Thursday, May 10, 2018

Ucapan Adun Tahan yang baru

Kurang daripada 24 jam selepas dipilih oleh rakyat, Adun Tahan Ustaz Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin mula 'membuka mulut'.

Dalam teks yang dihantar melalui satu grup whatsapp, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengundi dalam Dun berkenaan yang telah memberikan undi dan sokongan kepada beliau selaku calon PAS sehingga berjaya memenangi PRU-14.

Beliau turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih yang tak terhingga buat semua ahli PAS, jentera PAS, petugas PAS dan para penyokong PAS di semua peringkat yang telah bermunajat kepada Allah setiap masa dan bertungkus lumus dalam gerak kerja serta mengatur strategi sehingga dikurniakan oleh Allah kemenangan ini.

"Saya sebagai ADUN kepada semua rakyat di dalam Dun Tahan tanpa mengira fahaman politik, InsyaAllah akan berusaha semampu mungkin bagi memastikan setiap program yang baik yang telah dijalankan oleh Adun yang terdahulu akan di teruskan seperti sepatutnya, di samping berusaha semampunya memastikan pembangunan dan keperluan lain rakyat Dun Tahan dipertingkatkan".


Zakhwan juga mengharapkan doa dan bantuan daripada semua agar dapat melaksanakan tanggungjawab yang amat besar ini. 
"Doakan agar saya menjadi pemimpin yang amanah dan menunaikan tanggungjawab kepada agama dan rakyat dengan sebaiknya.

"Marilah sama-sama kita berdoa agar Allah menjadikan kita semua sejahtera bersama Islam," katanya.

Pada pengundian semalam Zakhwan menumpaskan penyandangnya Dato Sri Wan Amizan Wan Abdul Razak dari BN i dan seorang lagi dari PKR dengan majoriti 69 undi. 
Zakhwan yang juga Naib Yang Dipertua PAS Jerantut dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang memperoleh 5,638 undi berbanding Wan Amizan 5,569.

Satu lagi kerusi Dun yang PAS menangi dalam Parlimen Jerantut ialah Dun Damak melalui Ustaz Zuridan Daud.

No comments:

Post a Comment