Monday, May 28, 2018

Pemuda PAS sanggah Syed Saddiq

Ahli Parlimen Muar  dari Pakatan Harapan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan salah seorang pelapis muda kepimpinan negara pada masa depan.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berusia 26 tahun itu merupakan bekas penuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan Undang-undang. Beliau menjadi terkenal kerana pernal merangkul Juara Debat Asia.

Bukan itu sahaja, Syed Saddiq juga kini menjadi ‘fenomena’ kegilaan anak muda seperti ikon, figura atau selebriti

Namun pandangan-pandangan beliau berkaitan PAS selalu tersilap atau tersasar, mungkin dek kerana bias mahu tidak memahami tabiat perjuangan PAS itu sendiri. Apatah lagi sudah berada di sebelah kerajaan memerintah ini, suara Syed Saddiq akan boleh menguasai semua media arus perdana.

Muhtar Suhaili dari Dewan Pemuda PAS Malaysia, iaitu seniornya di UIAM, mempunyai pandangannya yang tersendiri mengenai Syed Saddiq. Berikut disiarkan warkah panjang dari Muhtar ditujukan kepada Syed Saddiq ini untuk tatapan umum.

-      Editor

WARKAH KHAS BUAT SDR SYED SADDIQ, TUDUHAN YB KURANG TEPAT DAN PREJUDIS TERHADAP PAS!


Ke hadapan YB Sdr Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Ukhuwah dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah atas segalanya. Ramadan Mubarak. Semoga warkah ini menemui saudara dalam keadaan kesihatan dan keimanan yang baik hendaknya.

Pertama-tamanya sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada saudara kerana telah menang dan terpilih sebagai Ahli Parlimen Muar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang baru berlalu. Syabas juga kepada Pakatan Harapan yang telah diberi mandat dan amanah oleh rakyat menerajui Kerajaan Malaysia yang baharu. Selamat berkhidmat YB!

Alhamdulillah, kita pernah berjumpa dan berdiskusi di Pejabat Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) 2 tahun yang lepas (baca di sini: https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=262053780796624&id=100009760117468). Anggaplah warkah ini susulan kepada pertemuan tersebut.

Warkah ini saya mula tulis semalam ketika berada di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam dan sempat disiapkan malam ini di Bangi, Selangor Darul Ehsan. Saya suka kongsikan keterujaan saya bila menyebut tentang negara Brunei Darussalam kerana Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 yang termasuk Hudud, Qisas & Diyat dan Ta’zir telah mula dilaksanakan semula di sini bermula 1 April 2014. Ada yang mengatakan bahawa Qanun Jenayah Shariah tidak dapat dilaksanakan di Malaysia dengan pelbagai alasan. Antaranya konon kerana demografi masyarakat Malaysia adalah masyarakat majmuk. Sebenarnya bukan tidak boleh, tapi pada hakikatnya tiada kemahuan politik dari Pemerintah.

Brunei Darussalam juga sebenarnya bermasyarakat majmuk. Dari segi agama di Brunei, 67% penduduknya menganut Islam, 13% Buddha, 10% Kristian dan 10% lain-lain. Di Malaysia juga lebih kurang YB. Statistik menunjukkan 60.4% penduduk Malaysia menganut agama Islam, 19.2% Buddha; 9.1% Kristian, 6.3% Hindu dan 2.6% lain-lain. Baca lanjut Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah Brunei Darussalam di sini: https://www.scribd.com/document/236100767/Perintah-Kanun-Hukuman-Jenayah-Syariah-Brunei-Darussalam. Kesimpulannya, Qanun Jenayah Shariah boleh dilaksanakan di Malaysia. Apa yang penting ialah hendaklah ada kemahuan beragama dan kemahuan politik!

Sdr Syed Saddiq yang berbahagia,

Tujuan utama warkah ini ialah untuk menyanggah dan memperbetulkan beberapa fakta serta tuduhan kurang tepat terhadap PAS yang saudara sebut semasa Wacana Sinar Harian “Bersama 3 YB Muda: Cabaran Memimpin Rakyat”. Saya telah melihat dan mendengar sedutan di dalam forum yang menampilkan saudara (Ahli Parlimen Muar, PPBM), YB Young Syefura Othman (ADUN Ketari, DAP) dan YB Ahmad Saidi Mohamad Daud (ADUN Changkat Jering, BN) dengan sahabat saya Sdr Amin Idris selaku Moderator.

Di dalam Forum yang telah diadakan pada 23 Mei 2018 yang lepas di Dewan Karangkraf Shah Alam tersebut, saudara telah ditanya oleh Moderator berkenaan pandangan saudara tentang pencapaian (performance) PAS dalam PRU14 dan kewujudan PAS dalam politik negara. Saya pada awalnya seronok bila pada mulanya saudara mengatakan bahawa PAS akan kekal ada dan kemudiannya menyatakan tidak mahu mengkritik PAS (reservation ini sangat dihargai).

Selepas itu saudara meneruskan dengan berharap PAS lebih aktif membincangkan isu-isu dasar negara daripada memainkan isu agama dan perkauman yang melampau. Dalam bab ini saya sangat setuju dan untuk makluman YB itulah yang kami bawakan sejak penubuhan dan bahkan sebelum PRU14 PAS banyak membincangkan dasar negara yang hendak dibawa oleh PAS khususnya dalam membina Malaysia Sejahtera Bersama Islam dan konsep PAS Untuk Semua.

Apapun, saya boleh maafkan saudara kerana mungkin maklumat tersebut tidak sampai kepada saudara dan mungkin juga majoriti rakyat Malaysia kerana kelemahan media kami. Lebih malang lagi, banyak dasar dan perjuangan yang PAS bawa dan terangkan telah ditenggelamkan oleh pelbagai fitnah, tuduhan tanpa asas dan persepsi jahat yang sengaja dibina oleh media berkepentingan untuk memburuk-burukkan imej PAS sekaligus meletakkan PAS sentiasa di kandang pesalah.

In shaa Allah kami dalam proses melakukan muhasabah dan post-mortem pilihanraya dan perkara berkaitan strategi dan modus operandi akan kami tambah-baik. Kami hendak menang dengan prinsip dan dasar serta strategi terbaik, bukan dengan fitnah dan politik persepsi.

Namun apa yang mengecewakan saya ialah bila saudara membuat contoh-contoh yang setelah saya semak video yang saudara maksudnya ternyata tuduhan saudara sangat tidak tepat dan melulu. Saudara menyebut boleh tengok online kalau saudara tipu.

Setelah saya melihat video program yang saudara maksudkan iaitu Forum anjuran TV IKRAM bertajuk “Ke Arah Menjamin Kesejahteraan Orang Melayu Di Malaysia” yang telah diadakan pada 19 September 2016, saya boleh simpulkan bahawa saudara sedikit menipu atau setidak-tidaknya sebahagiannya adalah pembohongan.

Saudara menuduh bahawa Ketua Penerangan PAS Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (bukan Nasution ya) bila ditanya tentang penyelesaian PAS hanya menjawab lebih kepada mengangkat dan memartabatkan Islam dan kembali semula kepada Islam dan asyik-asyik menyebut kita kembali kepada Islam tanpa memberi penyelesaian. Ini adalah satu pembohongan!

Saya telah  mengambil masa untuk menonton video forum berdurasi 2 jam 10 minit 45 saat tersebut untuk memahami tuduhan saudara tersebut, dan saya lihat Ustaz Nasrudin telah membawa kerangka berkenaan maksud dasar dan prinsip penyelesaian Islam tersebut dan bukan hanya menyebut seperti yang saudara nyatakan.

Apabila Moderator bertanya apakah 3 isu utama Orang Melayu di Malaysia, Ustaz Nasrudin telah menyatakan 3 isu utama tersebut berlingkar pada masalah sosial, politik dan ekonomi. Beliau melanjutkan dengan berkata bahawa kita tidak akan berjaya menjamin ksejahteraan bila gagal meletakkan Islam pada paksi yang utama sebagai bangsa yang berjaya dalam semua 3 segmen tersebut.

Untuk membangun bangsa Melayu, hendaklah kita kembali kepada Islam kerana dengan kembali kepada Islam maka akan membebaskan kita dari perkauman. Membina orang Melayu hendaklah bukan menindas orang lain. Beliau juga memetik definisi Melayu menurut Perkara 160(2) Perlembagaan Malaysia iaitu antaranya orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu dan bertutur menggunakan bahasa Melayu. Beliau juga mempertegaskan betapa Islam adalah agama bagi Persekutuan Malaysia dan ini dinyatakan dengan jelas dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Saudara juga menyatakan wakil PAS asyik menyalahkan DAP dalam semua perkara. Ini juga persepsi saudara kerana setelah saya menonton dan perhalusi semua ucapan Ustaz Nasrudin dalam forum tersebut pada minit 5:29 – 9:05, 55:57 – 1:05:09, 1:39:51 – 1:50:15 dan 2:01:41 – 2:10:37, beliau langsung tiada menyebut menyalahkan DAP. Adapun yang menyebut berkaitan DAP dan perkara sindiran berkaitan dengannya ialah YB Khalid Samad yang merupakan salah seorang ahli panel forum tersebut. Seperti biasa, mengenali YB Khalid dia akan meletakkan persepsi negatif tersebut kepada PAS secara tidak saksama.

Video penuh boleh ditonton di sini: https://youtu.be/cq39vU24miM.

Sdr Syed Saddiq yang dihormati,

Saya berharap saudara tidak salah faham. PAS boleh menerima kritikan, idea dan pandangan, tapi bukan pembohongan. We are more than happy to accept criticism, ideas and constructive suggestions, but not lies! Saudara menyebut Ustaz Nasrudin langsung tidak memberi penyelesaian selain hanya “kembali kepada Islam”. Ini jelas satu penafian kepada komentar Ustaz Nasrudin.

Bila ditanya apa yang PAS lakukan untuk membanteras korupsi, Ustaz Nasrudin menyebut korupsi dan rasuah ini menghancurkan peradaban dan tamadun, dan PAS konsisten menentangnya. Justeru PAS mencadangkan SPRM diletakkan di bawah Parlimen bagi mengelakkan campur tangan politik, sekaligus mempunyai keupayaan bertindak mengatasi gejala rasuah yang begitu berleluasa dalam negara ini. Beliau turut menyebut pentingnya SPRM diberi kuasa mendakwa bukan sekadar menyiasat kerana ancaman rasuah adalah satu gejala sedang dideritai oleh rakyat seluruhnya.

Apapun, benarlah bahawa kita perlu kembali kepada Islam yang merupakan penyelesaian. Bahkan dalam isu politik dan ekonomipun Islam perlu ditegaskan dan menjadi prinsip. Konsep ekonomi Islam menolak riba dan monopoli berbanding ekonomi kapitalis. Dalam konsep ekonomi Islam, kekayaan hendaklah tidak berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja. Lebih daripada itu kita perlu kembali kepada prinsip Islam dalam pengurusan ekonomi yang adanya disebut Ekonomi Berkat dan Ekonomi Taqwa. Saudara boleh rujuk Dokumen Hijau yang diterbitkan oleh PAS di sini: https://goo.gl/m5MkRv.

PAS menyeru kepada reformasi institusi. PAS menekankan bahawa agenda pemerkasaan syariat termasuk dalam Pindaan RUU355 adalah demi menjamin kesejahteraan rakyat. Persepsi yang silap dan salah ialah bila kononnya PAS hanya sibuk dengan RUU355 dan mengabaikan hal lain. Walhal pada hakikatnya PAS konsisten dalam semua isu kemungkaran ekonomi (GST, skandal 1MDB, kos sara hidup yang tinggi, harga getah yang rendah, perumahan yang hanya mampu tengok dan tidak mampu milik, isu pengangguran dan peluang pekerjaan yang terhad dll) dan kemungkaran politik (rasuah, nepotisme, kronisme, kleptokrasi, salah guna kuasa dll) dengan menekankan bahawa jalan penyelesaian cara Islam adalah yang terbaik.

PAS bercakap berkenaan dengan pemerkasaan syariat, kerana ianya adalah penyelesaian Ilahi yang sangat penting sebagai sumber kepada perundangan dan kehidupan kepada tamadun. PAS juga berusaha memandaikan masyarakat akan hal ini melalui penyelesaian secara praktis dengan memberi kefahaman melalui usaha pendidikan di pelbagai peringkat termasuk kepada orang Islam dan bukan Islam.

Meski kita akui ada kelemahan sana dan sini, namun in shaa Allah PAS tidak akan behenti berusaha agar ianya terus diperjuangkan. Bahkan dalam bab jenayah ekonomi dan jenayah politik, pendirian PAS konsisten bahawa yang dituduh perlu dibawa ke muka pengadilan dan didakwa secara seadil-adilnya.

Berkenaan tuduhan calon PAS di Parlimen Muar yang saudara sebutkan, saya sedang berusaha mendapatkan kepastian dari pihak yang berkenaan. Manakala tentang kononnya Sinar Harian dan Astro Awani banyak kali menjemput PAS tetapi PAS tak hadir, saya rasa ini adalah satu persepsi yang tidak betul.

Setahu saya PAS akan berusaha hadir menghantar wakil ke Forum bahkan sudah beberapa siri Wacana Sinar dihadiri oleh wakil PAS dan sekiranya tidak dapat hadir kerana pertembungan dengan program akan dimaklumkan awal kepada pihak penganjur. Baca juga tulisan sahabat saya Ahli Parlimen Pasir Mas YB Ustaz Ahmad Fadhli Bin Shaari berkaitan perkara ini: https://www.facebook.com/ahmadfadhli1980/posts/10154736245624567.

Saya dimaklumkan in shaa Allah sedang diusahakan satu Wacana Sinar antara saudara dan sahabat saya dalam PAS Sdr Syahir Sulaiman dalam masa terdekat. Lebih menggembirakan, saya dimaklumkan Astro Awani akhirnya setuju menjemput Presiden PAS YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bersiaran di Astro Awani. Ini satu perkembangan yang sihat dalam memberi ruang media yang sama rata kepada semua pihak dalam Malaysia Baharu. Semoga rakyat Malaysia dihidangkan dengan hujah dan pandangan dari semua pihak secara adil dan segala fitnah serta tohmahan dapat dibakulsampahkan.

Sdr Syed Saddiq yang dikasihi kerana Allah,

Hari ini kita sudah letih dengan momokan Islamophobia. Saya berharap saudara sebagai seorang anak muda yang mempunyai kaliber sebagai pemimpin tidak pula dihinggapi PASophobia. In shaa Allah harapnya kita boleh berjumpa dan berdiskusi sebagaimana kita pernah berjumpa 2 tahun yang lepas. Dalam pertemuan tersebut, kita sudah berkongsi gagasan, wawasan dan halatuju PAS. Saya sertakan semula catatan hasil pertemuan tersebut sebagai rujukan bersama, semoga bermanfaat.

Untuk pengetahuan saudara, sebagaimana termaktub di dalam Fasal 5 Perlembagaan PAS, jelas dinyatakan Tujuan PAS ialah: (1) Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah, (2) Mempertahan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Dikongsikan juga pautan kepada perincian tawaran daripada setiap blok parti politik yang bertanding di dalam PRU14 lepas untuk rekod bersama:

_____
1. MANIFESTO

GAGASAN SEJAHTERA
https://goo.gl/6G4WRp

BARISAN NASIONAL
https://goo.gl/ENRbVr

PAKATAN HARAPAN
https://goo.gl/kFMeuB

_____
2. PERANCANGAN JANGKA PANJANG

GAGASAN SEJAHTERA (Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051))
https://goo.gl/sXN3AC

BARISAN NASIONAL (Transformasi Nasional (TN50))
https://goo.gl/FZTtW9

PAKATAN HARAPAN
Tidak Dapat Ditemui

_____
3. PERANCANGAN EKONOMI

GAGASAN SEJAHTERA (Dokumen Hijau)
https://goo.gl/m5MkRv

BARISAN NASIONAL (Bajet 2018)
https://www.pmo.gov.my/bajet2018/TouchpointBajet2018.pdf

PAKATAN HARAPAN (Bajet Alternatif)
https://selangorkini.my/2017/10/teks-ucapan-belanjawan-alternatif-2018-pakatan/

___
4. GARIS PANDUAN BERPOLITIK

GAGASAN SEJAHTERA (Budaya Politik Matang dan Sejahtera)
https://goo.gl/GxrVN3

BARISAN NASIONAL
Tidak Dapat Ditemui

PAKATAN HARAPAN
Tidak Dapat Ditemui

Buat akhirnya, saya doakan semoga saudara terus maju jaya dalam perjuangan Membina Semula Negara dan menunaikan Manifesto sepanjang 5 tahun mendatang. Doakan juga semoga usaha kami untuk memartabatkan Islam melalui perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendapat keredhaan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Sekian, terima kasih. Jazakallahu khairal jaza’.

Saudaramu Dalam Islam,

MUHTAR BIN SUHAILI,
AJK Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat,
Bendahari Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM),
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak (BPPNS).

Tarikh: 27 Mei 2018 bersamaan 11 Ramadan 1439H.

No comments:

Post a Comment