Thursday, June 30, 2016

Bauksit: Susulan lanjutan dua bulan lagi moratorium

Susulan daripada itu Adun Beserah Andansura Rabu menganggap ia satu langkah yang baik demi memperbaiki keadaan. Dengan itu semua stockpile bauksit perlu dikeluarkan darapada kawasan pelabuhan serta kerja-kerja pembersihan perlu dilakukan.

Andan yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, pada masa yang sama, pihak kerajaan mesti mengumumkan langkah-langkah yang bakal diambil bagi mengelakkan sebarang gangguan berlaku selepas daripada tarikh 14 September ini.

Katanya, pihak kerajaan juga mesti memaklumkam kepada orang ramai lokasi penyimpanan yang dicadangkan serta laluan-lauan yang bakal digunakan nanti.

"Orangramai tidak mahu kejadian pencemaran alam sekitar serta gangguan lalu lintas yang tidak terkawal berulang semula. Selain daripada itu kerja-kerja membaikpulih jalan-jalan yang rosak juga perlu diselesaikan dalam tempoh dua bulan ini.

Tuesday, June 28, 2016

Harbi: Mufti Pahang tidak tarik balik, mohon maaf

KUANTAN: Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman hari ini menegaskan beliau tidak akan menarik balik kenyataannya atau meminta maaf kepada DAP berhubung kenyataannya sebelum ini yang didakwa melabelkan parti itu tergolong dalam kalangan kafir harbi

Beliau menjelaskan kenyataannya sebelum ini tidak merujuk kepada DAP, tetapi kepada sesiapa sahaja yang menentang Islam boleh diistilahkan sebagai pemikiran kafir harbi iaitu cuba hendak memerangi umat Islam dan agama Islam.

"Saya tidak akan meminta maaf dan menarik balik apa yang saya katakan ini. Apa yang saya cakap itu bukan khusus kepada DAP sahaja, kepada semua yang menentang Islam.

"Asas yang saya bagi tahu kepada akhbar itu (Utusan Online) dalam bentuk semua, namun kalau mereka kata (tulis) DAP pun tidak salah, sesiapa pun yang menentang Islam jika mereka tulis tidak salah," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyifatkan kenyataan Mufti Pahang itu keterlaluan dan tidak boleh diterima kerana DAP tidak pernah menentang Islam.

Sehubungan itu, beliau mahu Abdul Rahman menarik balik kenyataan berkenaan dan memohon maaf.

-- BERNAMA

Monday, June 20, 2016

AMATAN PASCA PRK: CERAH BUAT PAS, MALAP BUAT BN, GELAP BUAT PH

1. CUBAAN PERTAMA TIGA PENJURU

Kedua-dua PRK kali ini adalah cubaan kali pertama di semenanjung untuk pola politik baru negara. Pertandingan tiga penjuru yang benar-benar tiga penjuru. Walaupun semasa PRU13 lalu ia telah berlaku di beberapa kerusi, namun blok politik masih dalam konsep dwiparti.

Dari keputusan PRK, nampaknya bentuk sebegini amat positif terutama bagi parti yang teguh berjuang atas dasar dan prinsip masing-masing. Mereka tidak perlu berkira-kira untuk melonggarkan prinsip atau menipu pengundi semata-mata meraikan pakatan. Jangan bimbang soal membentuk kerajaan kerana pakatan tidak semestinya berlaku sebelum pilihanraya sahaja!

2. KEPUTUSAN DUA PRK SEKATA

Bacaan trend pengundian dilihat sama antara kedua PRK ini. Walaupun pecahan kaum agak berbeza, tetapi dari sudut yang lain ia memberikan banyak persamaan seperti bilangan keluar mengundi dan undi mengikut kaum.

Ini sedikit sebanyak boleh memberi gambaran umum bagaimana trend politik semasa rakyat Malaysia. Jika diadu dengan keputusan PRN Sarawak yang baru sahaja selesai, mudah untuk mana-mana parti melakukan muhasabah dan mencatur gerak untuk menghadapi PRU14.

3. TIADA FAKTOR CALON

Faktor calon tidak begitu memberi kesan. Pemilih lebih melihat kepada perjuangan parti. Perkara ini berada dalam status quo. Ini biasa berlaku di kawasan parlimen dan juga kerusi campuran.

Keadaan ini memudahkan semua parti menjelang PRU14. Yang berpakat boleh terus berbincang soal pembahagian kerusi tanpa menilai wibawa setiap calon. Tetapi barang diingat, ini hanya terpakai pada kawasan kerusi campuran.

4. BN MENANG TAPI MENURUN

Sekali pandang, BN menang besar kali ini dengan majoriti yang tersangat tinggi. Tetapi jika dihitung campuran undi dua pembangkang ditambah sedikit faktor pecah undi, sokongan terhadap BN boleh dikatakan statik sahaja. Undi BN nyata menurun kira-kira 2000 undi, berbanding PRU13 walhal PRK biasanya adalah lauk BN.

Perpecahan pembangkang tidak memberi nilai tambah yang ketara buat BN. Sokongan terhadap kepimpinan Najib masih tidak pulih. BN masih tidak boleh selesa terutama jika pembangkang menjumpai solusi untuk mengubat persepsi terhadap mereka.

5. PAS RAMPAS UNDI BN

Sebahagian undi BN adalah dari masyarakat cina yang mula beralih dari Dap. Dengan jumlah undi keseluruhan BN yang menurun, ini bermakna sokongan melayu terhadap BN telah pergi kepada PAS dan diganti oleh cina.

Ini boleh dilihat melalui setiap peti undi. Di kawasan Cina, 50% dimiliki PH dan 50% lagi dimiliki BN. Kawasan melayu pula, 50% diperoleh BN dan 50% dimiliki PAS. Melayu sangat tidak berminat kepada PH.

BN patut memikirkan lebih jauh terutama di kawasan majoriti melayu intelek yang tidak boleh digula-gulakan. Potensi PAS untuk menguasainya adalah sangat tinggi sekiranya PRU dilambatkan seperti sedia kala.

6. PH PARTI CINA

Angan-angan PH untuk kuasai negara boleh dilupakan. Ini kerana mereka hanya mendapar sokongan kaum minoriti sahaja di Malaysia. Itupun sudah menurun drastik. Sedangkan undi teras di Malaysia adalah dari kaum melayu.

Faktor BN boleh memerintah sehingga hari ini adalah kerana menguasai undi melayu walaupun pernah hilang hampir 100% undi bukan melayu. Malangnya hakikat ini masih sukar difahami politikus PH.

7. PAN TUNGGUL KAYU

Nyata kemunculan Pan tidak berjaya menggantikan peranan PAS dalam PR suatu ketika dulu. Undi melayu masih diantara BN dan PAS sahaja. Dap boleh lupakan Pan mulai sekarang kerana mereka tidak memberi apa-apa nilai tambah kepada PH.

Terserah jika Pan masih mahu berusaha. Tetapi adat politik Malaysia, parti serpihan sebegini hanya beri kesan untuk tempoh yang sebentar sahaja, itupun sebagai tunggangan parti besar buat sementara waktu sahaja.

8. PH TERJEJAS TERUK

PH yang bergantung penuh kepada sokongan cina tidak lagi boleh duduk diam. Jika dahulu mereka memiliki sokongan hampir 90% masyarakat Tiong Hua, kali ini menurun hingga ke 50% sahaja. Perkara sama berlaku di Sarawak dalam PRN baru-baru ini. Dijangka akan terus menyusut ekoran beberapa isu urustadbir Dap di Penang dan lain-lain.

Nampaknya taktik menguasai pengundi melalui sentimen Islamophobia tidak begitu berkesan. Tiong Hua yang celik lebih mengambil cakna soal kecekapan urustadbir dan maslahah ekonomi mereka. Mereka lebih percaya kepada persatuan-persatuan peniaga, kebajikan dan pendidikan mereka lebih dari tipudaya politikus.

9. PH PENGACAU POLITIK

Sepatutnya kewujudan PH dalam politik Malaysia yang selama ini hanya mengenali PAS dan Umno mampu untuk memberi impak signifikan untuk menumbangkan BN. Malangnya mereka tidak berjaya menyentuh sedikitpun undi Umno. Lebih malang apabila kewujudan mereka hanya untuk berebut undi dengan PAS sahaja.

Mereka langsung tidak mahu tunduk menyokong sahaja PAS yang sudah lama bertapak. Malah sikap PAS yang merendah diri menerima mereka sebagai rakan akhirnya dipijak kepala. Nyatalah apa warna PH selama ini. Samada gila berkuasa, talibarut BN atau semenangnya bodoh berpolitik.

10. PH DITAKUK LAMA

Mereka tidak boleh pergi lebih daripada trend 2008. Seolah telah mati akal untuk mencari formula baru bagi menambah sokongan. Kononnya menganggap dengan mengekalkan status quo boleh meningkatkan sokongan sebaliknya merudum pula.

Dengan dakwaan mewakili kelompok profesional, PH sepatutnya mencipta idea-idea baru untuk mewarnai trend politik Malaysia, bukan hanya muncul bercakap soal salah laku kerajaan sepanjang masa. Profesional mereka hanya jadi pembaca berita sahaja bukan sebagai jurutera masadepan negara. Sedangkan PAS pula walaupun dituduh jumud dan parti Pak Lebai, sudah bercakap perkara tersebut berpuluh tahun lalu sejak mereka masih ditipu BN lagi. Kini PAS sudah mula meninggalkan fasa itu untuk bergerak setapak lagi sebagai penyelesai masalah pula.

11. HUDUD BAHAN POLITIK

Sepanjang kempen PRK, PH jelas mempergunakan agama untuk politik walaupun PAS telah nyatakan RUU 355 bukan hudud. Ia hanya soal naiktaraf bidangkuasa mahkamah syariah. Pindaan sebegini sudah berlaku zaman 90an dahulu dan bukan perkara pelik dari sudut perundangan.

Mereka bercakap di hadapan audiens bukan Islam isu ini walhal tiada kaitan sedikitpun dengan mereka. Nyata ia menjadi alat untuk memburukkan Islam secara halus. Dasar politik machiavelli, sanggup mengenepikan agama demi politik.

Namun PAS tidak peduli dan tetap bawa usul RUU sehingga dibaca. Ini menunjukkan PAS tidak sedikitpun bimbang soal sokongan kerana yang lebih mustahak adalah soal martabat agama, bukan semata-mata politik.

12. ISU NASIONAL TAK MAIN PERANAN

Kesilapan PH adalah banyak berceramah isu-isu nasional tanpa menyentuh isu setempat. Mereka juga tidak ada tokoh tempatan yang lebih dekat dengan rakyat. Semuanya mengharap tokoh luar. Walaupun isu yang dibawa sangat besar dan merugikan kerajaan, tetapi ia tidak mempengaruhi rakyat.

Rakyat perlukan pemimpin yang kenal mereka dan mereka kenal pemimpin. Rakyat tidak sempat berfikir soal jet atau 1MDB. Mereka lebih terkesan dengan isu setempat, isu harga barang, masalah JKKK, perparitan, prasarana kampung dan sebagainya.

13. MAHATHIR TUTUP BUKU

Nampaknya tidak ada apa yang boleh dibanggakan lagi kepada Mahathir. Menyatakan sokongan kepada PH pun tidak boleh berbuat apa. Sedarlah orang BN tidak wala' kepada individu walau sehebat manapun jasa dan namanya.

Bagi yang terhegeh gilakan sokongan dari Mahathir, ingatlah kembali tegasan Presiden PAS, usaha kalian itu hanya sia-sia sahaja. Kalau alergik dengan kebenaran dari PAS sekalipun, sekurang-kurangnya renunglah kembali warkah dari penjara.

14. ANALISA AWAL PAKAR POLITIK TERSASAR

Sebelum PRK, ramai menjangka PAS akan jadi parti tercorot dan hilang pengaruh. Perkara ini disebut ramai pensyarah, pengulas, peramal dan pakar politik.

Hakikatnya apa yang disebut sekadar bersifat omongan kosong. Ataupun mereka memainkan peranan sebagai spekulator atau pencipta persepsi. Mereka tidak jujur dengan profesionaliti yang ada apabila bercakap tanpa statistik dan fakta.

Terdahulu mereka pernah buat ramalan untuk pemilihan PAS dan PAS pasca muktamar. Nyata semua itu tersasar. Rekod-rekod ini menunjukkan ulasan mereka ini tidak boleh lagi diterima untuk akan datang. Tidak keterlaluan jika saya nyatakan ulasan politikus BN lebih tepat dari mereka.

15. WAJAH BARU PAS DITERIMA

Undi PAS dalam PRK ini hapir sama dengan kedudukan seperti tahun 2004, sewaktu tanpa koalisi Dap. Ini menunjukkan undi teras PAS tidak tergugat. Satu petanda baik bagi PAS yang sedang mencuba pendekatan baru seperti BPMS dan blok ke-3. Penyokong PAS menerima baik perkara ini. Tuduhan bahawa PAS kini mengelirukan awam dan tersasar dari perjuangan adalah jauh dari realiti.

Kerja bertambah mudah apabila hanya perlu memahamkan atas pagar sahaja. BPMS dan Blok ke-3 masih di peringkat permulaan. Keputusan PRK ini amat positif untuk PAS meneruskan strategi ini hingga ke kemuncaknya.

16. KEKUATAN SEBENAR PAS

Walaupun PAS bersendirian, jika dibanding dengan gabungan tiga parti dalam PH, undi yang diperoleh sekata. Ini bermakna PAS menyumbang hampir 50% kekuatan PR selama ini. Nyata tanpa PAS PH tiada apa-apa. PH perlu terima hakikat yang pahit ini.

Sedikit masa lagi PAS akan jadi parti termahal nilainya di Malaysia. Masing-masing akan berusaha merebut PAS sebagai rakan koalisi. Waktu inilah PAS boleh jual mahal, dengan mensyaratkan koalisi mestilah membenarkan PAS dengan cita-cita Islamnya.

ISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN

(Alang Ibn Shukrimun)

Wednesday, June 1, 2016

Alam sekitar: Pahang perlu anjakan baru pengurusan hutan

KUANTAN: Pengakuan Menteri Besar Pahang Dato’ Seri Adnan Yaakob bahawa kerajaan Pahang tidak pernah mengabaikan aspek pemuliharaan alam sekitar di negeri ini termasuk soal penjagaan hutan dan Taman Negara, menarik perhatian ramai.

Beliau membuat penegasan demikian pada sesi penggulungan hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-13 di Wisma Sri Pahang di sini, Selasa lalu.

Umum pula berterusan memberi komen, disebabkan sebelum ini isu-isu alam sekitar di Pahang sering kali menjadi perhatian dan tajuk utama yang dibahaskan umum terutamanya di media.

Sebagai contoh, sebelum ini pernah meletus tragedi tanah runtuh yang mengorbankan nyawa akibat pencerobohan hutan di Cameron Highland. Begitu juga tanah runtuh di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Lentang tahun lalu, yang jelas akibat daripada penebangan hutan.

Cerita pembalakan besar-besaran di Hulu Tembeling dan berhampiran Taman Negara pula, bagaikan tidak pernah pernah tamat. Setiap kali isu ini didedahkan media, akan ada pula sindrom penafian daripada pihak tertentu. Namun ceritanya tidak pernah habis.

Begitu juga dengan pelombongan besi berhampiran Tasik Chini sehingga dikatakan mengubah wajah tasik lagenda itu mengakibatkan aktiviti pelancongan terjejas teruk di situ.

Apa lagi isu bauksit di Kuantan (kini memasuki fasa kedua moratorium) yang menimbulkan kontroversi kerana dikaitkan sungai dan laut bertukar merah selain faktor kesihatan sehingga memaksa campur tangan menteri.

Yang terbaru ialah isu Sungai Pahang hampir kontang yang selain daripada kesan El Nino, ia turut dikaitkan kegagalan mengenal pasti zon penampan serta penebangan balak di kawasan tadahan sehingga terjadi fenomena pasir hanyut sejak bah besar awal tahun lalu.

Ertinya isu-isu alam sekitar di Pahang bukanlah kes terpencil.

Dalam isu pembalakan, Adnan berkata, sejak dilantik menjadi menteri besar, beliau sendiri mengambil inisiatif untuk mewartakan 300,000 hektar kawasan tadahan air di Pahang dan memperluaskan zon penampan dalam rizab Taman Negara dari keluasan 500 meter kepada 1.5 kilometer.

Namun pada masa yang sama, beliau mengakui dan turut bersedih kerana kegiatan pembalakan dilakukan di negeri ini tidak seiring dengan aktiviti penanaman semula pokok hutan yang telah ditebang.

"Alam sekitar memang penting untuk kita jaga dan ia bermula dari hutan. Hutan adalah asas segalanya-segalanya dan saya pun rasa sedih kerana kita banyak bawa keluar balak untuk ambil hasil sedangkan aktiviti penanaman semula perlahan.

"Sepatutnya penanaman semula ini bukan sekadar dengan melakukan ladang hutan, tetapi kawasan yang ditebang itu perlu ditanam balik dengan pokok yang ditebang," katanya.

Selain sistem tanam semula, Adnan juga mengakui terdapat perkampungan yang didirikan di kawasan rizab, justeru beliau telah meminta Jabatan Hutan mengkaji semula keluasan zon penampan di Taman Negara, terutama di kawasan Hulu Tembeling.

Ertinya jika Adnan selaku pemimpin nombor satu negeri ini menampakkan komitmen dalam isu alam sekitar, justeru di manakah kelemahannya selama ini? Apakah ia disebab kelembapan pihak penguatkuasa?

Katanya jika semua pihak yang terlibat dapat mematuhi syarat yang ditetapkan dan masalah tidak akan timbul dan beliau yakin jika kegiatan penanaman semula dilakukan dengan efisien, ia dapat membekalkan hasil yang sama dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Adnan juga berkata, kerajaan sentiasa terbuka dengan cadangan mana-mana pihak dalam usaha menambah baik pengurusan hutan di negeri ini.

Berkenaan perkembangan isu bauksit, Adnan berkata kerajaan negeri masih dalam proses menyediakan prosedur operasi standard lengkap selain memastikan kejadian pencemaran tidak berulang.

Bagi Adun Beserah Andansura Rabu, Pahang memerlukan satu anjakan besar dalam pengurusan hutan dan aktiviti pembalakan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Pengerusi Lajnah Alam Sekitar itu berkata, selain daripada komitmen yang tinggi oleh kerajaan, pihak yang terlibat dengan aktiviti pembalakan juga perlukan komitmen tinggi yang sama.

Katanya, jika tidak ada sebarang perubahan penguatkuasaan dan penglibatan daripada semua pihak, maka apa yg dinyatakan oleh menteri besar itu hanyalah satu slogan yang retorik semata-mata.