Wednesday, September 4, 2013

Minyak naik: ‘Pengundi Umno’ paling teruk terjejas

Di sebalik alasan kerajaan menaikkan harga minyak untuk mengukuhkan ekonomi negara dan merasionalkan subsidi, pada hakikatnya ia adalah beban yang dihempab ke kepala rakyat yang berpendapatan rendah.

Ini disebabkan akibat kenaikan harga minyak RON95 dan diesel 20 sen seliter yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkuatkuasa tengah malam tadi, sudah pasti akan mendorong melambungnya harga barangan yang telah sedia tinggi dalam tempoh terdekat.

Ini tidak dapat dielakkan kerana minyak merupakan kos asas kepada pengangkutan semua barangan.

Pekebun kecil Ahmad Mat Yaman, berkata golongan rakyat yang bergantung hidup dengan pertanian sepertinya akan paling banyak menerima kesan kerana
sudah pasti sewa lori untuk mengangkut buah sawit dan getah akan naik.

“Apabila kos asas itu naik, upah tenaga kerja juga akan naik, sewa jentera berat akan naik dan ini tidak dapat dielakkan kerana itu sajalah pilihan yang ada.

“Pada ketika ini pula harga sawit dan getah jatuh merundum. Kos kehidupan kami akan meningkat pula selepas ini akibat kenaikan harga barang akan menanti,” katanya.

Tambahnya, kerajaan sepatutnya menyedari bahawa golongan petani yang berada di luar bandar dan Tanah Rancangan Felda yang akan terjejas teruk selepas ini merupakan kumpulan besar yang menyumbang kepada kemenangan BN pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Bagi Shaharuddin Salleh, kenaikan harga barang hampir pasti tidak dapat dielakkan berdasarkan pengalaman lalu sebaik sahaja kenaikan harga minyak, walaupun pihak kerajaan cuba mengawal.

“Dengan harga barang yang sememangnya sudah sedia tinggi, sudah tentu akan menjejaskan perbelanjaan harian rakyat sekali gus meningkatkan kos hidup.

“Saya masih ingat dalam Manisfesto BN pada PRU yang lalu berjanji untuk turunkan harga kereta. Setelah empat bulan, bukan saja harga kereta tak turun harga minyak pula yang naik”, katanya.

Tambahnya lagi, bagi syarikat-syarikat bas dan pemandu teksi juga akan mengalami kekurangan pendapatan jika tambang kekal dengan harga sedangkan untuk sebarang kenaikan perlukan kelulusan kerajaan.

Dalam pada itu, Nizam Hamid berkata beliau hairan bagaimana harga minyak dinaikkan sedangakan harga minyak dunia turun pada ketika ini.

“Harga minyak dunia jatuh, jadi tidak ada justifikasi menaikkan harga minyak jika didasarkan kepad harga minyak dunia. Jadi saya percaya kenaikkan harga minyak disebabkan merudumnya nilai Ringgit Malaysia yang membimbangkan kebelakangan ini.

“Nilai wang kita yang merudum ini antaranya disebabkan salah urus ekonomi, ketidakcekapan dan hutang yang tinggi. Jadi istilah rasionalisasi yang digunakan Perdana Menteri tidak lebih sekadar retorik untuk mengelabui mata rakyat sekaligus menjustifikasi tindakan. Hakikatnya salah urus ekonomilah penyebab utama,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment