Wednesday, December 24, 2014

PAS Pahang aktif semula tabung Prihatin Rakyat

Berikutan bencana banjir melanda beberapa daerah di Pahang sejak tiga hari lalu, PAS Pahang melalui Lajnah Kebajikannya melancarkan tabung bantuan Prihatin Rakyat bagi membantu mangsa.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pahang Hassanuddin Salim berkata bantuan tersebut amat diperlukan bagi membantu mangsa-mangsa terlibat banjir yang sedang kritikal sekarang di daerah Lipis, Cameron Highland, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan terbaru Temerloh.

Katanya, paling teruk ialah di daerah Kuantan dengan anggaran lebih enam ribu terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan dan banyak kawasan masih terputus hubungan.

“Memandangkan hujan masih berterusan di sebelah hulu pada masa ini, dijangkakan semua daerah termasuk Temerloh (akan lebih teruk), Bera dan Rompin akan terlibat banjir.

“Ketika ini petugas-petugas PAS sedang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa dan kehidupan mangsa banjir yang sedang panik dan berdukacita. Paling tenat di Kuantan kerana kebanyakannya sudah ditimpa banjir kali kedua dalam tempoh seminggu ini.

“Bayangkan betapa sukarnya mereka, terutama menjelang beberapa hari lagi sesi persekolah baru dibuka. Jadi kepada sesiapa yang simpati dan prihatin hulurkanlah bantuan setakat mampu bagi meringankan beban mereka melalui Prihatin Rakyat,” rayunya.

Sementara itu satu sumber menyebut, paras air di Kuala Tahan diberitakan sudah mencecah paras pada banjir besar 1071 dulu.

Tabung mangsa banjir Prihatin Rakyat dibuka tahun lalu beroperasi di Darul Hikmah, Kerdau apabila hampir 50,000 orang terlibat dalam bencana tersebut dengan lebih 30,000 orang daripadanya dari daerah Kuantan.

Bagi sesiapa yang sudi menghulur sumbangan kepada mangsa banjir yang sedang menderita bolehlah memasukkan wang ke akaun: Prihatin Rakyat 5560 5720 3711 (Maybank Islamic).



Monday, December 22, 2014

102 pelajar miskin kini tersenyum buka sekolah tahun depan

Seramai 102 pelajar kurang berkemampuan dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau mampu menguntum senyum apabila diraikan dengan sumbangan set lengkap persekolahan sempena penggal baru persekolahan 2015.

Daripada jumlah tersebut, 18 daripadanya dari bangsa Cina dan 10 India dalam kategori keluarga miskin yang diraikan dalam majlis ‘Kembali ke Sekolah 2015’ di Darul Hikmah, dekat sini kelmarin.

Penyelaras PAS Dun Kerdau Ustaz Kamal Ashaari yang menyampaikan sumbangan tersebut, berkata sumbangan yang diberikan meliputi beg, pakaian lengkap, kasut dan alat tulis dengan kos kira-kira RM100 ringgit bagi seorang penerima.

“Ini merupakan acara tahunan bagi Dun Kerdau sejak tiga tahun bagi golongan kurang berkemampuan ini. Alhamdulillah, selain bantuan sempena pembukaan sesi baru persekolahan ini ini kita juga membantu mereka pada setiap kali menjelang sambutan puasa dan menyambut hari raya.

“Begitu juga apabila mereka ditimpa musibah seperti banjir, kebakaran dan kemalangan. Biasanya Dun Kerdau tidak melupakan golongan ini,” ujarnya.

Turut hadir Pengarah Dun berkenaan Ahmad Mat Yaman serta ahli jawatankuasanya.

Dun Kerdau berada dalam Parlimen Kuala Krau dan mempunyai 13 unit peti undi (UPU).



~ Ustaz Kamal (kanan) menyampaikan beg berisi set lengkap ke sekolah kepada pelajar.

Friday, December 19, 2014

Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Ulamak meninggal dunia

MARAN: Bekas Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Ulamak PAS Pusat Ustaz Abdul Manaf Othman, 70, kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 7 petang 15 Disember lalu dipercayai akibat serangan jantung.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Aris Feizul Ismail, arwah rebah sewaktu mengambil wuduk untuk bersembahyang Maghrib di rumahnya di Jengka 2, sebelum dikejarkan ke hospital Jengka.

Menurut Aris, beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital di pangkuan isteri serta anaknya.

“Arwah sempat membaca khutbah Jumaat lalu dan kelmarin masih mengimamkan solat di masjid itu,” kata Aris.

Arwah adalah imam masjid Jengka 2 dan merupakan ahli PAS yang aktif sejak tahun 1980-an dan memegang jawatan penting di peringkat PAS Kawasan.

Selain daripada itu beliau pernah beberapa penggal dilantik sebagai ahli jawatankuasa Dewan Ulamak Negeri Pahang dan dipilih menjawat Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Ulamak PAS Pusat pada sesi 2007-2009.

Beliau pernah tiga kali bertanding pilihan raya mewakili PAS iaitu di Dun Tajau dan Ulu Jempol.

Arwah juga merupakan pejuang peneroka Felda sezaman dengan (kesemuanya telah kembali ke rahmatullah) Pak Soh Sukarno, Abdul Malik Yusof dan Suhaimi Said.

Sementara itu Pengerusi Gerakan Kebangkitan Peneroka Felda Kebangsaan (Bangkit) Pahang, Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, antara jasa arwah yang terbesar ialah memperjuangkan geran hak milik peneroka Felda daripada geran secara berkelompok kepada individu.

Jenazah Ustaz Manaf disembahyangkan di surau miliknya Darul Quran, Jengka 2 sebelum disemadikan di tanah perkuburan berhampiran keesokan harinya.

Turut menziarahi, anggota-anggota Badan Perhubungan PAS Pahang serta sahabat dan keluarga.


~ Ustaz Manaf (kanan sekali) ketika diziarahi pemimpin PAS Maran baru-baru ini.