Tuesday, May 1, 2018

Pekerja beramanah nadi kemakmuran negara sejahtera


Salam sejahtera buat seluruh warga pekerja negara dalam apa juga sektor atau industri, khususnya warga pekerja yang bermastautin di DUN Beserah. Didoakan agar kita semua berada dalam kesihatan yang baik serta dikurniakan kebaikan dan keberkatan dalam apa juga bidang pekerjaan yang diceburi.

Hari Pekerja yang disambut hampir di seluruh dunia, walaupun berbeza tarikh di sebahagian negara, merupakan hari pelepasan am bagi merai dan menghargai peranan, sumbangan serta pencapaian warga pekerja.

Di Malaysia, terdapat sekitar 15 juta orang pekerja dalam pelbagai sektor dan industri. Mereka merupakan nadi kepada kelancaran dan perkembangan kegiatan ekonomi negara. Sewajarnya warga pekerja diberi perhatian yang adil dalam merencanakan dasar dan hala tuju negara, bukan sahaja dari sudut ekonomi, malah juga dari sudut keharmonian dan keadilan sosial.



PAS menyedari cabaran serta tekanan yang dihadapi oleh warga pekerja di negara ini. Jumlah pendapatan yang tidak seiring dengan bebanan kos sara hidup, jaminan pekerjaan, keselamatan kerja, kebajikan dan kemudahan, diskriminasi serta penafian kepada hak berkesatuan adalah antara isu-isu yang sering diketengahkan.

PAS sentiasa menyokong dan komited kepada setiap usaha untuk menyediakan kemudahan dan suasana pekerjaan yang kondusif, selamat dan selesa kepada warga pekerja. Manifesto Malaysia Sejahtera yang dibangunkan secara teliti oleh Gagasan Sejahtera yang dianggotai PAS menawarkan beberapa dasar dan penyelesaian bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat termasuk warga pekerja.

Ia termasuk perkara-perkara yang memberi kesan secara langsung kepada kesejahteraan warga pekerja; seperti percukaian, perumahan, kesihatan, urus tadbir dan sistem sokongan sosial. Kebajikan dan keperluan warga pekerja perlu dilihat secara menyeluruh melalui agenda perubahan yang dipimpin oleh pentadbiran negara yang beramanah, bertanggungjawab dan berintegriti.

PAS komited ke arah pembinaan negara Malaysia yang sejahtera, yang menjamin kebajikan warga pekerja serta memelihara keperluan mereka. PAS kekal tegas dengan pendirian bahawa ketidakseimbangan jurang agihan kekayaan ekonomi negara perlu dipulihkan melalui dasar serta penyelesaian yang lebih adil dan saksama.

Bersempena dengan sambutan Hari Pekerja 2018 ini, saya menyeru agar kita semua kekal tekun dan bertanggungjawab dalam menggalas amanah pekerjaan. Tingkatkan pengetahuan, kebolehan dan kemahiran seiring dengan perkembangan semasa bagi meningkatkan kualiti kerja dan produktiviti. Lebih-lebih lagi dalam kita menghadapi cabaran revolusi perindustrian keempat atau yang dipanggil Industri 4.0.

Selain itu, sambil menghormati pendirian mahupun kecenderungan politik anda, saya memohon agar anda dapat memberikan sokongan dan keyakinan kepada komitmen PAS untuk membentuk pentadbiran negara yang adil, beramanah dan berintegriti.

Salam hormat dan salam penghargaan daripada saya sempena Hari Pekerja 2018. Terima kasih di atas peranan dan sumbangan anda semua kepada masyarakat dan negara.

ANDANSURA RABU
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang
Yang Dipertua PAS Kawasan Indera Mahkota

No comments:

Post a Comment