Sunday, May 6, 2018

Tawaran PAS Pahang: MENGUPAYAKAN ORANG ASAL

 PAS menganggap kelompok masyarakat Orang Asal amat perlu diberi perhatian agar  tidak terpinggir daripada arus pembangunan negeri dan negara.

Berdasarkan Bancian Penduduk tahun 2010 terdapat seramai 178,197 Orang Asal atau hampir satu peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini. Daripada jumlah tersebut negeri Pahang mewakili bilangan teramai iaitu 67,506 orang.


PAS Pahang berhasrat untuk melihat komuniti Orang Asal merentasi batasan agama dan latar belakang, hidup selesa dengan menikmati agihan ekonomi yang seimbang serta taraf kehidupan yang lebih baik.

PAS akan mempergiat dan menyempurnakan projek-projek prasarana dengan memastikan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik, air bersih, perumahan dan jalan raya kerana hanya dengan itu dapat memastikan pembangunan sosioekonomi kelompok Orang Asal.

Begitu juga dengan sumber ekonomi. Bagi yang bergantung rezeki dengan hutan, PAS Pahang akan memastikan kawasan rayau Orang Asal terpelihara. Namun yang memiliki tanah sendiri akan diusahakan bantuan bagi penanaman komoditi seperti kelapa sawit dan getah atau lain-lain.

Tidak dilupakan ialah soal pendidikan dan pendedahan kursus-kursus kemahiran terutama kepada anak-anak Orang Asal kerana sedar bahawa pembangunan modal insan ini merupakan prasyarat untuk mengubah tahap sosioekonomi mereka pada masa depan.

PAS Pahang juga komited untuk melaksanakan program dan aktiviti kesihatan dan kebajikan.

Satu hal yang kita tidak lupakan ialah sesetengah kawasan Orang Asal amat sesuai dijadikan produk pelancongan. Jika dikomersilkan sudah tentu boleh meningkatkan lagi kedudukan ekonomi Orang Asal khususnya bagi yang berminat menjadi usahawan.

Sementara itu, Orang Asal juga tidak terkecuali daripada tawaran-tawaran dalam manifesto PAS Pahang sebelum ini iaitu lot rumah, bantuan makanan harian percuma, bantuan kebajikan, bantuan walimah perdana serta bantuan pendidikan dan kesihatan.

Sudah sampai masanya Orang Asal berdiri sama tinggi dengan masyarakat terbanyak di negara ini. Kita tidak mahu lagi dengan pandangan sesetengah pihak yang agak negatif mahupun memandang rendah. Sudah sampai masanya masyarakat ini bertindak secara kolektif untuk bergerak keluar daripada belenggu BN. PAS Pahang akan membuka ruang seluas-luasnya untuk Orang Asal menjadi rakan gandingan yang penting menuju kehidupan yang lebih maju dan sejahtera. 

No comments:

Post a Comment