Wednesday, May 30, 2018

Budaya Positif dan Pentadbiran yang Baik - Kitaran Kebaikan


Oleh DAUD VICARY, KURT LIEBERMAN

Dalam catatan blog terdahulu, kita membincangkan bahawa setiap daripada kita mempunyai “Tanggungjawab Individu" dan ia dipandu oleh iman kita. Mujurlah, tema yang sama dalam panduan semua agama utama, bersama-sama dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), membantu kami meningkatkan impak individu kami melalui kuasa nombor dan melalui kerjasama.

Terdapat perkara lain di tempat kerja yang membantu kita memperbaiki diri. Kita tidak dapat melihatnya, jadi kita tidak menghargainya. Fikirkannya sebagai suatu kitaran kebaikan dan mandiri. Kitaran wujud dalam budaya di mana perkara-perkara yang baik menjadi rutin.

Dalam masyarakat, apabila kita melihat orang yang membantu orang lain yang memerlukan, norma atau harapan masyarakat ialah semua orang membantu. Budaya positif ini menyumbang kepada lebih banyak perkara-perkara baik dilakukan dan kitaran kebaikan mengukuhkan lagi budaya positif. Sebaliknya, apabila seseorang melihat orang lain lebih menumpukan pada membantu diri sendiri berbanding dengan orang lain, ia seringkali merugikan orang-orang lemah, maka masyarakat tidak mempunyai harapan untuk mendapatkan bantuan dan tidak memiliki kitaran kebaikan.


Begitu juga dalam syarikat-syarikat, apabila pekerja melihat rakan sejawat (dan terutamanya pemimpin) melayan pelanggan, pekerja lain, dan pembekal dengan hormat, sopan dan berintegriti, norma atau budaya korporat ialah setiap orang berhak dihormati, disantuni dengan integriti. Lebih banyak perkara-perkara baik akan berlaku, dan perkara-perkara buruk berkurangan ;suatu lagi kitaran kebaikan. Sebaliknya, apabila pekerja melihat majikan (dan terutama para pemimpin) memperlakukan pihak-pihak yang berkepentingan dengan buruk, maka syarikat itu tidak memiliki budaya yang positif.

Wells Fargo, sebuah bank di AS, adalah sebuah syarikat tanpa budaya yang positif. Terdapat pelbagai siri skandal yang mendedahkan bahawa syarikat itu tidak melayan pelanggan dengan hormat, sopan santun dan berintegriti. Syarikat itu telah dihukum kerana tingkah laku buruknya. Kelemahan dalam tadbir urus syarikat menggalakkan budaya buruk terus membarah. Wells Fargo cuba untuk berubah; Walau bagaimanapun, banyak kerosakan telah dilakukan dan tidak mudah untuk mendapatkan semula kepercayaan pelanggan.

Sama ada negara atau syarikat, unsur-unsur untuk mewujudkan norma-norma positif dan budaya yang kuat adalah sebahagian daripada tadbir urus. Tadbir urus yang baik umpama ladang yang menyemai benih-benih baik.

Tadbir urus yang baik mewujudkan kitaran kebaikan. Apabila rakyat hidup dengan tadbir urus yang baik, mereka melihat contoh orang lain hidup dengan “tanggungjawab individu" dan mereka mendapati lebih mudah untuk melakukan tanggungjawab mereka. Kitaran kebaikan mewujudkan amalan baik untuk menlahirkan lebih banyak amalan baik.

Sebagai pemimpin, kita perlu sedar adakah kita memupuk kitaran kebaikan menerusi tindakan kita atau merosakkan kitaran kebaikan melalui pengabaian atau, lebih buruk lagi, melalui perbuatan yang menghancurkan kitaran kebaikan. Dengan mewujudkan dan memperkasakan unsur-unsur tadbir urus yang baik, kitaran kebaikan lebih mudah untuk dikekalkan.

Kami berdua telah berada di penghujung karier. Kami melihat tindakan generasi muda yang meletakkan penekanan terhadap isu ini sebagai sangat memuaskan. Sebagai sebahagian daripada tugas kami, kami berusaha untuk membantu mereka meneruskan aspirasi mulia mereka, sambil menerapkan beberapa pelajaran praktikal yang kami pelajari sepanjang karier kami.

Setiap daripada kita boleh menyumbang kepada satu atau lebih dalam kitaran kebaikan. Iman boleh menjadi bahagian penting dalam menjelaskan tanggungjawab dan pemimpin agama anda dapat membantu anda memahami bagaimana tanggungjawab anda mewujudkan kitaran kebaikan ini. Salah satu cara terbaik untuk berhubung dengan tanggungjawab anda adalah melalui refleksi. Setiap kepercayaan mempunyai panduan untuk menjadi reflektif. Semasa dalam proses refleksi, tanyakan kepada diri anda sendiri:

Apakah yang telah saya lakukan untuk menunaikan tanggungjawab saya? Apa yang boleh saya lakukan untuk mewujudkan kitaran kebaikan dalam komuniti saya? ... di syarikat di mana saya bekerja? Apa yang telah saya pelajari yang boleh menjadi manfaat kepada orang yang lebih muda dari saya? Apa yang boleh saya lakukan untuk berkongsi pengalaman ini?

Wassalam

Kurt dan Daud

(Terjemahan bebas)

No comments:

Post a Comment