Showing posts with label Manifesto. Show all posts
Showing posts with label Manifesto. Show all posts

Sunday, May 6, 2018

Tawaran PAS Pahang: MENGUPAYAKAN ORANG ASAL

 PAS menganggap kelompok masyarakat Orang Asal amat perlu diberi perhatian agar  tidak terpinggir daripada arus pembangunan negeri dan negara.

Berdasarkan Bancian Penduduk tahun 2010 terdapat seramai 178,197 Orang Asal atau hampir satu peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini. Daripada jumlah tersebut negeri Pahang mewakili bilangan teramai iaitu 67,506 orang.

Friday, May 4, 2018

Tawaran PAS Pahang: BANTUAN KHAS KEPADA BAKAL HAJI


Di samping gugusan tawaran yang melibatkan lot rumah, kebajikan, kesihatan dan pendidikan rakyat sebelum ini, PAS Pahang juga tidak melupakan insentif kepada yang berhasrat untuk menunaikan ibadat fardhu haji ke tanah suci Mekah khususnya warga emas.

Setiap Muslim sudah tentulah menyemai cita-cita menunaikan rukun Islam yang kelima itu dengan menjadi ‘tetamu Allah’ apabila sudah berkemampuan. Untuk tahun lalu sahaja, seramai hampir empat ribu orang dari negeri ini daripada 42,200 Jemaah Haji seluruh negara telah pergi menunaikan haji.

Thursday, May 3, 2018

Tawaran PAS Pahang: BANTUAN PELAJAR KE PUSAT PENDIDIKAN TINGGI


PAS melihat pendidikan adalah pelaburan yang sangat penting demi masa depan sesebuah negara, kerana ianya merupakan asas peradaban dan tamadun sesebuah bangsa. Manakala pelajar-pelajar di pusat pengajian tinggi pula merupakan generasi pelapis yang akan mewarisi teraju kepimpinan negara.

PAS menyedari, untuk melangkahkan kaki ke menara gading memerlukan kos dan persediaan berbeza daripada alam persekolahan biasa. Justeru kerajaan negeri akan memberi sumbangan bantuan wang tunai berjumlah RM1,000 kepada anak Pahang yang melanjutkan pendidikan ke peringkat diploma atau ijazah sarjana muda di pusat pengajian tinggi awam atau swasta yang diiktiraf kerajaan.

Wednesday, May 2, 2018

Tawaran PAS Pahang: BANTUAN PERKAHWINAN KEPADA PASANGAN YANG LAYAK MELALUI WALIMAH PERDANA

Perkahwinan adalah sunnah yang sangat dituntut di dalam Islam dan ia merupakan fitrah semula jadi. Melalui proses inilah yang menyebabkan berkembangnya umat manusia hingga ke hari ini.

Namun hasrat murni ini sering kali terhalang disebabkan beberapa faktor, antaranya kekangan kewangan. Hal ini disebabkan kos yang tinggi bermula daripada wang hantaran hinggalah urusan belanja kenduri dengan kos barangan yang mahal serta pelbagai keperluan lain sehingga ada yang menjangkau belanja melebihi RM20,000.

Angka ini tentulah tinggi terutama kepada mereka yang baru bekerja atau yang telah lama tetapi berpendapatan sederhana. Namun ia seolah-olah sudah menjadi trend masyarakat. Jadi tidak hairanlah ada di kalangan para belia memilih untuk terus membujang sedangkan ini menyalahi cara hidup Islam. Perkahwinan yang sepatutnya tempat menyemai kasih sayang, mendapatkan zuriat bertukar menjadi impian yang menakutkan.

Tuesday, May 1, 2018

Tawaran PAS Pahang: SKIM MAKANAN HARIAN BANTUAN RAKYAT TERMISKIN


 Kerajaan PAS bukan sahaja menumpukan kepada pembinaan usahawan, mencipta peluang dan pembangunan dalam bidang pertanian, malahan juga tidak mengabaikan kebajikan kepada rakyat termiskin di negeri ini.

Kerajaan PAS tidak ingin melihat rakyat terus hidup miskin dan ‘ikat perut’, sebaliknya akan terus membantu hidup berdikari memajukan dan sosio-ekonomi mereka. Pelbagai usaha akan dilakukan agar dapat dikeluarkan daripada putaran ganas kemiskinan dan tidak terus tercicir daripada arus perdana.

Selain daripada melakukan pelbagai usaha untuk membasmi kemiskinan dalam strategi jangka panjang, pemantauan berterusan dilakukan supaya golongan ini menikmati faedah daripada program yang dilaksanakan bagi impak jangka pendek.

Monday, April 30, 2018

Tawaran PAS Pahang: MENAMBAH DAN MENAIK TARAF JALAN-JALAN ANTARA BANDAR DI NEGERI PAHANG

Jalan raya merupakan prasarana asas yang menjadi jaringan perhubungan terpenting untuk keperluan dan urusan harian rakyat. Jalan raya yang baik sudah tentu berpotensi menjana pembangunan lebih pesat serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

Istimewanya daerah-daerah di Pahang merupakan laluan atau gerbang masuk dari Lembah Kelang ke Pantai Timur. Begitu juga dari Pantai Timur ke Selatan tanah air.

Namun begitu beberapa jalan antara bandar di negeri ini sering kali menjadi rungutan penduduk dan pengguna justeru memerlukan pembaikan dan naik taraf segera. Umpamanya jalan Jerantut-Benta iaitu antara laluan tertua di Malaysia yang bengkang bengkok perlu dinaik taraf dan diluruskan. Begitu juga dengan jalan Jerantut- Lipis melalui jalan Ulu Tembeling yang sempit, bengkang-bengkok dan berbukit serta jalan Jerantut-Maran melalui Simpang Jengka 8 yang terbengkalai. Keadaan ini menyukarkan penduduk di sebelah Pahang Barat untuk berurusan ke ibu negeri.

Jalan Pekan Awah-Bandar Jengka pula telah banyak memakan korban kemalangan akibat terlalu sempit. Bayangkan, sebuah bandar Melayu yang mempunyai stadium bernilai RM80 juta namun laluan ke situ seperti ketinggalan 30 tahun ke belakang. Tidak kurang juga yang menjadi rungutan ialah jalan antara bandar Temerloh dan Bera lantaran jalannya yang sering rosak, sempit, projek terbengkalai dan tebing sungai pula acap kali runtuh.

Satu lagi, jalan Simpang Pelangai ke Pekan Karak sangat mendukacitakan akibat berlubang, bengkang-bengkok, gelap dan sempit. Walhal jika jalan Karak ke Triang dinaik taraf sebagai laluan alternatif, dijangka mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas dari ibu negara ke pantai Timur.

Laluan Muadzam ke Bera melalui kawasan Felda yang selama ini dianggap ‘jalan mati’ wajar dihidupkan kembali bagi memendekkan perjalanan dari selatan tanah air ke Pahang Tengah. Untuk itu mewujudkan bandar baharu boleh menjadi pemangkin zon ekonomi baru antara Pahang Tengah ke Pahang Tenggara.

Jalan-jalan yang disebutkan tadi amat perlu dibaiki dan dinaiktaraf. Sesetengah destinasi pula perlu ditambah laluannya iaitu jalan-jalan baru yang boleh mengurangkan jarak perjalanan ke jalan-jalan utama. Perlu dipulihkan semula ialah jalan keselamatan yang terbengkalai dari Ulu Sungai di Raub ke Slim River di Perak, jalan Bukit Rengit di Lanchang ke Jenderak Selatan, jalan Kerdau ke Mempateh dan jalan Lubuk Kulit di Lipis ke Felda Tersang. Semuanya sebagai keperluan rangkaian baru bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti banjir.

Malah PAS Pahang komited untuk merancang pembinaan jalan berkualiti menghubungkan Sungai Lembing ke Felda Lepar Utara, Ulu Tembeling ke Dungun,Terengganu, Felda Mengkarak ke Mentakab serta Felda Selancar ke Felda Selendang dalam Daerah Rompin sebaik sahaja diberi mandat.



Friday, April 27, 2018

Tawaran PAS Pahang: MEMPERKASA SEKOLAH AGAMA NEGERI

Melahirkan generasi Islam yang unggul serta modal insan cemerlang lagi berkualiti sudah semestinya melalui proses pendidikan Islam yang bersistematik. Pendidikan Islam bukan sahaja menekankan aspek fizikal, tetapi juga aspek rohani dan akhlak bertujuan untuk membangunkan potensi dan kecenderungan ke arah kebaikan dalam diri seseorang yang akhirnya dapat merealisasikan kebaikan kepada orang lain.

Justeru PAS sentiasa komited dan meletakkan bidang pendidikan sebagai keutamaan khususnya sekolah-sekolah agama agar bersedia dengan pendidikan berkualiti tinggi dengan tujuan melengkapkan ilmu dan kemahiran yang relevan seterusnya berjaya di dunia dan akhirat.

Dewasa ini pertambahan bilangan pelajar sekolah menengah agama (SMAN) meningkat setiap tahun lantaran permintaan tinggi daripada ibu bapa. Sistem dwi-kurikulum yang digunakan menarik minat masyarakat sehinggakan jumlah permohonan melebihi kapasiti disediakan. Ternyata pelajar sekolah agama mempunyai kelebihan kerana dapat menguasai dua bidang iaitu pendidikan aliran agama dan mengikuti kurikulum kebangsaan. Inilah menyebabkan permohonan masuk ke sekolah agama berlipat-ganda.

Pada masa ini hanya terdapat 18 buah SMAN di bawah kerajaan negeri Pahang dengan hampir 10,000 pelajar dan 700 orang guru. Namun dua isu yang timbul di situ pertama kekurangan tempat untuk menampung dan kedua kurangnya prasarana dalam pengoperasian sekolah.

Bayangkan, pernah di sebuah SMAN hampir seribu pelajar menghadiri temuduga tetapi hanya kurang daripada 200 orang yang diterima masuk. Bukannya mereka tidak layak dalam persaingan itu akan tetapi kekurangan tempat sebenarnya.

Isu kedua yang tidak kurang pentingnya ialah amalan sistem pendidikan yang ditawarkan kepada pelajar. Semua pihak sedia maklum tentang penekanan pendidikan agama yang disediakan di sekolah-sekolah ini. Namun tidak boleh dinafikan di kalangan mereka mempunyai kebolehan dan berpotensi besar sehingga mampu bersaing dengan pelajar-pelajar di aliran kebangsaan.

Adalah menjadi hak pelajar aliran agama yang berkebolehan dan berkelayakan untuk memasuki bidang yang membolehkan mereka memilih kerjaya sebagai profesional. Di samping itu dengan memberi pendidikan yang baik dan berkualiti mereka diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan berkemungkinan menjadi tokoh korporat, usahawan berjaya, aktivis masyarakat malah menjadi pemimpin politik.

Pelajar yang mempunyai asas keagamaan yang kukuh akan menjadi tenaga kerja yang berketerampilan dan bersahsiah tinggi. Diharapkan mereka akan dapat memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Untuk itu beberapa perkara juga harus diberi penekanan termasuk aspek kemudahan, keperluan sumber manusia contohnya menyediakan guru terlatih seperti yang dilakukan kerajaan di sekolah biasa iaitu seratus peratus tenaga pengajar berkelulusan ijazah. Nasib Guru-guru SMAN juga akan dibela.

Bagi memastikan perkembangan SMAN di seluruh Pahang bergerak seiring dengan sekolah-sekolah lain, PAS Pahang berazam memperkasakan institusi pendidikan ini termasuk akan menyediakan jumlah peruntukan yang lebih besar. Supaya ditingkatkan standard dan kualiti sekolah berkenaan untuk keperluan dan permintaan rakyat.


Tuesday, April 24, 2018

Tawaran PAS Pahang: BANTUAN UNTUK RAKYAT TERMISKIN.

Miskin dan kaya adalah ketentuan Allah yang sudah tertulis bagi seseorang di mana sudah pasti ada hikmahnya. Namun sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, PAS tidak menganggap kemiskinan itu sebagai “jalan mati”.

Justeru PAS tidak melupa mahupun mengabaikan nasib rakyat yang ditakdirkan miskin. Pelbagai bantuan akan disediakan bagi membantu golongan ini agar hidup mereka seperti kelompok masyarakat yang lain. Juga pelbagai usaha akan dilaksanakan bagi merubah kehidupan mereka ke taraf yang lebih baik dan berdikari.

Termasuk dalam golongan ini ialah rakyat negeri Pahang atau pemastautin lebih 10 tahun di negeri ini yang terdiri daripada asnaf anak yatim, orang miskin, pesakit kronik, OKU terlantar serta mangsa bencana dan musibah.

Dalam hal ini PAS menumpukan empat asas utama dalam kehidupan iaitu tempat kediaman, pendidikan, bantuan untuk sumber pendapatan dan bantuan ketika kecemasan.

Bagi tempat kediaman atau rumah ia boleh dibantu melalui pembinaan sendiri di tanah pemilik. Cara kedua kerajaan yang akan membinanya melalui syarikat atau kontraktor yang dilantik. Sebagai bandingan, model ini boleh diambil daripada Skim Binaan Rumah Dhuafa’ seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan Kelantan.

Bantuan ini juga meliputi kepada mangsa bencana seperti ribut dan rumah terbakar dengan bantuan segera atau bantuan kecemasan.

Bagi pendidikan pula khususnya kepada anak-anak asnaf, sejumlah dana akan diperuntukkan untuk tujuan memenuhi keperluan pelajaran di segenap peringkat.

Manakala bantuan untuk mengembangkan sumber pendapatan pula ia bertujuan mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan. Mereka yang berminat atau berbakat dalam bidang perniagaan akan dibantu seperti mengembangkan industri kecil dan sederhana. Begitu juga dengan yang berminat dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan haiwan. Di mana kemudahan asas, latihan serta skim bantuan peralatan akan disediakan.

Oleh itu satu tabung kebajikan dan sosial rakyat akan ditubuhkan oleh kerajaan negeri di mana kumpulan rakyat termiskin di seluruh negeri akan dibela melaluinya. Penubuhannya boleh mengambil model Tabung Serambi Mekah dan Tabung Tok kenali di Kelantan. Dana tabungan pula boleh diperolehi melalui institusi zakat, infak dermawan dan NGO serta sumber daripada GLC negeri.

Seperti bantuan makanan asasi, bantuan ini juga akan diurus dan diagihkan melalui Dun masing-masing.

Model dan inisiatif seumpama ini dijangka dapat memperlihatkan keindahanan Islam itu sendiri melalui konsep taawun dan kebajikan tanpa mengira agama dan fahaman.






Monday, April 23, 2018

Tawaran PAS Pahang: MEMBANGUNKAN SEMULA TANAH-TANAH TERBIAR UNTUK KEGUNAAN BELIA NEGERI INI


Sebagai negeri yang paling luas di semenanjung, Pahang memiliki banjaran tanah tinggi, hutan tropika, hingga ke jajaran sungai dan lembah yang subur.

Menurut perangkaan tahun 2014, Pahang memiliki 34,293.27 hektar atau hampir lapan puluh lima ribu ekar tanah terbiar di seluruh negeri ini. Walhal muka buminya begitu subur untuk aktiviti pertanian.

Selama ini kita melihat kerajaan yang ada gagal memertabatkan pertanian sebagai sumber utama. Malahan Malaysia sendiri membelanjakan RM92 juta sehari untuk mengimport makanan berasaskan pertanian, tahun lalu. Dan angka ini menjangkau RM27.93 bilion dalam tempoh lima tahun yang lalu.

Ini sudah tentu amat memeranjatkan dan membuktikan kebergantungan negara kepada hasil makanan import. Secara langsung membuktikan betapa lemahnya pengurusan negara. Bayangkan jika berlaku krisis makanan dunia sudah tentu memberikan kesan yang besar kepada rakyat.

Bayangkan pula jika berlaku kenaikan harga sumber makanan ini di pasaran dunia. Tidak dapat tidak situasi ini akan lebih memeritkan rakyat.

Sementara itu Jabatan Tenaga Buruh pula menganggarkan terdapat kira-kira 400,000 belia yang menganggur ketika ini.

Justeru jika dapat dioptimumkan penggunaan tanah dan mencapai produktiviti hasil pertanian yang tinggi dan berdaya maju, pembangunan tanah-tanah terbiar tadi semestinya dapat menyelesaikan banyak masalah.

Jadi tawaran PAS yang komited untuk membangunkan tanah terbiar ini sudah tentu dapat menangani masalah belia-belia negeri ini khusus kepada yang tidak bertanah. Kedua, dapat mengurangkan masalah pengangguran. Dan ketiga, berupaya meningkatkan hasil pemakanan berasaskan pertanian komersil.

Hasil daripada itu juga berpotensi menjana ekonomi setempat sekali gus membuka peluang kepada belia-belia di negeri ini termasuk di tanah rancangan Felda mengkomersilkan hasil tanaman mereka ke peringkat dalam dan luar negara.





Saturday, April 21, 2018

Tawaran PAS Pahang: MENGAGIHKAN TANAH LOT RUMAH KEPADA RAKYAT

Memiliki rumah sendiri merupakan impian dan cita-cita semua orang khususnya pasangan yang telah berumahtangga. Ini disebabkan keperluan tempat kediaman ini sama pentingnya selepas keperluan makan dan pakai.

Namun rata-rata harga rumah yang sudah sedia tinggi pada masa ini tidak memungkinkan semua yang memerlukan mampu memilikinya. Apatah lagi peningkatan harga rumah tidak selari dengan pendapatan rakyat.

Satu kajian menunjukkan bahawa negara kita menduduki tangga ke 15 dalam kalangan negara-negara yang mencatatkan kenaikan harga rumah tertinggi. Apatah lagi di kota-kota besar.

Menurut satu kajian, sejak tahun 2009 harga rumah di Malaysia telah meningkat terlalu mendadak dengan kenaikan 10.1% setahun. Kenaikan ini amat luar biasa. Sehinggakan kajian mendapati bayaran pinjaman seorang peminjam menjangkau 40 ke 60% daripada perbelanjaan isi rumah.

Fenomena inilah yang menyebabkan rakyat semakin tertekan di tengah-tengah kenaikan harga barang-barang keperluan dan kejatuhan nilai ringgit.

Menyedari hakikat ini, PAS Pahang menawarkan formula membantu rakyat dengan mengagihkan tanah lot rumah dengan keluasan yang bersesuaian kepada rakyat yang berkelayakan. Di samping itu PAS Pahang akan mengkaji semula status pemilikan skim-skim perumahan sediada seperti PPRT, RPS yang kebanyakannya tiada hakmilik, supaya pada akhirnya rakyat dapat memiliki rumah dan tanah sendiri pada kos mampu milik