Thursday, May 31, 2018

PAS makin diterima rakyat

KUANTAN: Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Andansura Rabu berkata parti yang memperjuangkan cita-cita Islam itu tetap diterima rakyat meskipun bergerak bersendirian kali ini.

Malah, katanya, jika Tsunami Hijau berlaku di Kelantan dan Terengganu sehingga melayakkan PAS membentuk kerajaan negeri, di Pahang pula parti itu memenangi lapan kerusi Dun berbanding dua kerusi yang dimenangi pada PRU14.

“Ini adalah satu perkembangan yang positif kepada PAS, daripada dua kerusi kepada lapan kerusi untuk terus bekerja keras pada PRU15 bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

“Walaupun ada sedikit kontra di Parlimen di mana tidak mendapat sokongan tetapi kita lihat kedudukan kerusi Parlimen ada kerusi campuran yang mempunyai ramai bukan Islam, ertinya kepercayaan rakyat kepada PAS tetap ada,” katanya kepada media.

Beliau berkata kemenangan terbabit juga membuktikan bahawa PAS adalah parti yang boleh diharapkan membawa Islam dan mempunyai pegangan politik Islam yang kuat.

Ini diperkuatkan lagi rekod pemerintahan PAS yang sifar rasuah.

“Jadi, rakyat masih percaya pada PAS untuk membawa Islam dan menyokong parti Islam ini kerana mereka tidak dapat menerima pemikiran agak liberal,” katanya.

Dalam pada itu, Andansura berkata, wakil rakyat yang dipilih rakyat terutamanya dari parti PAS dapat melaksanakan tugas mereka dengan memberi keyakinan pada rakyat di tempat masing-masing.

Katanya, langkah terbabit perlu dilakukan bagi memastikan pertambahan sokongan rakyat kepada PAS pada PRU15.

Selain memenangi 8 kerusi Dun, ada beberapa kerusi lagi yang PAS tewas tipis dan dijangka boleh dimenangi pada masa akan datang.


No comments:

Post a Comment