Tuesday, October 18, 2016

Memahami RUU 355


Oleh SYAIFUL HIZAM

Bermula semalam akan ramailah yang menunggu setiap kali bermulanya sidang parlimen tidak kira rakyat biasa mahupun luar biasa terutamanya para wartawan. Gamatnya sidang parlimen kali ini tentunya di sebabkan RUU 355 yang diusulkan oleh Ahli Parlimen Marang, YB Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Namun di sebabkan beberapa perkara maka ramai yang terkeliru, dikelirukan dan terpersepsi oleh andaian yang salah oleh pihak-pihak yang tidak ingin ianya dibentangkan atau diteruskan di Parlimen.

Apakah RUU 355 itu Hudud ?

RUU 355 bukan Hudud. Akta 355 merupakan undang-undang yang di luluskan oleh Parlimen bagi menentukan had bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk membicarakan dan menjatuhkan hukuman terhadap orang-orang Islam yang melakukan kesalahan terhadap perintah Agama Islam. Ianya juga menentukan had atau bidang kuasa berkaitan hukuman syariah oleh Badan Perundangan Negeri dan perlaksanaannya oleh Mahkamah Syariah di seluruh negara.

RUU 355 bukan juga untuk Parlimen memperincikan had hukuman Mahkamah Syariah, tetapi bagi memansuhkan sekatan terhadap had hukuman Penjara 3 tahun, Denda RM 5,000 dan 6 Sebatan di dalam Akta 355 supaya kemudiannya dapat di kembalikan kepada Badan Perundangan Negeri bagi memperincikan had dan jenis hukuman yang lebih syarie, sesuai dengan bidang kuasa yang di peruntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika di luluskan, ianya tidak menambah kesalahan baru, ianya hanya memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri untuk meningkatkan hukuman. Jenis -jenis kesalahan tetap kekal sebagaimana yang di peruntukkan melalui Butiran I Senarai II ( Negeri ) Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, kekal sebagaimana ianya mula di perkenalkan pada tahun 1965.

Tepatnya, ianya adalah Akta yang telah sedia ada dan hanya di pinda untuk menambah baik lagi sesuai dengan keadaan semasa dan cabaran terhadap umat Islam di dalam negara masa kini. Maka jika di sebut dan di takrif sebagai Hudud, maka ianya adalah salah sama sekali dan cuba memesongkan daripada fakta dan takrifan yang sebenar.

Ada juga yang menisbah pecahnya Pakatan Rakyat atau keluarnya DAP daripada Pakatan Rakyat adalah di sebabkan Hudud, ianya salah sama sekali. Keputusan PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP disebabkan keterlanjuran DAP masuk campur urusan PAS ketika Muktamar yang lalu dan paling utama keputusan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS namun tidak dengan PAS. Sekarang, apa yang di angkat ke Parlimen oleh Presiden PAS hanyalah untuk meminda Akta 355, bukannya Hudud. Jadi fikirlah di mana rasionalnya segala alasan yang menuding jari ke arah PAS terutama ke pada Presidennya dan alasan perlaksanaan Hudud yang menyebabkan pecahnya Pakatan Rakyat.

Tanggungjawab Dan Penolakan

Berlaku beberapa proses atau peringkat dalam tatacara Peraturan Mesyuarat ketika bacaan RUU 355 di mulakan, iaitu membabitkan Peraturan Mesyuarat 49 ( 1 ) – ( 5 ). Maka dalam senario sekarang proses yang membabitkan Peraturan Mesyuarat 49 ( 1 ) – ( 2 ) sudah di lepasi oleh usul yang di bawakan oleh YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang. Apa yang akan berlaku sekarang ialah yang membabitkan Peraturan Mesyuarat 49 ( 3 ) – ( 5 ).

Tatacara ini terkandung di dalam Peraturan Mesyuarat 49 yang dihuraikan seperti berikut:

49. (1) Dengan tertakluk kepada syarat-syarat dalam Perkara 67 dalam Perlembagaan siapa-siapa ahli yang bukan ahli Kerajaan yang hendak membawa Rang Undang-undang boleh meminta izin Majlis hendak berbuat demikian, dan ia hendaklah juga menyertakan bersama satu naskhah Rang Undang-undang berserta dengan huraian mengenai tujuan-tujuan dan sebab-sebabnya, tetapi tidak boleh mengandungi apa-apa hujah pada masa membawa Rang Undang-undang itu.

49. (2) Tiap-tiap permohonan demikian itu hendaklah dengan cara yang dikeluarkan usul, dan ahli yang mengeluarkan permohonan itu hendaklah juga menyampaikan kepada Setiausaha suatu salinan usulnya mengandungi nama Rang Undang-undang yang dicadangkan itu. Setiausaha hendaklah enggan menerima apa-apa permohonan yang tidak menepati kehendak Peraturan-peraturan Mesyuarat ini atau mana-mana undang-undang Persekutuan.

49. (3) Apabila diperkenankan permohonan itu setelah dikemukakan kepada mesyuarat dan disetujukan usul itu, maka Rang Undang-undang itu akan disifatkan telah dibacakan kali yang pertama dan diperintahkan dicap; dan satu salinan Rang Undang-undang itu hendaklah disampaikan kepada Setiausaha.

49. (4) Dengan tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 51, Rang Undang-undang itu hendaklah dicap dan dihantar kepada ahli-ahli dan dengan tidak dibahaskan, terserahlah Rang Undang-undang ini kepada Menteri yang berkenaan dengan perkara-perkara atau tugas-tugas yang terkandung dalam Rang Undang-undang itu atau, jika tiada Menteri yang berkenaan, maka terserahlah Rang Undang-undang itu kepada Menteri atau ahli yang dilantik oleh Tuan Yang Di-Pertua, tidak boleh dijalankan apa-apa langkah atas Rang Undang-undang ini sehingga Majlis menerima penyata daripada Menteri atau ahli itu.

49. (5) Setelah diterima penyata yang disebutkan dalam perenggan yang lalu itu, maka Rang Undang-undang itu akan ditetapkan bagi dibacakan kali yang kedua pada hari yang dikehendaki oleh ahli yang menjaga Rang Undang-undang itu.

Apa yang akan berlaku selepas ini ialah 2 proses iaitu :

1 ) Pengundian Ahli – Ahli Parlimen.
2 ) Tanggungjawab Menteri Yang Bertanggungjawab Dalam Soal Agama Islam.

Setiap Ahli Parlimen akan melakukan pengundian samada untuk menerima atau menolak usul setiap kali di bacakan samada di bacaan kedua dan ketiga. Proses yang sama juga berlaku di Dewan Negara untuk menerima atau menolak usul tersebut. Jika semua proses ini di kategorikan sebagai lulus, maka ianya akan di serahkan kepada Yang Di Pertuan Agong untuk di wartakan sebagai satu undang -undang.

Menteri yang bertanggungjawab dalam soal Agama Islam pula bertanggungjawab membawa usul untuk bacaan kali ke dua dan ketiga selepas bacaan kali pertama. Ianya adalah tanggungjawab beliau untuk membawa dan membacakan usul tersebut jika majoriti Ahli Parlimen mengundi menerima usul tersebut, sesuai dengan turutan Peraturan Mesyuarat.

Menteri yang bertanggungjawab dalam soal Parlimen perlu memastikan bahawa setiap peraturan mesyuarat di ikuti dan turuti setiap kali bacaan, perbahasan, pengundian dan dalam turutan proses yang betul. Maka Menteri juga bertanggungjawab memastikan bahawa selepas setiap perbahasan dan pengundian, proses seterusnya berlaku dalam turutan yang betul sesuai dengan Peraturan Mesyuarat dengan tidak meninggalkan satu pun urutan proses tersebut

Dengan ini, apa yang menjadi tunjang dalam ke semua proses ini ialah pengundian Ahli Parlimen samada menolak atau menerima. Bahaslah walau berhari – hari, tanpa pengundian atau majoriti Ahli Parlimen menolak, maka kesemua proses selepas itu semuanya tidak akan berlaku dan berfungsi, baik Peraturan Mesyuarat seterusnya atau tugas Menteri yang bertanggungjawab untuk memastikan semua urutan Peraturan Mesyuarat berlaku dan di patuhi.

Maka inilah yang penting bagi melaksanakan RUU 355, undi Ahli Parlimen yang menyokong perlaksanaannya, selebihnya hanyalah proses dalam memastikan perjalanan dan urutan Peraturan Mesyuarat di ikuti ketika di bacakan, di bahas, di undi dan di ikuti oleh proses seterusnya. Maka yang di kata “ BOLA “ di kaki Perdana Menteri, sebenarnya “ BOLA “ itu juga turut berada di kaki Rafizi Ramli dan keseluruhan Ahli Parlimen terutama Ahli Parlimen yang beragama Islam yang di minta untuk menyokong pindaan akta ini tidak kira daripada Kerajaan mahupun pembangkang.

Jadilah Ahli Parlimen Yang Bijak Dan Bertanggungjawab, Bukan Manipulatif

Seperti yang di nyatakan awal lagi, RUU 355 bukanlah Hudud. Ianya adalah penambahbaikan terhadap Akta sedia ada sesuai dengan keadaan semasa dan cabaran umat Islam masa kini. Untuk meletakkan tanggungjawab hanya kepada seseorang atau orang tertentu dalam soal ini adalah salah sama sekali terutamanya bilangan Ahli Parlimen beragama Islam yang ramai terdapat di dalam Parlimen. Ianya adalah tanggungjawab kesemua Ahli Parlimen yang beragama Islam untuk memastikan ianya dapat di bacakan, di bahas dan di undi dengan adil dan saksama, yang mana sepatutnya ianya di sokong oleh semua Ahli Parlimen beragama Islam.

Kali terakhir Akta 355 di pinda ialah pada tahun 1984, Penggal Kedua, Parlimen Keenam iaitu untuk membolehkan Mahkamah Syariah membicarakan kesalahan yang boleh di hukum penjara tidak melebihi 3 tahun, denda tidak melebihi RM 5,000 dan sebat tidak melebihi 6 kali sebatan dan pada tahun 1989, Penggal Ketiga, Parlimen Ketujuh iaitu untuk memperluaskan pemakaian Akta tersebut kepada Sarawak dan Sabah ( Malaysia Barat ). Maka tujuan pindaan terbaru ini adalah sama dengan yang sebelumnya iaitu untuk menambahbaik undang – undang yang sedia ada, seharusnya perlu di sokong dan tidak di momokkan sebagai Hudud untuk menakutkan umum dengan fakta dan persepsi yang salah.

Dicadangkan oleh YB Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada sidang Dewan Rakyat yang lepas pada bulan Mei, sepatutnya tempoh 5 bulan sehingga sidang Dewan Rakyat terkini di gunakan untuk di bincang dan di perhalusi namun tempoh tersebut menjadi medan kepada pihak tertentu untuk memanipulasi cadangan pindaan RUU 355 ini dengan memberi gambaran sebagai Hudud, tidak kondusif atau sesuai dengan keadaan masa kini. Lebih buruk, gambaran yang di berikan terhadap cadangan pindaan ini ialah negara menjadi terkebelakang dalam soal ekonomi dan sosial jika di laksanakan pindaan tersebut serta di ajak rakyat menolak usul ini tanpa sebab yang munasabah serta asas yang kukuh.

Dengan segala persepsi tidak betul, kritikan yang sinis dan mengelirukan serta gambaran yang salah terhadap pindaan ini sedang berlegar yang di sebarkan samada oleh umum, pertubuhan – pertubuhan mahupun organisasi tertentu, ahli politik atau parti naungannya, maka masa yang tinggal hanyalah ketika di sidang Parlimen sekarang, di masa ianya di angkat dan di bahaskan. Ketika itu jadikan segala naskah kritikan terhadap pindaan tersebut sebagai cadangan untuk menjadikan ianya lebih baik, lebih konstruktif serta lebih lengkap agar ianya di terima, bukan semata – mata mengkritik untuk mencari kelebihan dan sokongan politik dengan memberi gambaran yang salah dan buruk kepada umum.

Ketika itu sedarlah kita siapa yang betul, siapa yang salah serta siapa yang mahu mencari kelebihan politik atau ingin berbuat sesuatu yang baik kepada rakyat terutamanya umat Islam. Jika ingin berbakti, jadikan ia lebih baik dengan menambah baik, mencadangkan atau setidak – tidaknya menyokong namun jika sebaliknya, ianya hanya satu mimik atau gimik untuk mencari pengaruh politik dengan cara yang kotor dan buruk. Walaupun di usulkan oleh Presiden PAS, niat dan cita -cita beliau hanyalah untuk kepentingan umum terutama umat Islam. Jika benar, sumbanganlah idea, cadangan atau paling kurang sokonglah pindaan tersebut. Jika hanya bijak mengkritik tanpa menyumbang, jadilah umpama ketam mengajar anak berjalan.

Kepada bukan muslim, hormatilah dan biarkan urusan agama Islam di tunjangi dan di selesaikan oleh umat Islam. Sebagaimana umat Islam menghormati urusan agama lain, begitulah hendaknya dalam soal ini. Usah di burukkan lagi keadaan dengan mencampuri urusan agama Islam, hadirkan sikap toleransi dan hormat menghormati. Tidak perlu di takuti akan pindaan ini, jelasnya ianya tidak membabitkan bukan muslim.

Seksyen 2 dalam Akta 355 menjelaskan hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah Syariah.

menggantikan Seksyen 2 dengan seksyen berikut;

“2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan, Undang-undang Persekutuan.”; dan

(ii) memasukkan selepas Seksyen 2 dengan seksyen berikut

“2A. dengan menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas selain daripada hukuman mati.”

Apa yang mahu di lakukan hanya untuk orang Islam, demi umat Islam dan untuk kebaikan umat Islam. Dengan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan orang Melayu sebagai tunjang negara, jika baik amalan, perilaku serta peribadi samada umum mahupun pemimpin selari dan sesuai dengan kehendak Islam, maka akan selamat dan makmurlah keseluruhan rakyat dan negara.

~ Penulis adalah: Pengarah Media Baru,
Jabatan Penerangan PAS Pusat

No comments:

Post a Comment