Wednesday, December 24, 2014

PAS Pahang aktif semula tabung Prihatin Rakyat

Berikutan bencana banjir melanda beberapa daerah di Pahang sejak tiga hari lalu, PAS Pahang melalui Lajnah Kebajikannya melancarkan tabung bantuan Prihatin Rakyat bagi membantu mangsa.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pahang Hassanuddin Salim berkata bantuan tersebut amat diperlukan bagi membantu mangsa-mangsa terlibat banjir yang sedang kritikal sekarang di daerah Lipis, Cameron Highland, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan terbaru Temerloh.

Katanya, paling teruk ialah di daerah Kuantan dengan anggaran lebih enam ribu terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan dan banyak kawasan masih terputus hubungan.

“Memandangkan hujan masih berterusan di sebelah hulu pada masa ini, dijangkakan semua daerah termasuk Temerloh (akan lebih teruk), Bera dan Rompin akan terlibat banjir.

“Ketika ini petugas-petugas PAS sedang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa dan kehidupan mangsa banjir yang sedang panik dan berdukacita. Paling tenat di Kuantan kerana kebanyakannya sudah ditimpa banjir kali kedua dalam tempoh seminggu ini.

“Bayangkan betapa sukarnya mereka, terutama menjelang beberapa hari lagi sesi persekolah baru dibuka. Jadi kepada sesiapa yang simpati dan prihatin hulurkanlah bantuan setakat mampu bagi meringankan beban mereka melalui Prihatin Rakyat,” rayunya.

Sementara itu satu sumber menyebut, paras air di Kuala Tahan diberitakan sudah mencecah paras pada banjir besar 1071 dulu.

Tabung mangsa banjir Prihatin Rakyat dibuka tahun lalu beroperasi di Darul Hikmah, Kerdau apabila hampir 50,000 orang terlibat dalam bencana tersebut dengan lebih 30,000 orang daripadanya dari daerah Kuantan.

Bagi sesiapa yang sudi menghulur sumbangan kepada mangsa banjir yang sedang menderita bolehlah memasukkan wang ke akaun: Prihatin Rakyat 5560 5720 3711 (Maybank Islamic).



No comments:

Post a Comment