Thursday, May 3, 2018

Tawaran PAS Pahang: BANTUAN PELAJAR KE PUSAT PENDIDIKAN TINGGI


PAS melihat pendidikan adalah pelaburan yang sangat penting demi masa depan sesebuah negara, kerana ianya merupakan asas peradaban dan tamadun sesebuah bangsa. Manakala pelajar-pelajar di pusat pengajian tinggi pula merupakan generasi pelapis yang akan mewarisi teraju kepimpinan negara.

PAS menyedari, untuk melangkahkan kaki ke menara gading memerlukan kos dan persediaan berbeza daripada alam persekolahan biasa. Justeru kerajaan negeri akan memberi sumbangan bantuan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada anak Pahang yang melanjutkan pendidikan ke peringkat diploma atau ijazah sarjana muda di pusat pengajian tinggi awam atau swasta yang diiktiraf kerajaan.


Skim ini dikhaskan kepada pelajar-pelajar anak Pahang yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi yang mana pendapatan isi rumah atau keluarga RM3,000 dan ke bawah. Sekiranya pemohon dan Ibubapa tidak dilahirkan di negeri Pahang, maka pemohon hendaklah telah bermastautin di Pahang lebih daripada 10 tahun dan berhasrat untuk terus menetap di negeri ini dengan mengemukakan surat pengesahan bermastautin atas nama pemohon daripada penghulu.

Bantuan secara "one-off" kepada pelajar-pelajar semua bangsa yang berkelayakan ini adalah untuk memastikan mereka agar dapat meneruskan pengajian tanpa sebarang kesulitan disamping sebagai dorongan, sokongan dan penghargaan kepada mereka yang memperolehi keputusan akademik yang cemerlang. Ini diharapkan dapat meringankan beban kos pengajian dan membolehkan mereka menumpukan kepada aktiviti pengajian masing-masing.

Skim ini sekali gus dapat membantu pelajar yang tidak mendapat biasiswa atau pinjaman. Begitu juga dengan pelajar yang teraniaya atau tertipu oleh sesetengah institusi pengajian. Dengannya juga bolehlah menjadi sara hidup bagi pelajar yang memerlukan.

Untuk itu program ini akan dikendalikan di bawah yayasan yang mana dana akan disuntik oleh kerajaan negeri atau agensinya.



No comments:

Post a Comment