamat bagi mengelak pencemaran dan kesengsaraan rakyat berulang.



Monday, December 5, 2016

Kehilangan Dyana Sofya terjawab

Dyana Sofya Mohd Daud, ikon anak muda yang pernah menggemparkan dunia politik tanah air kerana menyertai DAP pada satu masa dulu, muncul pada konvensyen parti tersebut semalam.

Bekas calon DAP bagi PRK Teluk Intan itu yang beberapa ketika pernah menjadi persoalan umum kerana dikatakan ‘hilang’ daripada arena politik, kemunculannya sekali gus menjawab teka-teki tersebut.

Menurut Sinaronline, ‘perempuan Melayu dalam DAP baru’ itu baharu sahaja menamatkan pengajian yang disambung di kota London. Justeru, inilah yang membuatkan dia menyepi seketika dari pentas politik.

"Saya baru sahaja pulang dari melanjutkan pelajaran di London, kini saya kembali untuk berkhidmat pada parti saya.

"Saya juga akan berkhidmat semula sebagai peguam pada awal tahun hadapan," katanya seperti dipetik Sinaronline ketika ditemui di Konvensyen DAP.

Mengenai persiapan beliau menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke -14 kelak, dia kini sedang fokus untuk mengambil hati anak muda bagi menambat sokongan untuk partinya.

"Sekarang saya sedang fokus untuk menarik anak muda untuk mengambil bahagian dalam politik.

"Undi anak muda sangat penting kerana mereka ini bilangannya ramai dan juga menjadi tonggak negara, sememangnya kini saya bekerja keras untuk PRU nanti," katanya lagi.

DAP kini sedang mengumpulkan profesional muda Melayu menganggotai parti tersebut bagi menghakis tanggapan umum bahawa parti tersebut merupakan chauvinis Cina.

Ia juga bagi cubaan meletakkan ketua negeri daripada dipilih daripada parti tersebut. Kes pernah berlaku di Perak pada PRU 2008 apabila DAP memenangi kerusi majoriti bagi pembangkang (seklai gus mengalahkan BN), namun gagal meletakkan Adun daripada partinya sebagai Menteri Besar.

Ini disebabkan undang-undang tubuh sesebuah negeri mengehendaki seseorang Menteri Besar mestilah dari kalangan orang Melayu.

Dengan itu, DAP yang dulunya hanya dianggap parti pembangkang selamanya, mulai mengubah imej dengan menjadi parti pemerintah jika beroleh kerusi majoriti.

Pada PRU 13 DAP telah memperolehi sokongan sehingga 90 peratus daripada keseluruhan pengundi Cina.


Thursday, December 1, 2016

Kem Anak Soleh " Rest For Caliph Camp 2.0" sempena cuti sekolah


TEMERLOH: - Musim cuti persekolahan kali ini telah dimanfaatkan oleh seramai 62 orang dikalangan kanak-kanak dan remaja dengan mengikuti Kem Anak Soleh " Rest For Caliph Camp 2.0" di Kompleks Pendidikan Al-Istiqamah, Kampung Padang Lalang, Temerloh baru- baru ini.

Program yang berlangsung selama dua hari satu malam pada 26 dan 27 November itu telah disertai oleh peserta berumur seawal 7 tahun hingga 16 tahun.

Sepanjang kem tersebut, peserta didedahkan dengan pengisian hafazan al-quran menggunakan kaedah al-bahgdadi, slot bahasa cina dan bahasa arab, juga modul-modul menarik dan bermanfaat. Kem ini juga turut diisi dengan ceramah motivasi, sukan sunnah iaitu aktiviti berkuda dan memanah juga riadah dan latihan dalam kumpulan.

Program ini merupakan anjuran Kompleks Pendidikan Al-Istiqamah, Kampung Padang Lalang Temerloh. Kem ini merupakan siri kedua diadakan selepas kejayaan kem ini pada awal tahun ini dan akan diteruskan untuk masa akan datang.

Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada ibu bapa sekitar kawasan ini apabila mereka begitu komited menghantar anak masing-masing menyertai kem tersebut.

Merujuk kepada maklum balas yang diterima daripada para penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke program ini, besar hasrat mereka supaya program-program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Program berakhir dengan sesi bergambar antara peserta dan juga barisan urusetia yang terlibat menjayakan program.

Laporan: USTAZ ZARIMI AL-HAFIZ