Tuesday, December 17, 2013

Nasrudin ziarah dan sumbang kepada mangsa kebakaran

Kesengsaraan seorang ahli PAS dan keluarga yang tinggal sehelai sepinggang akibat rumahnya terbakar hangus, mendapat simpati dan perhatian Ahli Parlimen Temerloh Ustaz Nasrudin Hasan.

Nasrudin bersama AJK PAS Kawasan Temerloh meluangkan masa menziarah sambil menyampaikan sumbangan kepada mangsa Kelana Putera Abdul Majid 48, yang tinggal di Taman Bukit Cermin, Mentakab dekat sini.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari Sabtu lalu rumahnya hangus terbakar sehingga memusnahkan semua seisi rumah termasuk persediaan persekolahan tujuh anaknya dan wang tunai lebih RM1,000.

Semasa kejadian Kelana dan isteri Hamidah Harun, 42, serta anak-anaknya tidak ada di rumah kerana sedang menghadiri dua majlis kenduri di kawasan perumahan yang sama.

Hamidah berkata, sebaik pulang dia terkejut melihat asap berkepul keluar dari rumah dan orang ramai memenuhi kawasan sambil beberapa jiran sedang menarik keluar van miliknya.

“Saya baru keluarkan wang tunai lebih RM1,000 pada hari Jumaat untuk persediaan membeli pakaian dan yuran persekolahan anak-anak.

“Semua itu hangus, sebab masa keluar kenduri saya tak bawa beg tangan dan telefon bimbit kerana kenduri di kawasan sekitar rumah saya,” katanya.

Kelana Putera berkata, semua dokumen dan pengenalan diri tidak sempat diselamatkan kerana semasa kejadian tidak ada seorang pun di rumah.

“Kami tinggal sehelai sepinggang, masa kenduri semua anak-anak saya ikut serta. Pakaian, wang tunai semua hangus dalam kejadian itu,” katanya.

Kelana Putera berkata, dia tinggal di situ sejak 1996 dan membayar RM100 sebulan kepada kerajaan negeri Pahang untuk memiliki rumah kos rendah itu pada harga RM25,000.

Katanya, kerugian sebenar akibat kejadian masih belum dapat ditaksirkan kerana bomba sedang melakukan siasatan untuk mengetahui punca dan nilai kerugian.

“Buat sementara waktu kami tinggal di sebuah rumah kosong di hadapan rumah kami,” katanya.

Turut terjejas dengan kebakaran tersebut ialah rumah seorang lagi ahli PAS, Norbawi. Bagaimanapun Norbawi sempat menyelamatkan barang-barangnya tetapi struktur rumah rosak.

CAPTION
Nasrudin menyampaikan sumbangan kepada Kelana Putra sambil disaksikan Timbalan YDP PAS Temerloh Hassanuddin Salim

Monday, December 16, 2013

Menjawab Persoalan: Mengapa Kenaikan Bertindan Dalam Tempoh Singkat?

Isnin. Sebilangan besar masyarakat dunia merasakan emosi pada pagi hari Isnin adalah sedikit kendur. Kekenduran pagi Isnin ini turut diberi nama jolokan 'monday blues'.

Namun bagi saya, Isnin kali ini lain benar rasanya. Jauh lebih bersemangat dari Isnin yang lain. Mungkin faktor kemenangan besar Liverpool terhadap pasukan Spurs mempengaruhi hormon adrenalin untuk lebih bersemangat - semangat 5-0.

Pagi ini juga saya terlihat muka depan akhbar Sinar Harian yang agak mencuri perhatian. Muka depan yang terpampang perkataan "Tolonglah Jangan Naik" di semua edisi Sinar Harian seluruh negara, dengan berlatar-belakangkan lebuhraya yang penuh sesak dan juga satu gambarajah berfakta mengenai 'rasionalisasi subsidi'.

Tajuk muka depan akhbar tersebut mencerminkan sesuatu yang lahir dari marhein. Ia satu rayuan rakyat seolah-olah merayu supaya janganlah terus menambah beban. Apakah yang dirayu itu?

Jika rayuan itu memohon supaya kerajaan lebih berhati perut, saya percaya rayuan tersebut umpama mengejar fatamorgana.

Saya terus membelek akhbar sinar secara online untuk mencari sesuatu yang mungkin istimewa dalam edisi bertarikh hari ini. Akhirnya saya menemui satu tulisan menarik bertajuk "2014 tahun mencabar" oleh wartawan sinar harian. Saya bingkas menghubungi teman di Sinar untuk mengetahui siapakah penulis tersebut, namun gagal kerna teman saya belum masuk kerja untuk hari ini.

Tulisan tersebut menghuraikan kenaikan demi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak, telah dan bakal berlaku. Antaranya ialah kenaikkan harga petrol pada September, kenaikan harga gula pada Oktober, kenaikkan tarif elektrik pada Januari depan, semakan harga gas, semakan harga tiket pengangkutan awam seperti LRT dan juga peningkatan kadar tol yang melibatkan 13 lebuhraya.

Tulisan yang konprehensif ini turut merumuskan betapa rakyat terpaksa berdepan satu cabaran hebat untuk tahun 2014. Tulisan tersebut menekankan bahawa kenaikan yang berlaku adalah berbentuk 'super combo' dan menjerut leher rakyat yang berpendapatan rendah serta golongan sederhana.

Asasnya, kadar peratus kenaikan gaji adalah sangat tidak selari dengan perkembangan mutakhir ini. Rakyat tersepit dengan unjuran 'negara maju' dan slogan 'rakyat didahulukan', apakah maknanya negara maju ketika rakyat menderita?

Daripada tulisan tersebut juga dapat dilihat satu persoalan yang paling utama - Mengapa kenaikan harga itu dibuat dalam tempoh yang singkat? Tidakkah kenaikan itu boleh dibuat dalam jumlah lebih kecil atau secara berperingkat?

Persoalan tersebut hadir tanpa jawapan, hanya persoalan semata-mata. Inilah yang membangkit naluri saya untuk menulis hari ini, untuk menjawab persoalan yang diajukan oleh penulis wartawan Sinar Harian.

Ada beberapa alasan picisan digunakan untuk mengolah persetujuan kenaikan-kenaikan ini, contohnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) umum akan kaji tambang LRT dan monorel, kaji yang bermaksud 'akan naik' dengan alasan tarif letrik naik.

Menteri JPM, Dato Seri Abd Wahid Omar juga mengumumkan bahawa telah tiba masanya kadar tol naik dengan alasan perjanjian konsesi menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011.

Pelbagai alasan dan kebetulan dinyatakan. Namun saya tetap merumuskan bahawa kenaikan mendadak yang 'bertingkek-tingkek' ini adalah hadiah kemenangan Barisan Nasional dalam PRU ke-13. Inilah ibu segala punca, janganlah sesiapa nafikan.

Dengan umpan BR1M bernilai empat angka yang akhirnya 47% terpedaya, dengan modal negara aman ketika kes bunuh berleluasa, BN bertahan ditampuk kuasa dengan lima tahun tambahan nyawa.

Dulu ketika nyawa-nyawa ikan, semua kenaikkan ditangguhkan kerana takut kebangkitan rakyat. Malah banyak kes berprofile tinggi seperti PKFZ, NFC dan skandal Scorpene, juga keputusannya ditangguh hingga selepas pilihanraya. Hanya selepas menang pilihanraya dan mendapat kuasa, barulah timbul keberanian untuk menaikkan segala-galanya. Pesalah rasuah dari pakej 'transformasi' juga dilepaskan oleh mahkamah.

Mari imbas kembali betapa jika BN tumbang, kenaikkan ini tidak akan berlaku malah penurunan harga petrol dan pemansuhan tol secara berperingkat telah dirancang. Tidak salah saya ungkit perkara ini walau berlalu seribu tahun, kerana kemenangan BN itu berlaku secara penipuan. Mereka menipu untuk menikmati semua kenaikan di atas selain survival hidup dan mati.

Saya yakin majoriti besar rakyat di negara ini telah memilih perubahan dalam pilihanraya lalu. Namun bagaimana untuk kekang pengundian berganda-ganda jika dakwat yang dijanjikan kekal, tidak kekal. Hampir 1500 laporan polis telah dibuat, tetapi kegemparan ini terus didiamkan.

Penipuan pilihanraya lalu janganlah sesekali dilupakan, harus terus lawan waima turun ke jalanan. Hak demokrasi kita untuk memilih kerajaan baru telah digelapkan. Nescaya selagi penipuan ini tidak dituntut untuk diadakan semula, selagi itu kita akan terus berada dalam kegelapan.

Inilah jawapan saya di atas persoalan 'mengapa semua kenaikan berlaku secara bertindan' - Kerana BN bertahan dan terus berkuasa. Sesungguhnya, kesusahan rakyat adalah kesenangan bagi pemimpin BN kerana bila rakyat susah, maka mudahlah digula-gulakan.

Saya dengan ini menyeru kepada semua, khususnya anak muda dan golongan pekerja, bangunlah dari tidur yang lena, bangan dan lawan, kerana rakyat sedang ditindas dan negara sedang dijarah di atas nama bangsa.

Dari tegak bertimpuh, biar rebah merempuh!

EDY NOOR REDUAN
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, December 6, 2013

Darurat banjir: Bantuan perlahan kerana Kuantan kawasan pembangkang?

Ini keluhan Ustaz Zuridan Mohd Daud Al-Teminie dalam facebooknya:
Semasa membantu mangsa-mangsa banjir, saya dan kawan2 rasa pelik kenapa keadaan jadi kelam kabut sangat. Ramai mangsa banjir tak dapat makanan meskipun seharian berada di pusat2 pemindahan dan ada yang terperangkap sehingga 2 hari. Bantuan banjir seolah-olah begitu perlahan...ada sahabat yang membuat andaian: "ini kerana Kuantan adalah kawasan pembangkang (parlimen) dan kawasan yang terjejas teruk adalah dalam DUN Tanjong Lumpur sbb tu pihak penguasa slow je!". Kalau lah betul andaian tersebut pada tanggapan saya ianya adalah tidak wajar dan pihak yang sengaja bertindak demikian adalah sangat tidak BERTAMADUN....Harap2 andaian tersebut tidak benar.

Thursday, December 5, 2013

PAS mahu Bung Mokhtar mohon maaf kepada penduduk Kuantan

PAS Pahang menganggap tindakan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Raden yang seolah-olah mempersendakan usul darurat akibat banjir yang dibawa Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, sebagai satu penghinaan kepada penduduk ibu negeri Pahang itu

Sehubungan dengan itu, Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Saad berkata, penduduk Kuantan mahu Bung Mokhtar memohon maaf secara terbuka kerana dilihat jelas mempersendakan mangsa banjir yang sedang berdukacita.

“Bayangkan penduduk Kuantan terpaksa bertungkus-lumus separuh nyawa menghadapi banjir paling buruk dalam sejarah, tiba-tiba Bung Mokhtar tergamak mengganggu sambil mempersendakan usul tergempar yang dibawa Fuziah.

“Bedasarkan rakaman video Bung Mokhtar kelihatan mengganggu ucapan Fuziah sambil tergelak, seolah-olah kesusahan dan nasib hidup atau mati mangsa-mangsa banjir di Kuantan hanyalah gurauan,” katanya.

Suhaimi berkata, usul darurat yang dibawa oleh Fuziah itu tepat kerana apabila diisytiharkan akan melibatkan bantuan tentera dan banyak agensi kerajaan bersegera turun bagi membantu penduduk.

Tambahnya, penduduk Kuantan terpaksa melalui peristiwa sedih akibat banjir yang tidak pernah berlaku seburuk ini manakala bantuan daripada pihak berkuasa terlalu lembab disampaikan.

“Bayangkan, ada mangsa banjir termasuk orang sakit dan kanak-kanak yang berpindah ke pusat pemindahan tetapi makanan tidak cukup, bekalan elektrik tidak ada kerana ibu sawat ditenggelami serta bekalan air paip juga terputus,” jelasnya.

Semalam Dewan Rakyat gamat seketika sewaktu Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh membentangkan usul memohon Kuantan diisytiharkan darurat ekoran bajir teruk yang melanda bandar itu.

Bagaimanapun usul tersebut tidak dibenarkan oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pada ketika itu, Bung Mokhtar dan ahli-ahli parlimen BN berdiri membuat bising, mencelah dan menggesa agar Fuziah dibenarkan pulang ke Kuantan untuk menjenguk kawasannya yang banjir.

Sementara itu suasana di Kuantan tidak banyak berubah. Menurut laporan rasmi yang dikeluarkan bilik operasi, terdapat kira-kira 30,000 mangsa yang dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir.

Difahamkan, jumlah tersebut tidak termasuk yang berpindah ke rumah keluarga di tempat yang selamat dan yang menginap di hotel.

Perhubungan dengan daerah-daerah lain masih terputus.



Wednesday, December 4, 2013

Darurat banjir di Pahang: Marilah membantu, marilah mengasihani makhluk Allah


Seringkali dalam kempen-kempen politik, sesetengah pihak seolah-olah mengugut kononnya jika berlaku pertukaran kerajaan, akan berlaku huru-hara. Kehidupan rakyat akan menjadi sukar seperti kembali ke zaman darurat atau zaman Jepun.

Namun belum pun sempat bertukar kerajaan, tatkala Pahang dilanda banjir baru-baru ini situasi kehidupan di tujuh buah daerah tiba-tiba bertukar menjadi darurat. Itulah kesimpulan yang dibuat oleh mangsa-mangsa banjir mengharungi kesusahan dan azab sengsara, ketakutan dan rasa cemas serta keselamatan dan kebajikan yang hampir tidak dipedulikan.

Terputus hubungan dari dunia luar kerana tiada bekalan elektrik dan saluran komunikasi,gempar tiada makanan, huru-hara tiada tempat berlindung, trauma musnah harta benda, tempat kediaman dan musnah punca pendapatan. Ada mangsa yang pertama kali menggunakan air banjir sebagai sumber untuk makan dan minum kerana terputus bekalan air bersih. Semua itu pengalaman baru bagi mangsa berusia di bawah 40-an.

Dalam keadaan sebegitu kritikal keprihatinan dari pihak berkuasa terlalu kurang dan lewat serta bantuan keselamatan dan makanan terlalu perlahan dan jauh daripada mencukupi. Sehingga ramai yang mendakwa sejak hari pertama malapetaka tersebut, tidak pernah mendapat sebarang bantuan.

Daerah-daerah lain yang terlibat perpindahan mangsa banjir pada masa ini ialah Kuantan, Maran, Pekan, Rompin dan Jerantut.

Paling teruk yang sedang bertarung dengan malapetaka banjir kali ini ialah daerah Kuantan yang mana lebih buruk daripada bencana banjir besar tahun 2001. Sehingga petang ini, diwartakan lebih 12,000 telah berpindah ke pusat pemindahan.

Pusat bandar Kuantan dan kebanyakan kawasan perumahan pada ketika ini terputus hubungan berikutan hujan masih tidak berhenti serta fenomena air pasang besar Laut China Selatan.

Namun sesetengah pusat pemindahan pula kekurangan bahan makanan dan terputus bekalan elektrik berikutan pusat penjana elektrik TNB di Kuantan digenangi air.

Pada ketika ini petugas-petugas PAS, briged Amal dan Muslimat sedang bertungkus-lumus menyelamatkan nyawa dan kehidupan mangsa banjir yang sedang panik, huru-hara, bercelaru dan berdukacita.

“Memandangkan hujan berterusan di sebelah hulu pada masa ini, dijangkakan semua daerah termasuk Temerloh akan terlibat kesan banjir selepas ini kerana semua daerah dilalui aliran Sungai Pahang.

Sementara itu PAS Pahang melalui Lajnah Kebajikannya melancarkan tabung bantuannya bagi membantu mangsa.

Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS Pahang Hassanuddin Salim berkata bagi sesiapa yang sudi menghulur sumbangan kepada mangsa banjir yang sedang menderita bolehlah memasukkan wang ke akaun: Prihatin Rakyat 5560 5720 3711 (Maybank Islamic).




Tuesday, December 3, 2013

Banjir paling buruk di Kuantan, melebihi bencana tahun 2001

Seluruh bandar Kuantan kini lumpuh berikutan banjir paling besar dalam sejarah di sini.

Antara kawasan lain terlibat dilanda bencana itu ialah Kampung Seri Damai, Perumahan Sungai Isap 3, Tanah Putih Baru, Kampung Kurnia, Kampung Soi, Teluk Mahang, Taman Guru dan Kempadang.

Beberapa kawasan lain yang yang terbabit berikutan hujan sepanjang empat hari dan fenomena ‘air pasang besar’ Laut China Selatan ialah Kampung Jaya Gading, Kampung Pandan, Batu Tiga, Galing dan Medan Tok Sira.

Beberapa laluan jalan turut terputus hubungan antaranya Kilometer 28 jalan Sungai Lembing, Kuantan Bypass, Jalan Bukit Setongkol ke Giant dan Tanah Putih.

Menurut pembantu Ustaz Rosli, pada masa ini beliau dibantu Unit Amal dan Muslimat bergotong-royong memasak makanan di Masjid Al-Fatah dan menghantarnya kepada mangsa banjir.

Sementara itu kawasan banjir yang terlibat dalam Dun Beserah ialah di Kampung Pelindung, Sungai Karang, Persekitaran Balok, Sungai Ular dan Chendor.

Dianggarkan beribu-ribu orang mangsa terlibat di seluruh Kuantan pada masa ini. Selain Kuantan, daerah-daerah Rompin, Pekan dan Maran turut terlibat banjir.

Monday, December 2, 2013

Astro wajar naik mutu khidmat, bukannya bayaran

Ekoran kenaikan kadar perkhidmatan ASTRO yang telah berkuatkuasa 24 November 2013 bagi Pakej Famili RM2 dan Pakej Sukan RM6 adalah merupakan satu tindakan yang melampau yang bertujuan memberikan tekanan dan bebanan kepada para pengguna.

ASTRO sewajarnya meningkatkan mutu perkhidmatan mereka yang sering menayangkan filem,segmen atau cerita yang sama berulang-ulang dan kurang bermutu , malah apabila cuaca hujan , para pengguna gagal mendapatkan siaran serta para pengguna juga turut berdepan dengan iklan yang banyak.Jingga_13

ASTRO bukan sahaja gagal dalam memberikan perkhidmatan yang bermutu malah mengambil kesempatan dari situasi dan musim tertentu seperti pertandingan Piala Dunia FIFA 2014 dengan mengenakan Pakej Sukan yang sangat melampau iaitu RM6 setiap bulan yang ternyata memberikan bebanan kepada peminat bolasepak.

Adakah ASTRO menjanjikan siaran yang sangat cemerlang tanpa ada sebarang gangguan walaupun cuaca hujan ? Kalau berdasarkan situasi yang ada,sudah pasti para peminat bolasepak akan gagal mendapatkan siaran langsung perlawanan bolasepak pasukan yang diminati apabila hujan.

ASTRO wajar menghentikan tindakan menaikkan kadar perkhidmatan tersebut dengan segera dan sebaik mungkin memperbaiki mutu perkhidmatan mereka.

Rakyat sudah berdepan dengan kenaikan harga petrol,gula,barang-barang makanan dan keperluan malah bakal menerima tekanan lagi apabila tarif elektrik dan tol dijangka akan naik pada awal tahun 2014 sedangkan pendapatan mereka tidak naik.

JINGGA 13 menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia terutama para pengguna MEMBOIKOT ASTRO dan menghentikan pembayaran sehingga kenaikan astro dihentikan dan memperbaiki mutu perkhidmatan mereka.

JINGGA 13 juga mendesak campurtangan Menteri Penerangan , Komunikasi dan Multimedia dalam isu kenaikan ASTRO ini agar rakyat tidak dibebani oleh kenaikan yang tidak munasabah dan tidak masuk akal.

Muafakat*Prihatin*Berani

AMIZUDDIN AHMAD
Timbalan Ketua Koordinator
JINGGA 13 Malaysia

Friday, November 29, 2013

Sapatutnya saya tak sampai digantung - Adun Semambu

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu Lee Chean Chung yang digantung dari menghadiri dua sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang akan datang, mendakwa beliau sepatutnya tidak dikenakan tindakan demikian.

Katanya, kenyataannya bahawa Bajet 2014 yang dibentang oleh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob sebagai 'bajet lebihan palsu' telah disalah tafsir sedangkan kalimat tersebut tidak menghina Dewan.

Tambahnya, beliau hanya mempertikaikan bagaimana wang ehsan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM100 juta dimasukkan dalam bajet tersebut sehingga dari segi angka mendapat ‘surplus’ sebaliknya jika tidak diperoleh sudah tentu akan mengalami defisit.

“Apabila saya katakan surplus itu palsu, sepatutnya Adun BN berhujahlah sebab itu hanya pengolahan sumber pendapatan. Tetapi Adun BN terus mendesak supaya saya digantung.

“Sepatutnya tindakan terhadap saya tidak sampai ke peringkat penggantungan. Kenapa tidak dihadapkan saya ke jawatankuasa disiplin dewan dulu?,” soalnya ketika dihubungi.

Tambahnya, penggantungannya tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat sebagai Adun dan perjuangan membela nasib rakyat.

Selasa lalu, Datuk Ishak Mohamad membuat keputusan itu selepas majoriti daripada anggota dewan menyokong usul yang dibuat oleh Menteri Besar terhadap Lee apabila beliau gagal menarik balik dakwaan tersebut walaupun telah diberi peluang sebanyak dua kali oleh Speaker.

Sebelum itu Adnan, pada sesi penggulungan Bajet 2014 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini memohon Lee menarik balik kenyataan tersebut yang dibuatnya pada 19 November lalu.

Lee pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan dan Pembekalan Air 2014 berkata jumlah lebihan RM2.19 juta dalam Bajet 2014 Pahang yang dibentangkan Adnan sebagai palsu.

Adnan kemudian berkata tuduhan itu adalah keterlaluan dan tidak berasas.

Ketika menjawab permohonan Adnan, Lee menukar perkataan palsu kepada 'kosmetik' dan ini menyebabkan Adnan berang dan mempersoalkan tindakan tersebut yang dilakukan secara tiba-tiba.

Adnan sekali lagi meminta Lee menarik semula kenyataan tersebut namun beliau tetap enggan berbuat demikian sehingga memaksa Menteri Besar Pahang itu membuat usul tersebut sebelum sidang Dun berakhir.

Dalam proses itu, 29 Adun BN bangun sebagai tanda sokongan manakala 12 Adun Pakatan bertindak keluar dewan.

Lee dijangka hanya boleh menghadiri sidang dewan pada Bajet 2015, tahun depan.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Sidang Dun Pahang seorang Adun digantung daripada menghadiri mesyuarat sebanyak dua kali.



Ulama PAS dan cabaran Islam liberal

Oleh HARIS ZALKAPLI

Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib semasa membaca doa penutup pada majlis perasmian Muktamar PAS ke-59 pada Jumaat lalu, menyertakan doa meminta supaya PAS dibantu untuk menghadapi musuh, dalaman dan luaran.

Ungkapan itu segera mendapat perhatian sesetengah perwakilan, yang menganggap hal itu merupakan satu isu kritikal yang perlu diambil perhatian oleh ahli.

Hari sebelumnya, di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam, muktamar Dewan Ulama meluluskan usul mengenai "pemikiran Islam liberal dan pluralisme yang menyesatkan," menyentuh aktiviti beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang disifatkan sebagai gerakan yang menyebarkan fahaman Islam liberal.

Usul itu menumpukan pada sebuah pertubuhan, Islamic Renaissance Front, IRF, yang aktif menggerakkan wacana pemikiran dan juga menerbitkan buku, salah satunya Wacana Pemikiran Reformis, yang disifatkan seorang aktivis Dewan Ulama, Muhammad Atiullah Othman sebagai mempersembahkan "ide-ide yang kufur."

Usul tersebut, yang dibawa oleh Dewan Ulama PAS Negeri Perak, menegaskan, "PAS sebagai parti yang memperjuangkan dasar dan pemikiran Islam, wajiblah menghadapi IRF ini dengan tegas."

Turut ditegaskan ialah menuntut supaya seluruh pemimpin dan ahli PAS menentang ide-ide Islam liberal dan pluralisme agama "dengan segala kudrat yang ada."

Perkembangan ini dapat diperhatikan dalam PAS, terutama sejak beberapa tahun lalu, apabila Dewan Ulama mula memperhatikan dan cuba menangani fahaman-fahaman seperti itu dengan lebih agresif.

Ancaman yang disebut ketua Dewan Ulama itu, tidak menjadi rahsia lagi merujuk kepada kebimbangan ulama dalam PAS berhubung berleluasanya aliran pemikiran yang liberal dan tidak selari dengan tafsiran Islam yang diterima PAS.

Pemikiran ini, menurut sesetengah pihak dalam PAS, telah turut sama melibatkan beberapa pemimpin dalam PAS sendiri, yang dinilai daripada beberapa kenyataan pemimpin terbabit.

Untuk menangani pemikiran yang menyeleweng itu, ulama telah mengambil inisiatif menubuhkan Unit Audit Syariah untuk memastikan pemimpin-pemimpin PAS mematuhi ketetapan syarak, walaupun ada yang mendakwa mekanisme itu ditubuhkan berdasarkan kepentingan politik kelompok, dengan mensasarkan pemimpin-pemimpin yang tidak sehaluan dengan ulama.

Kebimbangan terhadap aliran pemikiran Islam liberal, dalam pelbagai variasinya, semakin meningkat dalam kalangan ulama dalam PAS sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selari dengan perkembangan melibatkan penyebaran pemikiran liberal bersumber Barat di negara ini.

Muhammad Atiullah, yang muncul di media dan program-program parti, turut mengaitkan beberapa pemimpin PAS dengan aliran Islam liberal, ekoran hubungan rapat dan tindakan yang dinilai sebagai sokongan moral kepada aktivisme dan wacana kumpulan yang dikaitkan dengan ideologi itu.

Beliau secara terbuka mendesak Dr Mujahid Yusof menarik balik tindakan yang dilihat sebagai sokongan kepada pemikiran Islam liberal, melalui penglibatan dalam aktiviti IRF.

Wacana mengenai beberapa isu melibatkan Islam yang semakin hangat sejak kebelakangan ini semakin menampakkan kebangkitan kelompok liberal.

Isu kalimah Allah, hudud, dan pelbagai lagi hal melibatkan Islam semakin terdedah kepada kritikan dan tafsiran jauh berbeza oleh pelbagai kumpulan, sama ada dianggotai aktivis Muslim dan bukan Muslim.

Tuntutan kebebasan, seperti melibatkan homoseksual juga semakin vokal dan diadakan secara terbuka, sehingga menyentuh sensitiviti masyarakat terutama umat Muslim.

Isu-isu yang sebelum ini dibincang secara tertutup dan senyap-senyap kini dipersembahkan secara terbuka dan dibawa bersama wacana hak asasi manusia, dan semakin mudah dilihat di ruang arus perdana.

Ini memperlihatkan kehadiran fahaman-fahaman seperti liberalisme itu di sini, dan memaksa PAS sebagai sebuah gerakan Islam menanganinya, hal yang telah diperlihatkan oleh sikap yang ditunjukkan oleh Dewan Ulama itu.

Perkembangan terbaharu ini, yang digambarkan oleh doa ketua Dewan Ulama dan usul menangani Islam liberal oleh dewan itu dalam muktamarnya, menunjukkan satu kesedaran baharu menangani cabaran semasa ini. - Siasahdaily

Saturday, October 5, 2013

Budak jantung berlubang perlu bantuan pembedahan

MARAN: “Saya mahu cucu saya terus hidup dan aktif macam kanak-kanak sebaya dengannya, tetapi apakan daya keadaannya bertambah lemah,” keluh Sara Salim, 46, dari Kampung Bukit Lada, Chenor dekat sini.

Cucunya Muhammad Afif Iffat Abdullah, 2 tahun 9 bulan, disahkan doktor menghidap penyakit jantung berlubang dan bengkak injap sejak lahir.

Anak kecil yang malang ini sepatutnya menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada bulan Julai yang lalu, namun atas sebab kesempitan wang kos yang diperlukan iaitu RM20,000, pembedahan terpaksa ditangguhkan pada Januari akan datang.

“Itupun jika kewangan yang diperlukan mencukupi, jika tidak tak tahulah macam mana,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam sejurus selepas menerima sumbangan wang tunai daripada PAS Pahang.

Sumbangan disampaikan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Maran Hasenan Haron.

Menurut Sara, Afif sejak mula dilahirkan ibunya (Zainab Abdul Murad, 17) didapati tidak menangis kemudian di tempatkan di Wad Rawatan Rapi (ICU) selama beberapa minggu sehinggalah disahkan mengalami jantung berlubang.

Tambahnya, Afif mudah semput apabila bermain, selalu kena demam dan mudah dihinggapi penyakit berjangkit. Setakat ini beliau hanya bertahan dengan bekalan ubat yang didapati dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh.

“Berdasarkan x-ray terbaru, sekarang ini lubang berhampiran injap jantungnya semakin membesar. Sehingga doktor sendiri bimbang berlaku pendarahan dan nasihatkan jangan ditangguhkan lagi pembedahan.

“Sebab itu saya amat memerlukan bantuan orang ramai yang simpati kerana tidak mampu. Ibu Afif tidak bekerja dan hanya tinggal dengan saya di rumah pusaka ini. Saya pula hanya bekerja sebagai tukang sapu sampah bergaji RM500 sebulan,” rayunya.

Bagi yang memiliki sekelumit rasa simpati, marilah sama-sama membantu sekadar termampu melalui sumbangan wang ke akaun nenek Afif iaitu Sara binti Salim. No. Akaun 06300-29-00023236-6 (BSN). Atau boleh menghubungi beliau di talian: 013 9074066.

CAPTION
Hasenan menyampaikan sumbangan kepada Sara untuk cucunya Afif (tengah).

Thursday, September 19, 2013

'Bakar Obama' Menifestasi Bantah Kehadiran Obama dan Menolak Perjanjian TPPA

Kenyataan Umum
19 Sept 2013

Pelancaran Jelajah #BantahObama #TolakTPPA di Taman Melati, Wangsa Maju malam semalam menjadi satu permulaan mobilisasi besar 'menyambut' kehadiran Presiden Amerika pada 11 Oktober ini di KLCC.

Majlis yang dianjurkan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama SMM dan NGO Bantah TPPA dipanaskan dengan aksi 'bakar Obama' sebagai satu amaran penting simbolik penolakkan terhadap perjanjian penuh kerahsiaan TPPA dan juga kehadiran Obama ke Kuala Lumpur. Dalam aksi berkenaan, satu replika Obama dan bendera Amerika telah dibakar hingga rentung di depan ratusan hadirin.

Barack Obama dijadualkan ke Kuala Lumpur pada bulan depan untuk menjadi saksi tandatangan penyertaan Malaysia dalam Perjanjian TPPA, namun tekanan yang hebat dari rakyat dan pelbagai NGO telah menyebabkan kerajaan Malaysia menangguhkan tandatangan metrai perjanjian tersebut.

Turut memeriahkan majlis pelancaran adalah termasuk YB Tian Chua, YB Dato Tan, YB Dr Hatta Ramli, che'GuBard, Hishamuddin Rais, Adam Adli dan Safwan Anang manakala wakil NGO pula antaranya Syed Ibrahim (IKRAM), Azlan Awang (Blindspot), Sivarajan (JERIT).

Jelajah #BantahObama #TolakTPPA akan merentasi seluruh negara merangkumi 13 lokasi dari setiap negeri. Hari ini, jelajah siri kedua akan menyusul ke utara tanahair di Bayan Baru, Pulau Pinang bertempat di Tapak bekas Astaka Bukit Gedung bermula jam 8.30 malam, sebelum ke Kangar dan Alor Setar pada hari berikutnya.

Semoga jelajah ini berjaya menyedarkan lebih ramai golongan masyarakat bahawa negara ini sebenarnya sedang dijual oleh pemerintah melalui skim Perjanjian TPPA, dan semua harus bersatu tanpa mengira warna NGO dan fahaman politik - memastikan 'samseng antarabangsa' tidak menjejakkan kaki ke bumi Malaysia bersama jerangkap samarnya.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Monday, September 9, 2013

Dua YDP kekal, dua berubah dalam pemilihan

Mesyuarat Agung PAS empat kawasan di Pahang pada Sabtu dan Ahad menyaksikan dua Yang Dipertua (YDP) Kawasan kekal iaitu Temerloh dan Bera manakala PAS Kawasan Rompin dan Maran mendapat YDP yang baru.

Di Temerloh tiga jawatan tertinggi dipertandingkan dengan YDP selama dua penggal Md. Jusoh Darus, mengalahkan bekas YDP Abdul Rahim Abdul Latif.

Dalam mesyuarat yang dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang Ustaz Idris Ahmad itu, menyaksikan jawatan TYDP pula dimenangi Hassanuddin Salim mengalahkan Syed Hamid Syed Mohamad.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Semantan Syed Hamid, merupakan NYDP Kawasan pada sesi lalu. Sementara bagi Naib yang baru dimenangi Hassan Omar, mengalahkan Abdul Majid Hasan.

Mesyuarat berlangsung di Darul Amin, Sungai Gau
Di Bera, penyandang Sulaiman Mohamad dan Musaniff Abdul Rahman masing-masing kekal bagi jawatan YDP dan TYDP tanpa bertanding. Manakala Abdul Hasim Ahmad dipilih selepas mengalahkan Idris Singah.

Mesyuarat dirasmikan oleh Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena di Darul Ikhwan, Mengkarak.

Di Rompin TYDP sesi lalu Mazlan Mohamad Yasin mengalahkan penyandang Shukri Ahmad bagi jawatan YDP. TYDP pula dimenangi muka baru iaitu Wan Khalid manakala Hanafiah kekal sebagai NYDP.

Mesyuarat dirasmikan oleh Ahli Majlis Syura Ulamak Ustaz Zaharudin Abdul Rahman dan berlangsung di Markas PAS Keratong 10.

Di Maran, TYDP sebelum ini Hasnan Haron mengalahkan Ustaz Ramli Abdul Rahman bagi mengisi jawatan YDP yang dikosongkan oleh Tuan Guru Mohd Baqi Othman. Bagaimanapun Ramli dipilih sebagai TYDP. Manakala Ustaz Khairul Azmi Ismail Al-Hafiz dipilih sebagai NYDP.

Mesyuarat dijalankan di Dewan Felda Jengka 4, dirasmikan Mahfuz Omar.

Sehingga kini, lima PAS Kawasan di Pahang telah bermesyuarat termasuk Lipis pada minggu lalu. Semua kawasan dijangka selesai bermesyuarat penghujung bulan ini.

CAPTION
Ustaz Zaharudin menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Rompin

Sunday, September 8, 2013

Kakitangan awam tak setuju Presiden Cuepas sokong minyak naik

Kakitangan awam terkejut dengan tindakan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman yang menyokong tindakan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen baru-baru ini.

Bagi beberapa kakitangan awam yang ditemui, tindakan menaikkan harga minyak akan tetap memberi kesan ketara kepada kenaikan kos hidup berpanjangan walaupun cuba ditutup dengan kenaikan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

Menurut mereka, selain daripada kenaikan harga barang pasti akan menyusahkan ialah akan meningkat pula kos tambang kenderaan dan harga rumah ekoran kenaikan harga minyak.

Omar dalam satu kenyaataannya di Seremban yang disiarkan akhbar, berkata Cuepacs menyokong tindakan kerajaan yang menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen, sekiranya memberi faedah kepada rakyat untuk masa hadapan seperti BRIM.

Katanya, beliau menyokong kenaikan minyak sekiranya kerajaan mengambil langkah memberi manfaat kepada rakyat dalam bentuk lain, seperti pemberian BRIM yang berganda iaitu daripada RM500 kepada RM1,000 juga bantuan lain kepada rakyat.

Omar berpendapat kerajaan mengurangkan subsidi minyak dengan peruntukan itu dikembalikan semula kepada rakyat, tidak kira dalam apa jua bentuk.

Seorang guru Mohamed Abdul Rahman mempersoalkan rasional di sebalik sokongan Presiden Ceupacs itu sedangkan ia jelas tidak menguntungkan pekerja-pekerja perkhidmatan awam.

Katanya, ramai dalam kalangan pekerja perkhidmatan awam yang tidak mendapat BRIM yang hanya diberikan setahun sekali sedangkan harga barang keperluan dikatakan boleh naik setiap hari tambahan selepas diumumkan kenaikan harga minyak ini.

“Sepatutnya sesebuah kesatuan untuk menjaga kebajikan ahli-ahli kesatuan… disebabkan minyak naik, maka barang harian yang lain pun turut sama naik... jadi fikir-fikirkanlah apabila mengeluarkan kenyataan.

“Lebih baik Omar menumpukan desakan-desakan kakitangan awam selama ini seperti kenaikan gaji, bonus, tuntutan perjalanan… sekarang ini sesuatu claim pun nak kena tunggu 5 ke 6 bulan baru dapat,” ujarnya.

Tambahnya, paling menakutkan kakitangan awam sepertinya ialah kenaikan harga rumah yang sememangnya sudah sedia mahal, seperti diumumkan di akhbar semalam.

Kelmarin Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Datuk Seri Michael Yam Kong Choy kenaikan harga rumah sekurang-kurangnya 10% dalam masa terdekat berikutan kenaikan 20 sen harga petrol RON95 dan diesel.

Bagi Mohd Bazli Dzulkafli pula, walaupun beliau ahli Cuepacs, tetapi tidak bersetuju dengan presidennya yang menyokong kenaikan harga minyak.

“Saya amat terkejut dengan kenaikan mendadak seperti ini tambahan lagi apabila diberitahu rasionalnya untuk menyelamatkan ekonomi negara. Sedangkan pengumuman rasmi kerajaan mengatakan ekonomi berada dalam keadaan amat baik dan mampu melaksanakan semua aku janji pilihan raya BN.

“Seingat saya kerajaan pernah memberi jaminan akan mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat terlebih dulu sebelum diumum,” katanya.

Tambahnya, apa yang diperhatikan kenaikan yang diumum Perdana Menteri dua hari lalu amat ganjil sehinggakan menteri yang bertanggungjawab sendiri menafikannya pada peringkat awal.


Dalam pada itu Mohd Rizuan Kamaruddin berkata, ada baiknya sekiranya Omar mendapatkan terlebih dahulu pendapat kakitangan sebelum secara semberono menyokong.

“Eloknya Datuk Omar menyenaraikan senarai kebaikan yang diperolehi oleh rakyat ekoran kenaikan minyak seperti pandangannya itu. Sebagai presiden sebuah Kesatuan yang mempunyai kredibiliti yang tinggi, beliau seharusnya bercakap dengan fakta yang tepat dan kukuh.

“Ada kemungkinan kenaikan harga minyak akan dijadikan alasan untuk minta kenaikan gaji, tetapi rakyat tidak makan gaji atau tidak kerja dengan kerajaan bagaimana pula?“ soalnya.

Katanya, kenaikan harga minyak sehingga menyusahkan rakyat boleh menyebabkan penyakit sosial seperti peningkatan kes jenayah, kadar kemiskinan dan bermacam-macam hal lagi boleh berlaku akibat beban hidup rakyat jika sudah tidak tertanggung.

Wednesday, September 4, 2013

Minyak naik: ‘Pengundi Umno’ paling teruk terjejas

Di sebalik alasan kerajaan menaikkan harga minyak untuk mengukuhkan ekonomi negara dan merasionalkan subsidi, pada hakikatnya ia adalah beban yang dihempab ke kepala rakyat yang berpendapatan rendah.

Ini disebabkan akibat kenaikan harga minyak RON95 dan diesel 20 sen seliter yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkuatkuasa tengah malam tadi, sudah pasti akan mendorong melambungnya harga barangan yang telah sedia tinggi dalam tempoh terdekat.

Ini tidak dapat dielakkan kerana minyak merupakan kos asas kepada pengangkutan semua barangan.

Pekebun kecil Ahmad Mat Yaman, berkata golongan rakyat yang bergantung hidup dengan pertanian sepertinya akan paling banyak menerima kesan kerana
sudah pasti sewa lori untuk mengangkut buah sawit dan getah akan naik.

“Apabila kos asas itu naik, upah tenaga kerja juga akan naik, sewa jentera berat akan naik dan ini tidak dapat dielakkan kerana itu sajalah pilihan yang ada.

“Pada ketika ini pula harga sawit dan getah jatuh merundum. Kos kehidupan kami akan meningkat pula selepas ini akibat kenaikan harga barang akan menanti,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya menyedari bahawa golongan petani yang berada di luar bandar dan Tanah Rancangan Felda yang akan terjejas teruk selepas ini merupakan kumpulan besar yang menyumbang kepada kemenangan BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Bagi Shaharuddin Salleh, kenaikan harga barang hampir pasti tidak dapat dielakkan berdasarkan pengalaman lalu sebaik sahaja kenaikan harga minyak, walaupun pihak kerajaan cuba mengawal.

“Dengan harga barang yang sememangnya sudah sedia tinggi, sudah tentu akan menjejaskan perbelanjaan harian rakyat sekali gus meningkatkan kos hidup.

“Saya masih ingat dalam Manisfesto BN pada PRU yang lalu berjanji untuk turunkan harga kereta. Setelah empat bulan, bukan saja harga kereta tak turun harga minyak pula yang naik”, katanya.

Tambahnya lagi, bagi syarikat-syarikat bas dan pemandu teksi juga akan mengalami kekurangan pendapatan jika tambang kekal dengan harga sedangkan untuk sebarang kenaikan perlukan kelulusan kerajaan.

Dalam pada itu, Nizam Hamid berkata beliau hairan bagaimana harga minyak dinaikkan sedangakan harga minyak dunia turun pada ketika ini.

“Harga minyak dunia jatuh, jadi tidak ada justifikasi menaikkan harga minyak jika didasarkan kepad harga minyak dunia. Jadi saya percaya kenaikkan harga minyak disebabkan merudumnya nilai Ringgit Malaysia yang membimbangkan kebelakangan ini.

“Nilai wang kita yang merudum ini antaranya disebabkan salah urus ekonomi, ketidakcekapan dan hutang yang tinggi. Jadi istilah rasionalisasi yang digunakan Perdana Menteri tidak lebih sekadar retorik untuk mengelabui mata rakyat sekaligus menjustifikasi tindakan. Hakikatnya salah urus ekonomilah penyebab utama,” jelasnya.

Monday, August 26, 2013

Kes Altantuya boleh burukkan Malaysia di mata dunia

TEMERLOH: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menganggap pembebasan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada pertuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu oleh Mahkamah Rayuan semalam sebagai episod malang dalam sejarah perundangan negara.

Ketua DPPM Ustaz Nasrudin Hassan berkata, ini berikutan kes jenayah berprofil tinggi itu menjadi perhatian antarabangsa dan boleh menjadi bahan ketawa akibat kecacatan kes dan menimbulkan tanya.

Katanya, serentak dengan itu DPPM melalui Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi (Juham) akan terus memantau kes ini termasuk menggalakkan keluarga si mati sendiri membawa kes pembunuhan tersebut ke mahkamah.

“Ada dua kesan selepas keputusan kes ini iaitu pertama imej buruk terhadap Malaysia pada kaca mata antarabangsa kerana melibatkan warga Monggolia dan ada kaitan dengan Peranchis.

“Kedua, andaian masyarakat iaitu jika jenayah berprofil tinggipun tertuduh yang sudah sabit kesalahan boleh dilepaskan hakim kerana penyiasatan dan pendakwaan banyak kecacatan, maka tidak mustahil jenayah akan terus berleluasa kerana penjenayah tak takut lagi,” katanya.

Tambahnya andaian yang sedang diperkatakan secara sinis oleh warga siber pada ketika ini ialah ‘Altantuya masuk ke dalam hutan dan meletupkan dirinya sendiri dengan bom C4’ kerana tiada pembunuhnya dan tidak dapat dijejak orang yang mengarahkan pembunuhan tersebut.

Ahli Parlimen Temerloh itu berkata demikian ketika ditemui di rumah terbuka ‘Eidulfitri Pusat Komuniti Parlimen Temerloh di sini kelmarin.

Kira-kira 8,000 penduduk daripada pelbagai bangsa hadir memeriahkan majlis anjuran PAS tersebut.

Semalam tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan mereka terhadap pensabitan dan hukuman.

Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusannya, berkata berlaku penyalaharahan yang serius oleh hakim Mahkamah Tinggi dalam mensabitkan mereka termasuk tidak memanggil DSP Musa Safri serta kegagalan untuk mengemukakan diari balai polis yang menyatakan Azilah berada di Bukit Aman pada masa berkenaan.

Altantuya telah dibunuh di hutan Puncak Alam, Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Pada April 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaki Md Yassin telah mensabitkan Azilah dan Sirul daripada pertuduhan membunuh Altantuya Shaariibuu. Manakala penganalisis politik Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan pembunuhan itu.

Nasrudin berkata, sebelum ini kes semua petisyen pilihan raya yang ditolak mentah-mentah oleh mahkamah hanya kerana masalah teknikal, turut memburukkan institusi kehakiman negara di mata rakyat.

“Rakyat membawa kes (petisyen) sebesar itu untuk perbicaraan dan mendapatkan keadilan malangnya kes sebesar itu hanya ditolak oleh kesilapan teknikal, jadi sudah tentulah membuatkan rakyat tidak puas hati,” ujarnya.

CAPTION

1.Nasrudin sedang melayan warga OKU yang berkunjung ke rumah terbuka ‘Eidulfitri Parlimen Temerloh.


Friday, August 16, 2013

Lelaki belasah isteri dalam lif serah diri di Kuantan

KUANTAN: Seorang lelaki yang membelasah isterinya di dalam lif di sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam yang tersebar melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Isnin lepas, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan petang semalam.

Suspek, seorang penjawat awam berusia 36 tahun yang difahamkan bertugas di Jerantut menyerah diri pada pukul 4.45 petang. Beliau akan dibawa ke Pulau Pinang, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah kepada agensi berita Bernama.

Beliau berkata kes itu disiasat menurut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan polis percaya dengan penahanan lelaki itu, ia dapat menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh terdekat.

Kes tersebut menjadi perhatian seluruh negara apabila rakaman CCTV yang dimuat naik dan disebarkan secara meluas dalam laman Facebook dan YouTube. Rakaman menunjukkan suspek menumbuk isterinya sehingga kepalanya terhantuk, memijak cermin mata isterinya yang terjatuh, menampar dan menendang mangsa beberapa kali.

Insiden malang itu berlaku di hadapan dua anak kecil pasangan itu yang masing-masing berusia empat dan lima tahun.





Wednesday, August 14, 2013

Tiga kes jenayah senjata api di Pahang

KUANTAN: Negeri Pahang mencatatkan kes ketiga jenayah bersenjata api dalam tempoh sebulan apabila seorang wanita nyaris terkena tembakan penyamun dalam kejadian awal pagi semalam (Selasa) di Jalan Haji Ahmad di sini.

Menurut kenyataan media Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff dalam kejadian 4 pagi itu, Ruzelawati Basri, 35, ibu tunggal empat anak, baru sahaja keluar dari rumahnya di Taman Mirama di sini secara berseorangan memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard.

Katanya selepas mengisi minyak di sebuah stesen, mangsa memberhentikan kenderaannya di hadapan sebuah restoran di Jalan Haji Ahmad dan membuat panggilan telefon kepada bekas suaminya di Putrajaya sebelum didatangi sebuah kereta berwarna biru gelap dan seorang lelaki kemudian keluar dari kenderaan itu.

Beliau berkata menurut mangsa, lelaki tersebut memegang sepucuk pistol dan mengetuk cermin kereta dan mengarahkannya membuka pintu serta keluar dari keretanya.

"Mangsa yang terkejut terus memecut kenderaannya dan terdengar bunyi cermin keretanya pecah tetapi tidak mendengar bunyi seperti letupan," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Mohd Jasmani berkata mangsa yang beralamat di Precint 9, Putrajaya dan menjalankan perniagaan kedai cermin mata di Kuantan itu terus memecut kenderaannya dan berhenti berhampiran sebuah restoran di Jalan Haji Ahmad yang jaraknya 200 meter dari tempat kejadian setelah mendapati lelaki itu tidak mengejarnya.

"Siasatan awal polis mendapati satu das tembakan dilepaskan di cermin pemandu dan dipercayai hinggap di rangka kiri pintu hadapan MPV tersebut dan motif kejadian dipercayai cubaan menyamun," katanya.

Beliau berkata dalam kejadian tersebut mangsa mengalami luka kecil di bahagian mata kanan dipercayai akibat serpihan kaca dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini.

Pada 30 Julai lalu di Taman Rimba Mentakab, rumah dan kereta milik seorang ahli perniagaan telah dilepaskan dengan beberapa das tembakan. Bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan.

Pada 26 Julai pula, seorang pemandu lori dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Temerloh cedera di lengan selepas ditembak ketika dalam perjalanan ke Jerantut.

Seminggu sebelum itu, sebuah kedai emas kerugian RM3.2 juta di Mentakab apabila dirompak enam lelaki bertopeng bersenjatakan parang.

Seluruh negara ketika ini sedang kebingungan menghadapi siri jenayah bersenjata api akhir-akhir ini sehingga lebih 20 orang telah terbunuh sejak kejadian 12 April tahun ini.

Sementara itu akhbar The Star dalam tinjauannya di ibu negara melaporkan, jenayah bersenjata api telah menyebabkan kebanyakan kedai makan, stesen minyak dan klinik 24 jam telah menutup operasi perniagaan lebih awal.

Senjata Api : Pemutihan, Kelemahan Kawalan Pintu Sempadan, Rasuah atau Penyelewengan

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim menyarankan satu gerakan pemutihan dilancarkan bagi mengesan jumlah sebenar senjata api dimiliki orang awam.

Solidariti Anak Muda Malaysia Zon Muar - SAMM Muar secara dasarnya menyambut baik cadangan daripada Ahli Parlimen Muar ini namun kami ingin meminta sedikit pencerahan dari YB Datuk Razali Ibrahim, apakah prosedur pemutihan yang akan digunapakai?

Malahan, cadangan untuk mengisytiharkan jumlah sebenar senjata berlesen dalam negara seharusnya tidak memerlukan sebuah rancangan pemutihan kerana sudah pasti sesiapa yang ingin memiliki senjata api di negara ini perlu memohon lesen daripada PDRM seperti yang disyaratkan di dalam Akta Senjata 1960. Sudah pastilah PDRM ataupun KDN mempunyai pengkalan data berapa jumlah senjata api yang telah dilesenkan kepada rakyat Malaysia. Atau adakah cadangan YB Datuk Razali ini terhasil kerana ketiadaan pengkalan data statistik senjata api berlesen selama ini?

Persoalan utama adalah bagaimana boleh berlaku kebanjiran senjata api tanpa lesen seperti sekarang ini? Adakah semua pembunuh-pembunuh atau perompak-perompak bersenjata api ini mempunyai lesen senjata api? SAMM Muar tidak dapat melihat kewajaran di situ. Maka, SAMM Muar berpandangan senjata api ini diseludup masuk ke dalam negara. Soalnya, bagaimana ia boleh membolosi pintu sempadan negara dengan mudah?

SAMM Muar juga melihat isu kebanjiran senjata api dalam negara ketika ini adalah kerana kelemahan pintu sempadan negara dalam mengekang gejala penyeludupan. Baik dadah, pendatang tanpa izin, barang-barang makanan terkawal mahupun senjata api begitu mudah tembus ke dalam dan luar negara. Pengawalan pintu sempadan negara tidak boleh dipandang enteng.

Tambah merungsingkan, kenyataan YB Datuk Razali Ibrahim bahawa kebanjiran senjata api ini mempunyai kaitan dengan kegiatan rasuah dan penyelewengan telah membuktikan bahawa kegagalan Kerajaan Pemerintah, Perdana Menteri, SPRM dan KDN dalam memerangi gejala rasuah dan. penyelewengan hingga melarat kepada membahayakan keselamatan dan nyawa rakyat.

Sebagai seorang pemimpin muda dalam Kerajaan Pemerintah, adalah diharapkan agar YB Datuk Razali Ibrahim berani menegur persoalan kegiatan rasuah dan penyelewengan seperti yang didakwa beliau itu agar keharmonian dan keselamatan negara tidak digadaikan oleh sebuah pemerintahan yang lemah dalam memerangi gejala ini. Bukan sekadar retorik di dalam media tetapi tindakan affirmatif oleh beliau dalam memastikan rasuah dan penyelewengan yang memudaratkan negara ini dapat dihapuskan.

Ahmad Anwar Asyraf
SAMM Kebangsaan

Tuesday, July 30, 2013

Ubah laluan: Kenapa rakyat jadi tikus makmal?

KUANTAN: Pengguna-pengguna jalan raya di bandar ini tidak henti-henti merungut akibat kesesakan luar biasa selepas Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) membuat percubaan mengubah laluan trafik bermula 22 Julai lalu.

Ini disebabkan bukan sahaja masalah kesesakan tidak dapat diatasi, malah juga menimbulkan kekeliruan akibat arahan yang berubah-rubah, meskipun pada asalnya untuk mengelakkan kesesakan.

Antara usaha yang dibuat ialah mengubah jalan dua hala selama ini dijadikan jalan sehala. Jalan-jalan yang terlibat adalah Jalan Penjara, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Tun Ismail, Jalan Beserah, Jalan Teluk Sisek dan Jalan Besar.

Tinjauan mendapati, kebanyakan pembahagi jalan sudah dibuang tetapi tiang elektrik di tengah jalan masih dibiarkan. Manakala di beberapa simpang diletakkan kon.

Ini berikutan MPK dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) melaksanakan program perubahan arah aliran trafik dengan tempoh percubaan tiga bulan melibatkan kos sebanyak RM4 juta dan akan berakhir pada 21 Oktober ini.

Seorang pengguna Alang Ahmad Teh, berkata perubahan aliran trafik memang membawa kelam-kabut akibat kekeliruan kepada pengguna.

“Bayangkan, penduduk Kuantan yang menggunakan jalan ini setiap hari juga kadang-kala terpaksa berpusing-pusing di tengah bandar akibat terkeliru, inikan pula pelancong.

“Saya mendengar aduan ada kakitangan pejabat di bandar ini menghadapi kesukaran umpamanya apabila tersalah mengambil lorong akibat perjalanan mengambil jarak yang jauh,” jelasnya yang tinggal di Kampung Teluk Mahang.

Beliau khuatir perancangan dibuat tanpa kajian teliti seperti mendapatkan dulu nasihat polis trafik kerana bagi beliau jika berlaku kesesakan mestilah dilebarkan jalan, bukannya mengubah haluan jalan, katanya.

Bagi Syed Anis Syed Hussin pula, kesilapan MPK ialah membuat percubaan pada bulan ramadan yang memang kebiasaannya sentiasa sibuk kerana aktiviti perniagaan dan budaya membeli-belah termasuk daripada pengunjung luar daerah.

“Kebanyakan jalan pintas yang menghubungkan Jalan Besar dengan Jalan Mahkota ditutup, menyebabkan laluan bertambah sesak dan menyusahkan orang ramai untuk ke Masjid Negeri.

“Bagi saya ada cara lain, jika di bandar-bandar besar lain longkang dan aliran air dibina dalam tanah seperti terowong supaya di bahagian atasnya boleh digunakan sebagai jalan raya dan ini boleh meluaskan lagi jalan yang ada,” katanya yang tinggal di Kampung Razali.

Bagi Shukri Ramli, perubahan aliran trafik oleh MPK ini bukan sahaja menyusahkan penduduk bahkan ia memberi imej yang tidak baik kepada pelancong.

“Umpamanya pelancong yang datang dari arah Jalan Gambang untuk ke Teluk Chempedak terpaksa mengikut jalan Wong Ah Jang melalui Megamall terus ke Jalan Beserah dan ke kanan. Perjalanan tersebut bukan sahaja sentiasa sesak tetapi juga terpaksa mengambil masa kerana jarak yang lebih jauh.

“Saya difahamkan peniaga-peniaga di Kuantan Parade turut tidak puas hati dan berdemonstrasi sejak Jalan Penjara dijadikan jalan sehala sehingga mereka semakin kekurangan pelanggan,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, dalam sidang medianya kesal kerana rakyat dijadikan tukus makmal dengan simulasi di jalan raya sedangkan ada kaedah lebih sesuai tanpa menyusahkan orang ramai.

“Eksperimen yang dilakukan MPK di bandar ini menyebabkan keadaan sesak sehingga ramai merungut, malah kesesakan semakin teruk kerana arahan berubah-uabah dalam tempoh tiga hari,” katanya.

Tambah beliau, pakar lalu lintas juga memaklumkan masih ada cara terbaik untuk mengubah laluan.

Gambar:
Jalan-jalan yang terlibat dengan perubahan

Friday, July 26, 2013

Rompakan besar di bandar kecil

TEMERLOH: Kejadian rompakan kedai emas bernilai RM3.2 juta di Mentakab dekat sini Khamis minggu lalu, terus menjadi bualan hangat orang ramai di daerah ini.

Dalam kejadian tersebut enam lelaki bertopeng bersenjatakan parang hanya mengambil masa tiga minit ‘menyapu’ 21 dulang emas ketika kedai baru dibuka oleh pemiliknya.

Rompakan sebesar itu merupakan pertama kali berlaku dalam sejarah daerah ini. Manakala perompaknya pula berjaya melarikan diri dan belum berjaya diberkas sehingga ke hari ini.

Apa yang amat memusykilkan penduduk ialah rompakan berlaku pada jam 9.30 pagi iaitu sewaktu orang ramai lalu-lalang, apatah lagi kedai emas yang menjadi mangsa itu terletak di pinggir jalan utama Mentakab-Temerloh.

Kedua, lebih membingungkan lokasi kejadian itu terletak hanya sekitar 300 meter dari Balai Polis Mentakab.

Ketiga, turut menjadi persoalan ialah bagaimana enam perompak itu boleh meloloskan diri dengan mudah untuk memecut kereta keluar ke Tol Temerloh Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) sedangkan masa yang sepatutnya diambil tidak kurang daripada 20 minit.

Lebih memeningkan penduduk, berdasarkan kenyataan polis penjenayah yang menggunakan dua kenderaan iaitu Toyota Camry dan Honda Accord kemudiannya masuk ke dalam sebuah lori kargo yang menunggu di pusat rawat dan rehat sebelum menuju ke Kuala Lumpur melalui LPT. Mudahnya? Sedangkan perjalanan ke ibu negara mengambil masa dua jam?

Setakat ini tidak ada penduduk yang berani membuat sebarang andaian tetapi hanya kehairanan dilahirkan melalui mulut ke mulut.

Seorang penduduk, Norazmi Abdul Majid, 57, berkata apa yang dikhuatiri dan menghantui penduduk ialah tahap keselamatan mereka benar-benar terkawal jika berlaku iaitu mampukah pihak berkuasa bertindak dengan pantas pada masa-masa yang akan datang.

“Mentakab tidak sebesar mana iaitu hanya bandar kedua dalam daerah ini. Maka jika itupun sudah boleh berlaku jenayah sebegini besar dan menakutkan, apa lagikah jaminan keselamatan kepada orang ramai?,” soalnya.

Tambahnya, bagi penduduk yang penting ialah jaminan keselamatan. Sebelum ini banyak kali disiarkan media cerita budak hilang kerana menjadi mangsa penculikan.

Bagi seorang penduduk lagi, Saifudin Kamarudin, 36, memang wajar jika pihak kerajaan memberi perhatian serius dan menekankan permasalahan keselamatan rakyat kerana ia termasuk dalam Aku Janji Manisfesto BN pilihan raya umum ke 13 iaitu “Meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam”.

“Propaganda kerajaan ialah menjadikan negara ini maju. Seolah-olah pembangunan sekarang ialah ke arah mengejar kemajuan itu. Untuk siapakah kemajuan apabila makin maju rakyat semakin dihambat ketakutan?,” soalnya.

Bagi beliau, sepatutnya masalah sosial mesti diutamakan namun akhir-akhir ini kes jenayah berat semakin meningkat hari demi hari.

Sementara itu, kenyataan rasmi polis menadapti suspek adalah kumpulan sama yang merompak kedai emas di Jalan Besar, Karak yang berlaku sebulan lalu.

Ini bermakna, kumpulan penjenayah itu amat aktif dan sudah dikenal pasti oleh polis. Modus operandinya sama iaitu merompak kedai emas di bandar-bandar kecil.

RAYUAN BANTUAN WANG JAMINAN MAHKAMAH DITERUSKAN

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berdepan cabaran paling getir menjelang Syawal apabila tanggal 29 Julai 2013 iaitu Isnin ini, seramai 33 aktivis yang ditangkap dalam kejadian protes penipuan SPR di depan Parlimen pada hari pertama sesi parlimen berlangsung, akan didakwa.

Berdasarkan makluman dari pegawai penyiasat (IO) kes berkenaan dari IPD Dang Wangi menyatakan 33 akan dituduh dibawah Akta Perhimpunan Aman kerana menyertai himpunan haram dan 17 orang dari mereka akan diberikan tuduhan tambahan iaitu akta 147 iaitu cubaan merusuh.

Pihak peguam juga menasihatkan agar pihak SAMM bersedia dengan wang jaminan RM5000 bagi setiap 33 orang aktivis yang bakal didakwa, menjadikan jumlah keseluruhannya RM165 ribu hanya untuk wang jamin sahaja. Dakwaan akan dijalankan di Mahkamah Jalan Duta pada hari Isnin ini iaitu kurang 10 hari dari hari perayaan Aidilfitri.

Bagi tujuan membantu gerakan dan khususnya ikat jamin kes 33 orang yang akan didakwa, boleh terus masukkan ke akaun Maybank 555041113224 atas nama Solidariti Anak Muda. Selepas menyumbang harap dapat sms ke no 0126937908 atau email ke samm4anakmuda@gmail.com bagi makluman pengesahan.

Sekian, terima kasih.

Edy Noor Reduan
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Friday, July 12, 2013

6 RESOLUSI SAMM: PASCA PRU13 MENDEPANI MASSA

Resolusi SAMM Rapat Kebangsaan 02/2013

1. SAMM menolak sepenuhnya keputusan PRU-13 yang penuh kecurangan dan SPR yang 'bekerja' di bawah JPM harus dimansuhkan, diganti dengan badan pemilih baru yang diletakkan bawah parlimen.

2. Dua tahun kebelakangan ini SAMM bekerja memberikan tumpuan mengembeling sokongan dan undi kepada Pakatan rakyat sesuai dengan maksud perubahan harus dimulakan dengan menjatuhkan regim. Selepas PRU ke 13 tumpuan kerja SAMM berubah dengan SAMM akan menumpukan program dalaman untuk menguatkan gerakan anak muda bagi meneruskan kelangsungan SAMM sebagai kelompok progresif dan bergerak ke depan.

3. Demi memperkukuh pemahaman massa rakyat terhadap SAMM maka pedoman apa dia SAMM akan dikeluarkan dalam bentuk booklet, khusus untuk mengenali SAMM dan perjuangannya. Seiring dengan itu program - program penerangan mengenainya akan dipergiat.

4. SAMM akan terus mengembeling kesedaran rakyat untuk bangkit. SAMM akan terus menjuarai isu rakyat yang dilihat makin kritikal dan sewenangnya dipermainkan oleh regim pemerintah, termasuklah isu terbaru seperti TPPA, GST. Hanya dengan kesedaran rakyat akan bangkit. SAMM yakin kebangkitan hanya melalui kesedaran akar umbi.

5. SAMM menolak keganasan Regim Assad dalam masa sama menolak usaha anasir luar khususnya barat, untuk menjatuhkan pemerintah di Syria. Di Mesir pula, SAMM menolak keras rampasan kuasa yang berlaku terhadap Mursi. Pengambil kuasa dari perubahan seharusnya faham dan mengikut kehendak rakyat bukan berdasar kehendak dan pemikiran mereka semata. Ini pengajaran penting. Dunia seharusnya lebih sensitif dengan isu kezaliman contohnya Rohingya yang seperti tenggelam.

6. Walaupun keadaan dilihat semakin sukar dan mood perlawanan yang menjunam jatuh, namun SAMM tetap bertekad dan berjanji pada tanahair ini untuk terus berjuang mempertahankan nasib rakyat, kami berjanji untuk tidak berganjak daripada jalan perjuangan kami selama ini untuk menyelamatkan ibu pertiwi dari terus dijarah.

Sekian


ISAMUDDIN SANUSI
Pengarah Sekretariat SAMM

Sunday, July 7, 2013

PRU 13, selepas dua bulan


Kelmarin, 5 Julai 2013, genaplah dua bulan daripada tarikh pilihan raya umum (PRU) ke 13. Namun di Pahang, masih terdengar cakap-cakap, rintihan dan rengusan berkaitan dengan keputusan PRU itu.

Umpamanya seorang aktivis PAS, Cikgu Notfi berkata beliau masih terkejut dengan keputusan diperolehi Pakatan Rakyat (PR) khususnya PAS dalam PRU lalu kerana pencapaiannya di luar dugaan sama sekali.

Benar PR Pahang buat pertama kalinya berjaya menghantar 12 orang wakil ke Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang, iaitu kurang dua kerusi lagi untuk menafikan 2/3 BN. Namun daripada 12 kerusi tersebut hanya tiga daripada PAS. Dua PKR dan tujuh DAP. DAP bertanding tujuh kerusi bermakna menang semuanya. Sedangkan PAS yang memimpin PR Pahang diberi amanah bertanding di 21 kerusi Dun.

“Bayangkan (setahun sebelum PRU) tiga kali kita (PAS) adakan Himpunan Kebangkitan Rakyat, kebanyakan program kita begitu meriah dan setiap bulan kita saksikan berbondong-bondong orang baru khususnya orang Melayu menyertai PAS tetapi keputusannya tidak menepati perkembangan ketika itu,” katanya dengan nada agak kecewa.

Memang jika disaksikan pencapaian PAS di Pahang terdapat sedikit peningkatan iaitu bertambah satu kerusi berbanding PRU 2008. Jika dulu PAS hanya memenangi Dewan Undangan Negeri Kuala Semantan dan Beserah, dalam PRU baru-baru ini PAS menambah satu lagi kerusi iaitu Tanjung Lumpur. Sedangkan sasaran PAS ialah memenangi sekurang-kurangnya 10 kerusi berpotensi.

Ertinya PAS Pahang gagal menandingi rekod pada PRU 10 di mana berjaya menghantar enam orang wakil ke Dewan. Meskipun dari segi jentera, dikatakan pada kali ini jauh lebih bersedia.

Ketua Penerangan PAS Pahang Suhaimi Md Saad berkata, PRU ke 13 ialah ‘tsunami pengundi-pengundi bermaklumat’. Maksudnya kemenangan yang diraih oleh PR semuanya di kawasan bandar iaitu Tanah Rata, Tras, Beserah, Semambu, Teruntum, Tanjung Lumpur, Mentakab, Kuala Semantan, Ketari, Bilut, Sabai dan Triang. Kemenangan pula bukannya kecil tetapi meningkat antara 1,000 hingga ke lebih 5,000 undi majoriti.

Malah Dun Damak (dalam bandar Jerantut) juga selayaknya milik PR namun tewas disebabkan pertandingan empat penjuru. Keputusannya adalah seperti berikut: Datuk Lau Lee (BN) 7,905, Koh Boon Heng (DAP) 7,841, Jamaluddin Abd Rahim (PKR) 2,435, Mohd Nor Jaafar (Bebas) 174. Majoriti 64 undi dan undi rosak 647. Ertinya undi yang diperolehi oleh kedua calon PR ialah 10,276 undi!

Malangnya semua kerusi Dun yang mempunyai peti undi Felda (kecuali Triang), PAS atau PKR kalah. Dun tersebut ialah Jelai, Padang Tengku, Batu Talam, Tahan, Pulau Tawar, Sg Lembing, Lepar, Panching, Chini, Luit, Kuala Sentul, Chenor, Jenderak, Kerdau, Jengka, Lanchang, Pelangai, Guai, Kemayan dan Bukit Ibam.

Daripada 21 Dun Felda ini hanya Jelai, Tahan, Sungai Lembing, Lepar, Panching, Luit, Chenor dan Pelangai yang berjaya mengurangkan majoriti BN berbanding PRU 12, sementara yang lainnya BN menang besar. Ada yang mengatakan, itupun disebabkan masalah calon BN yang tidak diterima.

Maka sementara menanti PAS Pahang membuat post-mortem penuh PRU 13 atau ‘retreat’, elok rasanya diperhatikan beberapa perkara berkaitan pengundi-pengundi Felda bagi menghadapi persediaan PRU 14. Ini amat perlu dan mendesak jika mengambil kira pengundi Felda merangkumi sekitar 55 peratus keseluruhan pengundi di Pahang. Dengan makna, selepas ini jika PR merancang untuk menang di negeri Pahang faktor warga Felda mestilah menjadi agenda dan keutamaan.

Bayangkan, Pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Pahang, Yohanis Ahmad melahirkan kehairanan PR Pahang sudah menawarkan segala yang terbaik untuk warga Felda dalam manisfesto tetapi seolah-olah dipandang dingin.

Antara lain tawaran PR ialah menyegerakan pemberian hak milik tanah kepada peneroka yang telah melangsaikan hutang. Generasi kedua dan ketiga Felda yang layak ditawarkan menjadi peneroka baru di Felda Plantation. Memasukkan nama isteri dalam rekod pemilikan geran tanah. Serta menawarkan lot tapak rumah pertama untuk bekas kakitangan Felda dengan bayaran pindah milik minimum.

Itu hanya tawaran khas kepada warga Felda. Mereka juga mendapat manfaat daripada tawaran-tawaran lain seperti tanah dan perumahan, skim untuk anak muda, pendidikan, industri dan pertanian. Namun hanya dipandang sepi. Bahkan di saluran lima dan enam peti undi Felda pun banyak yang PAS kalah! Kenapa?

Dedahkanlah penyelewengan dalam Felda, bongkarlah ketidakadilan dalam agihan saham, belalah peneroka dalam isu penipuan gred sawit, diberilah jaminan untuk hapuskan hutang peneroka yang menjangkau ratusan ribu ringgit. Semuanya tidak dihiraukan. Kenapa?

Sepatutnya persoalan inilah yang perlu dirungkaikan dan dicari penawarnya.

Dengan lain-lain perkataan, PAS dan PR Pahang mesti merancang sesuatu atau menukar strategi bagi menangani undi Felda yang jatuh teruk daripada menyokong PR dalam PRU kali ini. Bayangkan, kemerosotan undi Felda amat ketara sehingga mengalahkan undi Melayu di kampung-kampung tradisional dan pedalaman.

Sebagai contoh, di peti undi Kampong Som, Ulu Tembeling (Dun Tahan) PAS menang. Tetapi di peti undi Felda Sungai Retam dalam Dun yang sama, PAS kalah.

Mungkin ada benarnya juga satu pendapat yang mengatakan bahawa orang Melayu (secara amnya) khuatir untuk mengundi PAS berikutan mainan media kawalan Umno. Pepatah ada mengatakan: ‘pembohongan yang diulang-ulang boleh menjadi dipercayai’. Maka jika seseorang Melayu itu menjadikan Tv3/4 dan Utuseks Malaysia sebagai bahan rujukannya, maka tidak larilah mafhum kepada pepatah tadi.

Maka bertolak dari situlah kita rasakan PAS perlu brain-storming, merancang dan bertindak sekarang. Kitapun sudah tentulah tidak mahu nanti, selepas PRU 14, jawapan yang sama (untuk menghiburkan hati yang lara) diulang-ulang kembali iaitu: “Bersabarlah, Allah belum kehendaki kita menang”.


Wednesday, July 3, 2013

HIMPUNAN MUSLIMAT PAS PAHANG, 30 JUN


Laporan SAL

Perasmian Program dimulakan pada jam 9.30 pagi dengan dirasmikan oleh Ketua Muslimat PAS Pusat Yb Ustazah Pn Zailah Mohd Yusoff. Beliau menyarankan agar muslimat komited dengan tugas dan tuntutan serta bijak dalam pengurusan masa. Selain itu juga, isteri isteri YB juga perlu aktif dalam program kebajikan dan rakyat supaya dapat memberi impak yang positif kepada parti dan jamaah.

Program himpunan ini juga turut mendapat kupasan dan penerangan yang cukup baik dari Yb Ustaz Nasrudin Hasan, merangkap Ketua Pemuda PAS Pusat. Beliau membentangkan berkenaan ‘Tarbiah, Dakwah & Siasah yang berterusan’ dalam himpunan berkenaan.

Majlis penutupan dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Pahang iaitu Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Besar harapan beliau agar muslimat dapat menarik golongan wanita terutama dikalangan warga felda untuk memberi kepercayaan kepada PAS.

Program ini berjaya menghimpunkan seramai 450 orang peserta dari seluruh negeri Pahang. Diharapkan agar diperingkat kawasan dapat melaksanakan program yang sama agar fikrah yang jelas dapat disampaikan kepada ahli-ahli yang lain.

Monday, June 24, 2013

Ramadan menghampiri, jangan lupa kurma

7 Khasiat Kurma yang Mungkin Anda Tidak Tahu


Kurma (Phonex dactylifera) atau Tamar merupakan sejenis tumbuhan yang berbuah dan boleh dimakan sama ada ketika ia sudah masak atau masih mentah. Ianya dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan yang mana sebahagian daripadanya sudah terbukti secara saintifik. Malah dalam kitab suci al-Qur’an sahaja terdapat 21 ayat yang menyebut tentang kurma. Baginda Rasulullah SAW juga sendiri telah beberapa kali menyebut perihal kurma dan khasiatnya, dan ianya amat sinonim dengan kisah sirah baginda.

“Kemudian Kami tumbuhkan kerananya kebun kurma dan anggur untuk kamu. Disana kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagiannya kamu makan“
Al-Mukminah ayat 19
“Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’, dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu“.
Sabda Rasulullah SAW

Manakala sudut sains pula mengatakan, kandungan protein di dalam kurma adalah lebih kurang 2.5%, serat 8.0% manakala kandungan gulanya pula adalah sangat tinggi, yakni sehingga 63%, majoritinya adalah glukosa. Lemak yang terkandung di dalamnya pula adalah sangat sedikit iaitu sekitar 0.4% sahaja. Kurma juga terkenal dalam dunia perubatan tradisional memandangkan ia juga kaya denga zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potassium, vitamin A, C dan niasin.

Apakah antara khasiat utama kurma?

1) Paling pantas diproses dan diserap, sekaligus memberikan tenaga segera
Memandangkan kandungan gula ringkasnya (monosaccharide) yang sangat tinggi malah lebih tinggi dari pisang, kurma berupaya memberikan “tenaga segera” yang akan diserap oleh tubuh serta-merta. Berbeza dengan kebanyakan buah-buahan lain yang mengadungi sukrosa (disaccharide). Disaccharide seperti sukrosa harus dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi monosaccharide lalu diserap tubuh sebagai tenaga.

“Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terdapat kurma, maka Baginda akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air“
Hadis riwayat Ahmad

Makan kurma ketika berbuka puasa amat bagus kerana pada waktu ini, kita perlukan tenaga segera, dan bukannya tenaga yang “lambat untuk dicerna” seperti yang terkandung dalam kebanyakkan makanan berlemak dan bergoreng yang lain.

2) Kaya dengan serat dan potassium
Kurma dimakan tanpa perlu membuang kulitnya dan pada kulitnya itulah terkandung serat. Kurma adalah antara buah-buahan yang amat kaya dengan serat, serat larut mahupun tak larut. Kita sering menganggap buah-buahan seperti pisang itu mengandungi serat yang tinggi, tetapi tahukah anda, dalam 100g Kurma terdapat 8g serat sedangkan dalam 100g Pisang hanya terdapat 2.6g serat sahaja? Tinggi serat amat baik untuk sistem pelawasan.
Selain itu kurma kaya dengan Potassium dan beberapa zat galian yang lain. Potassium adalah elektrolit yang akan menyeimbangkan kembali kandungan air dalam tubuh badan apabila kita kehilangannya, terutama sepanjang tempoh berpuasa. Tidak perlu membeli 100 Plus sekiranya khuatir akan kekurangan elektrolit ketika berbuka, memadai dengan beberapa biji kurma dan air suam. Potassium juga membantu dalam pembinaan otot termasuk otot jantung dan mampu memelihara sistem saraf.

3) Penguat memori
Ramai yang berfikiran hanya kismis yang baik untuk menguatkan daya ingatan, namun hakikatnya kurma juga tidak kurang hebatnya. Ianya amat sesuai untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

4) Baik untuk wanita mengandung/bersalin
Masih ingat kisah Maryam yang hanya memakan buah kurma semasa melahirkan Nabi Isa AS? Menerusi malaikat Jibrail, Allah telah mewahyukan kepada ibu Isa iaitu Maryam binti Imran supaya menggegar pohon kurma sehingga gugur lantas memakannya tatkala lemah selepas bersalin.

“Dan goncangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak,”
Surah Maryam, ayat 25

Dan menurut sebuah laman web, buah kurma amat baik untuk wanita mengandung dan akan memudahkan wanita untuk melahirkan anak dan akan mengurangkan pengaliran darah semasa proses kelahiran. Malah anak yang dilahirkan kelak dipercayai akan mempunyai sifat-sifat yang baik, penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya (Sabda Rasulullah).

5) Penawar Racun
Diriwayat oleh Aishah r.a., “Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan.”

6) Merawat penyakit
Dalam perubatan homeopati, biji kurma dikisar halus seperti serbuk teh. Ianya direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

7) Mengubati gangguan usus dan sembelit
Ketidakserasian dengan gluten menghalang penyerapan zat-zat makanan secara sempurna. Kurma mencegah ini dari berlaku.

Wednesday, June 19, 2013

7 Tempat berkumpul sebelum Perhimpunan Black 505 22 Jun 2013 ini

7 Tempat berkumpul sebelum Perhimpunan Black 505 22 Jun 2013 ini

Brickfields - dipimpin oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan dan pemimpin BERSIH Maria Chin Abdullah
Masjid Negara - dipimpin oleh anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali

Jalan Pudu - dipimpin oleh Timbalan Pengerusi DAP Tan Kok Wai, setiausaha organisasi parti Anthony Loke, pemimpin kumpulan anti-Lynas Wong Tack dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
Jalan Raja Laut (pejabat PAS) - dipimpin oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Mohamad Sabu

Jalan Raja Laut (Sogo) - dipimpin oleh Naib Presiden PKR Tian Chua dan NGO bekas-bekas pesara tentera

Universiti Malaya - dipimpin oleh aktivis mahasiswa Safwan Anang dan Adam Adli, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan

Pekeliling - dipimpin oleh Naib Presiden PAS Salehuddin Ayub dan NGO ANAK

Sumber: Malaysiakini

Saturday, June 15, 2013

Blackout 505 22 Jun

SPR CABAR KUASA RAKYAT, MAKA RAKYAT TURUN BERAKSI 22 JUN HINGGA SPR LETAK JAWATAN

Minggu lepas, Suara Rakyat 505 telahpun menyeru kepada SPR supaya letak jawatan dan bertanggungjawab kepada Parlimen. Gabungan ini berpandangan bahawa jawatankuasa khas bagi memantau Suruhananjaya Pilihan Raya tidak akan membawa apa-apa perubahan signifikan dan kata-kata kami terbukti apabila Pengerusi SPR berkata bahawa dia tidak mungkin akan meletakkan jawatan.

SPR telah mencabar kuasa rakyat, maka seperti dijanjikan Gabungan lebih 50 NGO ‘Suara Rakyat 505’ menggembeling segala kekuatan untuk membawa rakyat beraksi pada 22 Jun 2013 di Padang Merbuk, menuntut demokrasi yang digelapkan dan mengembalikan kemenangan rakyat yang dirampas. RAKYAT TURUN BERAKSI 22 JUN HINGGA SPR LETAK JAWATAN.

Bagi memastikan mobilisasi terbesar dan sebagai aksi akhir membangkitkan kesedaran rakyat tentang penipuan PRU13, Gabungan ‘Suara Rakyat 505’ akan mengkoordinasi sebuah Jelajah untuk mengira detik (countdown) menuju 22 Jun.

Tirai Roadshow akan dimulakan dengan sebuah aksi flashmob pada 15 Jun dan kemuncak jelajah, satu aksi ‘kira detik akhir’ (final countdown) bertempat di Dewan Perhimpunan Cina KLSCAH pada 21 Jun. Pada malam kemuncak tersebut juga, hadirin akan diberi pedoman akhir bagi menghadapi hari besar 22 Jun 2013, hari rakyat menolak penipuan PRU!

Dilampirkan juga di sini, Jadual Jelajah #SuaraRakyat505 Countdown Menuju KL22JUN.

Dalam masa yang sama, Kami juga akan mengembangkan inisiatif sukarelawan Gabungan Suara Rakyat 505. Pasukan sukarelawan ini akan dimoblisasikan pada masa yang tepat khususnya ketika masa untuk beraksi samada di himpunan atau protes.

Akhir sekali, Kami menegaskan bahawa hak untuk berhimpun secara aman adalah hak rakyat yang diperuntukkan oleh perlembagaan, khususnya bagi menyuarakan kepincangan yang berlaku dalam Negara. Hak ini tidak wajar dicabuli dan tidak boleh dihalang oleh pihak berkuasa termasuklah DBKL. Justeru, kami tetap akan teruskan perhimpunan di Padang Merbok walaupun mendapat halangan DBKL.

Sekian

GABUNGAN # SUARA RAKYAT 505

Friday, June 7, 2013

Blackout 505 15 Jun



SAMM Sahut Himpunan 15 Jun Dengan Gerakan Mobilisasi Besar

Sehingga kenyataan ini ditulis, jawatankuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum melepaskan jawatan masing-masing. Perkembangan ini pastinya mengundang perasaan tidak senang majoriti rakyat Malaysia yang mahukan SPR letak jawatan atau dipecat. Ia mencabar kesabaran rakyat.

Sebelum PRU-13, amaran demi amaran telah diajukan kepada SPR supaya pilihanraya dapat berlangsung dengan bersih dan adil. Rakyat telah menunjukkan menifestasi dalam bentuk aksi beberapa himpunan seperti Bersih 2.0, Bersih 3.0 dan aksi KL112, menghimpun ratusan ribu rakyat menuntut supaya demokrasi ditegakkan.

Namun SPR telah mengkhianati peluang yang diberikan setelah rakyat masih memilih pilihanraya sebagai jalan untuk benar-benar meraikan demokrasi sebaliknya demokrasi itu dinafikan.

Oleh demikian, tiada lagi amaran wajar diperuntukkan kepada SPR yang dibuktikan menjadi alat untuk mengekalkan pemerintah yang ditolak rakyat. Tanggal 5 Mei menjadi hari hitam buat tanahair apabila demokrasi digelapkan dalam pilihanraya yang penuh penipuan, seterusnya merampas kemenangan rakyat.

Maka lahirlah gerakan #Blackout505, gerakan NGO #SuaraRakyat505 dan beberapa lagi gerakan anak muda serta gerakan aktivis menuntut SPR dihumban dan pilihanraya yang baru mengambil tempat. Gerakan rakyat bertemakan hitam ini juga telah berjaya menghimpun hampir satu juta rakyat dalam belasan himpunan di seluruh negara. Himpunan hitam ini juga bakal memasuki fasa seterusnya apabila Kuala Lumpur menjadi destinasi yang ditunggu-tunggu oleh seluruh tanahair untuk bersatu menghumban SPR dan sekutunya.

Justeru itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyambut baik pengumuman beberapa pihak termasuklah dari Pakatan Rakyat, dari Dato' Ambiga yang mewakili BERSIH dan dari Gabungan lebih 50 NGO #SuaraRakyat505 yang telah memilih 15 Jun 2013 sebagai tarikh kemuncak satu lagi perhimpunan raksasa di Kuala Lumpur. SAMM akan menggerakkan seluruh kekuatan mobilisasi ke arah perhimpunan kemuncak #Blackout505 15 Jun.

Padang Merbok yang dipilih sebagai venue terletak di antara Dataran Merdeka dan Parlimen Malaysia, harus menjadi lokasi yang sangat ideal untuk rakyat berhimpun kali ini. Kedudukan Padang Merbok juga memberi signifikasi yang tepat dalam soal rakyat merebut kembali demokrasi yang dicuri oleh penyangak kuasa.

Sepertimana Dataran Merdeka, Padang Merbok merupakan premis yang dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Jika Bersih 3.0 Dataran Merdeka tidak dibenarkan masuk, maka tidak mustahil Padang Merbok juga mendapat tentangan yang sama dari DBKL. Namun yakinlah, rakyat tetap akan hadir berhimpun memenuhi Kuala Lumpur dan percayalah bahawa tiada entiti yang mampu menghalang kuasa rakyat walaupun pemerintah itu sendiri.

Bagi SAMM, jika perhimpunan sebelum PRU-13 sebagai amaran untuk pilihanraya bersih dan adil menyaksikan peserta demo datang dan pulang mengikut waktu yang ditetapkan, maka himpunan pasca PRU-13 seharusnya lebih dari itu. Peserta demonstrasi harus sedia bukan sahaja untuk turun ke jalanraya, malah untuk datang dan tidak pulang selagi SPR tidak letak jawatan atau dipecat, ini harus menjadi tuntutan paling minima pada aksi tersebut.

Kita berhimpun masih secara aman, bezanya kita terus berhimpun hingga tuntutan rakyat dicapai secara langsung. Biarlah ia mengambil masa samada 24jam atau 48jam, atau sehingga hari parlimen angkat sumpah, kali ini wajar untuk rakyat terus duduk dan bantah.

Akhir sekali, SAMM menyeru kepada semua pihak khususnya media supaya membantu promosi dan kepada semua penggerak agar memperhebatkan mobilisasi bagi memastikan 15 Jun menjadi sejarah baru simbol kekuatan sebenar rakyat. 15 Jun adalah hari di mana rakyat berjuang menuntut hak demokrasi dikembalikan.

Tipu pilihanraya, rakyat turun jalanraya dan perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata!


EDY NOOR REDUAN
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tuesday, May 21, 2013

PESTA RAKYAT TUNTUT KEMBALIKAN DEMOKRASI 505 - 25 Mei 2013


Hampir 50 pertubuhan bukan kerajaan (non-government organization) telah mengambil ketetapan bagi penubuhan sebuah gabungan yang mewakili suara seluruh rakyat Malaysia yang membantah penipuan dan penyelewengan dalam pilihanraya Umum ke-13 pada 5 Mei yang lalu. Gabungan NGO-NGO ini dinamakan sebagai “Suara Rakyat 505” sebagai wadah perjuangan bagi membangkitkan segala isu yang berlaku dalam PRU13 lalu. Dipercayai lebih banyak NGO akan menyertai gabungan ini.

Rakyat telah memberi amaran sebelum bermula kempen PRU13 yang lalu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu bersikap telus dan adil dalam menguruskan pilihanraya Malaysia. Rakyat telah memberi peluang kepada SPR sebagai badan yang bertanggungjawab mengurus pilihanraya secara bersih dan berintergriti, kerana ketika itu rakyat masih yakin pilihanraya adalah saki-baki demokrasi untuk membuat perubahan (pertukaran kerajaan). Pelbagai tuntutan telah dibuat oleh rakyat termasuk melalui siri-siri himpunan bagi memastikan pilihanraya Malaysia berjalan dengan adil dan saksama tanpa ada unsur manipulasi dan penipuan. Namun akhirnya PRU13 menjadi medan penipuan paling besar yang menafikan kemenangan rakyat. Lebih malang, ia dibantu SPR.

SPR dengan jelas telah diperalat oleh pemerintah apabila bertindak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertahan kemenangan pemerintah terdahulu walaupun ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan SPR adalah sebuah badan bebas dalam keabsahan kerajaan belum lagi mengambil tempat.

Seruan SPR supaya pihak yang kalah hanya akur kepada keputusan yang telah diumumkan walaupun bukti penyelewengan PRU13 sudah semakin jelas dan semakin banyak bukti terkumpul melalui proses semakan akhir sebelum dibuat bantahan termasuk petisyen ke mahkamah. Ini menggambarkan sikap kontra dan tidak profesional SPR yang sepatutnya menerima segala aduan dan bukti daripada calon dan parti yang bertanding.

Atas faktor tersebut, kami tegaskan bahawa "Suara Rakyat 505" mengambil pendirian bersama bagi menyatakan dan menjulang hasrat rakyat terhadap perjalanan dan proses pilihanraya dalam sistem demokrasi di Malaysia yang bersih dan adil. Kami telah bersepakat untuk mengadakan sebuah pesta himpunan rakyat besar-besaran untuk merampas kembali demokrasi rakyat Malaysia yang telah dicuri dalam PRU-13, berteraskan TIGA tuntutan utama berikut;

1. SPR Letak Jawatan
Mendesak supaya Pengerusi dan ahli Jawatankuasa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) keseluruhannya meletakkan jawatan serta-merta disebabkan kegagalan dalam menguruskan pilihanraya ke-13 secara telus dan menyerahkan pemilihan SPR yang baharu kepada kuasa Parlimen melalui persetujuan rakyat secara majoriti, Pembubaran SPR yang cuma bertaraf kakitangan dibawah Jabatan Perdana menteri akan memberi ruang membentuk SPR yang lebih bebas dan berintegriti yang diletakkan dibawah parlimen malaysia dan dipilih keanggotaannya melalui proses pendengaran awam agar anggota yang dipilih benar-benar dari kalangan yang diyakini rakyat.

2. Pilihanraya Semula di kawasan yang terbukti kecurangan pilihanraya.
Mendesak supaya diadakan pilihanraya semula di kawasan yang terbukti wujudnya penipuan tanpa mengira logo parti sama ada Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat.

3. Sokong Tribunal Rakyat
Menyokong sepenuhnya penubuhan Tribunal Rakyat sepertimana yang dituntut oleh Gabungan BERSIH bagi mendedahkan segala bukti-bukti dan penyiasatan terhadap PRU13 kepada umum. Menggesa semua agensi dalam negara agar memberikan kerjasama penuh terhadap tribunal ini.

Gabungan Suara Rakyat 505 kali ini berharap agar sistem demokrasi Malaysia diserahkan kembali kepada rakyat secara keseluruhannya memandangkan berlakunya salahguna kuasa oleh badan yang bertanggungjawab sebelum ini. Justeru "Suara Rakyat 505" sebulat suara menggerakkan ‘HIMPUNAN BANTAH PENIPUAN PRU13’ secara besar-besaran bagi menyuarakan perkara ini dan memilih 25 Mei 2013 (Sabtu) sebagai tarikh himpunan. Kami menjemput rakyat seluruh negara untuk turun ke Kuala Lumpur berpakaian HITAM dengan tema; Duduk dan Bantah sehinggalah tuntutan rakyat dipenuhi.

Himpunan mega kali ini akan bermula petang dan berpusat di Padang berdepan dengan Amcorp Mall.

Pihak pemerintah telah mengatakan himpunan ini adalah berupa 'Arab Spring' dan telah menyebut ia sebagai 'Malaysian Spring', namun kami Suara Rakyat 505 tetap menegaskan tiada agenda 'Malaysia Spring' atau rampasan kerajaan akan berlaku. Sebaliknya, rakyat harus bangkit mencari kembali demokrasi yang telah digelapkan pada pilihanraya 5 Mei lalu.

Gabungan Suara Rakyat 505 menyeru pendokong-pendokong prinsip keadilan dan seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama turun bersolidariti bagi menyatakan kebersamaan terhadap tuntutan rakyat kali ini tanpa mengira perbezaan latar belakang bangsa, agama mahupun pegangan politik masing-masing. Hasrat rakyat terbesar adalah melawan segala bentuk penipuan yang telah mencemarkan sistem demokrasi di Malaysia tercinta!


Disediakan oleh ;

Gabungan #SuaraRakyat505

Yang dianggotai oleh NGO ;

1. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)
2. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
3. Tindak Malaysia
4. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
5. Parti Sosialis Malaysia (PSM)
6. Parti Rakyat Malaysia (PRM)
7. Gabungan Menuntut Royalti ®
8. Asalkan Bukan Umno (ABU)
9. Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)
10. Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT)
11. Gabungan Tanah Rakyat (TANAH)
12. Kill The Bill
13. Malaysian For Beng Hock
14. Mama Bersih
15. Kelab Bangsar Utama
16. Radio Bangsar Utama (RABU)
17. Mahasiswa Keadilan Malaysia
18. Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI)
19. Malaysia Youth and Students Democratic Movement (DEMA)
20. Indipendent Student Front (INSTEF)
21. University Malaya Association Of New Youth (UMANY)
22. Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH)
23. Gabungan NGO Pengerang
24. Angkatan Pembebasan Bangsa (APB)
25. Gabungan Mahasiswa Islam seMalaysia (GAMIS)

26. Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independent (KAMI)

27. Pro-Mahasiswa Nasional Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI)

28. Pertubuhan Kemajuan dan Kebajikan Rakyat Selangor (Pro-Rakyat)

29. Angkatan Rakyat Muda (ARM)

30. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)

31. Unit Ehsan Malaysia
32. Anwar Ibrahim Club (AIC)
33. Agent of Change (AoC)
34. Revolusi Anak Muda Malaysia (RAMM)
35. Kami Anak Muda Menenatang Umno (K.A.M.U)
36. Gagasan Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT)
37. Pertubuhan Kebajikan Rakyat Perlis (PKR Perlis)

38. Kumpulan Aktivis Media Independent (KAMI)

39. Gabungan NGO Kelantan
40. Solidariti Anak Bachok Daratkan Minyak (CABAR)

41. Majlis Permuafakatan Kampung Warisan KL/Selangor (MUAFAKAT)

42. Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Hak Pendaratan Minyak dan Gas Ke Kelantan (ROYALTI)
43. Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT)
44. Gabungan Menuntut Royalti Terengganu (R Terengganu)
45. Selamatkan Teluk Rubiah
46. Selamatkan Pantai Port Dickson
47. Selamatkan Pasar Payang
48. Jaringan Sepadu Rakyat Malaysia (SEPADU)
49. Angkatan Warga Aman Malaysia (Warga AMAN)‪
50. Malaysian Indians Progressive Association (MIPAS)‪
51. Federation of Malaysian Indian Organisation (PRIMA)‪
52. Malaysian Indians Transformation Action Team (MITRA)
53. Angkatan Nasional India Malaysia (AGNI)