Sunday, September 8, 2013

Kakitangan awam tak setuju Presiden Cuepas sokong minyak naik

Kakitangan awam terkejut dengan tindakan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman yang menyokong tindakan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen baru-baru ini.

Bagi beberapa kakitangan awam yang ditemui, tindakan menaikkan harga minyak akan tetap memberi kesan ketara kepada kenaikan kos hidup berpanjangan walaupun cuba ditutup dengan kenaikan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM).

Menurut mereka, selain daripada kenaikan harga barang pasti akan menyusahkan ialah akan meningkat pula kos tambang kenderaan dan harga rumah ekoran kenaikan harga minyak.

Omar dalam satu kenyaataannya di Seremban yang disiarkan akhbar, berkata Cuepacs menyokong tindakan kerajaan yang menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen, sekiranya memberi faedah kepada rakyat untuk masa hadapan seperti BRIM.

Katanya, beliau menyokong kenaikan minyak sekiranya kerajaan mengambil langkah memberi manfaat kepada rakyat dalam bentuk lain, seperti pemberian BRIM yang berganda iaitu daripada RM500 kepada RM1,000 juga bantuan lain kepada rakyat.

Omar berpendapat kerajaan mengurangkan subsidi minyak dengan peruntukan itu dikembalikan semula kepada rakyat, tidak kira dalam apa jua bentuk.

Seorang guru Mohamed Abdul Rahman mempersoalkan rasional di sebalik sokongan Presiden Ceupacs itu sedangkan ia jelas tidak menguntungkan pekerja-pekerja perkhidmatan awam.

Katanya, ramai dalam kalangan pekerja perkhidmatan awam yang tidak mendapat BRIM yang hanya diberikan setahun sekali sedangkan harga barang keperluan dikatakan boleh naik setiap hari tambahan selepas diumumkan kenaikan harga minyak ini.

“Sepatutnya sesebuah kesatuan untuk menjaga kebajikan ahli-ahli kesatuan… disebabkan minyak naik, maka barang harian yang lain pun turut sama naik... jadi fikir-fikirkanlah apabila mengeluarkan kenyataan.

“Lebih baik Omar menumpukan desakan-desakan kakitangan awam selama ini seperti kenaikan gaji, bonus, tuntutan perjalanan… sekarang ini sesuatu claim pun nak kena tunggu 5 ke 6 bulan baru dapat,” ujarnya.

Tambahnya, paling menakutkan kakitangan awam sepertinya ialah kenaikan harga rumah yang sememangnya sudah sedia mahal, seperti diumumkan di akhbar semalam.

Kelmarin Presiden Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Datuk Seri Michael Yam Kong Choy kenaikan harga rumah sekurang-kurangnya 10% dalam masa terdekat berikutan kenaikan 20 sen harga petrol RON95 dan diesel.

Bagi Mohd Bazli Dzulkafli pula, walaupun beliau ahli Cuepacs, tetapi tidak bersetuju dengan presidennya yang menyokong kenaikan harga minyak.

“Saya amat terkejut dengan kenaikan mendadak seperti ini tambahan lagi apabila diberitahu rasionalnya untuk menyelamatkan ekonomi negara. Sedangkan pengumuman rasmi kerajaan mengatakan ekonomi berada dalam keadaan amat baik dan mampu melaksanakan semua aku janji pilihan raya BN.

“Seingat saya kerajaan pernah memberi jaminan akan mengadakan perbincangan dengan pihak terlibat terlebih dulu sebelum diumum,” katanya.

Tambahnya, apa yang diperhatikan kenaikan yang diumum Perdana Menteri dua hari lalu amat ganjil sehinggakan menteri yang bertanggungjawab sendiri menafikannya pada peringkat awal.


Dalam pada itu Mohd Rizuan Kamaruddin berkata, ada baiknya sekiranya Omar mendapatkan terlebih dahulu pendapat kakitangan sebelum secara semberono menyokong.

“Eloknya Datuk Omar menyenaraikan senarai kebaikan yang diperolehi oleh rakyat ekoran kenaikan minyak seperti pandangannya itu. Sebagai presiden sebuah Kesatuan yang mempunyai kredibiliti yang tinggi, beliau seharusnya bercakap dengan fakta yang tepat dan kukuh.

“Ada kemungkinan kenaikan harga minyak akan dijadikan alasan untuk minta kenaikan gaji, tetapi rakyat tidak makan gaji atau tidak kerja dengan kerajaan bagaimana pula?“ soalnya.

Katanya, kenaikan harga minyak sehingga menyusahkan rakyat boleh menyebabkan penyakit sosial seperti peningkatan kes jenayah, kadar kemiskinan dan bermacam-macam hal lagi boleh berlaku akibat beban hidup rakyat jika sudah tidak tertanggung.

No comments:

Post a Comment