Friday, May 4, 2018

Tawaran PAS Pahang: BANTUAN KHAS KEPADA BAKAL HAJI


Di samping gugusan tawaran yang melibatkan lot rumah, kebajikan, kesihatan dan pendidikan rakyat sebelum ini, PAS Pahang juga tidak melupakan insentif kepada yang berhasrat untuk menunaikan ibadat fardhu haji ke tanah suci Mekah khususnya warga emas.

Setiap Muslim sudah tentulah menyemai cita-cita menunaikan rukun Islam yang kelima itu dengan menjadi ‘tetamu Allah’ apabila sudah berkemampuan. Untuk tahun lalu sahaja, seramai hampir empat ribu orang dari negeri ini daripada 42,200 Jemaah Haji seluruh negara telah pergi menunaikan haji.


Namun PAS Pahang juga sedar bahawa nasib setiap orang adalah berbeza-beza khususnya menyediakan perbelanjaan menunaikan haji yang kini mencecah RM10,000. Oleh yang demikian, PAS Pahang dengan khabar gembira menawarkan bantuan khas kepada rakyat negeri ini yang berusia 65 tahun ke atas.

Mereka mestilah terdiri daripada rakyat yang bermastautin di negeri Pahang yang sihat tetapi kurang upaya kewangan serta sudah berdaftar dengan Lembaga Urusan Tabung Haji. Ianya terbuka kepada semua rakyat negeri Pahang termasuk yang tinggal di Felda dan kampung-kampung.

Bantuan khas ini adalah sebagai tanda kepedulian dan penghargaan daripada Kerajaan PAS Pahang bertujuan menyempurnakan ibadah sekali dalam seumur hidup itu.

Untuk tujuan itu, satu tabung kebajikan khas akan ditubuhkan di bawah agensi kerajaan negeri bagi mengumpul dana dan bantuan diselaraskan di bawah pejabat penghulu dan ketua kampung masing-masing.

Manakala yang menunaikan haji dengan perbelanjaan sendiri, tetap akan menerima insentif khas daripada kerajaan pimpinan PAS sebanyak RM500 setiap orang bagi sebagai tambahan perbelanjaan di sana.

Melalui kedua-dua insentif ini sudah tentu menjadi motivasi kepada bakal haji dengan harapan dapat mendoakan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran kepada pimpinan dan negeri ini agar setiap hasil daripada negeri dapat dinikmati dan dikongsi bersama-sama rakyat.

No comments:

Post a Comment