Wednesday, June 1, 2016

Alam sekitar: Pahang perlu anjakan baru pengurusan hutan

KUANTAN: Pengakuan Menteri Besar Pahang Dato’ Seri Adnan Yaakob bahawa kerajaan Pahang tidak pernah mengabaikan aspek pemuliharaan alam sekitar di negeri ini termasuk soal penjagaan hutan dan Taman Negara, menarik perhatian ramai.

Beliau membuat penegasan demikian pada sesi penggulungan hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-13 di Wisma Sri Pahang di sini, Selasa lalu.

Umum pula berterusan memberi komen, disebabkan sebelum ini isu-isu alam sekitar di Pahang sering kali menjadi perhatian dan tajuk utama yang dibahaskan umum terutamanya di media.

Sebagai contoh, sebelum ini pernah meletus tragedi tanah runtuh yang mengorbankan nyawa akibat pencerobohan hutan di Cameron Highland. Begitu juga tanah runtuh di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) berhampiran Lentang tahun lalu, yang jelas akibat daripada penebangan hutan.

Cerita pembalakan besar-besaran di Hulu Tembeling dan berhampiran Taman Negara pula, bagaikan tidak pernah pernah tamat. Setiap kali isu ini didedahkan media, akan ada pula sindrom penafian daripada pihak tertentu. Namun ceritanya tidak pernah habis.

Begitu juga dengan pelombongan besi berhampiran Tasik Chini sehingga dikatakan mengubah wajah tasik lagenda itu mengakibatkan aktiviti pelancongan terjejas teruk di situ.

Apa lagi isu bauksit di Kuantan (kini memasuki fasa kedua moratorium) yang menimbulkan kontroversi kerana dikaitkan sungai dan laut bertukar merah selain faktor kesihatan sehingga memaksa campur tangan menteri.

Yang terbaru ialah isu Sungai Pahang hampir kontang yang selain daripada kesan El Nino, ia turut dikaitkan kegagalan mengenal pasti zon penampan serta penebangan balak di kawasan tadahan sehingga terjadi fenomena pasir hanyut sejak bah besar awal tahun lalu.

Ertinya isu-isu alam sekitar di Pahang bukanlah kes terpencil.

Dalam isu pembalakan, Adnan berkata, sejak dilantik menjadi menteri besar, beliau sendiri mengambil inisiatif untuk mewartakan 300,000 hektar kawasan tadahan air di Pahang dan memperluaskan zon penampan dalam rizab Taman Negara dari keluasan 500 meter kepada 1.5 kilometer.

Namun pada masa yang sama, beliau mengakui dan turut bersedih kerana kegiatan pembalakan dilakukan di negeri ini tidak seiring dengan aktiviti penanaman semula pokok hutan yang telah ditebang.

"Alam sekitar memang penting untuk kita jaga dan ia bermula dari hutan. Hutan adalah asas segalanya-segalanya dan saya pun rasa sedih kerana kita banyak bawa keluar balak untuk ambil hasil sedangkan aktiviti penanaman semula perlahan.

"Sepatutnya penanaman semula ini bukan sekadar dengan melakukan ladang hutan, tetapi kawasan yang ditebang itu perlu ditanam balik dengan pokok yang ditebang," katanya.

Selain sistem tanam semula, Adnan juga mengakui terdapat perkampungan yang didirikan di kawasan rizab, justeru beliau telah meminta Jabatan Hutan mengkaji semula keluasan zon penampan di Taman Negara, terutama di kawasan Hulu Tembeling.

Ertinya jika Adnan selaku pemimpin nombor satu negeri ini menampakkan komitmen dalam isu alam sekitar, justeru di manakah kelemahannya selama ini? Apakah ia disebab kelembapan pihak penguatkuasa?

Katanya jika semua pihak yang terlibat dapat mematuhi syarat yang ditetapkan dan masalah tidak akan timbul dan beliau yakin jika kegiatan penanaman semula dilakukan dengan efisien, ia dapat membekalkan hasil yang sama dalam tempoh 30 tahun akan datang.

Adnan juga berkata, kerajaan sentiasa terbuka dengan cadangan mana-mana pihak dalam usaha menambah baik pengurusan hutan di negeri ini.

Berkenaan perkembangan isu bauksit, Adnan berkata kerajaan negeri masih dalam proses menyediakan prosedur operasi standard lengkap selain memastikan kejadian pencemaran tidak berulang.

Bagi Adun Beserah Andansura Rabu, Pahang memerlukan satu anjakan besar dalam pengurusan hutan dan aktiviti pembalakan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang yang juga Pengerusi Lajnah Alam Sekitar itu berkata, selain daripada komitmen yang tinggi oleh kerajaan, pihak yang terlibat dengan aktiviti pembalakan juga perlukan komitmen tinggi yang sama.

Katanya, jika tidak ada sebarang perubahan penguatkuasaan dan penglibatan daripada semua pihak, maka apa yg dinyatakan oleh menteri besar itu hanyalah satu slogan yang retorik semata-mata.






No comments:

Post a Comment