Tuesday, June 30, 2015

Naib Ketua Pemuda PAS Kuala Krau mohon sumbangan

Derita bukan dipinta, namun takdir Allah tiada siapa dapat menghalangnya.

Bermula dengan menghidap penyakit tekanan darah tinggi selama setahun, kini disahkan doktor sebagai pesakit buah pinggang kronik tahap 5.

Demikianlah nasib yang dialami Naib Ketua Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau Muhammad Suhaimi Md Esa, 39, yang telah menderitai penyakit berkenaan sejak dikesan 8 bulan yang lalu.

Sejak itu Suhaimi terlantar di Wad Kenanga 11, tingkat 7 Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) dan kini hanya bergantung kepada proses hemodialisis.

Sebelum ini, doktor di hospital berkenaan mengesahkan kedua-dua buah pinggang beliau telah rosak dan mesti dilakukan pemindahan buah pinggang dengan kadar segera selain terpaksa mendapatkan penderma buah pinggang bagi meneruskan kehidupan.

Suhaimi yang sebelum ini mencari rezeki sebagai peniaga pasar malam, mempunyai dua orang anak masih kecil dan isterinya bertugas sebagai guru kafa.

Pelbagai pihak termasuk adik beradik beliau kini sedang giat berusaha mencari dana bagi membantu Suhaimi dan keluarga yang tinggal di perumahan Taman Sri Kemuning Indah, dekat sini.

Ssebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud:
"Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat".

Ingat, di waktu kita bergembira ada insan yang berduka. Ini hari dia, kesusahan mereka keprihatinan kita bersama, esok mana tahu hari kita pula. Justeru itu, bantulah setakat termampu.

Orang ramai yang ingin membantu Suhaimi dan keluarga boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam miliknya (06028020388984) atau ke akaun Maybank Islamic (ABRAR CARE MALAYSIA 556132054586).

Bagi yang ingin bertanyakan khabar Suhaimi, boleh menelefon isteri beliau Hazana Hasanah : 019 9040488.

Friday, June 19, 2015

Pesuruhjaya PAS Pahang akui terima tugas berat

Pesuruhjaya PAS Pahang yang baru dilantik, Ustaz Rosli Abdul Jabar akui terpaksa memikul amanah dan tanggungjawab berat serta berhadapan cabaran besar.

Beliau yang juga Adun Tanjung Lumpur berkata, beban sebagai pemimpin tertinggi peringkat negeri yang ditanggungnya itu ialah menerimanya dalam keadaan parti yang agak berkocak di dalam dan sesama rakan sekutu.

Tambahnya, pasukan yang akan dibentuknya nanti merupakan kabinet 2015 – 2017 yang dijangka berhadapan pilihan raya umum (PRU) 14 nanti.

Katanya lagi, cabaran ketiga ialah faktor negeri Pahang sendiri dari segi keluasan dan terdapat kawasan Felda paling luas yang selama ini dianggap kawasan simpanan tetap bagi BN.

Rosli juga mengaku dan sedar apabila menerima ‘baton’ daripada Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, bermakna ahli dan rakyat akan mengukur kemampuan beliau dengan piawaian tinggi.

“Langkah pertama kita akan bincang untuk tubuhkan kabinet yang baru badan Perhubungan PAS Pahang hujung minggu ini, selepas penubuhan itulah baru kita atur strategi,” katanya pada temuramah pertama selepas dilantik Pesuruhjaya.

Bagi beliau, tidak ada masalah untuk membentuk pasukan yang kukuh untuk menempuh tiga cabaran tadi tetapi sudah tentulah memerlukan komitmen tinggi daripada setiap anggota.

“Sebab itu saya harapkan nanti regu saya daripada kalangan Timbalan-timbalan Pesuruhjaya mestilah yang mampu untuk berinteraksi bukan saja dengan ahli tetapi juga dengan Pakatan Rakyat (PR).

“Saya amat sedar diamanahkan jawatan dalam keadaan ada krisis dalam parti . Justeru agenda kita ialah sedaya upaya mendamaikan ahli ke arah perpaduan dan di Pahang ini perpecahan itu tidak ketara sangat.

“Satu lagi di Pahang hubungan sesama PR sekarang ini masih macam biasa. Setakat ini kita tidak ada masalah dengan DAP, PKR dan sedaya upaya kita akan cuba pelihara kecualilah jika Pusat memutuskan sebaliknya nanti,” katanya.

Beliau adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Kuantan dan juga pendakwah yang mempunyai jadual padat kuliah seluruh negara yang terpaksa dihadkannya selepas ini.

Mengenai pilihan raya, Rosli berpendapat dengan krisis dan tekanan Tun Dr Mahathir kepada Najib sekarang serta isu-isu besar yang mengundang kemarahan rakyat, tidak mustahil pilihanraya akan berlaku lebih awal.

“Sebab itu saya kata kita mesti membentuk kabinet yang mantap dan mampu menghadapi PRU 14,” katanya.

Rosli yang juga pengasas dan Pengerusi Lembaga Pengarah Tahfiz Darul Fikri, mengakui berhadapan tugas sukar kerana Pahang merupakan sebuah negeri yang luas.

Bayangkan, dalam satu-satu parlimen jaraknya jauh sehingga membolehkan sembahyang jamak dan qasar.

“Cabaran lain bagi PAS Pahang nanti ialah untuk meningkatkan jumlah undi Felda. Sebanyak 52 peratus kawasan Felda terletak di negeri Pahang. Dengan itu PAS mesti menguasai isu-isu Felda, masalah tanah dan orang Melayu kerana PAS bertanding di kawasan Melayu 70 peratus ke atas.

“Melihat kepada keputusan PRK Rompin baru-baru ini, memang kita nampak ada peningkatan sokongan orang Melayu jadi dengan anjakan kerja yang agak tinggi kita percaya PAS mampu untuk mara lebih jauh,” katanya.

Negeri Pahang kaya dengan sumber hasil semula jadi. Apa yang berlaku ialah pulangan tidak begitu banyak diperoleh kerajaan untuk diagih semula kepada rakyat.

Tepatnya pemilihan Rosli sebagai Pesuruhjaya ialah beliau sendiri merupakan anggota dewan undangan negeri yang boleh menjadi penasihat yang baik kepada kerajaan dalam menangani pelbagai isu yang melanda.

Kali terakhir Pesuruhjaya PAS Pahang berada di dewan undangan negeri ialah pada sesi 1999 – 2004 iaitu Ustaz Idris Omar. Lima lagi Adun PAS ketika itu ialah Tuan Ibrahim Tuan Man (Jengka), Abdul Aziz Yaakob (Guai), Abdul Malik Yusof (Tahan), Abdul Aziz Long (Penor) dan Iqbal Hamdy Rusdi (Kuala Pahang).