Thursday, October 27, 2016

Isu Bauksit: Bila Nak Selesai?

KUANTAN: Kini musim tengkujuh sudah hampir tiba, tidak adakah langkah-langkah penyelesaian diambil oleh pihak kerajaan BN?, soal Timbalan Pesuruhjaya PAS (TPJ) Pahang Andansura Rabu.

Beliau yang juga Adun Beserah berkata, selepas hampir setahun moratorium berjalan dan janji demi janji dibuat oleh pihak berkuasa, namun semua isu masih tidak diselesaikan.

“Tinjauan saya semalam di Kampung Kubang Karah dan Kampung Jeram Beserah mendapati timbunan bauksit dibiarkan begitu sahaja.

“Lebih malang lagi, jalan kampung yang di bawah seliaan PLB (pembangunan luar bandar) juga tidak dibaiki. Menurut wakil penduduk, pihak kontraktor ada membayar wang deposit untuk tujuan membaiki sebarang kerosakan.

“Persoalannya sekarang mengapa kerosakan jalan masih tidak dibaiki? Kemana wang tersebut telah dibelanjakan?,” soalnya lagi.

Andansura yang juga Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang berkata, selain daripada itu, terdapat juga satu kawasan seperti "washing bay" telah dipasang di tengah-tengah jalan orang ramai.

“Siapa yang meluluskan pemasangan ini? Kenapa gunakan jalan awam untuk tempat cucian?”

Andansura serentak dengan itu mendesak pihak berkuasa yang terlibat untuk turun padang dan menyaksikan sendiri kerosakan yang ada.

“Tolonglah selesaikan segera masalah rakyat ini. Jika tidak, tunggulah musim hujan lebat dan musim tengkujuh yang akan bermula nanti... kita akan ada water park kat situ...,” ujarnya.




Thursday, October 20, 2016

PAS cadang naik taraf hospital baru Kuala Lipis untuk rakyat di Pahang Barat

PAS cadang naik taraf hospital baru Kuala Lipis untuk rakyat di Pahang Barat

PAS menyambut baik usaha menaiktarafkan Hospital Kuala Lipis dengan pembinaan blok baharu yang kini berlangsung.

Cadangan membina blok baharu untuk pusat hemodialisis adalah suatu berita baik dan perlu disegerakan berikutan pertambahan pesakit. Saya sendiri pernah melawat pusat hemodialisis sedia ada dan melihat sendiri ruangnya yang terhad berbanding pesakit yang ramai.

PAS mencadangkan selain usaha membina blok untuk perkhidmatan perubatan, pihak kerajaan juga perlu mengusahakan ruang letak kereta yang mencukupi bukan sahaja untuk pelawat tetapi untuk kemudahan pesakit dan kakitangan hospital. Pada masa ini ruang letak kereta sangat sedikit berbanding pertambahan pesakit dan pelawat sementelahan hospital ini menjadi hospital rujukan bagi zon Pahang Barat.

Untuk perkembangan jangka panjang, kami mengesyorkan kerajaan negeri mempertimbangkan menyerahkan Dataran Lipis untuk kegunaan Hospital Kuala Lipis. Hospital ini sesungguhnya memerlukan kawasan yang lebih besar berbanding sekarang untuk perkembangan masa depannya. Antaranya keperluan letak kereta dan kuarters kakitangan.

Sebagai gantinya, pihak kerajaan boleh menyediakan tapak baharu bukan sahaja sebagai dataran malah membina stadium pelbagai guna untuk zon Pahang Barat. Tapaknya boleh dipilih sama ada di kawasan Kuala Lanar, atau di Bandar Baru Kuala Lipis, atau di Padang Tengku. Kewujudan stadium moden boleh menjadi pemangkin perkembangan pesat sosio-ekonomi daerah Lipis.

ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI
Setiausaha Perhubungan
PAS Negeri Pahang



Tuesday, October 18, 2016

PAS Pahang kekal tanding 21 dun 7 parlimen

TEMERLOH: PAS kekal bertanding 21 kerusi Dun dan tujuh parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Yohanis Ahmad.

Berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Negeri Pahang kali ke-2 semalam di Darul Ansar, Lanchang semalam, beliau berkata jika Pakatan Harapan (PH) gagal menasihati komponennya seperti Pan masuk bertanding di tempat yang sama, PAS akan bertindak.

Katanya, tindakan tersebut ialah PAS akan menilai semula kerusi-kerusi majoriti Melayu seperti Raub, Mentakab atau mana-mana kerusi yang pernah ditandingi parti itu, PAS akan masuk bertanding di situ.

“PAS ada prinsip, mana-mana parti yang nak bekerjasama mesti kena hormati dasar PAS, jangan hina PAS atau Islam macam Dap.

“Bukan sahaja hina Islam, jika Dap hina Hindu, Budha dan Kristian pun PAS marah,” katanya.

Beliau berkata demikian dipercayai mengulas pelbagai isu berkaitan pilihan raya yang dibangkitkan oleh Pan dan Dap di akhbar dan portal berita akhir-akhir ini. Terbaru ialah kenyataan kesat pemimpin Dap di Raub.

Mengenai Dap, Yohanis berkata, PAS bukan sekali pernah bekerjasama.

Menurutnya, pada PRU 1999 dalam BA tapi parti itu keluar pada 2001 atas isu Dokumen Negara Islam. Kemudian selepas PRU 2008 bersatu lagi dalam Pakatan Rakyat lepas itu Dap sendiri tendang PAS keluar daripada gabungan.

“Apabila tiba masa untuk PAS membawa private bill pindaan RUU 355, pelbagai penghinaan dan tohmahan dihamburkan kepada PAS.

“PAS melihat masalah sosial adalah keutamaan, cuma buat masa ini PAS melihat keperluan kepada masyarakat Islam melalui pindaan RUU,” tambahnya.

Mengenai DHPP, Yohanis berkata PAS Pahang memang sedang memperkasakan DHPP termasuk memberi sokongan kewangan.

Turut hadir dalam program berkenaan Pengerusi DHPP Pusat N Balasubramaniam, Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Negeri Wan Mahadir Wan Mahmud, Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri Hasnan Haron dan pemerhati dari DHPP Pusat Suria.

Sementara itu, Balasubramaniam yang juga Pengerusi DHPP Negeri Pahang menyampaikan khabar gembira pada masa akan datang ahli-ahli DHPP akan boleh mengundi dalam pemilihan parti seperti ahli-ahli PAS yang lain.



Memahami RUU 355


Oleh SYAIFUL HIZAM

Bermula semalam akan ramailah yang menunggu setiap kali bermulanya sidang parlimen tidak kira rakyat biasa mahupun luar biasa terutamanya para wartawan. Gamatnya sidang parlimen kali ini tentunya di sebabkan RUU 355 yang diusulkan oleh Ahli Parlimen Marang, YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Namun di sebabkan beberapa perkara maka ramai yang terkeliru, dikelirukan dan terpersepsi oleh andaian yang salah oleh pihak-pihak yang tidak ingin ianya dibentangkan atau diteruskan di Parlimen.

Apakah RUU 355 itu Hudud ?

RUU 355 bukan Hudud. Akta 355 merupakan undang-undang yang di luluskan oleh Parlimen bagi menentukan had bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk membicarakan dan menjatuhkan hukuman terhadap orang-orang Islam yang melakukan kesalahan terhadap perintah Agama Islam. Ianya juga menentukan had atau bidang kuasa berkaitan hukuman syariah oleh Badan Perundangan Negeri dan perlaksanaannya oleh Mahkamah Syariah di seluruh negara.

RUU 355 bukan juga untuk Parlimen memperincikan had hukuman Mahkamah Syariah, tetapi bagi memansuhkan sekatan terhadap had hukuman Penjara 3 tahun, Denda RM 5,000 dan 6 Sebatan di dalam Akta 355 supaya kemudiannya dapat di kembalikan kepada Badan Perundangan Negeri bagi memperincikan had dan jenis hukuman yang lebih syarie, sesuai dengan bidang kuasa yang di peruntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika di luluskan, ianya tidak menambah kesalahan baru, ianya hanya memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri untuk meningkatkan hukuman. Jenis -jenis kesalahan tetap kekal sebagaimana yang di peruntukkan melalui Butiran I Senarai II ( Negeri ) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, kekal sebagaimana ianya mula di perkenalkan pada tahun 1965.

Tepatnya, ianya adalah Akta yang telah sedia ada dan hanya di pinda untuk menambah baik lagi sesuai dengan keadaan semasa dan cabaran terhadap umat Islam di dalam negara masa kini. Maka jika di sebut dan di takrif sebagai Hudud, maka ianya adalah salah sama sekali dan cuba memesongkan daripada fakta dan takrifan yang sebenar.

Ada juga yang menisbah pecahnya Pakatan Rakyat atau keluarnya DAP daripada Pakatan Rakyat adalah di sebabkan Hudud, ianya salah sama sekali. Keputusan PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP disebabkan keterlanjuran DAP masuk campur urusan PAS ketika Muktamar yang lalu dan paling utama keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS namun tidak dengan PAS. Sekarang, apa yang di angkat ke Parlimen oleh Presiden PAS hanyalah untuk meminda Akta 355, bukannya Hudud. Jadi fikirlah di mana rasionalnya segala alasan yang menuding jari ke arah PAS terutama ke pada Presidennya dan alasan perlaksanaan Hudud yang menyebabkan pecahnya Pakatan Rakyat.

Tanggungjawab Dan Penolakan

Berlaku beberapa proses atau peringkat dalam tatacara Peraturan Mesyuarat ketika bacaan RUU 355 di mulakan, iaitu membabitkan Peraturan Mesyuarat 49 ( 1 ) – ( 5 ). Maka dalam senario sekarang proses yang membabitkan Peraturan Mesyuarat 49 ( 1 ) – ( 2 ) sudah di lepasi oleh usul yang di bawakan oleh YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. Apa yang akan berlaku sekarang ialah yang membabitkan Peraturan Mesyuarat 49 ( 3 ) – ( 5 ).

Tatacara ini terkandung di dalam Peraturan Mesyuarat 49 yang dihuraikan seperti berikut:

49. (1) Dengan tertakluk kepada syarat-syarat dalam Perkara 67 dalam Perlembagaan siapa-siapa ahli yang bukan ahli Kerajaan yang hendak membawa Rang Undang-undang boleh meminta izin Majlis hendak berbuat demikian, dan ia hendaklah juga menyertakan bersama satu naskhah Rang Undang-undang berserta dengan huraian mengenai tujuan-tujuan dan sebab-sebabnya, tetapi tidak boleh mengandungi apa-apa hujah pada masa membawa Rang Undang-undang itu.

49. (2) Tiap-tiap permohonan demikian itu hendaklah dengan cara yang dikeluarkan usul, dan ahli yang mengeluarkan permohonan itu hendaklah juga menyampaikan kepada Setiausaha suatu salinan usulnya mengandungi nama Rang Undang-undang yang dicadangkan itu. Setiausaha hendaklah enggan menerima apa-apa permohonan yang tidak menepati kehendak Peraturan-peraturan Mesyuarat ini atau mana-mana undang-undang Persekutuan.

49. (3) Apabila diperkenankan permohonan itu setelah dikemukakan kepada mesyuarat dan disetujukan usul itu, maka Rang Undang-undang itu akan disifatkan telah dibacakan kali yang pertama dan diperintahkan dicap; dan satu salinan Rang Undang-undang itu hendaklah disampaikan kepada Setiausaha.

49. (4) Dengan tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 51, Rang Undang-undang itu hendaklah dicap dan dihantar kepada ahli-ahli dan dengan tidak dibahaskan, terserahlah Rang Undang-undang ini kepada Menteri yang berkenaan dengan perkara-perkara atau tugas-tugas yang terkandung dalam Rang Undang-undang itu atau, jika tiada Menteri yang berkenaan, maka terserahlah Rang Undang-undang itu kepada Menteri atau ahli yang dilantik oleh Tuan Yang Di-Pertua, tidak boleh dijalankan apa-apa langkah atas Rang Undang-undang ini sehingga Majlis menerima penyata daripada Menteri atau ahli itu.

49. (5) Setelah diterima penyata yang disebutkan dalam perenggan yang lalu itu, maka Rang Undang-undang itu akan ditetapkan bagi dibacakan kali yang kedua pada hari yang dikehendaki oleh ahli yang menjaga Rang Undang-undang itu.

Apa yang akan berlaku selepas ini ialah 2 proses iaitu :

1 ) Pengundian Ahli – Ahli Parlimen.
2 ) Tanggungjawab Menteri Yang Bertanggungjawab Dalam Soal Agama Islam.

Setiap Ahli Parlimen akan melakukan pengundian samada untuk menerima atau menolak usul setiap kali di bacakan samada di bacaan kedua dan ketiga. Proses yang sama juga berlaku di Dewan Negara untuk menerima atau menolak usul tersebut. Jika semua proses ini di kategorikan sebagai lulus, maka ianya akan di serahkan kepada Yang Di Pertuan Agong untuk di wartakan sebagai satu undang -undang.

Menteri yang bertanggungjawab dalam soal Agama Islam pula bertanggungjawab membawa usul untuk bacaan kali ke dua dan ketiga selepas bacaan kali pertama. Ianya adalah tanggungjawab beliau untuk membawa dan membacakan usul tersebut jika majoriti Ahli Parlimen mengundi menerima usul tersebut, sesuai dengan turutan Peraturan Mesyuarat.

Menteri yang bertanggungjawab dalam soal Parlimen perlu memastikan bahawa setiap peraturan mesyuarat di ikuti dan turuti setiap kali bacaan, perbahasan, pengundian dan dalam turutan proses yang betul. Maka Menteri juga bertanggungjawab memastikan bahawa selepas setiap perbahasan dan pengundian, proses seterusnya berlaku dalam turutan yang betul sesuai dengan Peraturan Mesyuarat dengan tidak meninggalkan satu pun urutan proses tersebut

Dengan ini, apa yang menjadi tunjang dalam ke semua proses ini ialah pengundian Ahli Parlimen samada menolak atau menerima. Bahaslah walau berhari – hari, tanpa pengundian atau majoriti Ahli Parlimen menolak, maka kesemua proses selepas itu semuanya tidak akan berlaku dan berfungsi, baik Peraturan Mesyuarat seterusnya atau tugas Menteri yang bertanggungjawab untuk memastikan semua urutan Peraturan Mesyuarat berlaku dan di patuhi.

Maka inilah yang penting bagi melaksanakan RUU 355, undi Ahli Parlimen yang menyokong perlaksanaannya, selebihnya hanyalah proses dalam memastikan perjalanan dan urutan Peraturan Mesyuarat di ikuti ketika di bacakan, di bahas, di undi dan di ikuti oleh proses seterusnya. Maka yang di kata “ BOLA “ di kaki Perdana Menteri, sebenarnya “ BOLA “ itu juga turut berada di kaki Rafizi Ramli dan keseluruhan Ahli Parlimen terutama Ahli Parlimen yang beragama Islam yang di minta untuk menyokong pindaan akta ini tidak kira daripada Kerajaan mahupun pembangkang.

Jadilah Ahli Parlimen Yang Bijak Dan Bertanggungjawab, Bukan Manipulatif

Seperti yang di nyatakan awal lagi, RUU 355 bukanlah Hudud. Ianya adalah penambahbaikan terhadap Akta sedia ada sesuai dengan keadaan semasa dan cabaran umat Islam masa kini. Untuk meletakkan tanggungjawab hanya kepada seseorang atau orang tertentu dalam soal ini adalah salah sama sekali terutamanya bilangan Ahli Parlimen beragama Islam yang ramai terdapat di dalam Parlimen. Ianya adalah tanggungjawab kesemua Ahli Parlimen yang beragama Islam untuk memastikan ianya dapat di bacakan, di bahas dan di undi dengan adil dan saksama, yang mana sepatutnya ianya di sokong oleh semua Ahli Parlimen beragama Islam.

Kali terakhir Akta 355 di pinda ialah pada tahun 1984, Penggal Kedua, Parlimen Keenam iaitu untuk membolehkan Mahkamah Syariah membicarakan kesalahan yang boleh di hukum penjara tidak melebihi 3 tahun, denda tidak melebihi RM 5,000 dan sebat tidak melebihi 6 kali sebatan dan pada tahun 1989, Penggal Ketiga, Parlimen Ketujuh iaitu untuk memperluaskan pemakaian Akta tersebut kepada Sarawak dan Sabah ( Malaysia Barat ). Maka tujuan pindaan terbaru ini adalah sama dengan yang sebelumnya iaitu untuk menambahbaik undang – undang yang sedia ada, seharusnya perlu di sokong dan tidak di momokkan sebagai Hudud untuk menakutkan umum dengan fakta dan persepsi yang salah.

Dicadangkan oleh YB Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada sidang Dewan Rakyat yang lepas pada bulan Mei, sepatutnya tempoh 5 bulan sehingga sidang Dewan Rakyat terkini di gunakan untuk di bincang dan di perhalusi namun tempoh tersebut menjadi medan kepada pihak tertentu untuk memanipulasi cadangan pindaan RUU 355 ini dengan memberi gambaran sebagai Hudud, tidak kondusif atau sesuai dengan keadaan masa kini. Lebih buruk, gambaran yang di berikan terhadap cadangan pindaan ini ialah negara menjadi terkebelakang dalam soal ekonomi dan sosial jika di laksanakan pindaan tersebut serta di ajak rakyat menolak usul ini tanpa sebab yang munasabah serta asas yang kukuh.

Dengan segala persepsi tidak betul, kritikan yang sinis dan mengelirukan serta gambaran yang salah terhadap pindaan ini sedang berlegar yang di sebarkan samada oleh umum, pertubuhan – pertubuhan mahupun organisasi tertentu, ahli politik atau parti naungannya, maka masa yang tinggal hanyalah ketika di sidang Parlimen sekarang, di masa ianya di angkat dan di bahaskan. Ketika itu jadikan segala naskah kritikan terhadap pindaan tersebut sebagai cadangan untuk menjadikan ianya lebih baik, lebih konstruktif serta lebih lengkap agar ianya di terima, bukan semata – mata mengkritik untuk mencari kelebihan dan sokongan politik dengan memberi gambaran yang salah dan buruk kepada umum.

Ketika itu sedarlah kita siapa yang betul, siapa yang salah serta siapa yang mahu mencari kelebihan politik atau ingin berbuat sesuatu yang baik kepada rakyat terutamanya umat Islam. Jika ingin berbakti, jadikan ia lebih baik dengan menambah baik, mencadangkan atau setidak – tidaknya menyokong namun jika sebaliknya, ianya hanya satu mimik atau gimik untuk mencari pengaruh politik dengan cara yang kotor dan buruk. Walaupun di usulkan oleh Presiden PAS, niat dan cita -cita beliau hanyalah untuk kepentingan umum terutama umat Islam. Jika benar, sumbanganlah idea, cadangan atau paling kurang sokonglah pindaan tersebut. Jika hanya bijak mengkritik tanpa menyumbang, jadilah umpama ketam mengajar anak berjalan.

Kepada bukan muslim, hormatilah dan biarkan urusan agama Islam di tunjangi dan di selesaikan oleh umat Islam. Sebagaimana umat Islam menghormati urusan agama lain, begitulah hendaknya dalam soal ini. Usah di burukkan lagi keadaan dengan mencampuri urusan agama Islam, hadirkan sikap toleransi dan hormat menghormati. Tidak perlu di takuti akan pindaan ini, jelasnya ianya tidak membabitkan bukan muslim.

Seksyen 2 dalam Akta 355 menjelaskan hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah Syariah.

menggantikan Seksyen 2 dengan seksyen berikut;

“2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan, Undang-undang Persekutuan.”; dan

(ii) memasukkan selepas Seksyen 2 dengan seksyen berikut

“2A. dengan menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas selain daripada hukuman mati.”

Apa yang mahu di lakukan hanya untuk orang Islam, demi umat Islam dan untuk kebaikan umat Islam. Dengan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan orang Melayu sebagai tunjang negara, jika baik amalan, perilaku serta peribadi samada umum mahupun pemimpin selari dan sesuai dengan kehendak Islam, maka akan selamat dan makmurlah keseluruhan rakyat dan negara.

~ Penulis adalah: Pengarah Media Baru,
Jabatan Penerangan PAS Pusat

Monday, October 17, 2016

PAS Pahang tak rela dihina


PAS Pahang tidak akan menyerahkan walau satu pun kerusi yang ditandingi pada PRU 13 yang lalu kepada mana-mana komponen Pakatan Harapan.

Kerusi yang ditandingi PAS pada PRU 13 yang lalu adalah hasil muafakat dalam Pakatan Rakyat. Kini PAS dan PKR masih lagi berada di dalam Pakatan Rakyat, maka semua kerusi antara PAS dan PKR adalah berdasar kepada status quo.

Namun suasana politik terkini memungkinkan Pakatan Harapan akan bertanding di kerusi PAS melalui komponennya samaada PAN atau DAP.

PAS Pahang menegaskan bahawa jika sekiranya Pakatan Harapan bertanding di kerusi PAS bertanding, PAS Pahang juga akan meletakkan calonnya termasuk di kerusi PKR bertanding.

Kerana PKR adalah komponen Pakatan Harapan, maka diharapkan PKR dapat berbincang sebaik mungkin untuk rakan-rakan Pakatannya tidak menganggu kerusi PAS bertanding.

Keputusan ini telah dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan Negeri Pahang baru-baru ini, kerana jentera PAS telah bekerja disetiap DUN PAS bertanding sejak bertahun lalu dan lebih agresif lagi apabila hampir pilihanraya. Jika PAS menarik diri untuk memberi laluan kepada Pakatan Harapan pasti akan melemahkan jentera pilihan raya PAS yang kini sedang bersemangat untuk menghadapi PRU 14.

PAS tidak mungkin akan menerima Pakatan Harapan selagi di dalamnya ada DAP dan PAN. Walaupun di dalamnya ada PKR yang sangat mesra dengan PAN, tapi masih bertahaluf dengan PAS, PAS tidak mungkin akan bertolak ansur untuk membenarkan Pakatan Harapan bertanding dikerusi PAS.

PKR dan DAP boleh berbincang sesama mereka untuk memberikan kerusi mereka kepada PAN, bukan ambil kerusi PAS, PAS tidak akan bertanding dikerusi PKR bertanding, namun PAS Pahang tegaskan sekali lagi bahawa PAS Pahang akan bertanding dimana2 kerusi sekalipun termasuk kerusi yang ditandingi PKR jika ada salah satu kerusi PAS dicerobohi oleh Pakatan Harapan.

PAS bukan sahaja bersedia untuk bertanding 3 penjuru, malahan beberapa penjuru sekali pun dan inilah juga kesediaan diperingkat akar umbi PAS, PAS nekad untuk bertegas apatah lagi setelah pengerusi DAP Pahang mengeluarkan kenyataan menghina kepimpinan PAS dan menghalau PAS keluar dari bumi Pahang dalam ucapannya di Raub baru-baru ini. Kenyataan ini sangat menghiris hati ahli PAS.

Keutamaan PAS ialah perjuangkan prinsip Islamnya demi kebaikan rakyat. PAS tetap akan menentang UMNO dan BN dan sesiapa sahaja yang menghalang PAS dari perjuangkan prinsipnya. PAS tidak akan berganjak walau seinci pun, InsyaAllah PAS akan terus mengharungi cabaran politik Negara bersama rakan didalam "Gagasan Sejahtera".

ROSLI ABDUL JABAR
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang

Thursday, October 13, 2016

Kes LGE - Nasrudin: Siapa hina mahkamah?

TUNTUTAN KOS MAHKAMAH: ISUNYA HANYA HUTANG PENGHAKIMAN, NAMUN SPINNYA JADI PENGHINAAN MAHKAMAH!

Oleh: WAN ROHIMI BIN WAN DAUD, Peguam Kepada Ahli Parlimen Temerloh YB Nasrudin Bin Hassan

KUALA LUMPUR: 13 Oktober 2016


1. Saya diarah untuk merujuk dan menjawab Siaran Akhbar oleh Raja Syarafina Raja Shuib, Pegawai Khas Undang-Undang kepada Ketua Menteri Pulau Lim Guang Eng (“LGE”) bertarikh 11/10/2016 dan 12/10/2016.

2. YB Nasrudin telah pun mendepositkan sejumlah RM10,000-00 ke akaun pelanggan firma firm saya pada 12/10/2016 dan saya akan mengemukakan bayaran kepada Peguam LGE sebagaimana yang diarahkan. Maklumat pembayaran ini telah pun saya fakskan kepada Peguam LGE lewat petang semalam.

3. Isunya hanya sedikit kelewatan untuk membayar kos Mahkamah lantaran Penghakiman Persetujuan bertarikh 18/1/2016. Namun Penghakiman Persetujuan yang dimeterai oleh Mahkamah hanya diserahkan kepada pejabat saya pada 19/9/2016 (lebih 8 bulan selepas tarikh Penghakiman), dimana dalam surat yang sama Peguam LGE memberi tempoh selama 14 hari untuk menjelaskan bayaran tersebut dan tempoh tersebut berakhir pada 2/10/2016. 5 hari selepas melewati tempoh tersebut, Peguam LGE menghantar Notis Tuntutan baru bertarikh 7/10/2016 yang hanya diterima oleh pejabat saya pada 11/10/2016.

4. Serentak dengan penerimaan Notis Tuntutan Kos pada 11/10/2016 tersebut, dan belum pun difailkan apa-apa prosiding perlaksanaan (execution proceeding), Syarafina atas arahan Tuan Politiknya telah membuat siaran media bertarikh 11/10/2016 menyerang YB Nasrudin di atas isu kos Mahkamah. Kesimpulan akhir kepada Siaran Media Syarafina hanya mempunyai satu kesimpulan bahawa YB Nasrudin telah menghina Mahkamah lantaran mengingkari Perintah untuk membayar Kos – lantas cuba menanam persepsi buruk terhadap YB Nasrudin.

5. Inilah matlamat akhir siaran media Syarafina, seorang yang berpengalaman sebagai Peguam litigasi sebelum menukar kerjaya berkhidmat sebagai Pegawai Khas Undang-Undang kepada Ketua Menteri Pulau Pinang.

6. Melaungkan tuntutan kos di media, dengan laungan penghinaan Mahkamah terhadap Penghutang Penghakiman (Judgment Debtor), tanpa memfailkan apa-apa prosiding perlaksanaan seperti yang sepatutnya difailkan, adalah suatu amalan guaman yang tidak pernah saya dengar dalam amalan guaman, bahkan bertentangan dengan etika guaman yang sepatutnya masih dijunjung Syarafina selaku seorang Peguam, secara profesionnya! (a lawyer by profession).

7. Melaungkan penghinaan Mahkamah ke atas Penghutang Penghakiman ke seluruh alam, apatahlagi hanya berkaitan kos prosiding, tanpa mengambil langkah perundangan yang sewajarnya – adalah manifestasi ceteknya pengalaman dan seni perundangan yang dimiliki oleh seorang Pegawai yang dikhaskan untuk menjaga urusan undang-undang seorang Ketua Menteri.

8. Namun motifnya mudah ditelah – Dalam Sudah Keajukan, Dangkal Sudah Keseberangan!

9. Justeru YB Nasrudin bingkas menjawab, bukan menyerang, pada hari yang sama. Ia adalah reaksi yang sepatutnya dijangka oleh Syarafina, apabila isu kos yang hanya bersifat hutang penghakiman (judgement debt), dibiaskan sebagai perbuatan menghina mahkamah.

10. Saya sudah memaklumkan tuntutan kos ini kepada YB Nasrudin lebih awal sewaktu beliau berada diluar negara. Namun tentulah YB Nasrudin memerlukan sedikit masa untuk mengikhtiar jumlah RM10,000-00 tersebut, sekembalinya ke tanahair, lantas melewati tempoh yang diberikan. Jangan disamakan kedudukan kewangan YB Nasrudin dengan Boss Syarafina. Elaun sebagai Ahli Parlimennya sebahagian besar dilaburkan di medan siasah, mencari sekelumit syafaat jihad, buat bekalan bertemu Tuhannya.

11. YB Nasrudin hanya mampu mendiami rumah teres satu tingkat ditepi hutan, dipinggir Bandar Kuantan. Itu pun hutang! Tiada Bungalow bernilai jutaan, tiada kolam renang, dan tiada kroni untuk menderma jutaan, dalam masa sejam! Justeru kelewatan seminggu seharusnya dimaafkan! Tiadalah perlu dikokok kesekelian alam, melainkan tindakan Syarafina hanya menyerlahkan keterdesakan desperado, walau untuk apa pun tujuan, termasuk untuk memberikan (membayar) Peguam! Janganlah disamakan pemilik bungalow jutaan walau tanpa kolam, dengan setinggan yang saban hari dihalau tiada berpulang!

12. Saya dan Syarafina sama-sama peguam. Sama-sama faham. Amalannya setiap tuntutan hutang penghakiman hendaklah didahului dengan serahan Perintah/Penghakiman yang dimeterai, terhadap Penghutang Penghakiman. Jika masih ingkar, prosiding perlaksanaan (dalam bentuk prosiding saman penghutang penghakiman, garnisi, sitaan atau lain-lain) perlu difailkan. Sebab itu tidak ditimbulkan isu kos RM500 yang perlu dibayar oleh LGE sejak 19/9/2014 dan kos permohonan yang ditolak pada 20/4/2015, berjumlah RM2,000-00, kerana tiada Perintah termeterai diserahkan oleh mana-mana pihak. Asas ini difahami semua Peguam, termasuk Syarafina, sepatutnya!

13. Namun sebagai menjawab persepsi buruk yang cuba ditanam oleh Syarafina, yang cuba menggambarkan bahawa YB Nasrudin telah “menghina mahkamah lantaran keingkaran mematuhi perintah mahkamah”, YB Nasrudin menyebut, JIKA logik sedemikian digunapakai oleh Syarafina, maka beliau seharusnya menggunakan logik yang sama untuk mengingatkan bossnya bahawa LGE telah terlebih dahulu (atau juga) menghina Mahkamah kerana ingkar membayar kos RM500 sejak 19/9/2014. Jika logik Syarafina diterima, ia juga terpakai ke atas LGE! Kecil atau besar jumlah tiada perbezaan, ia tetap satu Perintah! Mudah bukan? What you give is what you get back! Sayang, Syarafina kelihatan terlalu naif untuk memahami sindiran semudah itu.

14. Mudah saja untuk mencongak logik Syarafina. YB Nasrudin tidak bayar kos = hina Mahkamah! LGE tak bayar kos = tidak hina Mahkamah sebab tak tuntut! Kalau ingkar itu menghina, MAKA semua Penghakiman Ingkar Kehadiran (JID) perlu dikenakan committal proceedings dan contempt of Court. Nampak gaya penghutang penghakiman yang gagal membayar hutang kredit kad, semuanya boleh disumbat ke penjara kerana menghina Mahkamah! Itulah tafsiran undang-undang Syarafina. Kesian!

15. Terima kasihlah kerana melahirkan rasa “terharu” apabila disekolahkan oleh YB Nasrudin, yang tiada latar perundangan, tentang beza liabiliti sivil hutang penghakiman dan penghinaan mahkamah.

16. Disinilah beza dan kematangan YB Nasrudin, berbanding Syarafina. YB Nasrudin sedar hakikat beliau seorang yang tiada berpengetahuan tentang undang-undang, lantas belajar dan bertanya dari yang lebih arif. Namun Syarafina, walau berbekal pengalaman sebagai Peguam litigasi, memilih mengambil ringan kesan dan efek perundangan atas penggunaan terma yang songsang. Tiada perlulah merengek diserang, resminya bila menepuk air di dulang, pasti akan terpercik ke muka sendiri!

17. Mengapa memilih “tanpa mengambil kira pemakaian terma-terma undang-undang”?. Bukankah siaran akhbar Syarafina bertarikh 11/10/2016 itu pada hujungnya memberi kesimpulan kepada kesan perundangan? Cuba memberi persepsi buruk yang dibiaskan jauh dari hakikat perundangan? Jangan hanya bila terbedal hidung sendiri, baru terngadah ke susur air!

18. Nasihat saya, jika Syarafina ingin menjadi Pegawai Undang-Undang yang lebih diyakini Ketua Menteri, kembalilah mentelaah kitab undang-undang. Jumlah Penghakiman, Kos Prosiding atau apa-apa yang diperintah bayar oleh Mahkamah – namanya Hutang Penghakiman. Sifatnya liabiliti sivil. Cara menguatkuasakannya terkandung secara khususnya melalui Aturan 45 - 50 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Manakala “penghinaan kepada apa-apa perintah Mahkamah” disebut sebagai contempt. Sifatnya adalah quasi criminal! Litigan yang menghina Mahkamah boleh dihukum sebagaimana kesalahan jenayah (penjara, denda, atau keduanya atau amaran). Aturan 52 KM 2012 memberikan peruntukan khusus bagi prosiding menghina Mahkamah dan hukumannya. Justeru bacalah! Baca dan tadabbur sebelum memalit lumpur ke muka sendiri.

19. Kenapa kaedah menguatkuasakan hutang penghakiman dan penghinaan Mahkamah mempunyai perbezaan? Sebabnya kedua-duanya berbeza, seperti yang disebut YB Nasrudin. Satu sivil, satu lagi quasi criminal. Justeru kos mahkamah, secara literalnya, atau kontekstualnya, tersurat atau tersiratnya TIDAK terjumlah kepada penghinaan mahkamah! Justeru siapa yang ingin menegakkan benang yang basah? Jangan nanti, mengata dulang si paku serpih!

20. Penzahiran kekesalan dan tuntutan kos adalah 2 perkara berbeza. Penzahiran itu, tanpa permohonan maaf (public apology), telah dibuat dalam prosiding Mahkamah Terbuka pada 18/1/2016. Ia sudah selesai! Sifatnya pada masa kini adalah akademik. Tuntutan kos adalah hutang penghakiman, justeru bayarnya terkemudian, mengikut saluran dan proses undang-undang. Justeru tiadalah perlu dicampur-aduk gula dan garam, jika rasa manisan yang diinginkan!

21. LGE nak tuntut lagi kos RM2,000? Tuntutlah, kerana itu haknya! Namun tuntutlah dengan prosesnya yang betul. Nasihatilah dia sewajarnya. Usahlah berkokok riuh sekampong, telurnya tiada kelihatan!

Sekian.

RUU 355 dalam agenda Parlimen

KUALA LUMPUR, 12 Okt - Rang Undang-undang persendirian yang dibentangkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah, disenaraikan dalam Kertas Perintah (Order Papers) bagi mesyuarat Parlimen akan datang bermula Isnin ini.

Rang undang-undang tersebut termasuk perkara keempat dalam agenda untuk hari itu, menurut satu salinan Kertas Perintah yang diagih kepada media.

Hadi berjaya membentang (bacaan pertama) Rang Undang-Undang tersebut pada sidang Mei lalu selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said mengemukakan usul untuk menambah item, iaitu ke-42 dan terakhir untuk hari terakhir, di atas usul kerajaan.

Presiden PAS itu bagaimanapun, memilih untuk menangguhkan pembentangan ke mesyuarat ini apabila diberi pilihan untuk berbuat demikian oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Rang Undang-Undang Hadi juga telah dipanggil "Hudud Bill" (oleh umum) kerana percaya bahawa ia akan membuka jalan bagi penguatkuasaan undang-undang jenayah Islam di negeri-negeri seperti Terengganu dan Kelantan di mana undang-undang tersebut wujud tetapi kekal tidak aktif kerana halangan perlembagaan untuk pelaksanaannya.

Ia bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Akta, juga dikenali sebagai Akta 355, untuk memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk menguatkuasakan hukuman - kecuali hukuman mati - dengan syarat dalam undang-undang Syariah bagi kesalahan Islam yang disenaraikan di bawah bidang kuasa negeri dalam Perlembagaan Persekutuan.

hukuman mahkamah Syariah pada masa ini terhad kepada hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, sebatan tidak melebihi enam sebatan atau denda tidak melebihi RM5,000.

Terjemahan daripada: Malaymail online


Wednesday, October 12, 2016

Kenapa PAS dipersalahkan?

Oleh USTAZ ROSLI ABDUL JABAR

PAS disalahkan dengan sehabis kesalahan hingga sepertinya PAS itu telah tiada satu betulnya. Memulas apa yang sempat dipulas, tak sempat pulas kepala dipulasnya kaki supaya PAS sakit.

Yang mereka hendaknya bila PAS sakit, akan ikut sahaja apa orang buat dan suruh. Nak suruh PAS ikut semua yang mereka nak, jika tak ikut mereka tetap pulas dan pulas, begitulah sikap jahat pembenci PAS.

Bila PAS tak ikut, siang malam dok bersyair kata PAS lemah, PAS nak hancur, PAS tak berguna, tapi waktu yang sama, PAS diajak bersatu untuk tumbangkan BN. Kalau dah kata PH tu kuat, tak perlulah ajak PAS bersama.

PAS dari dulu lawan UMNO kerana UMNO tolak Islam, sekarang ni pun PAS tidak bersama PH kerana didalamnya ada DAP yang jelas menolak RUU 355, juga didalamnya ada PAN yang sokong apa sahaja DAP buat.

Dulu burukkan PAS kerana nak berUG dengan UMNO, bila sampai sekarang menunggu, sehingga tinggal tengkorak kering pun PAS masih tak berUG, PAS disalahkan pula kerana nak bentangkan RUU 355.

RUU 355 jadi kambing hitam untuk salahkan PAS.

Masa untuk menilai hampir tiba, ada yang dah jelas perdirian menolaknya, ada yang masih belum buat keputusan, dapat atau tidak majoritinya nanti, seluruh rakyat akan menilai ahli parlimen masing-masing.

Namun pasti jawapan bagi yang mengundi setuju, akan berkata ini adalah usaha untuk laksanakan sebahagian syariaat Islam, yang tidak bersetuju pula akan kandang salahkan RUU 355 dengan pelbagai salahnya. Mencurahkan semua lauk kerana benci kepada yang memasaknya.

PAS hanya menunaikan janjinya dengan Allah, untuk tinggikan syiarnya, itu prinsip PAS. PAS tak peduli lagi sidaun keladi, InsyaAllah RUU 355 pasti dibentangkan, ikut hati mati, tak ikut pun mati. Janji Allah adalah pasti.

- Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Pahang

Hutan simpan talian hayat kerajaan Pahang


Mukadimah: Anggota Harian PAS Pahang sejak dua bulan lepas telah turun sendiri melihat kesan kerakusan penebangan balak dalam hutan simpan di negeri ini. Antara yang dilawati ialah Hutan Simpan Lesung di Rompin, Hutan Simpan Kemasul di Bentong serta di Lipis dan Jerantut.

Berkaitan fenomena ini, Admin telah menemubual bekas pegawai kerajaan negeri Syed Ali Badaruddin Syed Othman. Beliau merupakan bekas pengarah syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur Bhd yang menang dalam saman terhadap kerajaan Negeri Pahang> Kini beliau merupakan penganalisis politik dan ekonomi khususnya bagi negeri Pahang



Apakah balak dalam kawasan yang sudah diwartakan sebagai hutan simpan boleh ditebang dan diambil secara sah?

Boleh tetapi ada syaratnya. Pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa untuk meluluskan pengeluaran balak dalam hutan simpan melalui mesyuarat Exco. Tetapi hendaklah dengan mematuhi Akta Hutan dan Pekeliling Hutan Negeri.


Bagaimana proses dan syarat-syaratnya?

Hutan simpan ini boleh ditebang dan dikeluarkan melalui dua proses, pertama tender iaitu sumber pendapatan untuk kerajaan negeri. Dalam amalan biasa, ini disebut “tagging and marking”. Apabila lulus syarat pengeluarannya pula tidak melebihi 15 tan bagi tiap seekar sekali. Pihak berkuasa negeri iaitu ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan boleh memilih mana-mana syarikat dan tidak tertakluk kepada harga tertinggi.
Pross kedua pula ialah melalui projek kerajaan seperti projek lebuh raya, empangan, kabel hidro elektrik, pelombongan (mineral). Syarat yang ini pula ia mesti diwartakan dan rizabnya dikeluarkan daripada hutan simpan dan dalam masa yang sama mesti diganti dengan tanah lain lalu diwartakan sebagai hutan simpan yang baru. Balak-balak boleh ditebang habis tetapi tapaknya mesti ditanam semula dengan benih pokok spesis hutan.


Dalam kes di Pahang (merujuk isu pembalakan di Hutan Simpan Lesung, Rompin Dan Kemasul Yang didedahkan Harakah baru-baru ini) adakah aktiviti pembalakan di hutan simpan itu mengikut proses yang betul dan pihak terbabit melaksanakan syarat-syarat yang telah ditetapkan?


Seperti yang saya kata tadi, kayu balak dan hutan tidak boleh ditebang habis tetapi 15 tan sahaja seekar. Apa yang berlaku bukit pun digondolkan. Macamana nak kata mengikut prosedur? Melainkan jika kawasan tersebut dipanggi; ‘hutan simpan miskin’ atau tudak ada kayu. Lepas itu sepatutnya kawasan yang dah ditebang mesti digantikan dengan spesis hutan seperti merantu, chengal dan sebagainya. Berkaitan di Kemasul, pokok durian memang ada termasuk spesis hutan tetapi klon Musang King ini masuk atau tidak saya tidak pasti. Tapi kalau sawit dan getah tak termasuk tanaman spesis hutan.


Adakah berlaku manipulasi undang-undang itu sendiri bagi membolehkan balak diambil dari hutan simpan?

Dari segi isu, sebenarnya ini kes mengambil kesempatan. Kerajaan negeri sebenarnya terdesak untuk mendapatkan hasil atau sumber pendapatan bagi mengurus negeri. Kutipan hasil cukai tanah semua sekali melibatkan industri, tanah, pelombongan, balak, anak-anak syarikat dan lain-lain dicampur geran per kapita berjumlah sekitar RM700 juta sedangkan perbelanjaan menjangkau RM800 juta. Jadi inilah sebabnya hutan simpan menjadi ‘talian hayat’ kepada Kerajaan Negeri Pahang.


Dalam hal ini bagaimana saudara melihat sikap kerajaan Pahang sendiri, adakah mereka serius dalam usaha menjaga hutan khususnya hutan simpan atau hutan dikawasan-kawasan zon penampan seperti di hulu sungai?

Saya lebih melihat kepada kerajaan yang ada hanya mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan melalui kekayaan sumber alam semula jadi yang ada. Kerana bagi saya, sebuah kerajaan yang efisyen dan ‘good governance’ mestilah berdaya saing memanipulasi sumber-sumber yang ada, tapi tak kreatif. Apa yang Pahang tidak ada? Dari puncak gunung, bukit-bukau, sungai hinggalah ke pinggir lautan luas, semua ada. Saya bagi contoh Bentong paling hampir dengan ibu kota. Sepatutnya boleh bersaing dengan kepesatan Kuantan. Macamana usaha kerajaan bagi membolehkan penduduk mendapat peluang pekerjaan dan perniagaan. Tapi kena ada suatu untuk menarik limpahan pembangunan dari ibu kota itu seperti pelancongan, industri, pelaburan pertanian agro ekotourisme. Begitu juga kekurangan usaha mencipta industri hiliran contohnya dari Kuantan hingga Rompin. Sebab itu saya andaikan kerajaan negeri ini umpama bapa anak ramai tapi tak pandai cari pendapatan lebih. Yang dia nampak hanya dua ‘talian hayat’ iaitu barang kemas isteri dan kedua duit tabung anak-anak. Barang kemas ini macamlah pajak tanah kepada tauke-tauke. Kedua buka hutan simpan. Ini seperti keluarkan duit tabung anak. Inilah dua talian hayat,


Sekiranya tidak mendapat kelulusan atau kebenaran daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) adakah aktiviti pembalakan hutan simpan ini masih boleh dilakukan secara sah mengikut undang-undang?

Kita boleh melihat sendiri kepada kesan geografi fizikal seperti hakisan, banjir besar dan bila musim panas sumber air menjadi kontang serta pemanasan global akibat penebangan belantara yang tidak terkawal. Jadi sepatutnya hutan simpan ini tidak payahlah ditebang jika berlaku kemudaratan.


Mengenai pembalakan secara haram pula, bagaimana ia boleh terus berleluasa? Adakah penguatkuasaan sangat lemah?

Bagi kita semua agensi penguatkuasaan kena buat kerjalah. Mesti ada satu mekanisme supaya hutan simpan itu tidak dikeluarkan atau mesti mengikut syarat-syarat ketat. Isunya di sini ialah penguatkuasaan. Sebagai contoh jika berlaku pencemaran, JAS mempunyai kuasa untuk mengarahkan ia dihentikan serta merta sekiranya terbukti memberi kesan kepada alam sekitar.


Dalam hal ini sebenarnya apa yang boleh rakyat lakukan untuk menghalang aktiviti merosakkan hutan ini?

Dapatkan maklumat yang betul, semak di pejabat hutan minta siasat dan seterusnya desak pihak berkuasa negeri ambil tindakan. Laporkan kepada polis, itu boleh rakyat lakukan. Kerana ini soal jenayah.


PAS Pahang sendiri baru-baru ini menjelajah sendiri ke lokasi-lokasi pembalakan hutan simpan membuat pemantauan dan pendedahan kepada media, adakah usaha seperti ini ada kesan?


Memang ada kesan bukan sahaja dari segi isu tapi kerja yang sememangnya wajar diambil inisiatif oleh parti pembangkang yang menjadi mata dan telinga kepada rakyat. Sebagai pembangkang yang baik mesti memantau apa yang kerajaan buat supaya tidak berlaku pembaziran, penyelewengan memantau supaya kerja-kerja agensi penguatkuasaan kerajaan itu berkesan. Kedua, tindakan ini dapat memastikan undang-undang dihormati dan sesuatu projek tidak disalahguna atau diambil kesempatan. Seterusnya kekayaan hasil bumi dapat diagihkan kepada rakyat secara adil.